Wednesday, October 24, 2007

Ribuan hadiri Majlis Raya PAS Parit Buntar

Parit Buntar : Majlis Jamuan Hari Raya PAS Kawasan Parit Buntar seperti tahun tahun sebelumnya menarik kehadiran ribuan rakyat di kawasan Parit Buntar,malah kehadiran pada tahun ini melebihi pada tahun sebelumnya.

Menurut Pengarah Program Drs. Khalil Idham Lim bin Abdullah, keadaan cuaca yang baik dan hebahan program yang meluas ke seluruh Parit Buntar adalah faktor kehadiran yang begitu ramai.

“Orang ramai datang bertali arus sejak jam 3.00 petang. Selalunya lepas Asar orang dah tiada tetapi tahun ini sehingga pukul 6.00 petang pun masih ramai yang berada di dewan. Makanan hampir tiada berbaki, cuma tinggal seredak”. Katanya.

Orang ramai yang datang ke majlis ini telah dihidangkan dengan lemang, nasi himpit, roti canai, sate dan pelbagai jenis kueh raya.

Pimpinan PAS Negeri dan Kawasan telah memberi ucapan pada Majlis Jamuan Hari Raya ini diselangi dengan persembahan Kompang dan Gendang dari PAS Cawangan Sungai Betul serta persembahan pelajar-pelajar PASTI. Antara tetamu pimpinan yang memberi ucapan adalah Setiausaha Perhubungan PAS Perak Ir. Hj. Nizar Jamaluddin dan Pesuruhjaya PAS Perak Ust. Hj. Ahmad Awang.

PAS Kawasan Parit Buntar juga menyediakan acara cabutan bertuah kepada orang ramai yang hadir serta acara kuiz untuk kanak-kanak dengan hadiah ditaja oleh PAS Cawangan dan individu. Anggota Unit Amal Kawasan Parit Buntar Sdr. Salehuddin Mohd Said menjadi pemenang paling bertuah apabila berjaya mendapat hadiah sebuah basikal dari PAS Kawasan Parit Buntar.

Sementara itu, PAS Kawasan memohon maaf kepada orang ramai yang hadir ke Majlis Pidato Aidilfitri pada malamnya kerana pemidato utama Tuan Haji Muhamad Sabu tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan. PAS Kawasan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ust. Haji Ahmad Awang yang sudi mengantikan Tuan Haji Muhammad Sabu menyampaikan ceramah.

Ust. Hj. Ahmad Awang sebelum itu telah menghadiri jemputan dan mengadakan pertemuan khas dengan pimpinan Kelab Penyokong PAS Parit Buntar di Kuala Kurau. Pertemuan yang berlangsung selama lebih sejam itu dikatakan berkaitan dengan pendirian Kelab Penyokong PAS Parit Buntar terhadap beberapa isu yang berlaku di DUN Kuala Kurau.

Read more ...