Tuesday, May 17, 2011

UMNO timbulkan fitnah untuk tutup isu rakyat



KUALA LANGAT 17 MEI : Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih banyak memainkan isu- isu yang memberi kepentingan politik mereka semata- mata sekaligus menenggelamkan isu semasa dan kebajikan rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata kerajaan pemerintah dilihat dengan sengaja menimbulkan pelbagai isu yang meyerang keperibadian pimpinan Pakatan Rakyat hanya kerana mahu menutup pelbagai isu yang tidak memihak kepada rakyat, umpamanya harga barang naik.

"Hari ini yang dibicarakan bukan soal hidup rakyat tapi soal video, kes liwat dan air mani. Sehinggakan rakyat tercicir, tak berbincang soal gula naik," katanya.

Baru- baru ini secara tergesa- gesa, kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen menjadikan harganya meningkat kepada RM2.30 daripada RM 2.10 sebelum ini.

Kenaikan ini adalah kali keempat setelah kerajaan pemerintah berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu.

Pada Januari 2010 harga barangan asas ini naik sebanyak 20 sen, diikuti Julai 2010, harga itu meningkat lagi sebanyak 25 sen dan harganya terus pada Disember 2010 sebanyak 20 sen.

Hanya kerana mahu menjimatkan pemberian subsidi gula sebanyak RM116.6 juta, kerajaan pemerintah seolah- olah menutup mata kepada segala perit jerih yang membelit rakyat bawahan.

Hakikatnya, berbilion ringgit boleh dijimatkan jika tiada ketirisan kewangan, rasuah dan pengurusan harta negara yang korup.

Kerajaan juga bingkas membandingkan harga subsidi dinegara ini dengan negara jiran.

Ulasan yang selalu diterima adalah, walaupun kerajaan menaikkan harga, namun harga di Malaysia jauh lebih murah berbanding di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

"Gula naik RM 2.30, kenaikkan luar biasa 65 sen hampir 45% daripada kenaikkan yang baru-baru ini, subsidinya benar RM 116.6 juta, Rosmah boleh diberi sebanyak RM 110 juta dalam program Permata tapi rakyat diberikan subsidi sebanyak RM 28 juta sahaja," katamya.

Beliau berkata demikian di hadapan seramai 1,400 orang yang hadir dalam program ceramah majlis penerangan Jelajah Selangor atau 'JELAS- Tawan Malaysia' malam tadi di Dewan Kg Labohan Dagang, Dengkil (Markas PAS).

TV Selangor difahamkan ceramah yang diadakan malam tadi telah bertukar lokasi sebanyak empat kali disebabkan gangguan dari pihak polis yang menghalang ceramah penerangan itu untuk diteruskan.

No comments: