Thursday, July 1, 2010

World Cub di markas

IMG_2048.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 2 Julai :
Dewan Pemuda PAS Parit Buntar telah menyediakan layar besar yang menayangkan siaran langsung perlawanan Piala Dunia 2010 di Markas PAS Parit Buntar, Titi Serong.

Pengerusi Lujnah Sukan dan Rekreasi Sahrin Mohd Daud berkata, dinding putih dijadikan layar besar membolehkan golongan muda dan peminat sukan bola sepak berkumpul untuk menonton kejohanan tersebut.

“ Layar besar disediakan bagi memenuhi cita rasa golongan muda yang inginkan kepuasan menonton kejohanan di Afrika Selatan.

“ Sambutan yang diterima amat meriah dan memberangsangkan. Peminat bola tidak kira tua muda datang kerana kita tidak melihat kepada soal politik. Sesiapa pun boleh datang" katanya

Beliau berkata , program tayangan perlawanan siaran langsung di markas berkenaan diadakan sejak bermula pusingan kedua Piala Dunia 2010 bertemakan “ Kami Suka Bola, Tak Suka Judi”

“ Kami hanya menyediakan tayangan setiap malam untuk perlawanan jam 10.00 malam.

“ Mungkin jika ada permintaan peminat bola di sini, perlawanan separuh akhir dan akhir yang berlangsung pada jam 2.30 pagi akan diadakan “ katanya kepada pemberita Sinar Harian selepas perlawanan antara Paraguay dengan Jepun malam tadi.

Sahrin berkata, pihaknya turut menjalankan kempen mendaftar pengundi sebagai program sampingan.

"Selain ingin membiasakan orang muda dengan markas PAS, sesiapa yang belum mendaftar sebagai pemilih juga kita akan daftarkan," katanya

Sementara itu, seorang peminat bola Shapie Muhammad dari Parit Kasa memuji langkah yang diambil Dewan Pemuda PAS Parit Buntar yang memahami kehendak pemuda di Parit Buntar.

“ Pemuda PAS faham cita rasa orang muda, mereka bukan sahaja bercakap tetapi laksanakan program untuk orang muda.

“ Tengok bola ramai-ramai di markas lebih selesa dan rasa puas hati, ada juga dijual teh tarik murah dan makanan ringan untuk dikunyah” katanya

Read more ...

Yunus didesak minta maaf , letak jawatan Adun Kuala Kurau


TANJUNG PIANDANG, 2 Julai : Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mukim Tanjung Piandang yang juga Ketua-ketua Kampung Mukim itu dan kepimpinan UMNO Bahagian Parit Buntar kesal dengan fitnah dilemparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau Abdul, Yunus Jamhari.

Pengerusinya, Mohamad Desa Ramly berkata, Yunus telah memfitnah dan memburukkan maruah mereka sebagai pemimpin masyarakat di Mukim Tanjung Piandang.

Menurutnya, tindakan Yunus memfitnahnya memboikot majlis perasmian bangunan baru Pejabat Pertanian Tanjung Piandang pada Hari Ladang yang diadakan baru-baru ini.

Ketua Kampung Jalan Pantai, Latif Ibrahim berkata, apa yang diselarkan Yunus tidak benar sama sekali kerana pihaknya tidak dijemput Pejabat Pertanian Tanjung Piandang.

Menurutnya, Penghulu Tanjung Piandang hadir hingga ke akhir perasmian, tetapi difitnah oleh Yunus menyatakan tidak hadir.

Beliau berkata, bangunan baru Pejabat Pertanian Tanjung Piandang itu adalah hasil usaha pemimpin UMNO Bahagian Parit Buntar demi keselesaan kakitangan dan memudahkan petani berurusan kerana pejabat pertanian lama menumpang di bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Piandang.

“Kami berharap Yunus meminta maaf secara terbuka di muka hadapan akhbar Sinar Harian dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ini kepada semua Pengerusi JKKK Mukim Tanjung Piandang, Ketua-ketua Kampung Mukim Tanjung Piandang, Persatuan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Parit Buntar termasuk Penghulu Mukim Tanjung Piandang, Mohamed Eslah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengkaji dari sudut perundangan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Yunus jika gagal memohon maaf secara terbuka.

Katanya, mereka mencadangkan Yunus meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat baru yang layak memikul tanggungjawab ADUN.

Menurut beliau, wakil rakyat sebenarnya adalah membantu masalah rakyat atau membawa masalah dalam Dewan Undangan Negeri bukan membuat fitnah kepada rakyat dan pemimpin masyarakat.

Mohamad Desa berkata, gaji atau elaun yang diterima nya untuk bekerja membantu rakyat bukan memfitnah perkara palsu untuk memburukkan orang lain.

“Kami berasa kecewa mempunyai seorang wakil rakyat yang tidak matang pemikirannya seperti beliau.

“Kami ingin bertanya kepada Pejabat Pertanian Kerian adakah ada arahan pihak atasan Pejabat Pertanian negeri hanya wakil rakyat pembangkang, kepimpinan Pas Kawasan yang wajib dijemput, sedangkan Pengerusi JKKK Mukim Tanjung Piandang, Ketua Kampung tidak dijemput.

“Sedangkan pejabat Pertanian Tanjung Piandang berada dalam Mukim Tanjung Piandang, kami pihak barisan hadapan yang memperjuangkan nasib petani dalam mesyuarat JKKK setiap bulan.

“Satu lagi persoalan, adakah Pejabat Pertanian Negeri tidak mengiktiraf Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya

Seorang lagi Ketua Kampung, Hashim Jamhari berkata, jelas Jabatan Pertanian hendak memboikot mereka kerana tidak menerima sebarang undangan yang akhirnya dijadikan platform oleh pembangkang untuk membuat fitnah.

“Saya kecewa tindakan Yunus memfitnah kami tanpa maklumat tepat.

Seorang lagi Ketua Kampung, Sharip Nayan berkata, pemimpin Pakatan Rakyat tidak perlu dijemput memandangkan BN yang memimpin Perak.

“Sepatutnya Exco Kerajaan negeri yang dijemput, bukan pembangkang yang tidak ada kaitannya dengan pembangunan negeri.

Seorang saksi yang melihat kehadiran Penghulu Kampung pada majlis perasmian bangunan baru itu ialah Roslan Ghani yang juga Pengerusi KRT Tanjung Piandang berkata, saya tidak memihak kepada mana-mana pihak dan hadir bagi menyatakan kebenaran bahawa kenyataan yang dikeluarkan Yunus adalah berunsur fitnah semata-mata.

Menurutnya, beliau sendiri hadir dan ketika waktu jamuan makan turut bersama-sama penghulu mukim makan bersama serta Penolong Pegawai Pertanian bernama Karim.

“Saya harap kepada wakil rakyat pembangkang jadilah pemimpin yang profesional dan mohon maaf secara terbuka kerana kesalahannya memfitnah Ketua-ketua kampung dan Penghulu Tanjung Piandang amat jelas hanya gimik politik untuk menjatuhkan kepimpinan BN semata-mata.SH

# Umno sudah marah , semua kena marah

Read more ...

Umno guna APCO serang saya - Anwar
















KUALA LUMPUR, 1 Julai: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno menggunakan isu APCO Worldwide untuk menyerangnya semasa berada di luar negara.

“Masalahnya, Umno menggunakan APCO, yang diketahui mempunyai hubungan dengan Israel, untuk menyerang saya di luar negara,” ujarnya kepada media di Parlimen petang ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini berhubung perjumpaannya dengan beberapa pemimpin Yahudi di Washington sebagaimana laporan akhbar Washington Post, Isnin lalu.

Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan Anwar yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan Anwar itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post.

Berkenaan dengan zionis, Anwar menjelaskan, beliau ditanya kenapa menggunakan perkataan itu.

Jelasnya, mengikut fahamannya, zionis adalah berhubung kait dengan pencerobohan dan dasar imperial Israel yang terus memperluaskan wilayah Israel yang asal sehingga dalam keadaan sekarang.

Tetapi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, mereka kata, bagi mereka zion adalah tanahair Yahudi.

“Saya kata jika itu istilah anda, ia berbeza dengan apa yang saya faham. Itu yang diputar belit oleh Utusan (Malaysia).

“Bila saya kata ‘dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel', itu Utusan tak sebut. Bila yang membayar lebih RM70 milion kepada APCO, itu Utusan tak sebut, jadi kita fahamlah. Saya pun tak fikir RTM dan TV3 akan sebut, itu faktanya,” kata beliau lagi.

Anwar menjelaskan, tujuan beliau ke Washington adalah di atas jemputan Woodrow Wilson International Center untuk memberikan syarahan.

Selepas itu, katanya seperti biasa diadakan perjumpaan yang telah diatur untuk kakitangan editorial dan media antarabangsa.

“Ramai rakyat Amerika dan Yahudi merasakan ia adalah satu terjemahan yang tidak adil kerana bagi mereka, zion adalah negeri/kerajaan yang adil dan sah.

“Jadi saya katakan pada mereka, jika itu maksud mereka, saya tidak merasakan demikian, dan saya tetap dengan pendirian dan fahaman saya bahawa zion itu adalah pencerobohan dan penjajahan,” jelasnya.

Read more ...

Nik Aziz arah semua pejawat awam berdakwah









KOTA BHARU, 1 Julai: Penjawat awam di Kelantan diarah melengkapkan diri dengan kemahiran berdakwah bagi membawa kecemerlangan kepada seluruh masyarakat selepas terbukti dasar Islam yang dilaksanakan telah mencipta pelbagai kejayaan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ucapan beliau di majlis perhimpunan bulanan penjawat awam kompleks Kota Darulnaim pagi ini mahu setiap anggota pentadbiran mendalami ilmu dakwah supaya penyebaran Islam di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terus berkembang dan diterima dengan baik.

Beliau yang membawa bersama sebuah buku karangan Dr. Yusuf Qardhawi bertajuk 'Thaqafatul Da'iyyah' meminta semua yang hadir membaca dokumen tersebut sebagai rujukan utama.

"Semua perlu telaah kitab ini, dan kepada yang tidak boleh berbahasa Arab bolehlah cari terjemahan," kata beliau di hadapan lebih 1200 penjawat awam yang bertugas di pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sebagai negeri yang telah mencipta kejayaan dalam soal pelaksanaan Islam, Nik Aziz mahu penyebaran Islam diusahakan dengan lebih gigih supaya penerimaan Islam tidak diragui oleh mana-mana pihak.

"Islam adalah agama dakwah dan tugas berdakwah terletak kepada setiap individu muslim," kata beliau.

Rekod di Kelantan kata beliau menunjukkan Islam telah berjaya mewujudkan keadaan harmoni tanpa amalan buruk hasil kesedaran tentang wujudnya hubungan manusia dengan Allah.

"Tanpa kesedaran asas ini, kita tidak mampu berharap kepada mana-mana pihak termasuk polis, badan pencegah rasuah atau siapa pun bagi membendung sikap buruk manusia yang diruntun syaitan, " tambah beliau.

Menyentuh tanggungjawab penjawat awam dalam melakukan tugas seharian, beliau mahu semua mengingati bahawa konsep ibadah dalam Islam adalah tidak terhad kepada ibadat khusus seperti solat dan puasa samata-mata.

"Segala aktiviti kita dalam menjalankan tugas di pejabat seperti datang mengikut waktu, menyiapkan tugas, menjaga amanah di pejabat adalah dikira ibadah yang akan dibawa bersama apabila bertemu Allah di akhirat nanti.

"Oleh itu kita mesti melaksanakan segala tugas dengan penuh kesedaran dan keikhlasan," ujar beliau lagi

Read more ...

Program ziarah YB bersama muslimat

BAGAN SERAI, 1 Julai : ADUN Gunung Semanggol Haji Ramli Tusin dan isteri diiringi oleh Muslimat PAS Bagan Serai yang diketuai oleh Puan Hjh Rohaya Bt Abu Bakar telah mengadakan program ziarah di beberapa tempat di bawah Parlimen Bagan Serai semalam.

Rumah pertama yang dikunjungi adalah rumah tuan punya Poliklinik Bakti iaitu Doktor Yahya,57,yang dikhabarkan tenat akibat terkena penyakit barah hati.

Sudah hampir sebulan Doktor Yahya terlantar dan sering keluar masuk hospital. YB Ramli dan rombongannya membacakan Yaasin untuk Doktor Yahya yang semakin tenat keadaannya.

PERHATIAN!!!Arwah menghembuskan nafas yang terakhir pagi tadi di rumahnya dan selamat dikebumikan di Masjid Matang Gerdu,Bagan Serai.YB Ramli turut hadir untuk menyembahyangkan Allahyarham.Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.

Sesi ziarah beralih pula ke Kampung Yasin,kali ini adalah untuk melawat isteri kepada ketua kampung tersebut yang menghidap penyakit kencing manis yang mengakibatkan kedua-dua kakinya telah dipotong.

Menurut Puan Halijah,dia sekarang bergerak menggunakan tongkat beroda untuk bergerak.Sebelum berangkat,sedikit sumbangan dihulurkan kepada Puan Halijah oleh Puan Rohaya dan sedikit sumbangan peribadi dari isteri YB Ramli,Puan Hjh Latifah Bt Salleh.




Seterusnya YB Ramli dan rombongan meneruskan program ziarah ke Parit Haji Taib 2.Kedatangan YB Ramli menyebabkan Osman B Alwi,52,berasa sebak dan hampir menitiskan airmata.

YB Ramli menenangkan Osman dan meminta dia supaya bersabar.Menurut Osman,dia telah menghidap penyakit kencing manis hampair 10 tahun.Cuma beberapa bulan kebelakangan ini,penyakitnya semakin serius dan bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan oleh hospital.


Program ziarah ini tamat kira-kira pukul 1 tengahari.YB Ramli mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Muslimat PAS bagan Serai yang sudi menjemput beliau untuk turut sama dalam program ziarah kali ini.Adun Gunung Semanggol

Read more ...

PM 'membisu' kos bawa Rosmah ke New York



KUALA LUMPUR, 1 Julai :
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mendedahkan kos yang dibelanjakan bagi membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke New York, April lalu meskipun disdesak supaya berbuat demikian di Dewan Rakyat.


Dalam jawapan bertulisnya kepada N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Najib mengelakkan daripada memberikan sebarang jumlah.

"Kos penginapan dan perjalanan Rosmah dimasukkan dalam perbelanjaan yang diperuntukkan untuk perdana menteri, berdasarkan kedudukannya sebagai isteri perdana menteri,” kata Najib dalam jawapan satu perenggannya.

Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang kurang tepat itu, cuba menimbulkan perkara berkenaan dengan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bagaimanapun, Pandikar menjawap Aturan Dewan tidak memberikannya kuasa untuk menilai 'kualiti' jawapan menteri dan sehubungan itu, beliau tidak boleh bertindak.

Selepas menghadiri Persidangan Keselamatan Nuklear di Washington DC, Najib dan Rosmah menghadiri sebuah majlis gilang-gemilang di hotel lima bintang St Regis di New York pada 16 April.

Majlis itu juga dihadiri oleh bintang filem antarabangsa seperti pelakon pemenang Oscar, Robert De Niro, Charlize Theron dan Emmy Rossum, serta diacarakan oleh Jamie Foxx.

Ketika mahlis itu, Rosmah diberikan anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada US Business Council for International Understanding (BCIU).

Meskipun tidak dapat disahkan, beberapa laporan Internet mendakwa kemuncak majlis itu ialah apabila Rosmah berduet dengan Foxx.

Majlis berkenaan tidak mendapat liputan akhbar tempatan tetapi menjadi perdebatan berikutan penyiaran dua halaman iklan berwarna di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah daripada “keluarga dan sahabatnya di Amerika dan Malaysia”.

Tidak kurang juga rakyat marah apabila Rosmah dirujuk sebagai 'wanita pertama Malaysia' - gelaran yang sepatutnya dikhaskan untuk Raja Permaisuri agong.

Menurut laporan The Nut Graph, New York Times pada mulanya berkata iklan berkenaan dibiayai oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudian menarik semula kenyataan berkenaan.

Berikutan itu, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa BCIU yang meletakkan iklan berkenaan. Bagaimanapun majlis berkenaan belum mengesahkan perkara tersebut.

Bercakap kepada wartawan, Gobalakrishnan berkata kerajaan harus telus dan mendedahkan kos sebenar perbelanjaan Rosmah.

"Sebelum ini, mereka dakwa ada NGO yang membiayai lawatan isteri perdana menteri. Tetapi sekarang mereka berkata pejabat PM pula yang membayar,” katanya.

"Saya akan terus menulis meminta jawapan. Saya minta perangkaan, tetapi mereka tidak memberikan jumlahnya. Rakyat seharusnya tahu berapa yang dibelanjakan oleh isteri PM.”

Read more ...

RM200 juta: PKR jawab di mahkamah




















KUALA LUMPUR, 1 Julai:
Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menjelaskan tidak akan melayan tuntutan RM200 juta dan tidak akan memohon maaf kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seperti dituntut mereka berhubung laporan 'Felda Bankrap' akhbar Suara Keadilan.

Naib Presidennya, Sivarasa Rasiah berkata pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

"Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga Ahli Parlimen Subang, ketika ditemui di Parlimen hari ini.

"Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap parti itu dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan ‘bankrap’, maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," jelasnya lagi.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pada satu sidang media di Parlimen hari ini memaklumkan peguam Felda telah menghantar notis tuntutan saman fitnah kepada ketiga-tiga penama tersebut.

Ketiga-tiganya diminta membayar RM200 juta dan membuat permohonan maaf kepada Felda dalam masa 7 hari bermula hari ini atau berdepan tindakan saman di mahkamah.

Read more ...

Laksanakan pendaftaran automatik


PARIT BUNTAR , 1 Julai : Kerajaan digesa melaksanakan pendaftaran automatik bagi remaja yang berumur 21 tahun bagi mengatasi masalah pengundi tidak berdaftar.

Naib Yang Dipertua PAS Parit Buntar Ahmad Azhar Sharin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menjalankan kempen bagi menggerakkan daftar pemilih dalam kalangan semua kaum.:

“Sepatutnya kerajaan sudah boleh membuat pindaan sama ada kepada perlembagaan atau kepada apa-apa perundangan berkaitan pilihan raya untuk mengadakan pendaftaran automatik bagi remaja berumur 21 tahun,” katanya.

Azhar mengulas kenyataan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO yang menyatakan nisbah 1 Melayu dan 40 bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi.

“Kenyataan ini adalah agenda politik UMNO untuk menarik orang Melayu kembali menyokong mereka kerana sedar semua kaum menolak mereka.

“Pemuda UMNO tidak wajar menyalahkan hakikat kesedaran politik bangsa bukan Melayu sebaliknya mengakui kegagalan UMNO sebagai tonggak kepada negara pada hari ini untuk menyuntik kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu,” katanya.:

Katanya, pemuda UMNO sepatutnya mendesak kerajaan supaya melaksanakan pendaftaran automatik bukan membuat kenyataan bersifat perkauman.

“Kuasa di tangan kerajaan, laksanakan pendaftaran automatik untuk atasi kekurangan orang Melayu mendaftar sebagai pengundi,” katanya.SH

Read more ...

Lesen judi sukan adalah idea Umno


CHEMOR , 1 Julai : Sebelum ini negara digemparkan dengan tindakan kerajaan meluluskan lesen kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010.

Pada 26 Jun lalu, kerajaan membuat keputusan tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd (Ascot Sports) atas pertimbangan agama dan kesan politik daripada pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri (PM) adalah atas bantahan rakyat terhadap polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa tidak telus.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan lesen judi sukan adalah idea UMNO.

“Kita amat hairan mengapa isu itu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan bukannya diputuskan melalui Dewan Rakyat sedangkan ia adalah keputusan kerajaan.

“Tindakan itu, seolah-olah UMNO yang mencetuskan perkara itu dengan berbincang sesama sendiri dan kita boleh melihat siapakah yang cuba menggadaikan nasib rakyat dengan menguntungkan syarikat gergasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis 'Selamatkan Malaysia' di Kampung Baru Kuala Kuang.

Boon Chye berkata, beliau hairan mengapa polisi kerajaan yang mampu menjejaskan kehidupan rakyat tidak pernah disoalkan.

“Kerajaan pada hari ini dilihat selalu mengamalkan ‘flip-flop policy’ yang tidak meyakinkan rakyat malah ia mencerminkan budaya yang tidak sihat apatah lagi keputusan yang dibuat banyak kesan negatifnya,” katanya.

Boon Chye berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman yang dibuat PM berkaitan isu berkenaan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, PM dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu menegaskan, kerajaan belum lagi memberi lesen kepada Ascot Sports untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.SH

Read more ...

Kelantan tidak pernah lulus lesen premis judi


















KOTA BHARU, 1 Julai: Kerajaan Kelantan tidak pernah meluluskan premis atau lesen judi kepada mana-mana pihak, selain premis untuk penjualan arak.

Bagaimanapun ianya hanya diluluskan kepada beberapa buah kedai bukan Islam secara terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, kerajaan negeri hanya meluluskan premis penjualan arak khusus untuk bukan Islam.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan lesen judi walaupun untuk bukan Islam sebagaimana lesen arak,” ujarnya.

Jelasnya, lesen judi dan arak adalah perkara yang berbeza.

Katanya, lesen arak mengikut majlis daerah masing-masing di seluruh jajahan di negeri ini yang hanya diluluskan di restoran bukan Islam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan kerajaan negeri meluluskan lesen arak dan judi.

Katanya lagi, kerajaan negeri hanya memberi kelonggaran kepada golongan terbabit untuk tujuan itu, bagaimanapun hanya di restoran terpilih sahaja.

Tambahnya, namun kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang bentuk lesen judi sejak hampir 20 tahun PAS mentadbir negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya kegiatan itu masih berlaku di negeri ini, ianya beroperasi secara haram.

“Kalau didapati ada yang terlibat dengan kegiatan ini, orang ramai boleh membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“Pihak MPKB-BRI secara bersepadu dengan beberapa jabatan lain lagi akan mengambil tindakan ke atas mereka yang menjalankan kegiatan terbabit,” ujarnya.

Read more ...

Nisbah 1:40 igauan UMNO


ALOR SETAR , 1 Julai : Jurang yang sangat besar dalam kalangan Melayu yang tidak mendaftar sebagai pemilih hanya menjadi kebimbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana parti itu memerlukan pengundi Melayu untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, senario itu tidak merunsingkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) kerana yakin jurang itu tidak akan menjejaskan undi PR memandangkan sebahagian besar pengundi PR terdiri daripada bukan Melayu.

“Saya berpendapat hanya BN yang risau mengenai jurang ini kerana mereka memerlukan sokongan orang Melayu, memandangkan sokongan bukan Melayu kini lebih memihak kepada PR. Saya percaya pengundi bukan Melayu yang menyokong PR adalah sebahagian daripada nisbah 40 itu,” katanya kepada media, selepas menyaksikan majlis menandatangani (MOU) antara Kolej Universiti Insaniah dan Kolej Islam Darul Ulum (Kidu) Pokok Sena dengan Universiti Scandinavia, cawangan Beirut.

Azizan mengulas kajian oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO yang mendedahkan pendaftaran pengundi baru adalah dalam nisbah satu Melayu dan 40 bukan Melayu.

Ditanya sama ada nisbah yang besar itu akan memberi kesan kepada pilihan raya akan datang, Azizan berkata, PR tidak pernah membezakan pengundi berdasarkan komposisi kaum, sebaliknya kerisauan itu membelenggu UMNO kerana mereka adalah sebuah parti yang menjurus kepada sentimen perkauman.

“Kami tidak pernah gusar berkenaan jurang nisbah itu kerana yakin pengundi kami adalah dari pelbagai kaum. Berbeza UMNO, yang kini ketandusan sokongan Melayu, mereka anggap jika orang Melayu tidak mendaftar sebagai pemilih, orang Melayu tidak akan undi UMNO. Ini kerana mereka sedar bukan Melayu tidak akan mengundi mereka,” katanya.

Azizan berkata, untuk merapatkan jurang itu selain meningkatkan jumlah pengundi baru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan supaya menggunakan pendekatan lebih berkesan, dengan melaksanakan daftar pemilih secara automatik.

“Sekiranya daftar pemilih secara automatik dilaksanakan setelah usia mencecah 21 tahun, ianya lebih telus dan memudahkan proses pendaftaran pemilih. Sebelum ini kita ada bagi cadangan buat daftar pemilih automatik tetapi tidak dipersetujui SPR. Saya percaya jika dilaksanakan, semua orang tidak pening kepala, sebab ia memudahkan kerja banyak pihak,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang akan berkempen menyedarkan golongan muda untuk mendaftar sebagai pemilih, Azizan berkata, itu hak badan itu untuk turut serta namun mereka hendaklah telus dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

Azizan turut berasa bangga apabila SPR menyatakan DAP adalah parti paling agresif membuat pendaftaran pengundi baru, berbanding parti politik lain.

“Saya harap bukan DAP sahaja agresif, semua kena aktif. Kempen PAS pun aktif sehingga kita dapat tawan lima negeri pada pilihan raya umum lepas. Cuma kita bukannya gemar hebohkan strategi kempen berbanding parti lawan,” katanya.SH

Read more ...

Pesta Wau Jemputan Antarabangsa di Kelantan


KOTA BHARU , 1 Julai : Pesta Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan 2010 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 Julai ini bertempat di Pantai Irama, Bachok dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh pelusuk negeri Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertandingan yang memasuki edisi ke-27 itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia.

“Sebanyak 21 kategori dipertandingkan membabitkan penyertaan hampir 200 peserta daripada 13 buah negeri dan negara jiran Thailand merupakan satu-satunya pasukan luar yang dijemput menyertai pertandingan ini.

”Antara kategori yang dipertandingkan ialah kategori wau bulan tradisi, wau puyuh tradisi, wau jalabudi tradisi, wau barat, wau bulan satu pancang dan banyak lagi.

“Selain daripada itu, pertandingan itu turut dibuka untuk kategori Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan juga peringkat sekolah menengah,” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Pengurusan), Shafie Ismail, Yang Di Pertua Majlis Daerah Bachok, YM Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof dan Pengerusi Pelayang Negeri Kelantan, Nik Arif Nik Hassan.

Takiyuddin berkata, Majlis Daerah Bachok dipilih sebagai hos pertandingan ini manakala AQ Events akan bertindak sebagai pengurus acara pertandingan.

“Daerah Bachok dipilih menjadi tuan rumah pada pertandingan kali ini bersesuaian untuk mempromosikan daerah itu sebagai Bandar Pelancongan Islam di negeri Kelantan.

“Kehebatan Kelantan selaku tuan rumah dan juga juara sebanyak 10 tahun berturut-turut di peringkat kebangsaan selain terbaru, muncul sebagai johan persembahan terbaik kebangsaan dan meraih tempat ketiga Open Rokkaku Challenge di Pasir Gudang pada 27 Jun lalu pastinya menjanjikan kemeriahan pertandingan,” katanya.

Pesta Wau Antarabangsa Jemputan Kelantan 2010 kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM30,000.

Majlis perasmian penutup pertandingan tersebut dijangka disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 18 Julai nanti.SH

Read more ...