Monday, February 7, 2011

Tiada rombakan Exco Selangor

MB tidak rombak Exco
http://mymalaysiainfo.com/generalinfo/malaysian-flag/selangor-flag/lambangselangor.jpgSHAH ALAM , 7 Feb. : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah membuat sebarang pengumuman untuk melakukan rombakan kecil membabitkan tugas Ronnie Liu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, maklumat mengenai rombakan itu hanya khabar angin.

“Itu hanya khabar angin semata-mata dan tidak benar kerana sehingga hari ini (semalam) tiada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu. Mesyuarat Exco belum diadakan lagi dan jika betul ia berlaku (rombakan) ia mesti dibincangkan dalam mesyuarat tersebut terlebih dahulu.

“Tan Sri (Abdul Khalid) tidak pernah membuat keputusan sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Faekah berkata, Ronnie masih lagi mengekalkan tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

“Beliau masih lagi menjalankan tugas-tugasnya termasuklah berkaitan kerajaan tempatan.

“Kalau betul dakwaan itu, kita akan umumkan nanti tetapi setakat ini belum ada apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa berlaku rombakan kecil tugas Exco Kerajaan Negeri dilakukan selepas berlaku beberapa kontroversi membabitkan kenyataan dan tindakan Ronnie yang dikatakan boleh menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) negeri itu.

Kelmarin, sumber dalaman DAP memberitahu Sinar Harian, peranan Ronnie sebagai Exco telah dikecilkan dengan memberi tumpuan kepada tugas kajian dan penyelidikan sahaja sementara tugas berkaitan kerajaan tempatan diambil alih Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rombakan kecil tersebut ada kaitan dengan kontroversi beberapa isu sensitif yang membabitkan Exco berkenaan antaranya isu larangan penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, isu pengharaman penggunaan logo 1Malaysia dan larangan pekerja Islam bekerja di premis hiburan menjual minuman keras.

Sementara itu, Faekah berkata, keputusan Kerajaan Negeri mahu membiayai kos perundangan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei bukanlah satu isu besar.

“Kita ikut prosedur...pendakwaan ini adalah pendakwaan terpilih yang dilakukan oleh wakil rakyat Kerajaan Pakatan Rakyat.

“Pada kami, ia bukanlah satu isu besar kerana kita akan memberi apa juga bantuan dari segi moral dan sebagainya untuk membantu wakil rakyat kita yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Katanya, pihak berkenaan sengaja memperbesarkan perkara tersebut.

“Jika kita tidak telus, kita tidak umumkan perkara ini pada umum. Kita tahu ia adalah usaha Barisan Nasional (BN) untuk memanjangkan isu ini.

“Kalau mereka (BN) punyai kuasa (tadbir negeri), saya yakin mereka juga lakukan perkara sama,” katanya.

No comments: