Tuesday, November 23, 2010

Zambry bentang bajet pilihan raya?































IPOH, 24 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasakan Bajet 2011 yang akan dibentangkan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 30 November ini adalah Bajet Pilihanraya bagi persiapan Umno BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Timbalan ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, pihaknya melihat perbentangan bajet nanti bakal memfokuskan bentuk perkhidmatan dengan memastikan semua peruntukan akan sampai kepada rakyat demi mendapatkan undi mereka.

“Sudah tentu segala bentuk peruntukan tersebut akan melibatkan banyak perkara termasuklah projek-projek mega bagi menunjukkan kemampuan sesebuah kerajaan mengurus tadbir negeri dengan baik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun DPPN Pk, katanya menganggap apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Baginya, kerajaan negeri Umno BN Perak pada hakikatnya gagal dalam pengurusan negeri dengan efisyen dan jelas hanya menggunakan persidangan Dun nanti semata-mata untuk memenuhi agenda politik mereka yang ingin mengekalkan kuasa pemerintahan yang telah dirampas daripada Pakatan Rakyat (PR).

Persidangan Dun, ujarnya bukan hanya untuk meluluskan bajet, tetapi lebih dari itu untuk menzahirkan permasalah dan pandangan rakyat serta proses pembaikpulihan sistem pemerintahan yang secara jelas gagal dipenuhi oleh kerajaan Umno BN sekarang.

DPPN Pk juga, tambahnya melihat bagi persediaan menghadapi PRU 13 nanti, bajet kali ini bakal memberi perhatian kepada kebajikan dan kepentingan rakyat, terutama dari kalangan orang muda, bagi memastikan sokongan kepada Umno BN akan terus diterima.

Justeru, beliau menjangkakan peruntukan yang lebih besar akan diberikan kepada golongan itu yang akan disalurkan melalui pelbagai kemudahan atau program khas.

Ini, katanya kerana Umno BN sedar sokongan orang muda adalah garis penentu kepada kemenangan mana-mana parti politik dalam PRU.

Bagi DPPN Pk, katanya kuasa orang muda sekarang ini boleh menentukan jatuh bangun mana-mana parti politik dan yang paling penting adalah kuasa orang muda sebagai suara keramat yang perlu diberikan perhatian.

“DPPN Pk amat yakin orang muda sekarang ini sudah mampu untuk menilai dengan baik dan membaca apa yang tersirat di sebalik bajet yang bakal dibentang nanti lantas menzahirkan respons mereka terhadap pengkhianatan yang dilakukan melalui undi mereka di dalam PRU 13 nanti,” katanya lagi.

No comments: