Monday, June 7, 2010

PAS cadang usul ketenteraan terhadap Israel







KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan menghantar satu usul di Dewan Rakyat bagi meminta Kerajaan Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka semakin berani menindas umat Islam di Palestin.

"Kalau tidak ada peluang berucap, saya tetap akan menghantar satu usul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat untuk meminta kerajaan Malaysia mengambil langkah ke hadapan dengan membuat satu proposal kepada PBB.

"Sudah sampai masanya tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel. Sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka tidak faham lagi bahasa diplomasi. Jadi kita mahu tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel dan Amerika perlu diambil tindakan serius," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul khas di Dewan Rakyat bagi mengutuk kekejaman zionis Israel.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar pula mencabar kerajaan untuk menghentikan khidmat APCO sekiranya benar-benar membenci tindakan kejam Israel itu.

"Kenapa kita takut nak menunjukkan kebencian kita dengan menamatkan APCO? Sekarang seolah-olah tangan kanan kita memberi sesuatu kepada Palestin dan dalam masa sama tangan kiri kita mendakap APCO iaitu proksi kepada Isrel dan Amerika," katanya yang juga ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mendesak kerajaan memanggil pulang duta ke PBB sebagai membuktikan kekecewaan Malaysia terhadap sikap berdiam diri PBB.

"Saya menggesa kerajaan menterjemahkan kekecewaannya kepada PBB dengan memanggil balik duta Malaysia ke PBB. Jika benar-benar tidak bersetuju dengan PBB, panggil balik duta kita," tegasnya.

Beliau turut menyifatkan usul itu sebagai bersifat kecaman semata-mata tanpa ada pendirian yang jelas untuk Malaysia bertindak dalam isu itu.

"Usul hari ini bersifat mengecam semata-mata, cadangan-cadangan untuk orang lain bertindak, bukan untuk Malaysia bertindak. Memang kita bersama dalam isu ini tapi sesuatu perkara yang melucukan bagi saya.

"Walaupun kita menyokong usul ini namun sebagai kerajaan perlu lebih praktikal dengan menunjukan sikap yang jelas. Kalau setakat kecam macam ni jadi macam tok penghulu Kampung Pening Lalat lah," katanya.hrkh

Read more ...

Talam dua muka

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) petang tadi menganggap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘talam dua muka’ dalam melayani protes rakyat serta pembangkang berhubung usul mengecam kezaliman zionis Israel menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Baginya usul yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat pagi tadi semata-mata untuk menonjolkan wajah positif Umno BN kononnya anti pada layanan zionis Israel ke atas umat Islam di Gaza.

Selain mahu dilihat positif oleh rakyat, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, ucapan Najib dan Muhyiddin seakan mahu mengekalkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang nyata dilihat dunia sebagai proksi pada zionis Israel.

“Saya berasa tidak ada yang berbeza kecuali Najib dan timbalannya (Muhyiddin) cuba serlahkan dua wajah masing-masing atau talam dua muka,” ujarnya.

Pertama, menurut beliau, Najib mahu rakyat melihat kerajaan Umno BN bersama-sama mereka dalam menentang zionis Israel.

Kedua, katanya lagi, Najib mahu Amerika Syarikat melihat Malaysia kelak setia menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara hegemoni tersebut.

Kalau anggapan itu tidak benar, menurut Saifuddin, Najib sudah tentu bersedia menyahut cabaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul khas, iaitu pendirian Malaysia berhubung dasar-dasar luar dengan negara hegemoni AS.

“Anwar cabar dia (Najib) untuk menyatakan pendirian Malaysia dalam dasar-dasar luar seperti negara (Malaysia) dengan Amerika Syarikat juga merupakan sekutu kuat Israel zionis,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, sepatutnya Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas terhadap hubungan tidak langsung Amerika Syarikat dan zionis Israel supaya tindakan negara itu mampu membantu dunia melemahkan zionis Israel di Gaza.

“Zionis Israel mungkin lemah di Gaza kalau tidak dengan sokongan diplomatik (serta) ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan itu yang wajar Malaysia pertegaskan dalam usul pagi tadi,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mempersoal inti utama Najib, iaitu Turki digesa membawa zionis Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Buat apa Najib minta Turki pula yang membawa isu keganasan Israel ini ke ICJ, sedangkan kita hanya boleh buat lebih dari itu bekerjasama dengan Turki mengepalai dunia untuk menentang keganasan zionis Israel sekarang,” kata beliau lagi.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, Najib sehingga sekarang belum bersedia memutuskan hubungan korporatnya dengan firma perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) walaupun banyak pihak mendedahkan tentang keterlibatan agen zionis Israel dalam firma tersebut.

“Kalau APCO pun, Najib tidak bersedia dengan satu wajah yang jujur, tidak sukar bagi Najib serta timbalannya (Muhyiddin) untuk mempunyai dua wajah asalkan rakyat terus sokong Umno BN (dan) pihak luar terbabit boleh tolong tunjuk ajar kepada kita apa yang terbaik untuk kita,” ujar beliau.hrkh

Read more ...

Atlet perlu diberi insentif

CIMG3995.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 7 Jun : Bakat-bakat belia di dalam acara sukan terutamanya belia di kawasan Parit Buntar mendapat perhatian serius Ahli Parlimen Parit Buntar.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa berbangga apabila anak tempatan Parit Buntar dapat mengambil bahagian mewakili negeri Perak dalam acara Karate Do untuk Sukan Malaysia di Melaka akan datang ini.

"Saya berasakan bahawa golongan yang mendapat tempat mewakili negeri atau negara bagi kejohanan sukan perlu diberi insentif supaya bakat mereka ini dapat dikembangkan. Jabatan Belia dan Sukan sewajarnya memberikan perhatian serius dalam soal bantuan kepada atlit kita kerana mereka ini sudah mencapai tahap yang membanggakan dalam sukan.

" Saya yakin dan percaya bukan sahaja belia di Parit Buntar, malah di seluruh negara wajar diberi insentif untuk mereka bergerak maju dalam bidang sukan yang mereka ceburi" Katanya semasa menyampaikan sumbangan kepada jurulatih dan atlit Karate Do dari Parit Buntar yang akan ke SUKMA di Melaka.

Seorang penerima sumbangan Yanasagaran Krishnan berkata, beliau akan menjadi hakim untuk kejohanan tersebut dan bersamanya adalah lima orang atlit Karate Do yang akan mewakili Perak dalam temasya dwitahunan tersebut.

" Saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan daripada pihak Ahli Parlimen. Saya berharap sumbangan ini akan dapat menyuntik semangat peserta-peserta kita di sana nanti."katanya

Read more ...

Bantuan kebajikan tidak jamin kemenangan Pakatan



SHAH ALAM, 7 Jun : Bagi memenangi pilihan raya akan datang, Pakatan Rakyat harus memperkasakan rakyat dengan fahaman perjuangan serta pendidikan dan tidak sekadar memberi bantuan kebajikan sahaja, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

"Sekadar memberi bantuan kebajikan tidak memadai," kata setiausaha agung PSM, S Arutchelvan.

Tegasnya, bantuan kebajikan adalah penting dan harus diteruskan tetapi yang lebih penting adalah pemahaman tentang perlunya perubahan.

Arutchelvan menegaskan demikian dalam satu kenyataan. PSM selesai mengadakan kongres parti itu semalam, yang dihadiri 250 perwakilan dan pemerhati di Dewan perhimpunan Cina Selangor.

Kongres itu membincangkan tiga kertas kerja mengenai '1Malaysia dan Model Ekonomi Baru Najib', 'Isu transisi kepimpinan dalam PSM' dan 'isu krisis cuaca dunia dan menyelamatkan alam sekitar'.

Kongres juga membincangkan 26 usul di mana 16 usul telah diterima, lima ditolak, tiga ditarik balik dan dua usul akan dibincang di peringkat jawatankuasa parti.

Mengenai usul Pakatan, Arutchelvan berkata, ia telah dibincang panjang lebar dan kongres dengan majoriti besar, memutuskan bahawa PSM buat masa ini tidak mempunyai sebarang hasrat membentuk kuasa ketiga tetapi tegas bahawa musuh utama adalah BN.

"Justeru PSM akan bekerjasama dengan Pakatan dan kumpulan-kumpulan progresif lain untuk menamatkan pemerintahan BN.

"PSM juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan Pakatan mengenai kerjasama tersebut, termasuk kerjasama semasa pilihan raya," tambahnya.

Malah, tegas Arutchelvan PSM juga terbuka terhadap penggunaan logo dan manifesto bersama dalam pilihan raya yang akan datang.

Antara usul yang dilulus yang menarik adalah protes terhadap bencana alam sekitar dan kapitalisme dan juga mengadakan pameran seni kiri iaitu program yang membawa bersama pelbagai artis dan seniman progresif.

PSM juga katanya, melihat bahawa pemerintah telah memulakan perang terbaru apabila mahu menarik balik subsidi .

"Ini merupakan serangan terkini terhadap rakyat pekerja biasa di negara kita. PSM akan memobilisasi rakyat untuk mengekalkan subsidi ini," tegas Arutchelvan.

Antara resolusi lain yang diluluskan ialah menolak Model Ekonomi Baru (MEB) yang berasaskan kepentingan golongan elit kapitalis, menuntut dilindungi hak pekerja termasuk melalui penggubalan akta gaji minima, di samping membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

PSM juga menuntut dimansuhkan ISA, AUKU, OSA, PPPA dan mendesak kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Kebebasan Media.

PSM juga menuntut kerajaan negeri termasuk kerajaan Pakatan, mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan, penggubalan undang-undang yang menghalang wakil rakyat melompat parti serta mengutuk PERKASA yang didakwanya mempermainkan politik perkauman dan memecah-belahkan rakyat.

PSM turut membantah pemberian lesen judi bola, di samping menyokong perjuangan penduduk Bukit Koman dalam menghentikan keracunan cyanide oleh lombong emas.Malaysiakini

Read more ...

Tubuh pasukan tentera OIC

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar diwujudkan pasukan tentera di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memayungi misi kemanusiaan ke Gaza.

Tegasnya, misi bantuan tersebut mesti diteruskan, namun perlu dipayungi oleh tentera yang diwujudkan oleh OIC atau pihak antarabangsa demi keselamatan anggota misi dan memastikan bantuan sampai ke Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang juga mahukan Malaysia menggunakan pengaruh OIC, NAM dan PBB bagi mengheret pemimpin rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun secara paksa.

Ini, katanya kerana tindakan kejam zionis Israel sejak sekian lama adalah tidak bertamadun, mencabul undang-undang antarabangsa, melampau fitrah kemanusiaan dan lebih teruk daripada binatang.

"Fitrah kemanusiaan ada kesihan belas terhadap manusia bahkan kepada binatang," katanya ketika membahaskan usul mengutuk keganasan rejim zionis Israel di Dewan Rakyat, sebentar tadi. Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Tindakan Israel itu juga, katanya aalah manifestasi ideologi zionisme yang mahu membina sebuah negara Israel agung di bumi Palestin sehingga mengenepikan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mempunyai tanggungjawab bersama sangat besar, ketepikan kepentingan politik, bersatu atas sifat kemanusiaan," katanya lagi.hrkh

Read more ...

Kedah kini stabil selepas kecoh

ALOR SETAR, 7 Jun: PAS Kedah yakin kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) negeri itu akan terus stabil walau pun BN tidak berhenti berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Azizan Razak itu.

Exco kanan kerajaan negeri Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di pejabatnya dekat sini (gambar) dua minggu selepas ceramah bubar dun yang mengumpulkan semua Adun PR di Kedah.

"Saya boleh katakan kita stabil sekarang, namun Umno tak berhenti berusaha membeli Adun kita," kata Phahrolrazi, timbalan pesuruhjaya PAS Kedah yang diberikan amanah untuk uruskan isu ini oleh MB Kedah, Azizan.

Beliau mengulas berita angin yang melanda Kedah sebelum ini yang membayangkan DUN Kedah akan dibubarkan.

Ini ekoran tindakan Umno berusaha untuk membeli Adun PKR dan DAP di Kedah agar menjadi Adun bebas dan menyokong mereka dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah.

Semasa Kongres PKR ke 6 di Kota Bharu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Umno menjanjikan RM2 juta dan projek untuk setiap Adunnya yang sedia meninggalkan PKR.

Beliau mempunyai bukti berhubung perkara itu namun menunggu penafian dari Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan mereka yang terlibat tentang wujudnya perkara ini sebelum mendedahkan bukti itu.

Namun sehingga kini Najib mahupun lain-lain pemimpin Umno tidak menafikan dakwaan Anwar itu walaupun dicabar beberapa kali. Ekoran itu, sampai kini Anwar masih belum menunjukkan bukti atas dakwaanya itu.

"Memang menjadi sasaran Umno adalah tiga Adun PKR dan DAP. Saya yakin tidak akan ada seorangpun Adun PAS yang akan terlibat walaupun juga cuba didekati oleh pemimpin Umno.

"Namun saya yakin, Adun DAP dan dua dari Adun PKR itu tidak akan meninggalkan partinya. Seorang lagi itu saya tidak pasti. Tetapi jika hanya seorang sahaja yang bersedia, buat apa apa dia pergi bersama Umno kerana kerajaan kita akan kekal," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Kedah mempunyai 36 Adun iaitu 16 PAS, 3 PKR, 1 DAP, 13 BN dan 2 Bebas iaitu Adun PKR yang keluar dari parti itu. Ini bermakna dalam Dun sekarang PR mempunyai 20 Adun, BN 13 dan 2 Bebas.

Untuk membolehkan kerajaan negeri Kedah yang ada jatuh, BN memerlukan empat lagi Adun menyokongnya selain 15 yang ada.

Selepas kekecohan baru-baru ini, kerajaan PR di Kedah semakin mantap, kata Phahrolrazi yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan Kedah.

Bola tanggung

Sekarang ini, kata beliau, bola tanggung terletak di pihak PR pula apabila kedudukan tiga Adun BN tidak stabil.

"Adun Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sharif digantung sebagai Adun dan sedang berhadap risiko kehilangan jawatan kerana tidak hadir sidang Dun, Adun MCA, Dr Leong Yong Kong bercuti dari MCA kerana tidak senang dengan kepimpinan parti kerabat BN itu manakala Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim sedang mempertimbangkan kedudukannya dalam Umno," kata beliau.

Selain itu, masalah dalam Umno yang lebih besar adalah siapakah yang akan menjadi Menteri Besar jika berjaya menjatuhkan kerajaan yang ada.

Pengerusi Perhubungan Umno Kedah sekarang adalah Datuk Seri Mohd Shafei Apdal yang juga seorang pemimpin Umno dari Sabah di samping menteri kerajaan pusat. Timbalan beliau adalah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Ketua Umno Alor Setar.

Menurut sumber, bekas MB Kedah, Datuk Seri Mahdir Khalid pernah berusaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan beliau mahu menjadi MBnya.

Namun, siapa yang bersetuju beliau menjadi MB? Presiden Umno yang ada, Najib sendiri tentu tidak bersetuju dengan beliau kerana Mahdir dikira sebagai orang Tun Abdullah.

Datuk Ahmad Bashah juga tidak boleh diterima oleh Umno Kedah kerana kekurangan pendidikan beliau walaupun beliau menjadi orang kepercayaan Najib.

"Kalau Datuk Seri Mohd Najib mahu Kedah balik kepada BN, tukarlah kepimpinan Badan Perhubungan Umno Kedah dengan depa yang boleh buat keraja, jangan dok tengok orang muda saja kadang kadang orang tua lebih power dari orang muda," tulis satu blog pro Umno, Kedah Kita.

Ekoran kelesuan pimpinan Umno Kedah itu PAS Kedah yakin kerajaan negeri Kedah akan terus mantap selepas ini, kata Phahrolrazi.hrkh

Read more ...

ADUN Kuala Nerang beri kata dua


KUALA NERANG , 7 Jun : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim memberi tempoh dua minggu kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) untuk bertindak segera mengatasi masalah rakyat di kawasan ini.

Menurutnya, beliau tidak dapat lagi menerima alasan mengenai cara agensi berkenaan melaksanakan tanggungjawab mereka sedangkan dalam pemerhatiannya, banyak aduan mengenai masalah rakyat yang dibawa kepada pihak berkenaan masih tidak diatasi
.
“Saya sudah jalankan tanggungjawab saya. Pegawai di jabatan kerajaan yang berkenaan tolonglah ambil serius masalah penduduk. Jika keadaan masih berlarutan seperti ini, saya tiada pilihan lain dengan memanjangkan masalah ini kepada Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Syed Sobri berkata, ini bukan gimik politik yang direka tetapi adalah realiti kehidupan seorang pemimpin yang memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk mengatasi masalah rakyat.

“Rakyat diperdengarkan dengan peruntukan bejuta-juta ringgit untuk pihak-pihak ini atasi masalah mereka namun dari pelaksanaan, ia tidak seperti yang diuar-uarkan. Ini yang membuatkan saya berasa sangat terkilan,” katanya.

Menurutnya, jika tiada perubahan, pegawai yang berkenaan sepatutnya dikenakan tindakan termasuk menukarkan mereka ke kawasan lain.

Dalam lawatan kerja ke Kampung Dalam di sini, semalam, Syed Sobri meneliti aduan penduduk mendapati jambatan yang menjadi laluan utama mereka ke ladang yang belum lagi dibaiki.

“Saya kesal,walapun masalah ini pernah saya panjangkan kepada pihak yang berkenaan, namun ianya masih juga dalam keadaan begini. Ini bukan isu remeh kerana ia melibatkan soal nyawa dan keselamatan orang ramai,” katanya.

Syed Sobri berkata, dalam perkara ini, beliau tidak wajar dipersalahkan kerana tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat sudah dilaksanakan manakala yang patut bertindak membaiki jambatan itu ialah agensi kerajaan yang berkenaan.

“Masalah ini sudah saya bawa kepada mereka, sepatutnya merekalah yang bertanggungjawab,” katanya dengan nada kesal.
Cacat

Dalam kunjungan ke Kampung Lubuk Tok Wi, Syed Sobri menziarahi seorang warga emas yang gigih menjaga cucunya yang cacat.
Kehidupan Puteh Ismail,80, dan cucunya, Mohd Muhaqis Ahmad,9, amat menyedihkan dengan keadaan rumah mereka yang sudah terlalu usang dan hampir roboh.

Setiap hari, Mohd Muhaqis berulang alik ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang menempatkan kanak-kanak kurang upaya untuk belajar berdikari.

Anak Puteh, Ruslina Murad yang juga seorang ibu tunggal mengakui dia tidak mampu untuk meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.

“Saya juga hidup susah, bagaimana mahu menolong ibu. Apa yang saya harapkan agar ibu selamat di rumah usang ini walaupun keadaan rumah ini sememangnya bahaya,”katanya.

Selain itu, kehidupan Abdul Latiff Hamid,56, turut mendapat perhatian Syed Sobri.

Abdul Latiff yang kini tidak berdaya akibat patah dua tulang rusuk akibat penyakit jangkitan tulang dan sebelah daripada paru-parunya dibuang akibat komplikasi penyakit yag dihidapinya.

“Saya memang tidak larat untuk bekerja lagi. Dulu ada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi kini ditarik balik dengan alasan anak-anak saya sudah besar.
Ehsan

“Empat daripada enam anak saya perempuan dan mereka sudah berkahwin, masakan mereka mampu untuk menanggung keluarga saya pula. Kini saya hanya mengharapkan ehsan orang sekeliling.

“Barang-barang yang ada dalam rumah adalah daripada barangan terpakai pemberian orang. Saya terkilan kerana tidak lagi mendapat bantuan meskipun saya amat memerlukan,”katanya.

Bagi membantu Abdul Latiff, Syed Sobri berkata, agensi kerajaan sepatutnya memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Mengenai ura-ura beliau akan mengosongkan kerusi, Syed Sobri berkata, isu itu tidak perlu lagi diperbesarkan kerana apa yang penting baginya ialah mengutamakan kebajikan rakyat.

“Saya tidak mahu lagi isu ini diperbesarkan kerana sampai masanya nanti, saya akan bersuara dan memberitahu kepada umum pendirian saya. Apa yang penting adalah tanggungjawab saya kepada penduduk kawasan ini yang masih lagi memerlukan saya sebagai wakil rakyat, tetap akan saya tunaikan. Sesudah tertunai tanggungjawab ini, barulah saya boleh fikirkan mengenai keputusan saya.

“Jika saya bertindak secara terburu-buru ketika ini, yang menjadi mangsa adalah rakyat. Ini yang saya perlu elakkan. Oleh sebab itu, saya tidak mahu lagi isu ini diperbesarkan,”katanya.

Menurutnya, bagaimana beliau boleh letak jawatan dalam keadaan rakyat masih memerlukannya.

“Saya tidak mahu mereka juga berangganpan saya seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan.

“Oleh itu, saya harap semua pihak yang terlibat buat kerja masing-masing, barulah tiada lagi masalah yang membawa kepada kepincangan kawasan setempat,”katanya.SH

Read more ...

Kerajaan Selangor tetap dengan keputusan


SHAH ALAM, 7 Jun : Kerajaan Selangor tidak akan menarik balik keputusan sebelum ini yang melarang mana-mana premis di negeri ini untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, Kerajaan Negeri masih tetap dengan pendirian sebelum ini walaupun ada pihak menggesa serta merayu Kerajaan Pakatan Rakyat supaya berbuat demikian.

“Kita tidak akan berganjak dengan keputusan kita sebelum ini kerana kita perlu lihat kesan judi itu akan memburukkan lagi penyakit sosial di kalangan masyarakat di negara kita dan ia tidak akan menyelesaikan perjudian secara haram yang dijangka berleluasa sepanjang perlawanan itu berlangsung.

“Malah, tidak ada satu agama pun yang menyatakan amalan judi itu satu perkara yang baik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan merayu kepada kerajaan-kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) supaya ‘bersikap adil’ dan menarik balik larangan dikenakan ke atas premis judi sukan di negeri masing-masing.

Dalam kenyataannya, Tan berkata, beliau akan menggunakan kesemua ruang yang ada untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri mempertimbangkan semula pendirian sebelum mengambil tindakan susulan mereka.

Tan juga berkata, beliau akan mendermakan hasil daripada jualan antara Ascot Sports Sdn Bhd dan Berjaya Corporation Berhad sebanyak RM525 juta daripadanya akan disalurkan kepada Better Malaysia Foundation.

Mengulas mengenai perkara itu, Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, nilai yang akan disalurkan itu tidak sama dengan nilai kerosakan akhlak serta masalah sosial yang akan dialami dalam masyarakat di negara ini.

“Apa ada pada nilai RM525 juta itu jika dibandingkan dengan nilai kerosakan serta keruntuhan moral yang akan berlaku dalam masyarakat kita nanti?.

“Walau banyak mana pun ‘nilai’ yang ditawarkan, kita tidak akan berganjak daripada keputusan kita sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan PAS dan DAP sengaja mengeksploitasi isu ini bagi kepentingan politik mereka, Hasan berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, PAS tidak akan menutup mata berhubung isu ini.

“Tidak ada persoalan isu kita eksploitasi isu ini. Kita akan berada di hadapan untuk menentang perkara itu jika ia memberi kesan negatif kepada kita.

“Kita akan berdiri teguh tidak akan membenarkan premis judi bola sepak menjalankan aktiviti itu di Selangor,” katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan secara rasmi kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor supaya tidak meluluskan permohonan lesen premis perjudian bola sepak Piala Dunia di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan larangan perjudian atau pertaruhan bola sepak Piala Dunia beroperasi di Selangor telah dipersetujui sebulat suara oleh semua exco kerana ia adalah haram serta merosakkan moral masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.SH

Read more ...

Kelemahan KKSB perlu diatasi



KUALA SELANGOR, 7 Jun :
Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan kepada lembaga pengarah syarikat melombong pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), sama ada mahu melakukan rombakan dalam pengurusan tertinggi anak syarikat syarikat kerajaan negeri itu atau tidak.

Bagaimanapun, beliau berkata laporan audit KSSB jelas menunjukkan bahawa beberapa langkah perlu diambil bagi mengatasi kelemahan dalam syarikat itu.

“Langkah bagi memperbaiki pentadbiran KSSB tercatat dalam laporan audit. Ini akan membantu KSSB menyelesaikan isu seperti ketidakcekapan dalam syarikat seperti yang dilakukan dalam syarikat lain yang berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Jambori Amal Islami Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS) di Universiti Industri Selangor (UNISEL), Bestari Jaya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesimpulan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dalam inkuiri tiga hari yang berakhir Jumaat lepas bahawa ia mendapati terdapat salah urus dan kelemahan dalam sistem pentadbiran KSSB.

Selcat menyiasat dakwaan ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam berhubung kegiatan rasuah membabitkan pegawai kanan syarikat itu.

Bagaimanapun, keputusan awal Selcat itu menunjukkan bahawa tiada bukti ada kegiatan rasuah dalam KSSB seperti didakwa oleh Manikavasagam.

Khalid berkata prosiding yang didengar Selcat berhubung dakwaan rasuah itu belum selesai dan ramai lagi saksi akan dipanggil memberi keterangan, jika ada keperluan.

Beliau juga berkata tindakan telah diambil terhadap pegawai KSSB yang didapati tidak efisien sebelum prosiding itu bermula.Bernama

Read more ...

Muktamar PAS kali ke-56 dari 11 hingga 13 Jun


KOTA BHARU , 7 Jun : Lebih 1,300 perwakilan PAS dari seluruh negara bakal berkampung di Kelantan bagi menghadiri Muktamar kali ke-56 parti itu yang bermula dari 11 hingga 13 Jun ini.

Muktamar pada kali itu dijangka dipanaskan dengan beberapa perwakilan membangkitkan isu yang berlegar dalam parti itu termasuk hala tuju parti itu dengan Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata muktamar kali ini dijangka memfokuskan beberapa isu semasa parti tersebut termasuk persiapan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Bagaimanapun kita tidak dapat memastikan apakan isu utama yang dibangkitkan oleh perwakilan, mungkin setiap negeri mempunyai isu dan agenda berbeza,” katanya kepada :Sinar Harian,: semalam.

Menariknya, muktamar kali itu menampilkan sayap terbaru parti apabila Kelab Penyokong PAS di naik taraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sekali gus memberi peluang penyokong bukan Islam untuk bersuara.

Manakala keahlian 30,000 penyokong PAS kaum Cina dan India diserapkan secara automatik ke dalam sayap parti itu tersebut.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, DHPP kali bertindak sebagai pemerhati serta berhak mengeluarkan pendapat mengenai parti itu.

“Kali ini kita sudah mem-punyai keahlian baru, sudah tentu ia menjadi suntikan terbaru untuk muktamar kali ini,” katanya yang tidak menolak isu penubuhan sayap baru itu disentuh oleh perwakilan.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian ke PUTIK mendapati kerja-kerja akhir persiapan muktamar itu sedang dijalankan oleh petugas-petugas PAS.

Muktamar tersebut akan dilangsungkan di tiga lokasi berbeza, iaitu di Kelantan Trade Center (KTC), Markaz Dewan Ulama (MADU), dan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa.

Read more ...