Tuesday, November 23, 2010

Penulis blog pro-Umno suka melaga-laga pemimpin PR


ALOR SETAR, 22 Nov. : Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah menafikan dakwaan penulis blog bahawa hubungannya dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak bermasalah sehingga wujud puak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit itu berkata, sehingga kini, beliau tidak menghadapi masalah untuk berbincang dengan Azizan dalam apa jua isu, sama ada isu Kerajaan Negeri mahupun isu parti.


Menurutnya, beliau menyedari terdapat pelbagai spekulasi negatif ditimbulkan beberapa penulis blog kononnya mendakwa beliau kini sedang merancang konspirasi untuk menjatuhkan Azizan bagi merebut jawatan Menteri Besar.

“Saya menyedari terdapat pelbagai dakwaan yang cuba ditimbulkan penulis blog pro-UMNO ini bagi melaga-lagakan saya dengan Menteri Besar, walhal sebenarnya kami bekerja dalam satu pasukan.

“Sehingga kini, saya menganggap hubungan saya dengan beliau (Azizan) tiada masalah, tidak tahulah kalau Menteri Besar memikirkan sebaliknya,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail pada sidang DUN minggu lalu, turut menyindir Azizan ‘berseorangan’ dalam insiden pertikaman lidah dengan media baru-baru ini berikutan ketiadaan Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin Pas lain mengeluarkan kenyataan menyokongnya.

Ir Amiruddin berkata, ketiadaan Exco Kerajaan Negeri yang mengeluarkan kenyataan menyokong Azizan berhubungan isu kenaikan tarif air dan kelewatan pemberian bantuan mangsa banjir tempoh hari disebabkan keengganan media tempatan melaporkan berita melibatkan Kerajaan Negeri sekalipun kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, Azizan juga tidak pernah mengeluarkan sekatan melarang mana-mana Exco Kerajaan Negeri daripada mengeluarkan kenyataan media sebagaimana digembar-gemburkan sesetengah pihak.

“Cuma, kenyataan media hanya akan kami lakukan untuk mengumumkan sesuatu yang penting sahaja memandangkan kita tidak mahu dilabel sebagai ‘pemimpin yang banyak cakap, tetapi tidak buat kerja’.

“Manakala, bagi isu-isu yang lebih besar, lebih baik Menteri Besar sendiri yang mengadakan sidang media untuk mengelakkan sebarang pertindihan maklumat yang boleh mengelirukan rakyat,”katanya.

Ir Amiruddin juga mengajak rakyat untuk menolak sebarang dakwaan yang cuba menjejaskan keutuhan Kerajaan Negeri di bawah Azizan memandangkan ianya merupakan agenda politik UMNO dan BN yang sentiasa mencari jalan mewujudkan masalah dalam kalangan pemimpin Kerajaan Negeri.

“Rakyat harus merujuk maklumat yang betul daripada pemimpin Kerajaan Negeri dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai dakyah disampaikan menerusi blog dan buletin kerana ianya sudah jelas agenda jahat parti pembangkang yang bertujuan merosakkan keharmonian Pakatan Rakyat,”katanya.

No comments: