Tuesday, November 23, 2010

SPR jadi jurucakap Umno

PUTRAJAYA, 23 Nov.:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan kerajaan negeri pakatan pembangkang supaya menghentikan cakap-cakap mahu mengadakan pilihan raya negeri yang berasingan dengan pilihan raya umum kerana ia hanya mengakibatkan pembaziran besar dari segi tenaga dan wang rakyat.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, bajet untuk mengadakan pilihan raya-pilihan raya berkenaan perlu ditanggung sendiri oleh kerajaan negeri terbabit kerana sebarang peruntukan terletak di bawah Perbendaharaan Pusat.

Lebih daripada itu, kata beliau, meskipun Menteri Besar atau Ketua Menteri berhak mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri namun kuasa mutlak dan pemutus akhirnya terletak di tangan Sultan dan Yang Dipertua Negeri.

“Sebab itu kita lihat kerajaan negeri (Pas) Kelantan selama 20 tahun memerintah tidak pernah terfikir pun hendak mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan tarikh yang diumumkan Kerajaan Pusat.

“Jika semata-mata keputusan ini dibuat atas kepentingan politik, ia hanya mengakibatkan pembaziran wang rakyat. Ini termasuk penglibatan jentera-jentera keselamatan dan tambahan lagi masyarakat akan berada dalam keadaan tegang sentiasa sebab tidak habis- habis berkempen dan berpolitik.

“Jangan ingat pula peruntukan hendak adakan pilihan raya negeri ini boleh dapat secara automatik, kalau Perbendaharaan tidak luluskan, bagaimana?” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ketika spekulasi kemungkinan PRU ke-13 akan diadakan tahun depan, pelbagai pihak dalam pakatan pembangkang pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam PRU berkenaan.

No comments: