Tuesday, December 28, 2010

Inilah Umno : Cabar orang berdebat, bila orang terima takut pula

Debat: Pemuda Umno jangan berdalih

IPOH, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Larut mahu Pemuda Umno bahagian itu mengotakan janji dan tidak berdolak dalik berhubung penyertaan mereka dalam forum 'Islam dan Melayu' yang dijadual 1 Januari ini.

Naib Ketua Pemuda PAS kawasan itu, Akmal Kamarudin (gambar) berkata, pemuda Umno dilihat cuba bermain wayang apabila satu persatu alasan diberikan untuk mengelak dari menyertai debat itu.

"Asalnya akan dibuat di Dewan Padang Astaka, Batu Kurau yang ditetapkan sendiri oleh pemuda Umno, tapi kemudiannya dia bagitahu dewan tak dapat.

"Tak cukup dengan itu, kita dah buat hebahan, kain rentang semua, tiba-tiba semua kena cabut atas arahan dapat amaran pihak polis.

"Kita tidak tahu kenapa, sedangkan kita dapat kelulusan gantung banner dari Majlis Perbandaran Taiping," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, kepada Harakahdaily.

Debat itu pada asalnya dicetuskan Pemuda Umno Larut sendiri yang mencabar Pemuda PAS Larut dan kemudiaannya dipersetujui bersama dengan tajuk 'Islam dan Melayu'.

Inisiatif penganjuran debat itu kemudiannya disambut Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) yang bersedia menjadi penganjur debat itu.

Akmal turut memaklumkan, beliau mendapat maklumat pemuda Umno Larut mendapat tekanan dari pemimpin tertinggi Umno agar membatalkan debat tersebut.

"Apapun alasan, kita nak pemuda Umno jangan berdolak dalik, kotakan janji anda kerana anda yang mencabar debat ini,"katanya mengharap.

Ekoran masalah tempat yang berlaku, Pemuda PAS Perak katanya telah mencari tempat alternatif baru iaitu di Dewan Majlis Bandar Selama.

Selain permit bagi mengadakan program itu telah dipohon, mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak polis bagi memberi jaminan keselamatan kepada pihak keselamatan itu.

Debat itu akan mempertemukan Ketua Pemuda PAS Larut, Nazri Din dan Ketua Pemuda Umno Larut, Mohamad Anuar Arifin.

Manakala Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid akan menjadi perantara majlis.

Pada 26 Disember lalu, Dewan Pemuda PAS Pusat turut membuat program sama dengan tajuk Polemik Ketuanan Melayu.

Forum yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kajang itu menampilkan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP), Ahmad Sabky Yusof, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abd Rahman dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu & Bumiputra (MPM), Dr Hasan Mad.

Bagaimanapun hasrat untuk bersama pemuda Umno membincangkan perkara itu tidak tercapai apabila majlis tertinggi Umno didakwa tidak membenarkan mereka menyertainya.

Read more ...

Rasuah lagi habis duit rakyat , kali ini TM pula

Selepas Sime Darby, TM Didakwa Terlibat Skandal Rasuah Antarabangsa

KUALA LUMPUR 29 Dis. : Syarikat komunikasi terbesar, Telekom Malaysia Bhd (TM) berjanji akan menyiasat dakwaan berhubung skandal rasuah antarabangsa yang membawa kepada pemerolehan kontrak bernilai AS$85 juta (RM267 juta) oleh syarikat telekomunikasi ternama Alcatel Lucent SA , lapor portal berita themalaysianinsider.

Menurut laporan itu, maklumat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat menunjukkan dua perunding dari Malaysia telah dibayar sebanyak AS$700,000 bagi mendapatkan “maklumat bukan awam” berhubung aspek harga dan bidaan pesaing-pesaing, dipercayai untuk anak syarikatnya Celcom Malaysia memperoleh perkhidmatan mudah alih 3G, yang dilancarkan pada 2005.

“Perkara itu dibangkitkan memandangkan urusan itu tidak mematuhi prosedur-prosedur (yang ditetapkan). Tetapi tiada tindakan diambil,” kata sumber tersebut.

Pengarah TM Datuk Nur Jazlan Mohamed telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa audit selepas elemen pelanggaran peraturan dikesan tetapi tidak pernah disiasat.

Ahli Parlimen Pulai itu, yang juga Pengerusi UDA, mengesahkan keputusan beliau meletakkan jawatan tetapi enggan mengulas demi menghormati peraturan tidak boleh membocorkan rahsia korporat.

TMI kini dikenali sebagai Axiata Bhd dan disenaraikan di Bursa Malaysia. Pengerusinya ialah Tan Sri Azman Mokhtar, yang juga pengarah urusan Khazanah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Telekom Malaysia berkata, pihaknya mengambil berat dakwaan yang mengaitkan syarikat nasional itu dengan skandal tersebut.

“Kami memandang serius dakwaan-dakwaan ini dan akan meneruskan siasatan menyeluruh demi mempertahankan integriti proses pemerolehan dan memastikan pematuhan Kod Etika Perniagaan (CBE).

Katanya, sebaik sahaja ada penemuan kukuh, pihaknya akan memaklumkan pihak berkuasa.

“Kami akan memberi kerjasama sewajarnya, yang diperlukan.

“TM ada dasar tidak akan bertolak ansur dalam soal amalan tidak sihat dan yang tidak wajar, dan akan mengambil tindakan sekiranya ada pekerja kami terlibat,” kata syarikat itu lagi.

Sumber syarikat memberitahu, Alcatel memperoleh kontrak untuk membekalkan kelengkapan perkhidmatan 3G meskipun ia tiada pengalaman dalam sektor tersebut. Kelengkapan itu kemudian dibatalkan, kata sumber itu lagi.

Difahamkan, ada banyak lagi kes pelanggaran peraturan dalam TM membabitkan pemerolehan daripada Alcatel yang tidak disiasat oleh SEC.

Semalam, Alcatel bersetuju untuk membayar lebih AS$137 juta (RM430.4 juta) untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan AS bahawa ia membayar berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah kepada pegawai-pegawai asing untuk memperoleh bisnes di Amerika Selatan dan Asia.

Pengeluar kelengkapan telekomunikasi ini dituduh membuat bayaran kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk di Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia untuk memperoleh kontrak atau mengekalkan kontrak-kontrak yang diperoleh, melibatkan nilai berjuta dolar, kata SEC dan Jabatan Kehakiman AS.

Antara Disember 2001 dan Jun 2006, syarikat itu menggunakan khidmat perunding yang menyalurkan lebih AS$8 juta untuk membayar rasuah kepada pegawai-pegawai terbabit.

Malah, Alcatel didapat melantik ejen-ejen di negara-negara seperti Nigeria untuk mendapatkan kontrak, kata pihak berkuasa.

Pada keseluruhannya syarikat itu mengaku memperoleh keuntungan bernilai AS$48.1 juta ekoran pembayaran-pembayaran tidak sewajarnya, kata Jabatan Kehakiman.

Syarikat itu bersetuju untuk membayar AS$92 juta untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan jenayah yang dibawa oleh Jabatan Kehakiman dan juga AS$45 juta untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan sivil dibawa SEC.

Read more ...

PAS Kedah tak gerun pun

PAS tidak rasa tergugat

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/harakahdaily/person/pimpinan_ajk_PAS/mahfuz%20omar_3.jpg

ALOR SETAR, 29 Dis. : Pas menganggap tiada apa yang istimewa pada Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sehingga mampu menggugat pengaruh parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.

Malah Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, gandingan Ahmad Bashah dengan Datuk Mukhriz Mahathir juga tidak akan mendatangkan sebarang ancaman kepada pihaknya.

“Mukhriz boleh dianggap masih mentah manakala Ahmad Bashah pula kurang berkemampuan. Pas tak gerun langsung pada mereka,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih perlu dilakukan gandingan itu ialah menangani gelora politik dalaman UMNO Kedah yang dijangka akan lebih membebankan berikutan pelantikan mereka.

“Baik mereka selesaikan masalah mereka dahulu, jangan usik Pas lebih-lebih lagi dengan jalan yang tidak demokratik. Kita faham, orang baru biasanya akan ghairah tunjuk belang tetapi lebih baik mereka jangan kacau kita dulu,” katanya.

Mahfuz turut mempersoalkan kriteria diguna Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pelantikan kedua-dua pemimpin itu dan menyifatkan ianya satu kesilapan.

“Bagaimanapun, Pas Kedah mengalu-alukan perubahan pucuk kepimpinan UMNO negeri dan berharap mereka memberi kerjasama sebaik mungkin kepada Kerajaan Negeri.

“Saya juga harap mereka tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan amalan demokrasi di samping bersikap lebih terbuka menerima kritikan,”katanya.

Mahfuz berkata, kedua-dua pemimpin itu harus menunjukkan kematangan dalam berpolitik dan tidak mengulangi perbuatan fitnah yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri dalam isu banjir bulan lalu.

“Mereka harus sedar perbuatan fitnah dengan memperalatkan media akan menjejaskan reputasi mereka pada mata penduduk dan tindakan itu tidak seharusnya berulang kerana ia merugikan mereka sendiri,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Wan Salleh Wan Ahmad menjangka gandingan Ahmad Bashah dan Mukhriz akan menghadapi tugas berat untuk menyatukan semula UMNO Kedah yang berpecah.

“Bagaimanapun, PR Kedah sentiasa bekerja keras untuk mendekati rakyat semaksimum mungkin dan kami tidak pernah menjadikan situasi kelam-kabut dalam UMNO Kedah sebagai ukuran kekuatan pengaruh kami.

“Sekalipun UMNO Kedah kembali bersatu, saya yakin rakyat Kedah akan mengekalkan sokongan kepada PR kerana nikmat kesejahteraan yang diberikan kini sudah dirasai mereka,”katanya.

Wan Salleh berkata, PR dianggotai Pas, PKR dan DAP sentiasa fokus kepada perjuangan untuk mendapatkan keyakinan rakyat dan beliau yakin kerja keras mereka akan mendapat pulangan lumayan pada pilihan raya umum akan datang.

“Tidak guna sesuatu parti melantik pemimpin hebat-hebat sekiranya pembaharuan tidak dapat dilakukan.

“Justeru, Ahmad Bashah dan Mukhriz perlu membuktikan keupayaan mereka jika ingin melakukan perubahan dalam parti,”katanya. SH

Read more ...

"Kita Bersaudara"

Muslimat Semarak Persaudaraan Tolak Perkauman


KUALA LUMPUR 29 Dis. : Perpaduan rakyat perlu dilakukan menerusi persaudaraan tanpa mengira batasan kaum dan ideologi politik yang sempit.

Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah Muslimat PAS, Aiman Athirah al-Jundi menyatakan keperluan satu pendekatan bukan berteras politik dan bermotif politik seperti 1 Malaysia.

Beliau menyatakan demikian ketika melancarkan program 'Sua Kasih Kita Bersaudara' di markas PAS Kuala Lumpur hari ini

"Jika kita berjuang berteras politik, hanya ulangi sejarah 50 tahun BN memerintah. Untuk cipta Malaysia baru kita perlu bina pendekatan baru.

"Kita juga tak perlu bayar jutaan ringgit kepada perunding tapi rujuk semula Al-Quran dan sunnah," katanya.

Program Sua Kasih Kita Bersaudara bertujuan menyemarakkan rasa persaudaraan dan anti perkauman disokong oleh PAS dan Pakatan Rakyat dan merupakan kesinambungan program 'Kita Bersaudara sebelum ini.

Majlis Perasmiannya akan dilangsungkan pada 9 Januari depan dengan pelancaran logo "Kita Bersaudara" serta skuad H-13 akan disempurnakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disertai pemimpin utama sayap wanita Pakatan Rakyat.

Menurut Aiman, Program ini dan Skuad H13 dilakukan menurut firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat ke 13 yang menganjurkan agar manusia berbilang bangsa perlu bersaudara dan beramanah kepada diri, keluarga, masyarakat, negara, dunia serta Penciptanya.

Read more ...

Tukang kebun Umno boleh arah pengetua sekolah

Pengetua sekolah bukan budak pejabat Umno

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahya membidas Kerajaan BN Pusat kerana meniupkan sentiment politik kepartian kerana melarang gambar Menteri Besar Kedah dari dipamerkan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Tindakan itu tidak wajar, katanya, kerana menafikan hak pelajar untuk mengenali pemimpin tertinggi negeri. “Sepatutnya Kementerian Pelajaran mendidik tanpa sekatan dan bukan menghadkan ilmu apabila membabitkan parti pembangkang. Itu didikan tidak betul kerana didik pelajar tidak hormati pemimpin,” tegasnya.

Isu mengharamkan gambar menteri besar dipamerkan di sekolah bukan isu baru. Ia berkuatkuasa sebaik Pakatan Rakyat mengambil-alih Kedah melalui pilihanraya. Arahan yang sama mungkin untuk semua negeri yang tidak ditadbir kerajaan BN.

Dalam tahun 80an seorang menteri Pusat telah mempertikaikan kualiti siswazah Melayu kerana kononnya lemah dalam pengetahuan semasa di samping tidak tahu berbahasa Inggeris.

Menteri itu mengambil contoh dalam temuduga kerja, seorang siswazah tidak tahu menjawab soalan “Siapa Menteri Besar Johor?”

Masa itu semua negeri ditadbir oleh BN. Jika sekarang persoalan yang sama dibangkitkan maka isu tidak kenal pemimpin negeri itu dapat dijawab dengan memulang paku buah keras; wajah pemimpin negeri pun diharamkan di sekolah macam mana pelajar nak kenal pemimpin?

Kementerian Pelajaran tidak sekadar mengharamkan wajah menteri besar malah apa-apa aktiviti yang melibatkan pemimpin negeri kerajaan pilihan rakyat yang bukan dari BN juga dilarang di sekolah.

Di sebuah sekolah kerajaan di kawasan Padang Serai, persatuan orang cacat penglihatan diusir oleh pihak sekolah dari mengadakan mesyuarat agung mereka di dalam kawasan sekolah.

‘Kesalahan’ persatuan orang buta itu ialah kerana mengundang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari PAS, Ustazah Aishah Ghazali untuk merasmikan mesyuarat agung tersebut. Mereka terpaksa bermesyuarat di luar pagar sekolah.

Jika Exco dari PAS tidak dibenarkan masuk kawasan sekolah, apa salahnya mereka dibenarkan adakan mesyuarat dalam kawasan sekolah, biarkan Ustazah Aishah berucap di luar pagar sekolah.

Tapi pihak sekolah memilih untuk bertindak macam Zionis Israel mengusir rakyat Palestin terhadap golongan buta. Orang buta cuma buta mata tapi guru besar dan Kementerian Pelajaran buta hati dan perasaan.


Semuanya adalah gara-gara tunduk kepada arahan politik yang tidak masuk akal. Guru besar dan pihak atasan kementerian boleh jadi bukan ahli Umno seumur hidup tetapi mereka lebih takutkan pemimpin Umno dari takutkan Tuhan.

Memang terdapat sekolah yang tidak hiraukan arahan kementerian, menggantung gambar Menteri Besar di sekolah tapi mereka cuma segelintir.

Peliknya arahan memboikot gambar Menteri Besar hanya berlaku di bawah Kementerian Pelajaran yang sepatutnya mendidik pelajar menjadi manusia, tidak pula pada kementerian lain. Mereka dibayar gaji dari duit rakyat bukan yuran keahlian Umno, tapi bekerja seolah-olah budak pejabat Umno.

Kementerian Pelajaran nampaknya nak ikut jejak Kementerian Penerangan yang tenggelam dengan sangkaan sendiri bahawa mereka bekerja untuk BN. RTM sebagai jentera penerangan kerajaan sepatutnya hanya melaporkan kegiatan menteri, pegawai atau segalanya yang melibatkan kerajaan.

Nak hebahkan dasar kerajaan termasuk konsep 1Malaysia tidak menjadi kesalahan, bahkan itu kerja mereka. Tetapi menghebahkan kegiatan parti politik Umno, MCA dan MIC kemudian menyebarkan propaganda jahat dan fitnah terhadap pihak pembangkang, maka ia jelas sudah melencong dari fungsi asal.

Siaran radio Kedah FM pernah adakan siaran langsung majlis tilawah Al-Quran. Semua acara dilaporkan terus menerus, kecuali sewaktu Menteri Besar berucap. Ia dihentikan seketika hanya untuk diisi dengan bunyi muzik, kemudian disambung apabila menteri besar selesai berucap. Mengapa teruk sangat tahap professionalisme mereka?

Penulis pernah bersama Exco Penerangan mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Penyiaran Sultan Abdul Halim (RTM Kedah) beberapa bulan Pakatan ambil alih kerajaan. Gambar menteri besar yang tergantung di dinding pejabat masih lagi Datuk Seri Mahdzir Khalid. Di dinding bilik berita radio terpampang gambar barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dipotong dari sebuah akhbar harian.

Muka Exco diconteng-conteng, macam perbuatan budak-budak tercicir persekolahan. Itu gambaran kerendahan akal budi dan mentaliti mereka yang bersarang di RTM. Tidak hairan jika RTM jadi jentera propaganda BN.

Perkara sebaliknya berlaku di semua pejabat Kerajaan Negeri Kedah. Di mana ada gambar Menteri Besar di situ ada gambar Perdana Menteri. Tidak ada di kalangan rakyat negeri ini yang menjadi ahli mana-mana parti Pakatan Rakyat yang merasa pelik, janggal mahupun membantah.

Mereka tahu gambar itu digantung kerana ianya Perdana Menteri bukan kerana Presiden Umno. Pemikiran pemimpin serta ahli-ahli parti Pakatan Rakyat jauh lebih matang dan cerdik berbanding pemimpin Umno yang terkurung dalam longkong tempurung kejumudan.

Bagi golongan guru, sementara menunggu BN tumbang di Pusat mereka kenalah menunjukkan keberanian untuk menyanggah apa-apa arahan politik BN. Tegakkan professional pendidikan sebab mereka bukan budak pejabat Umno.

- ZULKIFLI YAHAYA

Read more ...

Umno dah kalah tapi kemaruk nak memerintah Selangor

Isu Khusrin: BN belum belajar dari tsunami

Tindakan yang dibuat oleh kerajaan pusat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara dilihat akan memberi impak kepada pemulihan persepsi rakyat kepada sejauh mana kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) itu selama ini belajar dari kesilapan sebelum hampir ditenggelami oleh tsunami politik 2008.

Di saat Umno dan BN semakin kembali kuat dengan dasar-dasar baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada suku ketiga tahun ini, nampaknya kerajaan kembali melakukan kesilapan lagi bagi mengambil semula hati dan keyakinan rakyat terutamanya mereka yang berada di atas pagar.

Tindakan yang dimaksudkan ini ialah tindakan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru oleh kerajaan pusat yang tidak menitikberatkan aspek profesionalisme dan mengambil kira kesesuaian calon dengan kerajaan negeri.

Bukan itu sahaja, langkah kerajaan pusat ini dikesali kerana sampai sekarang nampaknya BN masih belum sedar bahawa punca utama mereka pernah ditolak dulu adalah kerana sikap menunjuk pandai dan kuasa yang berpaksikan politik dan bukannya kepentingan rakyat. Mungkin terghairah tidak tentu fasal dengan kemenangan di Galas dan Batu Sapi membuatkan mereka kembali membuat ’dosa’ lama.

Saya amat letih sekali kerana banyak artikel saya sebelum ini hanya mahu mengingatkan beberapa kali kepada BN bahawa Najib sendiri sebelum ini akur akan persepsi dan minda rakyat masa kini yang menyebabkan mereka hampir tersungkur dalam PRU 2008.

Ini adalah kerana ketika itu, rakyat menyampah sama-sekali kerajaan BN yang mengamalkan dasar ’only we who know the best for people.’ Najib sendiri beberapa kali bercakap pada media dan rakan-rakannya dalam BN bahawa zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir.

Namun, apa yang berlaku sekarang, keangkuhan lama yang masih belum surut terus diamalkan dan janji Najib untuk tidak akan lagi mengamalkan dasar tahu semuanya itu nampaknya meleset sekali.

Tidak dinafikan sepanjang dan selepas pemilihan pimpinan PKR pusat yang lalu, selain dari program penambahbaikan ekonomi oleh Najib, persepsi rakyat terhadap pemerintah pusat nampak semakin pulih.

Namun, tahap ’kemaafan’ rakyat yang pernah mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada PRU yang lepas nampaknya semakin lusuh apabila bermula episod pertarungan tunjuk kuasa BN di Dewan Rakyat beberapa minggu lepas mengenai dakwaan PR mengenai unsur Israel yang cuba menerapi konsep 1 Malaysia telah menyebabkan empat ahli Parlimen digantung dari Parlimen.

Bagi rakyat, yang menginginkan doktrin pembahagian kuasa dengan penuh demokrasi yang sempurna dapat dilaksanakan amat kesal dan ternyata sedih dengan penggunaan kuasa politik melebihi daripada kepentingan masyarakat.

Bukan itu sahaja, BN dilihat mengamalkan matlamat yang menghalalkan cara telah menyebabkan negara juga mengalami susutan kedudukan di kalangan negara dunia dari segi amalan demokrasi yang jelas secara langsungnya akan memberi kesan kepada nama baik negara dan kemasukan pelaburan asing yang kini semakin mengecil.

Laporan Economist Intelligence Unit (EIU) menunjukkan Malaysia turun dari tangga 68 ke 71 di dalam prestasi indeks demokrasi dua hari yang lalu di kalangan 167 buah negara.

Dari saat penggantungan ahli-ahli Parlimen itulah, rakyat yang sebelum ini nampaknya sedia memaafkan BN sudah kembali berang dan melupakan kemarahan mereka ke atas apa yang berlaku di dalam pemilihan PKR baru-baru lagi.

Mungkin penggantungan tidak demokratik itu yang tidak memberi peluang adil membela diri dan termasuklah dengan perlantikan sesuka hati KSU Selangor ini menjadi rahmat kepada PR yang sejak dua menjak ini kekurangan isu-isu panas untuk diketengahkan bagi meraih sokongan rakyat.

Namun yang amat dikesalkan ialah cakap tak serupa bikin oleh BN apabila masih meletakkan kepentingan parti melebihi daripada demokrasi yang dijunjung oleh rakyat. Malah membabitkan istana semata-mata untuk berkuasa dan kesannya rakyat mula menaruh prasangka ke atas raja-raja Melayu.

Perlantikan Datuk Mohd Khusrin Nawawi untuk menjadi SUK Selangor yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor dilihat sebagai satu pertikaian yang bakal membabitkan pihak istana yakin Sultan Selangor.

Khusrin yang sebelum ini penuh kontroversi dan terkenal apabila gagal bekerjasama dengan kerajaan Selangor di dalam perkara berkaitan dengan agama Islam di negeri itu turut menggunakan Sultan Selangor sebagai pelindungnya dengan alasan hal ehwal agama adalah dibawah bidang kuasa sultan.

Khusrin boleh diibaratkan seperti ’firaun kecil’ yang pernah berlaku di Pulau Pinang apabila Pegawai Pembangunan Pulau Pinang yang sepatutnya berkhidmat dengan kerajaan negeri tetapi lebih berkiblatkan kepada kerajaan persekutuan. Jadi samalah dengan Khusrin.

Bila pejabat KSN dan istana Johor semalam memaklumkan perlantikan Khusrin mendapat perkenan Sultan Selangor, ini jelas usaha semborono kerajaan BN yang cuba membabitkan kedudukan istana.

Sebenarnya perlantikan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan sepertimana perkenan diperlukan untuk jawatan-jawatan tertinggi berkaitan dengan fungsi baginda dengan hal ehwal agama Islam negeri sahaja.

Baginda berkuasa untuk perkenan perlantikan mufti dan lembaga pengarah untuk JAIS dan agensi-agensi berkaitan dengan agama negeri seperti Majlis Agama Negeri Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor dan lain-lain lagi.

Perlantikan SUK mestilah dipersetujui hanya oleh Menteri Besar Selangor.

Ini adalah kerana Menteri Besar adalah ketua pentadbiran di dalam negeri itu. Sultan Selangor hanya lambang negeri, kedudukan Melayu dan berkuasa penuh dalam aspek agama Islam sahaja.

Oleh itu, sebab kerajaan pusat mengheret baginda ini tidak nampak rasional dan apa yang boleh diandaikan ialah kerajaan pusat cuba menggunakan nama baginda sultan ini untuk dua sebab.

Sebab pertama ialah untuk berlindung di belakang baginda dengan mengenengahkan baginda sebagai ’satu alat’ untuk membuatkan semua orang senyap dan terpaksa menerima Khusrin atau sebab kedua ialah BN menggunakan situasi ini untuk memburukkan imej kesultanan Selangor di kalangan rakyat jelata.

Ini benar kerana sejak dahulu lagi di bawah Tun Dr Mahathir, BN selalu mencabar kedudukan raja-raja Melayu secara halus untuk tujuan politik nasionalis mereka termasuklah pengurangan kuasa raja-raja.

Tidak dinafikan keputusan akhir perlantikan SUK memang terletak di tangan kerajaan pusat. Oleh itu, kerajaan pusat BN haruslah membuat keputusan berdasarkan profesionalisma dan kebaikan rakyat.

Apa yang saya maksudkan di sini ialah pejabat KSN kena letakkan faktor keharmonian pentadbiran negeri sebagai matlamat utama. KSN yang sesungguhnya dipengaruhi oleh Perdana Menteri kena akur bahawa bagi mencapai keharmonian ini, SUK yang dilantik mestilah seseorang yang boleh bekerja dengan kerajaan negeri tidak kiralah dipimpin oleh BN ataupun PR.

KSN tidak boleh mengamalkan double standard
untuk kepentingan bosnya di Putrajaya sahaja.

Matlamat beliau seharusnya adalah untuk kebaikan rakyat. KSN dan kerajaan pusat kena akur pilihan rakyat Selangor yang memilih PR sebagai kerajaan negeri. Kerajaan pusat kena letakkan kepentingan sosial dan rakyat melebihi impian politik ataupun dendam kesumat politik mereka.

Jika BN mahu mengambil hati rakyat yang menolaknya dahulu sewajarnya berprofesionalismalah dalam perkara ini. Biarkan calon yang boleh bekerja dengan kerajaan PR kerana inilah meletakkan Najib bukan sebagai ahli politik tetapi seorang negarawan di mata rakyat kelak.

BN kena tahu bahawa penolakan ke atas mereka semasa Tsunami 2008 disebabkan oleh luka di hati rakyat yang mana luka yang sembuh meninggalkan parut. Parut yang ada boleh terluka semula sekiranya BN masih kekal angkuh dan lupa janjinya untuk tidak lagi bertindak sebagai ’mereka yang tahu segala-galanya’.

Bagi kerajaan PR pula, sememangnya apa yang terjadi ini menjadi satu rahmat kepada mereka bagi memainkan isu ini di kalangan rakyat supaya api kemarahan 2008 itu kembali menyala semula lebih-lebih lagi pilihanraya umum ke 13 sudah semakin dekat.

Najib dijangkakan tidak akan menghabiskan penggal Parlimen atau mandat PRU-12 sepenuhnya 5 tahun sehingga tahun 2013. Ini kerana semua ahli ekonomi sudah bersependapat bahawa keadaan ekonomi global dijangkakan menguncup semula pada suku kedua atau ketiga tahun hadapan.

Dan di kala penguncupan ekonomi ini mengambil masa hampir 2 tahun untuk pulih semula, maka Najib tiada pilihan lagi untuk membubarkan Parlimen sebelum pertengahan tahun hadapan. Sudah menjadi kelaziman, sesuatu pilihanraya terbaik kepada parti pemerintah adalah dilakukan semasa keadaan ekonomi yang stabil dan amat buruk sekali padahnya jika dilakukan semasa ekonomi meleset.

Oleh itu, Najib harus sedar api kemarahan di atas kedangkalan pentadbirannya mengasingkan elemen politik dan pentadbiran akan memberi kesan yang mungkin lebih teruk lagi jika dibandingkan semasa PRU yang lepas.

Ketirisan dalam salahguna kuasa tidak sahaja tertakluk kepada penggunaan wang. Episod kedegilan BN meletakkan SUK pro-BN adalah satu bentuk ketirisan atau penyalahgunaan kuasa melibatkan kuasa. Sudah banyak kali BN menafikan pilihan rakyat ke atas apa yang mereka mahukan.

Sebelum ini, jawatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat negeri yang merupakan jawatan pentadbiran awam telah dipolitikkan oleh kerajaan BN pusat. Contohnya, Ketua Perhubungan Umno Kedah dilantik menjadi ketua MKN negeri sedangkan yang layaknya ialah kerajaan negeri yang dipilih rakyat iaitu kerajaan pimpinan PAS di Kedah.

Sepatutnya jawatan-jawatan sebegitu secara automatiknya diberikan kepada siapa sahaja yang menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira dari parti mana sekalipun.

Bukan itu sahaja, MKN mempunyai sumber utama bagi membantu malapetaka besar yang sudah termaktub di dalam perjanjian pusat dan negeri bahawa MKN akan mengeluarkan semua bantuan dan bukannya negeri.

Apa yang berlaku dalam banjir besar Kedah yang lalu yang sengaja dimainkan oleh media kerajaan menunjukkan kerajaan PAS Kedah lemah akhirnya menjadi senjata yang makan tuan apabila rakyat yang sudah ramai yang pintar dan berpendidikan tinggi sudah lebih awal faham situasi siapa yang sebenarnya ada ’kuasa dan wang’ dalam isu malapetaka sebegitu.

Perkara macam inilah menyakitkan hati rakyat yang sudah pandai dan geram apabila kerajaan pusat memperkecil-kecilkan mereka dengan bertindak seperti ’Profesor Serba Tau’ segalanya.

Saya yakin Khusrin akan tetap menjadi SUK Selangor dan kerajaan PR Selangor terpaksa menerimanya kerana seperti biasalah kerajaan Najib tidak akan beralah.

Namun begitu, Menteri Besar dan pimpinannya di dalam negeri terkaya di Malaysia itu boleh gunakan cara lain untuk memperkecil-kecilkan peranan SUK tajaan kerajaan BN itu. Dengan bajet yang ada mereka mampu mewujudkan satu jawatan pegawai khas kepada Menteri Besar.

Apa-apa fungsi pentadbiran mengenai isu-isu dalam negeri itu seperti kerajaan tempatan, air ,sumber asli dan lain-lain lagi boleh dipengerusikan oleh pegawai khas ini menggantikan SUK ini dan segala surat-menyurat ditandatangi oleh pegawai khas ini adalah di atas nama Menteri Besar untuk sebaran perkhidmatan awam kerajaan negeri.

Dengan cara ’memboikot’ ini boleh memberi tekanan kepada Khusrin sendiri. Biarlah Khusrin pergi bermesyuarat di Putrajaya dengan KSN setiap bulan tetapi tiada kuasa di negeri dan maklumat cukup tentang pentadbiran negeri.

Tidak payahlah saya huraikan bagaimana mahu memboikot SUK tajaan BN ini oleh pihak PR kerana saya tahu pimpinan PR kerajaan Selangor lebih mengetahui cara yang terbaik asalkan berlandaskan undang-undang dan peraturan tubuh pentadbiran negeri.

Walau bagaimanapun, poin yang menyebab saya kesal sangat sebagai salah seorang yang berada di atas pagar semasa PRU yang lepas ialah BN masih gagal perbaharui pendekatan politiknya dan masih menggunakan kuasa untuk mendapat apa sahaja yang diidamkan yang menyalahi norma-norma demokrasi.

Amat geram sekali apabila BN masih tunjuk pandai dan memperbodoh-bodohkan rakyat serta belum serik lagi dengan tsunami melanda mereka suatu masa dahulu.
- Shaharul Shafie

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Read more ...

1Malaysia projek Umno bodohkan rakyat

1Malaysia Gagal


1Malaysia walaupun niatnya baik tapi bagi kesemua rakyat Malaysia merasakan ianya projek yang gagal sama sekali.

Jutaan telah dilaburkan, namun hasilnya tetap busuk. Walaupun pelbagai iklan telah dikeluarkan, namun rakyat Malaysia tetap tidak menerima konsep ini yang tidak jelas hala tujunya.


Rakyat Malaysia sekarang mentaliti mereka bukan seperti mentaliti kuno Perkasa dan rakan - rakannya. Mereka boleh menerima sahabat - sahabat mereka yang terdiri daripada bangsa bukan Melayu.

Tapi mereka menolak 1Malaysia bukan kerana semata - mata isu politik. Semuanya kerana kebebalan Najib yang menaikkan harga barang secara mendadak.

Mereka atau kita semakin tersepit semuanya kerana kenaikan harga barang. RM10.00 tidak bermakna pada hari ini. Gaji tidak naikkan. Semuanya menyesakkan otak kita.

1Malaysia tidak bermakna jika kita yang dipaksa menerima kesan kenaikkan harga minyak, barang, dan keperluan lain. Pak - pak menteri, Perdana Menteri, Rosmah dan lain - lain yang mendapat subsidi tidak akan dan mustahil untuk merasai kesusahan rakyat.

Mereka cukup pandai berbicara Rakyat Didahulukan. Tapi sekarang rakyat berkata dalam diri mereka sendiri, apakah yang didahulukan.

Poket kitakah? Kita sekarang ditipu bulat - bulat. Najib dan Rosmah membodohkan kita. Apakah kita mahu menjadi bodoh?


Kita tidak bodoh
.

Kita pasti akan menghumban BN. Semuanya kerana idea 1Malaysia yang telah gagal sama sekali. Dari ugutan otak kuno PERKASA hinggalah pemuda Umno yang kuno, semuanya telah menggagalkan 1Malaysia.

Ugutan yang berbaur perkauman. Ugutan dengan menggunakan agama suci Islam (namun segala tindak - tanduk mereka tidak mewakili Islam). Apakah ini bererti 1Malaysia itu berjaya? Tidak.

1Malaysia sekarang sudah dipandang sinis. 1Malaysia terpaksa dibebankan dengan kenaikan harga barang demi memuaskan nafsu Rosmah.

Demi memuaskan nafsu serakah pemimpin Umno yang membolot projek sebanyak mungkin dengan harga yang tidak masuk akal. Apabila keborosan nafsu syaitan oleh Rosmah dan pemimpin Umno, maka ini melenyapkan terus nilai positif 1Malaysia.

1Malaysia gagal dan busuk di mata rakyat. Dalam dunia ini jika menyusahkan rakyat, pasti akan mendatangkan penentangan.


Penentangan ini semakin membara. 1Malaysia semakin dibenci oleh rakyat. 1Malaysia semakin dianggap menyusahkan rakyat. 1Malaysia semakin dianggap oleh rakyat sebagai alat untuk menyusahkan rakyat. Alat untuk menaikkan harga barang, alat untuk menaikkan harga minyak.


Tahun 2011 merupakan tahun yang bakal menimbulkan aksi penentangan yang ketara. Semuanya kerana rakyat pasti harga pasti akan melambung naik.

Dari peralatan sekolah hinggalah soal makan minum di rumah. Semuanya naik sedangkan gaji tidak naik - naik. Gaji naik RM10.00, harga barang naik 2 kali ganda. Tertekan. Apa tanggungjawap kita? Mahu jadi bodoh atau cerdik?

Ubah sebelum parah...

- Drag Super Star

Read more ...

Kes Selangor sama macam Perak, SUK diperguna Umno untuk kembali berkuasa

Kemelut Perlantikan SUK Selangor

Saya mengikuti kemelut terbaru melanda perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor atas beberapa sebab. Pertama, tentulah sebagai rakyat Selangor yang cintakan Perlembagaan. Kedua sebagai wakil rakyat yang berinteraksi dengan perkhidmatan awam Selangor secara berterusan. Ketiga sebagai anak seorang pesara kerajaan.

Bapa saya bekerja dengan Kerajaan Persekutuan sejak beliau tamat belajar pada tahun 1958 hinggalah beliau besara 30 tahun kemudian. Beliau merupakan anggota Malayan Civil Service ketika negara masih baru-baru merdeka, dan bersara sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik semasa memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos.

Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di peringkat Kerajaan Persekutuan. Bab 3 LII (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menyebut:

“Maka hendaklah diwujudkan jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri; dan perlantikan ke jawatan-jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.”

Justeru kenyataan sesetengah pihak bahawa DYMM Sultan ataupun Menteri Besar mempunyai kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri tidak timbul. Undang-Undang Tubuh tidak menyebut kedua-dua pihak.

Namun tindakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan perlantikan Pengarah JAIS Dato’ Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hanya melalui memaklumkan Sultan tanpa memaklumkan Menteri Besar Selangor boleh dianggap melanggar protokol.

Adakah Menteri Besar, Ketua Kerajaan di mana Khusrin akan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan paling kanan wajar dimaklumkan melalui media? Undang-Undang Tubuh menyebut bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri harus mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar – menggambarkan hubungan yang sepatutnya wujud antara beliau dan Menteri Besar, bebas tetapi saling hormat-menghormati untuk melancarkan jentera kerajaan.

Protokol sebenarnya, walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang punya kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi sewajarnya dimaklumkan kepada Sultan dan Menteri Besar sebelum mengeluarkan kenyataan media.

Apatah lagi apabila kita mengambilkira bahawa Khusrin sebagai Pengarah JAIS dikenali dengan sikapnya yang seolah-olah ingin sabotaj Kerajaan Negeri Selangor selama ini.

Ramadan lepas, misalnya, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin mengadakan program UMNO di Masjid al-Ihsan, Taman Medan. Hanya ketegasan nazir masjid yang mengikut titah DYMM Sultan yang tidak mahu masjid dipolitikkan berjaya mempertahankan kesucian masjid. Khusrin sendiri terlibat melobi agar program UMNO tersebut dibenarkan, sedangkan sebelum ini pelbagai sekatan dikenakan sekiranya pemimpin PAS atau KEADILAN ingin mengadakan program ilmiah di masjid.

Khusrin jugalah yang engkar dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan menimbulkan kontroversi berikutan lawatan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau al-Huda, Kajang. Khusrin diam membisu pula apabila Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan menyampaikan cek di Masjid Sungai Tengi, Hulu Selangor.

Sebelum itu Khusrin ‘menempa nama’ dengan kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin dalm majlis yang turut dihadiri wakil rakyat Pakatan.

Adakah individu yang sanggup menjadi perkakas politik dan mempermainkan sentimen agama layak menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor?

Kerajaan Negeri sudahpun menghantar tiga calon daripada pegawai-pegawai kanan di negeri Selangor untuk menjadi calon Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. Ketiga-tiga nama dipilih selepas melalui mekanisme pemilihan Kerajaan Negeri yang sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajan Negeri yang ada hari ini.

Dari segi rekod Khusrin juga wajar dipertikai. Khusrin sendiri sekadar dalam gred Jusa C, justeru melangkah Jusa B untuk menjawat Setiausaha Kerajaan Negeri yang bergred Jusa A.

Khusrin sekadar menghabiskan 3 daripada 27 tahunnya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di peringkat Persekutuan, selebihnya beliau cuma berkhidmat di negeri Selangor.

Seolah-olah kelayakan Khusrin hanyalah sikapnya yang memang menentang Kerajaan Negeri yang diambilkira!

Kerajaan Persekutuan kelihatan begitu terdesak untuk mendapatkan semula Selangor dan sanggup mengheret istana semata-mata untuk kepentingan sempit politik mereka.

Di Perak, Dato’ Dr Abdul Rahman Hashim sememangnya Setiausaha Kerajaan Negeri sejak sebelum PRU-12 lagi. Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat mengambilalih tampuk pemerintahan Perak, beliau kekal di jawatannya.

Ketika Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dirampas pada Februari 2009, Dr Rahman memainkan peranan penting untuk memastikan agenda BN terlaksana.

Perkembangan di Selangor menyaksikan seolah-olah Najib membuat rancangan yang sama, apatah lagi selepas rombakan pengerusi perhubungan UMNO menyaksikan Najib kekal sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor!

Kerajaan Negeri Kelantan juga menghadapi masalah ketika Datuk Wan Hashim Wan Daud menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri.

Jelas sekali peranan Setiausaha Kerajaan Negeri, sebagai ketua perhidmatan awam di sesebuah negeri amat penting bagi memastikan perjalanan kerajaan. Mustahil Kerajaan Negeri dapat berfungsi dengan baik dengan Setiausaha Kerajaan yang sememangnya mempunyai agenda yang bertentangan dengan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.

Di sebalik sepak terajang politik sempit, kesan kemelut ini ialah semangat Federalisme yang diperjuangkan bapa-bapa kemerdekaan kita dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan semakin punah. Kesannya, jika tidak diubati, akan berpanjangan sehingga membelengu anak cucu kita.

Saya terhibur melihat ada pihak UMNO cuba menyebut tentang Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh dalam hal ini. Jelas sekali mereka tak faham semangat Perlembagaan tersebut. Apatah lagi, apabila menggantung ahli Parlimen, melantik JKKKP mahupun menafikan royalti negeri Kelantan, tak pernah pula UMNO merujuk Perlembagaan!

Sekali lagi saya ulang, jangan ada pula yang cuba mainkan kononnya sesiapa yang mempertikai perlantikan Khusrin sebagai anti-istana. Tindakan Datuk Seri Najib yang mengheret KSN dan Istana Selangorlah yang wajar dipertikai!

Nik Nazmi Nik Ahmad

Read more ...