Tuesday, May 17, 2011

MB UMNO tak peduli bantahan rakyat



KUANTAN 18 MEI : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak peduli kepada rayuan orang Pahang apabila mengambil sikap berdiam diri sahaja dalam pemilihan pakar yang menganggotai panel penilai loji memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga merupakan Naib Presiden PKR turut mempersoalkan sikap Adnan yang pada mulanya bersetuju panel itu sepatutnya membariskan pakar dari pelbagai disiplin tetapi kini berdiam diri sahaja apabila panel itu tidak langsung membariskan jurutera alam sekitar, pakar toksikologi alam, pakar kesihatan awam, dan juga pakar sains sosial.

Malah, panel itu juga tidak membariskan mana-mana pakar yang mengkaji kesan pendedahan radiasi tahap rendah dalam jangka masa panjang.

“Pakar-pakar dalam dalam bidang ilmu yang saya sebutkan itu tiada dalam panel itu tetapi amat mustahak dalam menentukan keselamatan orang Kuantan,” kata Fuziah.

Fuziah seterusnya menjelaskan bahawa pakar yang dipilih Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sebenarnya terdiri daripada pakar yang sememangnya mengambil pendirian pro-nuklear.

“Saya tidak nafikan kepakaran mereka tetapi panel itu perlu dibarisi oleh pakar dari bidang ilmu yang betul,” kata Fuziah.

Beliau turut kesal apabila Adnan kini hanya meminta orang ramai menunggu hasil siasatan panel itu.

Fuziah seterusnya menggesa agar Adnan tidak melakukan kesilapan lagi apabila mengambil sikap berdiam diri kali ini.

“Kita harap beliau tidak melakukan satu lagi kesilapan kali ini. MB Pahang sudah melakukan kesilapan kali pertama apabila memberikan Lynas lesen premis untuk beroperasi tanpa merujuk kepada orang ramai terlebih dahulu,” kata Fuziah.

Orang Pahang kini memerhatikan dengan teliti tindakan kerajaan BN Pahang jika benar mereka mahu membantu menangani kerisauan penduduk Pahang berhubung isu pembinaan loji memproses nadir bumi ini, kata Fuziah.

Loji itu yang dijadual beroperasi sepenuhnya September tahun ini mendapat bantahan orang ramai di Kuantan dan negeri Pahang kerana apabila ia beroperasi kelak ia akan menghasilkan sisa radioaktif thorium yang merbahaya kepada penduduk sekitar.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang pembinaan loji itu namun ia sehingga kini tidak diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri malah empat peserta perhimpunan aman membantah loji itu pula ditangkap polis 15 Mei lalu.

Usaha membantah loji itu kini giat digerakkan di peringkat nasional dan antarabangsa oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

No comments: