Monday, February 7, 2011

Seorang lagi pemimpin Umno meludah ke langit

Pemimpin Umno ‘meludah ke langit, muka juga yang basah’

http://www.umnobaganserai.org/image/Hjh-Asmah.jpgPARIT BUNTAR, 7 Feb. : Tuduhan pemimpin Umno bahawa wakil rakyat PR tidak berjaya membawa pembangunan di Bagan Serai ibarat peribahasa ‘meludah ke langit, muka juga yang basah’.

Demikian kenyataan Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman mengulas kenyataan Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Serai Asmah Ramli ( gambar ) dalam Sinar Harian.

Adnan berkata, pemimpin Umno seharusnya dapat membezakan tugas sebuah kerajaan yang memerintah dengan tugas wakil rakyat.

“ Kerajaan bertanggungjawab menyalurkan peruntukan pembangunan untuk sesebuah kawasan parlimen. Adakah beliau lupa bahawa kerajaan BN sedang memerintah negeri Perak ?

“ Mungkin juga beliau lupa bahawa wakil rakyat PR dinafikan hak menguruskan peruntukan dari kerajaan.

Jangan salahkan wakil rakyat PR jika banyak masalah kampung belum selesai. Salahkan pihak yang menguruskan peruntukan kerajaan kerana gagal menyelesaikan masalah kampung” katanya

Menurut Adnan, tuduhan Asmah bahawa kerajaan negeri yang ditadbir PR gagal membela nasib rakyat juga tidak berasaskan fakta dan mengikut emosi.

“ Sebagai contoh, Laporan Audit Negara memperakui penjimatan kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM35.41 juta. Hasil penjimatan ini telah digunakan untuk manfaat warga emas dan waris mereka yang kehilangan ibu dan bapa.

“ Laporan Audit juga memperakui keupayaan semua kerajaan negeri PR menguruskan kewangan dengan telus tanpa dicemari unsur rasuah , penyelewengan dan salah guna kuasa” katanya

Katanya, hasil pengurusan yang baik juga membolehkan semua kerajaan negeri PR membantu rakyat bukan mencari publisiti.

“ Contohnya, semua kerajaan negeri PR menghargai warga emas apabila menyalurkan pemberian kewangan kepada waris apabila warga emas meninggal dunia.

“ Kerajaan Selangor memberi RM 2500.00, Kelantan sebanyak RM 2000.00, Pulau Pinang RM 1000.00 dan Kedah sebanyak RM 500.00. Penghargaan ini tidak berlaku di negeri yang diperintah BN” katanya

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad meminta Asmah memberikan bukti bahawa berlaku huru hara di negeri yang diperintah PR.

“ Rakyat di negeri PR bukan sahaja hidup aman malah mendapat banyak manfaat serta merasai perbezaan berbanding semasa diperintah kerajaan BN sebelum ini.

“ Cuma, media massa yang dikuasai kerajaan BN tidak melaporkan kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan PR sebaliknya hanya membuat tohmahan memburukkan kerajaan PR “katanya

Beliau menasihatkan Asmah memberikan fakta apabila membuat tuduhan kerana rakyat sekarang terdiri daripada generasi yang bermaklumat.

No comments: