Tuesday, May 11, 2010

Gelombang sokongan di Semenanjung melanda Sibu



















KUALA LUMPUR, 12 Mei : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin Pakatan Rakyat berpeluang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu jika gelombang sokongan masyarakat Cina di Semenanjung turut melanda Sibu.

Menurutnya, pengundi Cina di Semenanjung telah menunjukkan perubahan positif dengan menyokong Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum lalu dan pada siri pilihan raya kecil berikutnya.

"Kita mengharapkan gelombang di Semenanjung di mana pengundi Cina menunjukkan perubahan yang baik dan positif, memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Sekiranya arus ini sampai ke Sibu, kita boleh menang," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peluang Pakatan Rakyat pada PRK Sibu 16 Mei ini.

Ditanya kempen BN yang memainkan isu negara Islam kepada masyarakat Kristian di sana, beliau yakin masyarakat Sibu sudah faham demokrasi dan politik Malaysia.

Bagaimanapun jelasnya, laluan Pakatan Rakyat tidak mudah kerana terpaksa berdepan 'demokrasi luar tabii ala Umno BN.

"Demokrasi di Malaysia ni demokrasi luar tabii, banyak berlaku penyalahgunaan kuasa bila pilihan raya kecil," katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, BN sebagai parti pemerintah akan menggunakan seluruh jentera kerajaan berdepan Pakatan Rakyat.

Menurutnya lagi, sekiranya Sibu berpihak kepada Pakatan Rakyat, ianya satu kemenangan bermakna dan satu kemenangan besar dalam sejarah Pakatan.

Namun jika kalah, ianya kekalahan yang tidak seberapa kerana Pakatan Rakyat bukan parti pemerintah.

"Mereka (BN) guna seluruh jentera kerajaan, kalau mereka menang dengan majoriti sedikit, ia tetap kemenangan yang memalukan," katanya.

PRK Parlimen Sibu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Rakyat daripada DAP, Richard Wong Ho Leng, Robert Lau Hui Yew (BN) dan Narawi Haron (Bebas).

Read more ...

Judi bola - Lesen sah dikeluarkan



KUALA LUMPUR , 12 Mei : Meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kerajaan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulandepan.

Menurut akhbar ha
rian Cina, Sin Chew, menteri kewangan semalam secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan itu pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini.

BERJAYA akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak di negara ini yang mempunyai lesen.

Ia dijangka akan menggunakan lebih dua ratus kedai pertaruhan Toto yang dimilikinya itu untuk menerima pertaruhan.

Sebelum ini, ada pihak yang bimbang rangkaian kedai serbanika, 7-eleven yang juga dimiliki Kumpulan BERJAYA akan digunakan untuk tujuan yang sama.

Sin Chew memetik sumber yang berkata, masyarakat Islam akan dilarang daripada terbabit dengan pertaruhan bolasepak itu.BERJAYA pada 11 Mei lalu memohon sahamnya di Bursa Kuala Lumpur digantung hari ini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang sementara menunggu pengumuman lanjut berhubung cadangan menaikkan modalnya.

Ketika dihubungi pegawai BERJAYA berkata kenyataan media akan dikeluarkan hari ini.

Read more ...

Roboh kuil - Penduduk beri kata dua


BUNTONG , 11 Mei :
“Jika tiada usaha untuk membantu kami selamatkan kuil ini, kami akan adakan demonstrasi.”

Itulah keluhan penduduk setinggan Jalan Sungai Pari di sini yang kecewa dengan tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh (PDTK) kerana mengeluarkan notis supaya mereka mengosongkan kuil yang sudah 68 tahun di situ, dalam tempoh 14 hari.

Wakil penduduk yang juga pengerusi Kuil Dewa Sri Idukadhu Kaliamman Buntong, P Krishnan berharap satu tapak alternatif diluluskan iaitu di belakang kuil berkenaan agar mereka dapat memindahkan kuil itu.

“Tapak di belakang kuil ini adalah hak milik pemaju, dan permohonan untuk mendapatkan tapak itu sudah dihantar pada tahun 2008 namun tiada sebarang jawapan.

“Kami sedar, tapak sedia ada memanglah Tanah Wakaf Perkuburan Islam namun berikanlah kami tempoh dan masa yang secukupnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, mereka bukan mahu mengingkari perintah yang dikeluarkan namun memohon agar dapat diberikan kelonggaran, iaitu laluan di sebelah kuil yang bukan rizab tanah wakaf itu dapat dijadikan laluan.

“Di sebelah kiri kuil ini, terdapat sebuah rumah kosong, dan sekiranya rumah itu dirobohkan, bolehlah kami bina pintu masuk ke kuil memandangkan pintu masuk kuil ini akan ditutup,” katanya.

Krishnan berkata, pihak kuil menerima notis bertulis daripada PDTK pada 4 Mei lalu dan sehingga kini tiada sesiapa daripada pihak berkenaan yang tampil untuk membincangkan masalah mereka.

Katanya, dalam tempoh yang sesingkat itu, penduduk tidak berupaya mencari tapak gantian.

Dalam pada itu, wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramanian berkata, beliau didatangi oleh wakil kuil berkenaan dan menjelaskan kepada beliau bahawa keadaan di sekeliling kuil itu telah diratakan.

“Mereka bimbang sekiranya kuil mereka akan diruntuhkan oleh pemaju, dan saya amat risau jika perkara tidak diingini berlaku di antara pemaju dan penganut kuil berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semasa di bawah pimpinan Pakatan Rakyat pada tahun 2008, permohonan untuk mendapatkan tapak gantian kuil itu sudah dikemukakan kepada PDTK namun tiada sebarang maklum balas.

“Bagaimanapun, setelah hampir dua tahun pihak kuil menerima notis yang mahu ia dikosongkan segera,” katanya.

Sivasubramaniam berkata, kerajaan perlu mengambil kira masalah ini kerana ia melibatkan sensitiviti agama dan kaum.

Katanya, apa diharapkan supaya perbincangan antara PDTK, Kerajaan Negeri dan penduduk diadakan bagi menyelesaikan kemelut ini dengan lebih teratur.SH

Read more ...

Umno@BN terdesak guna polis, ISA di Sibu
















SIBU, 11 Mei: Hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu memperlihatkan Umno BN semakin terdesak sehingga terpaksa menggunakan polis dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan kempen Pakatan Rakyat yang kian mendapat sambutan masyarakat tempatan.

Buktinya, hari ini pihak polis Sarawak menerusi OCCI SAC II Huzir Mohamed mengeluarkan kenyataan melarang penggunaan isu “Allah” sepanjang kempen atau akan berdepan tindakan ISA.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud ketika diminta mengulas perkara itu berkata, tindakan tersebut membuktikan Umno BN kini semakin terdesak.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, larangan tersebut dibuat mungkin setelah melihat isu tersebut yang dibawa DAP mampu mempengaruhi pengundi berbanding isu negara Islam yang dibawa BN melalui SUPP.

"Setiap kali Umno BN hadapi masalah yang mereka tidak boleh tangani dengan hujah, mereka akan guna undang-undang dan polis.

"Kenapa Umno BN harus takut,” ujarnya kepada Harakahdaily.

BN sepanjang empat hari kempen mereka, menggunakan isu negara Islam bagi menanam kebencian 52 peratus masyarakat Kristian di parlimen itu kepada DAP.

Poster dan billboard mereka membawa mesej "undi DAP sama seperti mengundi PAS untuk menubuhkan negara Islam".

Manakala DAP pula memberi penjelasan berhubung isu penggunaan kalimah Allah sebagai serangan balas bagi memancing undi bukan Islam khususnya di kalangan penganut Kristian.

Siti Mariah yang berada di Sibu sejak hari penamaan calon lagi berkata, apa yang dibuat Pakatan Rakyat hanya sekadar memberi penjelasan berhubung keadaan sebenar polemik penggunaan kalimah tersebut.

"Mereka buat tidak apa, tapi kita buat tak boleh.

"Mereka yang mulakan dan bila kita jawab mereka dah tak boleh handle lagi," kata Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebelum ini berkata penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibenar menggunakan kalimah Allah dalam upacara sembahyang dan keagamaan kerana secara tradisinya ia telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun di Semenanjung, penggunaan kalimah itu tetap tidak dibenarkan di dalam sebarang upacara keagamaan termasuk penerbitan.

Read more ...

Harusani diminta keluar fatwa judi bola


PARIT BUNTAR , 11 Mei : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria digesa membuat kenyataan berhubung tindakan kerajaan yang akan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan ketika kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 awal bulan depan.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, sudah sampai masanya mufti mengeluarkan kenyataan supaya umat Islam di negeri ini tidak keliru dengan tindakan kerajaan ini.

“Sebelum ini, beliau pantas membuat kenyataan dan menyatakan hukum terhadap tindakan kerajaan atau pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

“Namun, apabila melibatkan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bercanggah dengan Islam sampai hari ini beliau diam membisu tanpa sebarang kenyataan,” katanya.

Fakhrurrazi berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan usaha membasmi perjudian, bukan menghalalkannya untuk mendapatkan keuntungan.

“Judi adalah haram bagi semua agama di negara ini. Tidak ada agama yang menghalalkan tabiat judi yang jelas merugikan kewangan rakyat dan negara.

“Jika lesen dikeluarkan pun, tetap akan ada aktiviti judi secara haram. Kita bukan negara yang bebas melakukan apa sahaja termasuk perjudian dan kemaksiatan yang ditegah Allah selama ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun jelas haram hukumnya, tetapi rakyat menunggu kenyataan daripada pihak yang berautoriti menyatakan hukum iaitu Mufti dan Majlis Fatwa.

“Rakyat menunggu kenyataan Mufti dan Majlis Fatwa. Rakyat mahu kerajaan mengharamkan judi dan memerangi industri haram ini hingga ke akar umbi.

“Kerajaan juga tahu bahawa begitu banyak aktiviti judi haram di negara ini. Jadi, kerajaan tidak perlu menimbangkan apa-apa permohonan untuk perjudian sempena Piala Dunia 2010 bulan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak reda dengan kepimpinan yang ada kerana sanggup mencampuradukkan hasil negara dengan sumber yang haram seperti judi dan arak.

“Amat memalukan bila yang mahu meluluskan lesen ini adalah kalangan menteri UMNO yang beragama Islam, manakala yang menentang perjudian ini pula adalah wakil rakyat dari DAP yang dituduh oleh UMNO sebagai anti Islam,” katanya.SH

Read more ...

1,700 keluar PKR - Penipuan besar


LUNAS , 11 Mei : Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyifatkan program penyerahan borang keahlian baru yang didakwa melibatkan 1,700 ahli parti itu melompat kepada MIC di Paya Besar, semalam adalah penipuan besar Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, daripada 480 yang hadir, hanya kira-kira 50 orang penduduk tempatan,

Beliau mendakwa, MIC yang ketandusan penyokong sanggup melakukan apa sahaja untuk melonjakkan nama parti itu.

“BN jangan buat lawak. Majlis yang diadakan di Paya Besar adalah majlis Malam Kebudayaan Bersama Rakyat. MIC menggunakan peluang itu mengumumkan kemasukan ahli baru yang didakwa bekas ahli PKR. Semua ini politik lapuk dan tidak boleh digunakan lagi, dikatakan 480 orang hadir pada malam itu tetapi penaja menyerahkan borang kemasukan ahli baru MIC seramai 1,700.

“Rakyat dah tahu segala pembohongan ini. MIC memerlukan lebih ramai penyokong untuk berhadapan dengan pilihan raya akan datang kerana mereka adalah antara parti komponen BN yang tercorot di Kedah.

“Mereka bukan saja berbohong kepada tetamu yang hadir, malah berbohong kepada diri mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, BN terpaksa menganjurkan lebih banyak program untuk meyakinkan rakyat dan dalam masa sama, mendakwa ada ahli PKR keluar untuk menyertai BN.

Beliau mendakwa apa yang menjadi masalah sekarang ini adalah parti komponen BN sering mengumumkan ahli keluar PKR dengan jumlah yang tidak munasabah.

Selain itu, beliau mendakwa, pemimpin parti komponen BN di Padang Serai menyatakan Pakatan Rakyat (PR) tidak turun padang dan membantu rakyat.

Beliau menegaskan sepanjang dua tahun, rakyat Padang Serai tahu PR adalah parti yang paling hampir dengan rakyat.

“Daripada 1,700 borang keahlian baru yang diterima MIC, saya yakin kurang daripada 50 ahli PKR yang menyertai mereka.

“Pilihan raya semakin hampir dan pemimpin parti komponen BN sedang giat menjalankan aktiviti dan program. Semua ini dilakukan bukan untuk membantu rakyat tetapi untuk menaikkan nama dan diri mereka sendiri.

“Mereka menuduh PKR tidak menjalankan kewajipan terhadap rakyat Padang Serai tetapi rakyat tahu semua ini adalah satu pembohongan. Saya percaya, penaja serta semua pemimpin yang hadir pada malam itu kecewa dengan sambutan diberi.

“Saya menasihatkan komponen BN harus kerja keras untuk menarik hati rakyat dan jangan terlalu memainkan isu politik sehingga melupakan agenda rakyat yang dilaungkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, yang turut hadir pada majlis itu berkata, penyertaan ahli baru MIC menunjukkan rakyat mula menolak kepimpinan PR di negeri Kedah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada MIC Kedah yang berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat untuk menyokong parti itu dan BN.

“Rakyat sudah mula tahu bagaimana PR memerintah dan tidak lama lagi, akan ada ahli Pas yang menyertai UMNO dan menyokong BN.

“Ini jelas menunjukkan kepimpinan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan slogan 1Malaysia dapat diterima seluruh rakyat,” katanya.SH

Read more ...

Pemuda Umno tolak debat


ALOR SETAR, 11 Mei : Tindakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah menolak cabaran berdebat dipercayai kerana pemimpinnya tidak faham isu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah, Mohamad Helmi Mohamad Khalid berkata, ajakan kali kedua untuk Pemuda PAS memperjelaskan maksud soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang ditolak mentah-mentah oleh Pemuda UMNO Kuala Kedah, membuktikan sayap parti UMNO itu pengecut kerana tiada fakta kukuh untuk menyokong pendirian mereka.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, ini bukan ajakan debat untuk bincang isu Sultan, sebaliknya untuk membahaskan satu perkara sahaja, iaitu berkaitan soalan DUN Mohd Nasir. Jika soalan itu yang menjadi punca kekecohan, eloklah soalan ini dibahaskan,” katanya.

Mohamad Helmi berkata, sejak awal lagi sejurus persidangan DUN berakhir, UMNO dengan lantang membuat pelbagai kenyataan dengan memutar belit fakta, sehingga menimbulkan salah faham dan mendakwa soalan itu mempertikaikan kuasa Tuanku Sultan.

“UMNO yang cuba pecah belahkan perpaduan rakyat di negeri ini apabila menggembar-gemburkan isu ini hingga rakyat keliru. Jadi tidak salah jika kita selesaikan kemelut ini melalui debat antara dua pihak,” katanya.

Menurutnya, tindakan UMNO tak ubah seperti, baling batu sembunyi tangan. Malah dilihat cuba mengkucar-kacirkan keadaan, tanpa fakta yang jelas.

“Jika mahu berpolitik, inilah masanya untuk berhujah. Namun bersedialah dengan fakta-fakta yang boleh menyokong kenyataan tersebut. Berani kerana benar, saya harap Ketua Pemuda UMNO Kuala Kedah, Shafiqurrahman Shamsudin lebih matang tangani isu ini,” katanya.

Menurutnya, antara tujuan ajakan debat ini ialah untuk mencari punca kekecohan, selain memperjelaskan maksud soalan DUN, bukannya membahaskan isu kuasa Sultan.

“Saya minta beliau hentikan daripada membuat kenyataan yang mengelirukan dan jangan lagi memutar belitkan fakta,” katanya.

Mohamad Helmi turut menafikan kenyataan Shafiqurrahman yang mendakwa debat ini adalah taktik PAS untuk memprovokasi isu untuk memecah-belahkan masyarakat.SH

Read more ...

Umno dalangi program perkauman ' Melayu Bangkit'



















KUALA LUMPUR, 11 Mei : PAS mendakwa Umno mendalangi program “Melayu Bangkit” anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) Khamis ini - tarikh memperingati peristiwa 13 Mei, didakwa sebagai langkah bertentangan dengan semangat keharmonian negara.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata Gertak telah memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah lebih empat dekad itu.

Beliau mendakwa program itu turut mendapat kerjasama Institut Integriti Terengganu.

“Kita memandang serius perkara ini, tindakan memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan semangat orang Melayu adalah satu perkara yang tidak sihat serta perlu dijauhi memandangkan kita telah merdeka lebih daripada 50 tahun.

“Mengapa isu 13 Mei ini perlu dibangkitkan?

“Kita bercakap mengenai keharmonian tetapi masih ada kumpulan yang mahu membangkitkan isu 13 Mei yang melibatkan sensitiviti perkauman yang sepatutnya tidak wujud,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Pengerusi Gertak, Razali Idris tarikh 13 Mei dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu serta mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku pada tarikh tersebut.

Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka menyertai program Melayu Bangkit untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

Menurut Razali, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada majlis itu, yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Khamis ini. Salahuddin berkata, PAS memandang serius tindakan yang tidak bertamadun seperti itu yang bertentangan dengan prinsip dan semangat negara.

“Kita tidak kisah jika program ini mahu membincangkan perkara-perkara lain tetapi ini secara jelas mengatakan mahu membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

“Kita nak satukan kaum bukan memecahbelahkan perpaduan yang telah tercipta selama ini.
“Selain itu, kita rasa bukan sahaja orang Melayu tetapi kaum-kaum lain juga tidak mahu peristiwa berdarah itu berulang kembali kerana isu ini sangat bahaya dan perlu dielakkan,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu percaya Umno mendalangi penganjuran program tersebut kerana mahu menyelamatkan perjalanan politik mereka.

“Ini membuktikan Umno masih lagi menggunakan sentimen perjuangan politik yang sempit dan kotor untuk selamatkan politik mereka.

“Sudah lebih 50 tahun kita merdeka tetapi Umno masih menggunakan isu ini untuk mempengaruhi orang Melayu supaya menyokong mereka.

“Ini adalah realiti dan gambaran sebenar perjuangan Umno yang mana mereka 30 tahun kebelakang apabila menggunakan isu ini,” katanya.

Tambahnya, setiap tahun Umno pasti akan membangkitkan isu 13 Mei, bukannya parti pembangkang.

“Kita (Pakatan Rakyat) tidak pernah membangkitkan isu-isu yang boleh berlakunya perbalahan antara kaum tetapi selama ini Umno yang bermain dengan isu tersebut,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, satu langkah drastik perlu diambil bagi menghalang program tersebut diadakan.

“Saya telah menghubungi Ketua Polis Terengganu dan bercakap tentang perkara ini dan beliau peka dengan perkara ini.

“Kita bercakap mengenai keharmonian jadi harap supaya program tersebut dibatalkan demi komitmen menjaga keamanan negara,” katanya.

Beliau berkata, Umno menggunakan isu 13 Mei untuk menutup kegagalan mereka dalam mempertahankan sokongan orang Melayu.

“Mereka (Umno) terpaksa gunakan taktik kotor bagi mendapatkan sokongan daripada orang Melayu kerana selama ini mereka telah gagal untuk mempertahankannya.

“Tapi akhirnya mereka akan gagal juga kerana dengan sumber maklumat yang banyak rakyat akan sedar akan perkara ini,” katanya.

Read more ...

Kredibiliti polis diragui


SEREMBAN , 11 Mei : Kejadian seorang remaja bawah umur ditembak polis di Jalan Seremban-Jelebu 8 Mei lalu amat dikesali.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan berpendapat, kejadian seperti ini seakan-akan ulangan kejadian yang menimpa adik Amirul Rashid Amzah, di mana kecuaian pihak polis sekali lagi berlaku dalam tempoh singkat.

Ketua AMK NS, Rebin Birham melahirkan rasa simpati dengan kejadian menimpa adik Mohd Azizi Aziz, 17 yang menjadi mangsa kecuaian pihak polis.

Menurutnya, mangsa bukan ancaman kepada keselamatan atau memberi ancaman kepada polis dan tidak sewajarnya diperlakukan sebegitu.

“Dia hanya pelajar sekolah dan masih di bawah umur. Kredibiliti anggota polis yang menjalankan tugas ketika itu amat diragukan dari segi pertimbangan membuat keputusan.

“Jika pertimbangan anggota polis yang lemah seperti ini berterusan, pasti selepas ini lebih banyak nyawa akan terkorban,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, semalam, Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohd Omar, bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Taufek Abd Ghani, dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Nurlidah Salleh serta Ketua Muslimat PAS negeri Fazilah Abu Samah, ditemui melawat keluarga mangsa di Hospital Tuanku Tengku Jaafar, bagi melahirkan rasa simpati mereka kepada keluarga mangsa terlibat.

Jelas Nurlidah, pihaknya mendesak siasatan terhadap kes ini dapat dijalankan secara telus dan adil, dan memberikan keadilan yang sebenar-benarnya kepada mangsa.

Menurutnya, pihak polis diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah, serta tidak melakukan kecuaian sewaktu bertugas.

“Masyarakat kini berasa takut dengan polis, bukan disebabkan adanya penjenayah tetapi disebabkan kredibiliti pihak polis yang semakin diragui.SH

Read more ...

Kerajaan PR tidak lindungi perasuah


SHAH ALAM, 11 Mei : Kerajaan Negeri tidak akan melindungi dan tidak teragak–agak mengheret sesiapa sahaja yang bersalah ke muka pengadilan jika didapati mereka mengkhianati amanah yang diberi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, tidak kira jawatan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen,jika didapati bersalah perlu dikenakan tindakan.

“Sesiapa yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan jika masyarakat mempunyai maklumat tentang mana – mana pegawai kami yang dipercayai terlibat dengan rasuah kami menggalakkan mereka membuat aduan kepada SPRM dan Polis.

“Kita tidak mempunyai jabatan siasatan dalaman, siasatan diserahkan sepenuhnya kepada SPRM atau polis, kami Pakatan Rakyat (PR) tidak akan melindungi sesiapa sahaja jika didapati benar –benar terlibat dan bersalah dengan rasuah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang mendakwa pegawai atasan Kumpulan Semesta Sdn Bhd menerima rasuah.

Terdahulu beliau merasmikan Seminar Keusahawanan anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Kompleks Perumahan Exco di sini semalam.

“Seminar ini sebenarnya adalah motivasi kepada asas– asas keusahawanan bagi mereka yang telah berniaga dan akan memulakan perniagaan.

“Saya bersyukur kerana seminar ini telah mendapat sambutan di luar jangkaan di mana pada mulanya kami menyasar hanya 100 orang yang akan datang tetapi hari ini lebih daripada 150 orang yang hadir,”katanya.

Katanya, ini adalah perkembangan dan pendedahan yang menggalakkan terutama bagi mereka yang datang dari luar bandar.

Menurut beliau lagi, Seminar ini diwujudkan terutamanya untuk Bumiputera yang baru hendak memulakan perniagaan.

“Untuk menjadi usahawan yang maju dan berdaya saing mereka perlulah merebut dan melihat peluang yang ada di hadapan mereka dan kerajaan negeri juga telah mewujudkan bantuan Industri Kecil (IKS),"katanya.SH

Read more ...

DAP cabar SUPP debat isu 'Negara Islam'

SIBU, 11 Mei : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Ketua SUPP Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh berdebat tentang negara Islam berikutan dakwaan parti itu bahawa pengundi memilih negara Islam bila mengundi DAP.

"Saya cabar Wong Soon Koh berdebat dengan saya Jumaat ini berkenaan dengan serangan beliau terhadap DAP yang menyatakan undi DAP bererti undi PAS dan negara Islam.

"SUPP mula menyerang DAP dengan menggunakan isu yang tidak lagi menjadi isu di Semenanjung yang berkaitan dengan negara Islam. Kempen ini telah dimulakan oleh Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Wong Soon Koh.

Memang benar negara Islam adalah matlamat PAS tetapi ia bukannya matlamat Pakatan Rakyat.

"Saya mengaku, tema 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam' berkesan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi ia sudah dikebumikan apabila tsunami politik melanda negara dalam pilihan raya umum 2008," jelas Kit Siang.

Beliau berpendapat mungkin ahli strategi SUPP percaya ini adalah senjata pembunuh yang boleh menamatkan peluang calon Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng memenangi pilihan raya kali ini.

"Saya yakin kempen ini dilakukan adalah bagi menakutkan pengundi dari kaum Cina dan juga yang bukan Islam, ketika Wong Ho Leng berada dalam keadaan sokongan 40 peratus sahaja.

"Nampaknya pemimpin SUPP yakin, apa yang tidak berlaku di Semenanjung masih berlaku di Sibu. SUPP berada dalam kebimbangan dengan perkembangan yang berlaku apabila sokongan kepada calon DAP semakin meningkat selepas dua hari berkempen.

"Dari 40%:60% antara DAP:BN kini sudah meningkat kepada 44%:56%. Ini sangat bimbangkan SUPP sehingga mengeluarkan serangan yang dianggap sebagai senjata pemusnah (killer weapon) ini," jelas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Kit Siang berpendapat senjata pembunuh yang dikeluarkan oleh SUPP sepatutnya 48 jam sebelum mengundi tetapi mereka telah menggunakan lebih awal lagi kerana melihat kepada peningkatan sokongan yang berlaku keatas calon DAP.

"SUPP sebenarnya percaya dengan strategi mereka dengan menyatakan kepada pengundi Cina 'mengundi roket bererti memilih negara Islam', disini saya ingin tegakkan Malaysia adalah sebuah negara yang sekular dan Islam adalah agama rasmi tetapi bukan negara Islam. Prisip kita konsisten dan tetap.

"DAP, KEADILAN dan PAS telah membentuk Pakatan Rakyat pada platform umum prinsip yang telah kita bina atas dasar masyarakat yang bebas, adil, jujur dan Malaysia makmur berdasarkan prinsip asas dinyatakan dalam Perlembagaan 1957 dan Suruhanjaya Cobbold 1963. Perlindungan yang diberi di bawah kedua-dua ini adalah asas pembentukan Malaysia dengan Sarawak, Sabah, dan Singapura.

"Ini bermakna negara Islam bukan dasar Pakatan Rakyat dan DAP selama ini tetap teguh pada prinsip politik kita yang ditanggung oleh nota dedikasi dan konsistensi pemimpin DAP selama puluhan tahun," katanya lagi.

Read more ...