Saturday, July 10, 2010

Pemimpin Umno bercakap ikut angin




















ALOR SETAR, 10 Julai:
Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib (gambar) mengingatkan pemimpin Umno terutamanya di negeri Kedah supaya tidak membuat tuduhan dan dakwaan melulu tanpa sebarang fakta dan bukti yang konkrit.

Menurut beliau lagi tuduhan yang dilemparkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sesat adalah sesuatu yang melampau dan keterlaluan.


Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kedah berkata, seandainya Umno menyifatkan PAS sesat, kemungkinan Umno itu lebih sesat kerana mereka bukannya memperjuangkan ajaran Islam sebenarnya sebaliknya memperjuangkan isu perkauman dan assabiyah.


"Pemimpin Umno sepatutnya tidak bercakap mengikut angin mereka sahaja. Setiap dakwaan dan tuduhan perlulah mempunyai fakta kebenaran sebelum membuat sebarang dakwaan.


"Oleh kerana itu kepimpinan Umno dinasihatkan supaya sentiasa berpandukan kepada kebenaran dalam isu yang mengaitkan PAS sebagai sebuah parti yang sesat.Dakwaan tersebut juga adalah suatu perkara yang tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh mencelarukan pemikiran masyarakat,"katanya
yang juga besar imam besar Masjid Negara.

Pemuda PAS Kedah cabar siasat


Sementra itu, Dewan Pemuda PAS Kedah mencabar Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Shafei Apdal supaya menubuhkan jawatankuasa agama bagi menyiasat dakwaan kononnya PAS parti yang sesat.

Menurut Ketuanya, Ahmad Yahya, siasatan boleh dilakukan dalam apa jua aspek mengenai dakwaan tersebut.


Namun begitu beliau juga berkata seandainya dakwaan yang tidak disertakan dengan bukti yang tepat tidak harus dilayan kerana ia merupakan satu tuduhan liar yang tidak berasas.

"Sekiranya beliau (Shafie) seorang yang bermaruah, maka tunjukkan bukti dan jalankan siasatan dari aspek mana kebenaran dakwaan beliau itu. Siapakah yang sebenarnya sesat? Mungkin Umno atau mungkin PAS. Hanya siasatan saja yang mampu untuk menyatakan kebenarannya," kata Ahmad Yahya (
gambar).

Menurutnya, Pemuda PAS Kedah amat kesal dengan dakwaan beliau ini kerana ia amat keterlaluan dan melampau.


Samada dengan sengaja atau pun tidak, tindakan beliau ini tidak boleh dimaafkan, katanya.


Menurut Ahmad, Shafie yang merupakan Pengerusi Umno Kedah juga sengaja mahu menimbulkan isu serta mencetuskan kekeruhan dalam PAS dan Umno.


"Ini adalah soal akidah. Ia boleh menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat kerana dakwaan sesat adalah sesuatu yang serius,"katanya.


Ahmad juga menasihatkan Shafie supaya menerima hakikat bahawa PAS bukan hanya sebuah parti politik, namun ia juga merupakan kerajaan kepada negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat (PR) yang menggabungkan PKR dan DAP di negeri Kedah.


"Beliau juga sepatutnya akur ketokohan yang ada pada pemimpin PAS yang memerintah negeri yang dikuasai oleh PR di negeri ini,"tambahnya.

Read more ...

Boikot media pro BN jika permit tak diperbaharui

KOTA BHARU, 10 Julai: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui.

“Saya harap permit Harakah dan Suara Keadilan di perbaharui. Bagaimanapun, jika kedua-dua akhbar yang menjadi suara rasmi Pakatan ini tidak diperbaharui, saya cadangkan arahan rasmi dikeluarkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan agar mula memboikot media pro BN," kata beliau melalui laman komuniti Facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sehingga kini tidak menyambung permit Harakah dan Suara Keadilan yang telah tamat tempoh.

Turut tamat tempoh adalah permit akhbar Rocket versi Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh DAP.

Permit akhbar Harakah tamat pada 7 Julai lepas. Pada 5 Julai, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya telah dipanggil mengadap lapan pegawai KDN di Putrajaya.

Pada 8 Julai lepas, KDN menghantar satu surat tunjuk sebab kepada Harakah kenapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas akhbar itu.

Pada 9 Julai, Taufek sendiri telah ke pejabat KDN di Putrajaya menghantar jawapan Harakah ke atas surat tunjuk sebab itu. Ia dijawab sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam kenyataannya berkata, Harakah akan diterbitkan seperti biasa kerana permohonan penyambungan permit sudah dibuat kepada KDN dan Harakah memang menunggu kelulusan permit itu.

Sementara itu, KDN memberikan amaran kepada PKR agar jangan menerbitkan Suara Keadilan kerana pihaknya tidak berpuashati dengan jawapan PKR ke atas isu 'Felda Bangrap".

Dalam kenyataannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

"Jika mereka rasa Harakah salah, mereka boleh saman dan memberikan bukti kesalahan Harakah jika ada," katanya.

Read more ...

Ahli DHPP dilantik Ahli Majlis



KUALA LUMPUR, 10 Julai : Susulan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS akhir Mei lalu, PAS Selangor mengumumkan satu lagi kelainan malam tadi.

Lazimnya, parti-parti politik hanya akan memberi keutamaan kepada ahli masing-masing dalam pelantikan jawatan politik. Bagaimanapun PAS Selangor mengambil pendekatan berbeza.

Daripada 67 kerusi ahli majlis yang diperuntukkan kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu di Selangor, PAS memilih empat ahli kalangan bukan Islam.

Daripada empat nama itu, tiga orang India dan seorang Cina.

Mereka terdiri daripada K. Deepakaran yang dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang, S. Arun (Hulu Selangor), S. Lakshmanan (Kuala Selangor) dan Low Hock Khieng (Selayang).

Di sebalik pelantikan bersejarah itu, bakal ahli-ahli majlis PBT ini mempunyai tugas dan tanggungjawab besar - mereka mengangkat sumpah di hadapan kepimpinan PAS bahawa akan meletakkan jawatan serta-merta dan membayar ‘ganti rugi’ jika wujud situasi tidak lagi kekal dalam PAS.

Sebahagian besar daripada 67 wakil itu menerima watikah lantikan sebagai ahli majlis daripada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali di sini malam tadi.

Ketika ditemui wartawan, Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri mengakui, “saya percaya ini kali pertama PAS” melantik kalangan bukan Islam sebagai ahli majlis.

Yang pasti, ia memang satu rekod lebih-lebih lagi selepas pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, hasil dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS berusia enam tahun.

Ekroan langkah dinaik taraf, dewan itu telah menghantar wakil mereka sebagai pemerhati khas untuk berucap pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Kota Baru bulan lalu.

“Saya percaya ini kali pertama PAS berbuat demikian... kami hendak mengiktiraf peranan penyokong-penyokong bukan Islam yang menyokong kami selama ini,” katanya.

“Memang semasa kami mengemukakan nama kepada kerajaan negeri ada yang terkejut apabila calon bukan Islam dikemukakan... tetapi ini cara kami mengiktiraf peranan mereka dalam PAS,” katanya.

Ini kali ketiga kerajaan negeri Selangor membuat pelantikan ahli majlis sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri itu bermula Mac 2008.

Memandangkan ini kali pertama PAS khususnya PAS Selangor membuat pelantikan ahli majlis kalangan bukan Islam, sesi angkat sumpah taat setia kepada parti menjadi tumpuan mereka yang menghadiri majlis malam tadi.

Ahli-ahli majlis beragama Islam membacakan bai’ah manakala bukan Islam pula ikrar aku janji.
Malam tadi, mereka juga menandatangani surat letak jawatan sebagai langkah berjaga-jaga jika melompat ke parti lain ataupun tidak lagi menjadi ahli PAS.

Di bawah bai’ah mana-mana ahli PAS yang keluar parti atau menyertai parti dikehendaki meletakkan jawatan dan segala pendapatan wakil itu dan anggota keluarganya akan dianggap “haram”.

PAS lazimnya mengamalkan bai’ah semasa pemilihan calon pilihan raya.

Ahli-ahli bukan Islam pula dikehendaki meletakkan jawatan dan membayar balik segala pendapatan dan elaun yang diperolehi ketika memegang jawatan sebagai ahli majlis.

“Bayar balik elaun atau pendapatan ini hanya melibatkan mereka bukan Islam kerana ahli beragama Islam pendapatan mereka terima dianggap haram di bawah bai’ah... mereka mengambil taat setia bai’ah,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir kepada The Malaysian Insider.

Ketika ditanya apakah pelantikan ini petanda PAS Selangor akan memberikan kerusi untuk bukan Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS bertanding di negeri itu, Hasan berkata, kemungkinan itu boleh dipertimbangkan.

“Selagi saya menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor saya akan memberikan pertimbangan jika ada calon yang sesuai dan kerusi yang sesuai.

“Lagipun perkara ini sudah diputuskan ketika muktamar bulan lalu,” katanya.

Read more ...

PAS akan anjur himpunan BERSIH




















PETALING JAYA:
PAS akan mengadakan himpunan kedua Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) secara besar-besarnya sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengendahkan cadangan supaya suruhanjaya itu mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara telus dan adil.

Timbalan Pemuda PAS, Ahmad Shapawi Rani berkata sekiranya SPR masih berdegil, PAS akan mengerahkan jentera mereka daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang dengan ahli seramai 1 juta orang sebaik sahaja kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU13 berlangsung.

“Kami mahu SPR mengkaji semula serta menerima cadangan yang dikemukakan dalam memorandum yang telah dihantar oleh Bersih kepada mereka,” katanya kepada mStar Online di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin di beberapa blog yang mendakwa Bersih akan mengadakan demonstrasi dalam tempoh terdekat.

Pertubahan bukan kerajaan itu telah beberapa kali menghantar memorandum mendesak suruhanjaya berkenaan menghapuskan undi pos, sistem pendaftaran automatik serta penggunaan dakwat kuku bagi menggantikan sistem sedia ada.

Mengulas lanjut, Shapawi yang juga Setiausaha Kerja Bersih berkata pihaknya amat berharap agar SPR mengambil serius cadangan yang telah dikemukakan oleh Bersih demi menjamin sistem pilihan raya yang lebih telus dan adil kepada rakyat di negara ini.

“Seperti yang kita tahu pengunaan dakwat kuku bagi menggantikan sistem mengundi secara manual sangat berkesan kerana ia dapat menjamin satu proses pilihan raya yang lebih telus dan adil.

“Proses seperti ini adalah untuk kebaikan bersama tidak kira sama ada mana-mana parti politik mahupun rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.

Read more ...

Umno cipta isu negara Islam


KUALA TERENGGANU, 10 Julai : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu Negara Islam yang didendangkan media arus perdana kini, sengaja ditimbulkan oleh 'musuh' bagi melaga-lagakan Pakatan Rakyat.

Isu lapuk itu katanya dibangkitkan sejak 20 tahun lalu, diputar setiap enam bulan sekali dan menjadi senjata terakhir Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kebatilannya.

Namun begitu, kata Anwar yang juga Ketuan Umum PKR, isu tersebut kini langsung tidak menjejaskan Pakatan Rakyat, jelas dibuktikan dalam beberapa siri pilihan raya kecil dari Kuala Terengganu hingga ke Sibu, Sarawak.

“Isu (Negara Islam) ini sudah 20 tahun dibangkit dan 10 tahun dulu sewaktu saya di penjara pun telah dibangkitkan dan sekarang ini pun dibangkitkan lagi.

“Tapi, saya tengok dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu hingga ke pilihan raya kecil di Sibu tidak menjejaskan (Pakatan Rakyat).

“Ini percubaan ‘akhir’ Umno dan Barisan Nasional hendak cuba melemahkan Pakatan Rakyat. Itu sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Seharum dan Pilihanraya Parti KeADILan Rakyat Peringkat Negeri Terenggaunu di Dewan Hotel Kenangan, dekat sini, 9 Julai lalu.

Katanya, isu rekaan Umno seperti Negara Islam merupakan isu ‘berkala’ atau ‘drama’ bersiri yang sering kali diulang-ulang hampir enam bulan sekali.

“Masalah (isu) ini rekaan Umno untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat tetapi dia (Umno-BN) telah cuba dan hampir setiap enam bulan sekali dibangkitkan isu ini. Isu ‘berkala’, ‘drama’ banyak siri,” ujarnya.

Selain itu, beliau mendakwa sambutan rakyat terhadap parti-parti kompunan Pakatan Rakyat seperti PAS, DAP dan PKR jauh lebih baik dari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Katanya, antara negeri-negeri seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka kini mempunyai jumlah keanggotaan, jentera, kegiatan serta program yang cukup baik.

“Parti KeADILan (PKR), PAS dan DAP sekarang ini jauh lebih kuat di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka berbanding sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, tahun 2008.

“Dari segi keanggotaan, dari segi jentera, dari segi kegiatan dan program. Apakah ia cukup memuaskan, itu kita (parti) boleh buat penilaian. Apa yang nyata jauh lebih hebat dari sebelumnya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai saman Menteri terhadap Parti KeADILan Rakyat mengenai isu ‘Felda Bangkrap’, Dato’ Seri Anwar menyifatkan suatu perkembangan positif bagi rakyat.

Katanya, isu orang Melayu yang menjadi peneroka di Felda kini mula ‘terdedah’ dan ‘diketengahkan’ untuk diketahui umum.

“Pada saya (Isu Felda) bagus, bagi saya ini suatu perkembangan yang positif kerana isu Felda sekarang ‘terdedah’ dan ‘ketengah’. Orang (rakyat) akan mula tertanya-tanya, kenapa isu ini berbangkit.

“Kita (Pakatan Rakyat) ada jasa kita untuk membela nasib orang Melayu terutamanya dan peneroka Felda yang terpinggir.

“Apa janji Tun Razak. Kata dia (Razak) tidak sekali-kali kita (kerajaan) akan ambil tanah peneroka. Itu janji dia (Razak) di Parlimen dan kita (pembangkang) ulang kenyataan dia (Razak). Apa yang berlaku sekarang banyak tanah tergadai,” tegasnya.

Read more ...

Najib pinda jawapan judi
















KUALA LUMPUR 10 Julai : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan gagal menterjemahkan dasar kementerian berhubung isu kelulusan lesen judi sukan sehingga pegawai kementerian tersebut terpaksa meminda jawapan lisan sebanyak tiga kali.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata ini menunjukkan kelemahan pengurusan Kementerian Kewangan dalam menberikan kedudukan sebenar dan kegagalan menterinya untuk menjelaskan pendirian kementerian kepada pegawai sehingga tercetus kekeliruan.

"Saya tidak bersetuju jika menteri ingin menyalahkan pegawai kerana ini merupakan kelemahan menteri itu sendiri yang saya fikir Menteri Kewangan sudah hilang kelayakan untuk mengurus kementerian tersebut dan urusan ekonomi negara ini.

"Sewajarnya Menteri Kewangan melepaskan jawatannya kepada orang lain yang mempunyai keupayaan untuk menguruskannya supaya jawapan yang disediakan nanti adalah jawapan yang muktamad dan konsisten" kata Mahfuz di parlimen Khamis lalu.

Mahfuz menyindir Kementerian Kewangan kerana meminda jawapan sebanyak tiga kali dalam keadaan kementerian itu mempunyai dua orang menteri dan dua orang timbalan.

Insiden ini dianggap sebagai memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kata beliau.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi pula menyifatkan kekeliruan yang terjadi cerminan sikap Najib yang terkenal dengan dasar 'flip-flop' dilihat daripada soalan lisan yang dijawab secara bertulis itu 'flip-flop' tiga kali.

Apa yang anehnya kata Jeff Ooi, jawapan secara bertulis kali ketiga yang dianggap sebagai muktamad itu telah disediakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim.

"Di sini saya ingin memperingatkan timbalan menteri itu, barangkali beliau juga tersasul kerana tidak mengikuti perkembangan cerita sebenar.

"Saya minta Donald membawa perkara ini ke Jemaah Menteri supaya diberi perhatian kepada sidang media yang diadakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di mana beliau berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak sesuai mengumumkan keputusan itu di dalam mesyuarat tertinggi Umno dan hendaklah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.

"Saya harap Donald jangan jadi bidan terjun atau pak turut dengan meminda jawapan lisan itu beberapa kali kepada saya dan Ahli Parlimen Pokok Sena," tegas beliau.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke membidas Najib yang mengubah dasar dan keputusan kerajaan dalam mesyuarat tertinggi Umno menyebabkan timbalannya tidak mengetahui perkara sebenar.

Ini menyebabkan beliau membuat kesilapan dalam menyediakan jawapan kepada soalan yang diajukan ahli parlimen di Dewan Rakyat.

"Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada Najib kerana sebarang keputusan seharusnya dibuat dalam mesyuarat Kabinet supaya timbalan menteri dan pegawai-pegawainya tahu keputusan kerajaan yang diputuskan Perdana Menteri," ujarnya.

Read more ...

Letak calon bebas jika ROS tak lulus


























KUCHING, 10 Julai :
Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), sebuah parti politik baru, dijangka membariskan calon bebas jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pendaftarannya sebelum pilihan raya kecil negeri itu.

Ketua Penaja PERSB Zon Utara, Michael Jok, hari ini berkata parti itu akan bertanding di kesemua 31 kerusi negeri pada pilihan raya negeri yang dijadual sebelum Julai tahun depan.

Selain itu, katanya, parti itu juga akan bertanding di 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 akan datang tanpa sebarang gabungan dengan mana-mana parti dari Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang.

“Bergantung kepada keputusan ROS ekoran permohonan kami pada 20 April lepas, kita akan bertanding sebagai calon PERSB atau calon bebas bersatu,” kata Jok, seorang peguam, yang bertindak sebagai jurucakap PERSB selepas mesyuarat penaja di sini.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bahagian Dalat, Salleh Mahdi, merupakan presiden penaja PERSB yang berpangkalan di Lawas.

Parti itu mendakwa mempunyai sokongan 200,000 petani tanaman jatropha dari 600 buah rumah panjang di negeri itu.

Jok berkata mereka yang terbabit dalam penubuhan parti baru itu secara langsung terlibat dalam projek pembangunan ekonomi rakyat Sarawak menerusi syarikat PERS Development Corporation Sdn Bhd.

Syarikat itu mengusahakan ladang jatropha di kawasan pedalaman hampir tiga tahun lalu.

Bernama

Read more ...

Sebarkan maklumat PAS

IPOH, 9 Julai : Pesuruhjaya PAS Perak mengharapkan agar setiap ahli PAS Perak melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota penerangan yang melaksanakan tugasan menyebarkan maklumat secara aktif berkaitan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara bagi mengubah pemikiran rakyat.

Menurut beliau kegagalan petugas parti di peringkat akar umbi menyampaikan maklumat kepada rakyat terutama orang Melayu di kawasan kampung menjadi punca kepada sukarnya penduduk di kawsan luar bandar mendapatkan maklumat.

“Kebanyakan penduduk kampung hanya memperolehi maklumat yang disampaikan TV dan akhbar Utusan Malaysia dan akhbar tajaan Umno sahaja”, ujar beliau.

“Sebab itu kita nak setiap ahli PAS berperanan sebagai penyampai maklumat yang benar dan tepat kepada rakyat, khususnya dalam membongkar kezaliman dan penyelewengan yang dilakukan pemimpin Umno-BN dalam mentadbir negara”, katanya.

“Contohnya kita boleh perincikan isu-isu semasa yang berlaku dalam negara termasuk isu-isi terkini membabitkan pengambilan syarikat berlatar belakangkan rejim Zionis Israel, Apco yang menyediakan perkhidmatan komunikasi strategik yang dikaitkan penglibatan pemimpin Umno”, tegas beliau lagi.

Selain itu beliau juga mahukan agar jentera penerangan PAS perlu mempelbagaikan kegiatan penerangan bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendedahan isu semasa sesuai dengan latar belakang pemikiran dan budaya mereka.

“Dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat kita perlu mempelbagaikan teknik agar maklumat yang disampaikan berkesan dan dapat diterima oleh rakyat. Sebab itu pendekatan yang pelbagai teknik adalah penting dan perlu difahami”, katanya.

Read more ...