Tuesday, May 17, 2011

Pemuda PAS : Nasaruddin akan pertahan jawatan, Azman Shapawi berdepan Firdaus untuk jawatan timbalan




KUALA LUMPUR 18 MEI : Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi secara rasmi mengumumkan akan mempertahankan jawatannya yang disandang itu sejak 2009 pada pemilihan awal bulan depan.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Nasrudin yang memegang jawatan itu dengan menggantikan Salahuddin Ayub berkata, beliau membuat keputusan mempertahankan jawatan itu atas alasan masih banyak agenda yang dirancang belum dilaksanakan.

“Ya, saya bersedia untuk mempertahankan jawatan ketua Pemuda PAS, insya-Allah saya akan melaksanakan tugas dan tanggungawab ini dengan baik.

“Atas semangat berlumba-lumba untuk mencari kebaikan saya akan (pertahankan jawatan) dan saya percaya calon-calon lain juga mempunyai potensi serta kelayakan yang baik,” katanya.

Bagaimanapun jelas Nasrudin, beliau akan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan nasib dan barisan kepimpinan Pemuda PAS.

“Tugas adalah amanah... jawatan adalah amanah dan ia berasaskan kepercayaan yang diberikan oleh ahli.

“Dan tekad Pemuda PAS adalah untuk memastikan sokongan anak muda berpihak kepada PAS yang mana kita mempunyai pelan tindakan yang mesti dilaksanakan,” katanya.

Justeru jelas beliau, sama ada terpilih untuk kekal jawatan itu tidak penting, sebaliknya Pemuda PAS harus memastikan segala strategi yang dirancang dilaksanakan terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Dewan Pemuda PAS berkewajiban untuk melaksanakan pelan strategi dan pelan tindakan yang telah dirancang.

“Ia adalah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama sebagai sebuah pasukan kerana barisan kepimpinan kita adalah berwibawa , jadi Pemuda PAS harus tunaikan tanggungjawab yang sepatutnya,” katanya.

Turut layak bertanding jawatan ketua Pemuda PAS ialah timbalan Nasrudin iaitu Azman Shapawi Abd Rani, Ketua Penerangan Pemuda Suhaizan Kaiat dan Pengarah Pilihan Raya sayap itu, Mohd Firdaus Jaafar.

Bagaimanapun Azman Shapawi ketika dihubungi berkata, sekiranya Nasrudin mempertahankan jawatannya, maka beliau akan bertanding kerusi timbalan yang disandangnya sekarang.

“Saya ambil sikap begini, jika Nasrudin ingin kekal atau mempertahankan jawatan itu saya tidak akan bertanding,” katanya.

Keputusan akhir calon-calon yang akan bertanding hanya akan diketahui selepas 26 Mei ini.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai dan Ketua Pemuda PAS Jerai berkata, beliau memutuskan untuk bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda PAS sahaja.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan yang mencalonkan saya untuk jawatan itu tapi hasrat saya adalah untuk bertanding bagi jawatan timbalan ketua Pemuda PAS sahaja.

“Saya buat keputusan ini kerana mahu membantu memperkuatkan organisasi Pemuda PAS, biar saya hanya jadi orang nombor dua sahaja,” katanya.

Sementara itu, Suhaizan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Saya masih belum buat apa-apa keputusan lagi, beri saya sedikit masa untuk berbincang.

“Mungkin selepas 20 Mei nanti boleh hubungi saya kembali,” katanya.

Selain jawatan ketua Pemuda PAS, keempat pemimpin itu turut dicalonkan bagi jawatan lain termasuk timbalan ketua Pemuda dan juga naib ketua Pemuda.-The Malaysian Insider

No comments: