Monday, February 7, 2011

Jambatan Bengkok : Hati-hati politik Mahathir dan Najib

Jambatan Bengkok: Mahathir, Najib Ada Kepentingan Politik

SHAH ALAM 7 Feb.: Keghairahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas projek jambatan bengkok menimbulkan satu persoalan apakah motif beliau di sebalik itu kerana perkara tu sudah berlalu, kata Yusmadi Yusof.

Hujung minggu lalu dalam usaha menghidupkan semula idea membina “jambatan bengkok” bagi menggantikan Tambak Johor, Mahathir telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Bahagian Umno Johor yang disifatkan pemerhati politik sebagai satu tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib dilihat tidak berhasrat memulihkan idea jambatan bengkok, Yusmadi berpendapat projek tersebut kebarangkalian tidak merujuk kepada kepentingan politik yang diamalkan Najib hari ini.

“Bagi saya Najib adalah seorang pemimpin politik yang licik. Isu di sini ada kaitan dengan isu ketelusan iaitu rakyat tidak perlu terperangkap siapakah atau bila projek ini dibuat. Rakyat perlu tahu ialah ketelusan kenapa projek sebegini seolah-olah hanya satu projek yang hanya dimonopolikan oleh Perdana Menteri dan kali ini kita lihat keghairahan oleh mantan Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Mahathir tidak lagi mempunyai kapasiti dalam mengendalikan projek berkenaan.

Justeru, menurut beliau, isu sebenar yang perlu dikembalikan adalah isu perhubungan dua hala yang memberi kepentingan ekonomi kepada kerajaan Malaysia khususnya.

Yusmadi menjelaskan, projek tersebut adalah projek berbangkit yang melibatkan hubungan diplomatik di antara mantan Perdana Menteri Mahathir bersama Singapura.

Kerajaan Pusat haruslah bersikap telus dan jujur sekiranya berhasrat menyelesaikan kemelut pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Semua pihak harus memberi fokus kepada isu tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan kepentingan dua negara melalui dua zaman pemerintahan yang berbeza. Ini kerana menurut beliau, isu berbangkit ini adalah berpunca daripada sikap ‘keras’ Mahathir sendiri terhadap negara jiran.

Sementara itu, ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tsin pula berpendapat, pembinaan jambatan bengkok yang dicadangkan tidak akan memberi keuntungan kepada negara. Malah jelas beliau, ia akan lebih merugikan rakyat dalam jangka masa panjang.

“Kesesakan memang akan terus berlaku walaupun kita melabur billion ataupun million. Kesesakan akan terus berlaku. Jadi apakah yang lebih baik. Jadi saya rasa apa yang perlu ialah kita bina extension of MRT. Pengangkutan awam akan jadi lebih baik daripada membina sebuah jambatan baru di mana lane capacity tidak ditambah pun,” katanya.

No comments: