Monday, February 7, 2011

Shuhaimi mengaku tidak bersalah

ADUN Sri Muda Diikatjamin RM8,000: Mengaku Tidak Bersalah


SHAH ALAM 7 Feb.: Hakim Mahkamah Sesyen, Latifah Mohd Tahar membenarkan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum itu, Shuhaimi mengaku tidak bersalah atas tuduhan hasutan yang didakwa ke atasnya.

Beliau dikenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyentuh kemelut pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor menerusi blognya pada 30 Disember lalu.

Beliau juga didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Selangor dalam blog pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Jika sabit kesalahan, Shuhaimi, 42, berhadapan dengan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Shuhaimi diwakili tujuh peguam, diketuai peguam hak asasi manusia terkenal Edmund Bon.

Peguam lain, termasuk Lateefa Koya, Yusmaidi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.

Turut hadir pada prosiding di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar ialah wakil rakyat Pakatan Rakyat, termasuk Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar dan Yaakob Sapari.Di luar perkarangan mahkamah kelihatan para penyokongnya hadir memberikan sokongan. Mereka berhimpun secara aman.

Polis sebelum ini mengeluarkan amaran agar penyokong wakil rakyat penggal pertama PKR itu tidak mengadakan perhimpunan pada pagi ini.

No comments: