Thursday, November 8, 2007

PELAJAR PASTI PARIT BUNTAR TERIMA IJAZAH DI ‘U’

Parit Buntar – Majlis Hari Anugerah PASTI Kawasan Parit Buntar baru-baru ini telah menimbulkan perasaan teruja pelajar PASTI kerana menerimanya di sebuah pusat pengajian tinggi. Perasaan gembira turut dikongsi bersama ibu bapa mereka yang hadir sejak awal pagi bagi meraikan anak-anak mereka yang akan menamatkan sesi pra sekolah di PASTI.

“Kami nak ucap terima kasih kepada pengurusan PASTI Kawasan Parit Buntar yang mengadakan program di sini. Harap timbul rasa semangat kepada anak saya untuk belajar sehingga ke universti.” Kata seorang ibu pelajar PASTI.

Pengarah PASTI Kawasan Parit Buntar En. Nasharudin Rashidi memberitahu, pengalaman tahun lepas telah memberi pengajaran kepada pengurusan PASTI untuk memperbaiki pengelolaan Majlis Hari Anugerah PASTI supaya berlangsung lebih sempurna dan memberikan yang terbaik kepada pelajar PASTI yang akan meninggalkan PASTI.

“Pelajar PASTI tentu akan lebih bersemangat apabila mereka memasuki era persekolahan di Tahun Satu di sekolah kebangsaan.” Jelasnya.

Fariz Ameer bin Khairulzami dan Noor Syazwina bt. Mazlan dari PASTI An-Nur, Taman Kerian Permai telah dipilih sebagai pelajar terbaik PASTI tahun 2007. Kedua-dua pelajar ini telah mengatasi pencapaian akademik pelajar PASTI dari tujuh PASTI lain di Parit Buntar.

Majlis perasmian Hari Anugerah PASTI Kawasan Parit Buntar ini telah disempurnakan oleh Pengerusi PASTI negeri Perak En. Hashan Aladi bin Ahmad. Beliau mengucapkan syabas kepada pengurusan PASTI Parit Buntar yang berjaya mengendalikan majlis berkenaan dengan lancar.

Sementara itu, PASTI-PASTI di Parit Buntar sedang membuka pendaftaran kepada pelajar baru bagi sesi 2008. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur 4 hingga 6 tahun dan berminat menghantar anak mereka ke PASTI boleh dapatkan borang pendaftaran di PASTI masing-masing.

Read more ...