Monday, February 7, 2011

PAS Terengganu sasar generasi kedua felda

PAS fokus generasi kedua Felda

http://matjenin.com/wp-content/uploads/2010/07/IMG_72052.jpgBATU RAKIT , 7 Feb. : “Kita telah merangka satu perancangan rapi untuk memasuki kawasan Felda dan fokus utama kita adalah generasi kedua Felda,” kata Pengarah pilihan raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman.

Menurutnya, kebanyakan generasi kedua Felda telah keluar berhijrah mencari pekerjaan di luar, dan kesempatan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menarik sokongan pengundi di kawasan itu, sekali gus menunjukkan komitmen Pas untuk menawan Terengganu semula pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas pelancaran jentera pilihan raya Pas DUN Batu Rakit di surau Tanjung, Batu Rakit.

DUN Batu Rakit adalah jentera pilihan raya ke-13 berjaya dilancarkan secara berperingkat.

Katanya, mereka yakin siri pelancaran jentera pilihan raya bagi keseluruhan 32 DUN di negeri ini dapat diselesaikan sehingga akhir bulan ini, bagi mengukuhkan kekuatan parti pada peringkat akar umbi.

“Walaupun UMNO menyatakan mempunyai pengundi yang menyokong mereka seramai 550,000 orang, namun keputusan pilihan raya adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka.

“Ini sebab, berdasarkan pengalaman lalu ramai ahli UMNO yang menyokong parti itu, tetapi pada hari pilihan raya mereka tidak mengundi parti itu,” katanya.

Ariffin berkata, Pas telah memulakan beberapa strategi terbaru untuk memastikan Terengganu dapat ditawan semula, kerana berdasarkan situasi sekarang, potensi untuk menang mula menampakkan perkembangan positif.

“Walaupun pelbagai andaian dibuat UMNO, namun kita tetap komited dan yakin mampu memerintah semula negeri ini berdasarkan semangat kerjasama meraih kemenangan besar di setiap peti undi.

“Insya-Allah dengan usaha dan kerjasama semua jentera parti, tidak mustahil perancangan kita boleh direalisasikan biarpun UMNO sentiasa memandang serong kepada perjuangan kita,” katanya.

Turut hadir sempena pelancaran jentera pilihan raya DUN Batu Rakit, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik.SH

No comments: