Sunday, June 12, 2011

Pendedahan skandal terbaru Ghani Patail, boleh dedah ja la

Tubuhkan Tribunal siasat Ghani Patail: Mat Zain

Satu tribunal khas perlu ditubuhkan bagi menyiasat penglibatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam skandal kerugian RM8 billion Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) melibatkan Tan Sri Tajuddin Ramli.

Gesaan itu dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya yang terbaru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mat Zain merupakan pesara Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berpangkat Senior Asisten Kommisioner II (SAC II) dan menyiasat insiden “mata lebam’ Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau ditahan polis dalam kes fitnah pertama pada tahun 1998.

Mat Zain membuat gesaan itu selepas Tan Sri Dr.Hadenan Abdul Jalil, Pengerusi Panel Penilai Operasi MACC (ORP) , mengisytiharkan Gani Patail ‘bersih’ daripada sebarang salah laku jenayah berkaitan pemergiannya menunaikan Haji di Mekah bersama-sama Shahidan Shafie, seorang proksi kepada Tajuddin Ramli.

“Apabila ia melibatkan isu kelakuan seorang Peguam Negara yang sedang berhidmat, pihak yang mempunyai kuasa atau hak mengadilinya hanyalah sebuah tribunal yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan Perdana Menteri, seperti yang sedia ada secara spesifiknya dalam Artikel 125 (3) dibaca bersama Artikel 145 (6) Perlembagaan,” kata Mat Zain.

Menurutnya lagi, Hadenan selaku Pengerusi ORP tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Malah, ORP sendiri sedia maklum tentang perkara itu kerana mereka pernah membuat permohonan kepada Peguam Negara untuk meneliti kes VK Lingam.

“Persoalan sama ada Tan Sri Hadenan serta ahli-ahli jawatankuasanya berpuas hati atau sebaliknya berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul memandangkan beliau tidak ada kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati.

“Malah, Tan Sri Hadenan sendiri membuat kenyataan umum bahawa Operations Review Panel (ORP) tidak terlibat didalam sebarang proses penyiasatan SPRM memandangkan ORP bukan sebagai sebahagian organisasi SPRM melainkan sekadar mewakili orang ramai sahaja, seperti dilaporkan Bernama pada 12.11.2009.

“Beliau membuat kenyataan ini ketika mengesahkan akan menghantar permohonan ORP kepada Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran bertulis meneliti kes berkaitan V.K.Lingam,” kata Mat Zain.

Berhujah lebih lanjut, Mat Zain menyifatkan usaha Hadenan mengumumkan Gani Patail sudah ‘bersih’ daripada sebarang salah laku itu sebagai tidak lebih daripada eksesais “white-washing” yang tidak teratur dan sia-sia – bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah.

“Persoalannya ialah adakah wajar Gani Patail, seorang Peguam Negara yang masih berhidmat dilihat sebagai bersekongkol dengan Shahidan, seorang yang masih dalam siasatan serius oleh SPRM.

“Hasil siasatannya kelak, (akan) dipertimbangkan Jabatan Peguam Negara yang diketuai Gani Patail sendiri.

“Mampukah SPRM atau Jabatan Peguam Negara bertindak berkecuali serta memberikan pertimbangan yang adil dan saksama dalam kes ini sedangkan skandal ini melibatkan kerugian melebihi RM8 billion wang rakyat,” kata Mat Zain.

Dalam surat yang sama, Mat Zain turut menggesa siasatan dilakukan ke atas beberapa perjanjian berat sebelah jangka panjang yang dimeterai antara entiti korporat kroni kerajaan dengan pentadbiran pada masa itu yang melibatkan rakyat menanggung jerugian yang besar.

“Rakyat juga kini mendapat tahu bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan menandatangani beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah dengan beberapa Penjanakuasa Bebas (IPP), yang mengakibatkan rakyat menanggung kerugian lingkungan RM 20 Billion,” kata Mat Zain.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15128

Read more ...

Taktik serang Mat Sabu guna skandal seks hanya akan 'makan diri' UMNO/BN



KUALA LUMPUR 13 JUN : Serangan video seks 'fitnah' ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), hanya akan memberi kesan buruk kepada Umno-Barisan Nasional(BN), kata penganalisis politik.

Malah, menurut Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee, lebih banyak taktik kotor dan usaha untuk mengaibkan kedua-dua parti perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin “panas” di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum dijangkakan tidak lama lagi.

“Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS.

“Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media kawalan Umno akan menggunakan isu tersebut untuk terus melakukan serangan.

“Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya,” kata beliau.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menerima sekeping VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks yang didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.

Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.

Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.

“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.

Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil.

Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

“. . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka,” katanya.

Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut.

“Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu,” katanya.

Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar.

“Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa,” kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar.

Read more ...

PAPA GOMO, PARPU KARI dan blogger UMNO tidak sistematik,tidak terperinci,selalu kalah


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO perlu mewujudkan “unit tempur siber” yang lebih bersistematik dan mantap bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan pembangkang dalam alam siber.

Katanya unit tempur siber parti ketika ini dilihat tidak memberikan perincian serta penghayatan pada sesuatu isu sehingga gagal menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasar.

Malah, katanya, unit berkenaan juga selalu kalah dalam menjawab isu-isu yang dibangkitkan pembangkang dalam media baru itu.

“Berbanding pembangkang, mereka (unit siber) dikumpulkan dan mengupas isu mengikut tafsiran masing-masing yang kebanyakannya menjurus ke arah membelasah kerajaan.

“Padahal kita ada kumpulan yang lebih besar tetapi mungkin satu unit tempur siber yang bersistematik perlu diwujudkan bagi membalas segala serangan,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bentong di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Ketua UMNO bahagian itu. Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, maklumat yang tepat dan jelas, penting bagi menarik masyarakat khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar daripada terjebak dalam dakyah pembangkang.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut meminta semua anggota UMNO memainkan peranan dalam memberikan penerangan mengenai dasar-dasar kerajaan dan tidak hanya berharap ia dilakukan oleh pemimpin mereka.

Read more ...

MENGEJUTKAN : Terdapat 45 000 miskin tegar di Perak

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEisneVrLf9zrW8AabSZXw9C1E6IP0HkjIAIJUWJM8DmuSM5vpjlmS55M40lBKFoCw9yTBceQPYcadyzBoc8L8EVZp5unnBFsdF60Njv0grdedycKAEfG1XnE6G0wY4lMhqYxXr81wUk-nq5/s1600/DSC_3170.JPGIPOH – Keadaan kemiskinan di negeri ini sangat menyedihkan biarpun negara ini sedang membangun dengan pesat.

Setiausaha Pemuda Pas Negeri, Salman Saleh berkata, Pemuda Pas Negeri amat terkejut dengan projek Bantuan Ikhlas Bina Upaya (BIBU) yang dikendalikan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dengan peruntukan bernilai RM4 juta bagi keperluan seramai 45,000 penerima miskin tegar mencakupi 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Beliau berkata, golongan keterbawahan itu pula terdiri daripada keluarga yang mempunyai anggota isi rumah lima orang ke atas dengan pendapatan bulanan RM750 ke bawah dan golongan warga emas dengan anggota isi rumah yang sama.

“Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila jumlah yang terkumpul seramai 45,000 penerima yang disenaraikan melalui senarai penerima yang layak ini yang dikenalpasti menerusi agensi-agensi seperti Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) melalui senarai E-kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Baitulmal dalam keadaan lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.

“Kami memohon penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkenaan status jumlah yang telah dinyatakan tersebut sama ada ianya benar atau pun tidak?,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Salman berkata, pihaknya menganggap jumlah itu amat tinggi dalam keadaan negara sedang membangun dan amat sedih jika ianya benar-benar berlaku di Perak.

Beliau berkata, Pemuda Pas Negeri merasakan dengan jumlah RM4 juta tersebut amat kecil dibandingkan dengan jumlah penerima miskin tegar yang dinyatakan.

“Secara pembahagiannya, sebuah keluarga hanya akan memperoleh barangan keperluan kurang daripada RM100 sahaja iaitu RM88.89.

“Jumlah tersebut jelas terlalu kecil berikutan harga barangan yang akan dibayai seperti beras, minyak, gula, tepung, bihun, teh dan sardin yang telah naik mendadak kerana harga pasaran minyak dan elektrik yang naik baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, kaedah sumbangan ‘one off’ itu tidak akan menyelesaikan masalah miskir tegar yang berjumlah 45,000 keluarga berkenaan.

“Kami mendesak agar proses penyediaan barangan yang akan dibekalkan dibuat secara tender terbuka jika ianya dibeli melalui pembelian besar atau menyeluruh.

“Kami juga berharap semua pihak akan memperolehi tender barangan tersebut secara mengikut ketetapan yang tiada unsur kroni,” katanya.

Beliau berkata, satu mekanisma terbaik perlu dibuat bagi mengatasi golongan miskin tegar ini dan bagi meneruskan kehidupan mereka sebagai rakyat yang dinaungi oleh sebuah kerajaan yang berteraskan kebajikan rakyat yang diutamakan dan didahulukan sepertimana tuntutan al-Quran.SH

Read more ...

PAS tidak tolak kepimpinan ulama

http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/IMG_1467-1.jpg?t=1290752572PARIT BUNTAR, 11 Jun : Muktamar Pas ke-57 sudah beberapa hari berlalu, namun masih kedengaran kenyataan pemimpin UMNO mengenai saf kepimpinan baru parti itu.

Ketua Penerangan Pas Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid mempersoalkan kenyataan pemimpin UMNO bahawa golongan profesional kini sudah mula menguasai kepimpinan Pas berbanding golongan ulama.

Menurutnya, pemimpin UMNO menyatakan seolah-olah sayang kepada kepimpinan ulama sedangkan Kerajaan Pusat yang diketuai UMNO melakukan penindasan terhadap kerajaan Pas yang dipimpin oleh ulama di Kelantan dan Kedah.

“Kenapa kinibaru cakap mengenai Islam dan kepimpinan ulama.

“Adakah mereka lupa dengan peristiwa Memali dan menekan ulama dengan pelbagai cara,” katanya.

Fakhrurrazi berkata, Pas masih mengekalkan kepimpinan ulama kerana Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi dalam organisasi Pas berbeza dengan UMNO yang meletakkan ulama setaraf dengan biro kecil sahaja.

“UMNO sudah kehabisan modal dan hanya menunggu masa untuk tumbang pada pilihan raya umum nanti, jadi parti ini gunakan media arus perdana untuk menyerang Pas.

“Zaman UMNO sudah berlalu, sekarang adalah zaman Pas dan PR, sekarang Pas lebih ke hadapan daripada UMNO, sebab itu mereka bercakap seolah-olah sayangkan kepimpinan ulama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Parit Buntar, Adnan Abd Rahman menyifatkan barisan kepimpinan Pas Pusat itu satu pendekatan baik dalam konteks ‘mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama’.

“Pas bukan sahaja parti dalam bentuk dakwah tetapi juga parti politik yang menuju ke arah pemerintahan maka ia mestilah disusun daripada agama dan juga profesional.

“Ia perlu supaya kerajaan yang bakal dibentuk nanti terdiri daripada gabungan mantap agar soal agama dan pentadbiran tidak dipisahkan, ke arah melahirkan pentadbiran yang telus, bersih dan efisien,” katanya.

Katanya, barisan kepimpinan yang dipilih perwakilan dalam muktamar ke-57 itu membuktikan Pas sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan bersifat universal.Sinar Harian

Read more ...

PANAS : Ketua Puteri UMNO pun kata kerajaan UMNO kianat dan zalim

KUALA TERENGGANU - Kepimpinan Umno Cawangan Banggol Donas termasuk sayap puterinya mendakwa Umno dan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu khianat dan zalim.

Pengkhianatan dan kezaliman yang dilakukan itu tanpa mempedulikan hak serta nasib rakyat yang terlibat dengan pengambilan balik tanah bagi Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda melalui Kampung Banggol Donas.

Ketua Puteri Umno cawangan Banggol Donas, Puan Rosni Hassan, 37, melahirkan rasa dukacita terhadap sikap wakil rakyat Barisan Nasional dan kerajaan negeri.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said langsung tidak mahu berbincang dengan penduduk terbabit.

“Saya ini Ketua Puteri Umno cawangan (Banggol Donas), kita buat bantahan kepada semua pihak termasuk pihak Suhakam, jabatan-jabatan, menteri besar, kementerian hingga kepada Perdana Menteri.

“Saya cukup kecewa dan ‘meluat’ dengan Umno dan Barisan Nasional sekarang. Apa lagi untuk sebut Puteri Umno…‘meluat’ sungguh kepada kami sekarang,” ujarnya dengan gimik muka yang jengkel.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat 10, Wisma Persekutuan, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, demi kepentingan projek pihak tertentu nasib rakyat termasuk di kalangan ahli dan penyokong Umno-BN sendiri diabaikan.

Hari ini (12 Jun), sekumpulan wakil penduduk Kampung Banggol Donas yang tanah warisan mereka ‘dirampas’ secara terhormat atas nama pembangunan datang beramai-ramai ke pejabat SPRM di Wisma Darul Iman.

Malah, kedatangan kumpulan tersebut turut membawa warga emas serta kanak-kanak sebagai ‘protes’ terhadap pengambilan balik tanah yang tidak mengikut peraturan serta disyaki berlaku unsur penyelewengan.

Memorandum diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Banggol Donas, Salleh Embong kepada Timbalan Pengarah SPRM Terengganu, Encik Azmi Yusuf pada jam10.30 pagi setelah pertemuan selama satu jam.

Pada 11 Mei lalu, kumpulan yang sama telah menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Lobi U2 Dewan Undangan Negeri (Dun) Wisma Darul Iman.

Ahmad Said ketika menerima serahan memorandum tersebut menjelaskan kerajaan negeri Terengganu tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana projek jalan tersebut sedang berjalan.

[Gambar - Rosni paling kiri, bergambar di Wisma Persekutuan selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM]

Katanya, kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menyediakan kos projek dan berkaitan jajaran adalah dibawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita (kerajaan) sudah tidak boleh buat apa-apa lagi kerana projek ini telah berjalan dengan kerja-kerja menambung tanah dan sebagainya.

“Jika awal dulu boleh kita tengok dan itu (jajaran) tugas JKR yang tentukan dan kita hanya keluarkan kos projek, sekarang tak boleh buat apa-apa lagi,” ujarnya kepada wakil penduduk tersebut.

Buletinonline dimaklumkan, aduan pernah dibuat kepada pihak SUHAKAM yang turut mendapat ‘respons’ agar dihentikan sementara projek tersebut.

Pada bulan April 2010, penduduk pernah menulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanannya.

Manakala, bulan April 2011 lepas, sekali lagi mereka (jawatankuasa) menulis surat kepada Perdana Menteri dan dijawab surat itu serta dihantar kepada Kementerian Luar Bandar, salinan kepada Jawatankuasa Bertindak tetapi tidak kepada MB (Terengganu).

Menurut sumber, Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda melalui Kampung Banggol Dona itu dimiliki oleh Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Bahari Baharudin.

Projek “OKU” (Orang Kuat Umno) itu hanya sepanjang 5.6 kilometer tetapi menelan belanja RM226 juta yang dianggap tidak manasabah.

Hadir sama mengiringi penyerahan memorandum tersebut Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Ridhuan Hashim, Ketua Cawangan PAS Paya Datu, Ustaz Awang Embong, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Fariz Musa, Ketua Cabang PKR Kuala Nerus, Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad serta beberapa orang penduduk kampung berkenaan.

Read more ...

Lima Pesuruhjaya PAS Negeri ditukar


KUALA LUMPUR, 12 Jun: Mesyuarat pertama Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini selesai membentuk kabinet penuh parti itu.

Ianya menyaksikan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung dengan dibantu tiga penolong setiausaha Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.

Jawatan Bendahari pula bertukar kepada Datuk Abdul Halim Abd Rahman manakala Dr Mohd Hatta Ramli yang sebelum ini penyandang jawatan itu diberi amanah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Ketua Penerangan pula akan dipegang oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi jawatan AJK PAS yang dilantik pula, mereka adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammad Omar dan Abang Ahmad Kerdee Masagus.

Perkara itu diumumkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media di Pejabat Agung PAS sejurus selesai mesyuarat pertama itu.

"Kita telah membuat perlantikan dan dipersetujui sebulat suara.

"Perlantikan ini berkuatkuasa serta merta dan setiausaha akan mengantar surat kepada mereka," katanya.

Bagi Pesuruhjaya PAS negeri pula menyaksikan lima negeri mengalami perubahan iaitu Terengganu- Abdul Wahid Endut, Negeri Sembilan- Mohd Taufek Abdul Ghani, Selangor- Dr Abd Rani Osman, Melaka- Adly Zahari dan Sabah- Aminuddin Halim.

Kesemua negeri lain bagaimanapun kekal seperti senarai berikut:

Kelantan- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Pahang- Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Johor- Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Perak- Ust Abu Bakar Husin
Kedah- Datuk Seri Azizan Abdul Razak
P.Pinang- Ust Salleh Man
Perlis- Ust Hashim Jasin
Wilayah Persekutuan- Ust Mohd Noor Mohamad
Sarawak- Ust Adam Ahid

Read more ...

YB Chang Lih Kang mencemar Melayu, Siap PERKASA dan UMNO akan demo besar-besaran?

Read more ...

Utusan cuba 'mengislamkan' UMNO



KOMENTAR : Sokong bawa rebah. Sepatutnya sebagai akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bijaksana untuk memelihara kepentingan politik dan maruah Umno. Namun oleh kerana pimpinan Umno sendiri malas berfikir tanggungjawab untuk menjaga nama baik parti itu sendiri , tugas itu diserahkan kepada mereka yang kurang arif dan golongan yang mempunyai agenda sendiri di akhbar berkenaan.

Bayangkan betapa murahannya politik Umno apabila ada pengarang Utusan sendiri yang mengakui bahawa Islam umno memang banyak kelemahannya. Mungkin didorong oleh hasrat untuk memperagakan kewibawaan dan ketrampilan analisis politiknya, Utusan secara rasmi menyarankan Umno supaya menubuhkan sayap ulamanya sendiri.

Jalan ini telah dirintis oleh PAS, seteru politik Umno. Bagaimanapun pada pengamatan yang kabur pengarang Utusan, PAS dilihat seolah-olah telah mengenepikan golongan ulama dan lantas membuat rumusan peranan ulama dalam PAS sudah tidak releven lagi. Oleh itu, tanpa segan silu, Utusan menyarankan supaya Umno segera mengambil kesempatan politik daripada keadaan ini dan menubuhkan sayap ulamanya.

Apa yang agak melucukan ialah, Utusan mahu beberapa pemimpin PAS yang disyaki tertarik dengan pendekatan politik Umno supaya dijemput menerajui Dewan Ulama Umno yang mahu ditubuhkan ini.

Di sini jelas kedangkalan pengarang Utusan. Jika Umno teruja dengan saranan ini dan melaksanakannya, ia akan menjadi satu pengakuan bahawa Umno selama ini memang yakin bahawa ulama mesti diberi peranan lebih besar dalam mengemudi keperluan politik parti. Atau, dengan perkataan lain, Umno mengakui pengertian Islamnya selama ini lompong dan cacat. Sebab itu, ia memerlukan pimpinan dan panduan ulama.

Dalam nafas yang sama sekaligus ia adalah pengakuan bahawa Umno memang selama ini tidak memberi tempat wajar kepada pandangan Islam dalam tindak tanduk politiknya. Lantas, apabila PAS dilihat kurang mengambil berat soal input agama dalam politik kerana kononnya berkiblatkan kemenangan pilihanraya dan menakluki kuasa memerintah, maka Umno layak (kata Utusan) untuk mengambil alih usaha meletakkan ulama di tempat yang lebih wajar dalam sistem politik negara!

Lebai malang betul Umno ini. Orang-orang yang dianggap panglima komunikasinya di Utusan kini menjadi musuh yang mengaibkan lagi maruah parti itu. Sudahlah rumusan yang mereka (Utusan) buat mengenai muktamar PAS lalu silap, malah cadangan yang dilontarkan kepada majikannya pula cuma menambah contengan arang di muka Umno.

Cadangan itu juga menemplak bahawa memang selama ini Biro Agama Umno memang tidak mempunya ketrampilan, ilmu dan juga wibawa yang cukup ampuh untuk menafsirkan tuntutan Islam dalam politik. Dalilnya, Utusan mencadangkan supaya ulama-ulama yang terpinggir dari PAS dinobatkan sebagai pengemudi jalan agama bagi Umno pula!

Memang tidak sukar difahami mengapa Utusan bersikap demikian. Yang jelasnya, perubahan besar yang berlaku kepada pemikiran politik terkini PAS hingga membariskan golongan profesional memimpin pengurusan parti sebenarnya adalah hasil kempen Utusan sendiri. Dengan membuat pelbagai andaian, sindiran dan ramalan bahawa golongan ulama akan menyapu bersih pimpinan PAS dan menwar-warkan formula Kerajaan Perpaduan akan melindungi nasib Melayu dan Islam di Malaysia, ia sebenarnya menakutkan golongan yang kurang mesra dengan ulama dalam Umno sendiri.

Malah tahniah harus diberikan kepada Utusan kerana berkempen untuk golongan profesional PAS secara efektif kerana dengan memomokkan pimpinan ulama PAS seolah-olah lemah dan akan tunduk serta mahu bekerjasama ke arah Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Maka menjelang muktamar yang baru lalu, perwakilan PAS teruja untuk membuktikan bahawa ulama bukanlah mesti diukur dari insitusi mana mereka menimbu ilmu tetapi ciri-ciri ulama harus dihayati oleh semua barisan pimpinannya. Hatta lahirlah barisan profesional dalam badan pengurusan PAS.

Enggan mengaku pendekatan politik Islam PAS lebih syumul atau komprehensif berbanding Islam tempelan dalam Umno (yang hanya meletakkan Islam di peringkat biro dalam soal pemikiran politik parti), kini Utusan mengesyorkan Umno supaya mempertingkatkan komitmen Islamnya dengan mempunyai sayap ulamanya sendiri.

Umat Islam yang komited pada ajaran agama akan sentiasa berdoa agar Umno benar –benar mengutamakan pandangan ulama dalam keputusan dan tindakan politik mereka. Ini kerana lantaran kabur mengenai pemikiran dan konsep keadilan, kesamarataan insan di hadapan Allah dan juga erti Negara Berkebajikan, Umno selama ini meletakkan taraf dan pandangan ulama sebaris dengan Biro Kebudayaannya sahaja.

Syor Utusan ini benar-benar menyerlahkan betapa dangkalnya pemikiran politik Islam Umno. Adakah dengan meletakkan ulama dalam satu sayap setaraf Pemuda, Wanita atau Puteri dan Puteranya, Umno tiba-tiba akan berjaya mengubah persepsi dan pemikiran rakyat terhadapnya?

Namun sebelum sampai ke tahap itu, yang perlu dipersoalkan ialah, apakah pemimpin Umno hari ini akan serasi dengan pandangan ulama dalam membuat keputusan politik mereka?

Bolehkah dibayangkan betapa Presiden,Ttimbalan Presiden dan ahli Majlis Tertinggi Umno akan akur kepada pandangan ulama bahawa Anwar Ibrahim patut diberi peluang membela diri dengan melaksanakah hukum qazaf terhadap Saiful Bukhari yang jelas tidak ada beliau saksi diliwat?

Begitu juga dengan Datuk Trio – Rahim Thamby Chik, Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim – patutkan mereka dihukum qazaf serta disebat 80 kali kerana menuduh Anwar berzina dan menyebarkan video seks lucah?

Atau, adakah Utusan hendak mengatakan bahawa tahap kefahaman Islam pemimpin Umno selama ini memang kabur dan lebih buruk lagi memang tidak mengikuti ajaran Islam? Sebab itu, agaknya, Utusan tergamak mencadangkan supaya dewan Ulama Umno ditubuhkan supaya dapat “menunjukkan jalan yang benar” kepada pemimpin Umno?

Syor utusan memang berbaur politik. Ia cuba mencadangkan Umno supaya mengambil kesempatan politik daripada apa yang berlaku dalam PAS bagi mencatat satu kemenangann politik. Malangnya, ia menemplak Umno sendiri yang menjadi tauke mereka sebagai “kurang beragama” dan perlu bimbingan Dewan Ulama.

Anggaran 5 hingga 7 peratus pengundi Melayu-Islam akan termakan dengan kelongsong politik bahawa Umno kini lebih Islamik kerana ada Dewan Ulamanya sendiri, adalah satu khayalan, kerana dalam soal Islam selama ini gelagat pemimpin Umno ibarat “cakap tak serupa bikin”. Rasa lebih meloya dan benci mungkin lebih menebal terhadap Umno.

Bak syor Utusan “Satu Melayu, Satu Bumi” sebelum ini, syor kali ini membuktikan bahawa yang paling kuat mengejek Umno sekarang ini ialah juak-juak yang dilantiknya sendiri untuk melakar kempen memburukkan seteru Umno. Ternyata wartawan-wartawan upahan ini bukan sahaja terhad imaginasi mereka malah semakin jauh dihanyut arus politik lucah yang mereka cipta sendiri.

Read more ...