Thursday, January 13, 2011

Ada juga Professor ampu sana ampu sini



KUALA LUMPUR 14 JAN : PAS merasa hairan dengan segelintir ahli akademik pengampu yang memberi kenyataan seperti ketua cawangan Umno.

Menurut laporan Harakah Daily. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, mereka cuba berlakon seperti orang yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, hakikatnya masyarakat kampus kenal siapa mereka itu.

"Mereka hanya memberi kritikan kepada Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat yang dianggap boleh memusnahkan negara kerana negara akan pincang dari segi kewangan," ujarnya.

Tambahnya, rakyat tidak mendengar pula komen mereka mengenai projek Menara Warisan 100 tingkat yang bernilai RM5 bilion, peruntukan kepada projek Permata sebanyak RM111 juta, pada hal ia bukan sebuah kementerian, tarafnya seperti belia 4B Rembau sahaja.

"Ahli akademik pengampu ini membisu ketika wang negara difaraid kepada Apco Yahudi sebanyak RM77 juta setahun," ujarnya.

Mereka juga, katanya tidak memberi apa-apa komen mengenai subsidi kepada penjana kuasa (IPP) sebanyak RM19 bilion, sedangkan untuk 27 juta rakyat sebanyak RM11 bilion dihapuskan.

Beliau menambah, ketika rakyat bawahan mengikat perut kerana kenaikan harga barang akibat kenaikan harga petrol, waktu ini mana suara ahli akademik pengampu itu.

Justeru, kata Idris PAS juga hendak mengingatkan kepada ahli akademik sedemikian agar jangan merosakkan nilai akademik dan memalukan status intelektual dengan memberi komen untuk mengampu dan tidak mempunyai nilai akademik.

"Mereka ini ialah kelompok yang tidak popular di kampus baik dari segi pengajaran dan penyelidikan. Kelebihan yang ada ialah mengampu penguasa negara dengan harapan untuk naik pangkat.

"Jangan kerana nila setitik, susu sebelanga rosak," katanya lagi.

Beliau berkata, ahli akademik yang hendak menjadi pengampu dan melawan arus kebangkitan rakyat supaya memikirkan dengan matang, sekarang bukan zaman batu, tetapi zaman rakyat boleh mengetahui maklumat beribu batu. Sepatutnya, kata beliau sebagai ahli akademik mereka cuba membentuk pemikiran rakyat dengan berfakta, walaupun teguran itu terkena kepada Pakatan Rakyat.

"Inilah politik Malaysia yang diidam-idamkan oleh rakyat Malaysia," ujarnya.

Read more ...

Polis tertembak rakan sendiri



KUALA TERENGGANU 14 JAN : Seorang konstabel dari Balai Polis Batu Rakit dekat sini cedera parah selepas terkena tembakan senjata api rakannya sendiri pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Md Jamil berkata Md Rudzki Mohd Rozlan, 23, mengalami cedera parah di bahagian dahi selepas terkena tembakan semasa dia sedang memakai stokin di hadapan rumahnya berhampiran balai untuk bertugas pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa seorang rakan Md Rudzki yang juga seorang konstable berumur 24 tahun sedang memeriksa senjata api yang diambilnya di balai.

"Tiba-tiba senjata jenis Smith & Wesson itu meletup dan pelurunya terkena sipi di bahagian dahi dan kening Md Rudzki," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Beliau berkata Md Rudzki yang berasal dari Melaka baru lapan bulan bertugas di balai berkenaan, dan dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HSNZ. Hamzah berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000.


Read more ...

Isu Azan : Protes terhadap bantahan selepas Solat Jumaat



KUALA LUMPUR 14 JAN : Satu protes dirancang untuk diadakan selepas solat Jumaat hari ini, dipercayai bagi membantah dakwaan mengatakan sebuah masjid di kawasan Lembah Pantai di sini diminta tidak lagi menggunakan pembesar suara ketika azan.

Memetik laporan Malaysian Insider , Khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan sejak beberapa hari lalu mendesak orang Islam supaya berkumpul di Masjid Al-Kalsiah, Pantai Dalam - bagi membantah tindakan seorang "peguam Cina" mahu supaya azan dihentikan - perkembangan dikhuatiri bakal mencetuskan ketegangan baru di kalangan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

"Apa hak dia menyuruh kita menghentikan azan? Peguam Cina itu dengan angkuh menulis satu bantahan kepada Perdana Menteri dan menyebut ia adalah hak asasi dia untuk membuat permintaan itu," dakwa SMS tersebut.

"Semua jemaah diminta supaya menghadiri solat Jumaat 14 Januari di Masjid Al-Kalsiah Pantai Dalam dan menyertai protes membantah peguam Cina itu yang minta supaya azan dihentikan," tambah SMS yang disebarkan itu.

Bagaimanapun nama peguam tersebut tidak dinyatakan dalam SMS tersebut.

Ia menambah, masjid yang terletak di kawasan komersial baru yang dipanggil Bangsar Selatan itu mula dibuka sejak 30 tahun lalu dan peguam tersebut berpindah di kawasan yang majoriti orang Melayu sejak setahun lalu.

Satu ketika dahulu, kawasan Pantai Dalam dipenuhi dengan rumah setinggan dan rumah flat kos rendah tetapi kini ia telah dibangunkan dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, seorang pegawai dari Pekida mengesahkan protes tersebut akan diadakan di pekarangan masjid tersebut hari ini dan mendakwa pengurusan masjid itu dipaksa mematikan pembesar suara sejak dua minggu lalu.

"Sudah dua minggu sejak masjid dipaksa mematikan (pembesar suara) ketika azan dan penduduk tertanya-tanya apa yang terjadi. Kemudian mereka dapat tahu ia disebabkan tekanan yang diberikan peguam Cina itu," kata Rahimuddin Harun dari Pekida Kuala Lumpur.

"Ini sepatutnya tidak terjadi kerana rumahnya terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tapi masjid dipaksa mengalah kerana dia telah menulis surat kepada semua orang," katanya.

Read more ...

PR terus komitmen bersama



KUALA LUMPUR 14 JAN: Parti Islam Semalaysia (PAS) terus komited terhadap Pakatan Rakyat ekoran pertemuan dua pemimpin tertinggi PAS dengan Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin tertinggi Umno.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar mana-mana pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung pertemuan itu justeru menurut beliau, penjelasan telahpun disampaikan kepada kepimpinan PKR dan DAP.

"Kita puas hati dengan penjelasan itu terutama kerana penegasan Tuan Guru Hadi sepertimana yang dibuat Tuan Guru Aziz sebelum ini bahawa mereka tetap komited dengan Pakatan Rakyat dan kita tidak perlu timbulkan apa-apa isu atau prasangka lain.

"Sebelum itu pun Tuan Guru Hadi memang berikan penjelasan kepada saya dan sampaikan kepada Keadilan dan juga Kit Siang dan Guan Eng untuk disampaikan kepada pimpinan DAP," jelas Anwar petang semalam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya sebelum ini sebagai berkata, pertemuan yang diadakan di Istana Terengganu Kuala Lumpur itu diadakan atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam sidang media yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan rasa puas hati terhadap penjelasan yang diberikan PAS selain menegaskan dasar muafakat menjadi asas Pakatan Rakyat memperjuangkan agenda bersama parti itu.

"Kita puas hati bahawa PAS tetap teguh dalam Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda bersama supaya ada perubahan politik di tanah air kita," kata Kit Siang.

"Kita bersependapat bahawa dalam agenda dan dasar bersama PR, bahawa perubahan tanpa muafakat tidak ada dalam dasar bersama dan ianya bukan matlamat Pakatan Rakyat dan ini masih menjadi pendirian ahli parti dalam DAP, PAS dan PKR," ujar beliau lagi.

.

Read more ...

PR akan temui SPR



KUALA LUMPUR 13 JAN: Kepimpinan Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 19 Jan nanti bagi membincangkan sebarang pindaan undang-undang menjelang Pilihanraya Kecil DUN Tenang akhir bulan ini.

Ini kerana sebelum ini SPR selalu mengubah undang-undang berkaitan pilihanraya sehingga menyukarkan pakatan pembangkang di negara ini.

Bercakap kepada media selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di ibu negara petang tadi, Datuk Mustapha Ali berkata Pakatan Rakyat mahu memastikan pilihanraya kecil akan datang tidak dimanipulasikan pihak Umno-Barisan Nasional.

Justeru katanya lagi, walaupun Johor merupakan kubu kuat Umno-Barisan Nasional(BN), Pakatan Rakyat komited memberi tentangan hebat.

"Yang penting bagi kita ialah pilihanraya 'Free and Fair'. Saya telah maklumkan kepada SPR dan akan adakan perjumpaan. Bukan sahaja di Tenang tapi pilihanraya di Sarawak tidak lama lagi.

"Kita tahu Johor Kubu kuat BN tapi masa telah berubah," jelas beliau.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut akan mengadakan pertemuan dengan BERSIH bagi membincangkan perjalanan pilihanraya kecil di Tenang nanti.


Dalam pada itu, ditanya mengenai pendirian Pakatan Rakyat berhubung hasrat PAS Johor berhasrat menjadikan Johor negeri Islam, Mustapha berkata keputusan terletak di tangan kepimpinan tertinggi PAS.

"Dia (PAS Johor) bukan boleh buat keputusan bagi pihak PAS. Pimpinan tertinggi yang akan tentukan," kata Mustapha

Read more ...

Sultan Selangor tidak diketepikan

KUALA LUMPUR 13 JAN: Tidak timbul persoalan Sultan Selangor diketepikan dalam pindaan undang-undang negeri yang akan dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor seperti yang didakwa Umno-Barisan Nasional,kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru kata beliau, sebarang perincian mengenai pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor harus dirujuk kepada Menteri Besar dan ahli majlis tertinggi negeri itu.

"MB maklumkan ikut apa yang dilakukan mengikut prosedur biasa dalam perlembagaan dan tatkala mengadap memberi penjelasan kepada Tuanku sepertimana yang dilakukan setiap pagi hari Rabu.

"Jadi terperincinya biarlah MB dan ahli majlis kerajaan negeri menyampaikan isu-isu ini," ujar beliau.

Tambahnya lagi, sebarang pindaan yang akan dilakukan kerajaan negeri Selangor adalah berdasarkan peraturan.

Seraya Anwar menolak sebarang spekulasi kerajaan Selangor tidak menurut undang-undang.

"Apa apa pindaan diputuskan kerajaan negeri dan dipersembahkan kepada Tuanku mengikut peraturan yang sedia ada," katanya lagi selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat di ibunegara petang tadi.

Sementara itu, Datuk Mustapha Ali berkata sidang Dun tergempar kerajaan negeri Selangor tidak ada kaitan dengan ketaatan kerajaan Pakatan Rakyat kepada Sultan.

Menurutnya, ia merupakan dua buah elemen yang berbeza dari sudut perlembagaan.

"Sidang DUN satu hal yang lain, hormat Raja satu hal lain. Tidak berbangkit ada sidang Dun dan tidak menghormati Raja," kata beliau

Read more ...

Bahas terbuka, Najib jangan takut


KUALA LUMPUR 13 JAN: Pakatan Rakyat hari ini mengulangi keperluan mengadakan perbahasan terbuka antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak bersabit program 100 hari gagasan itu demi kebaikan rakyat.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang petang tadi menolak cubaan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk mengambil tempat Najib bagi perbahasan itu.

Selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, adalah wajar untuk Najib yang menyertai perbahasan itu, kata Anwar kepada pemberita.

"Cabaran dan kritikan ( datang) daripada PM dan ini isu kewangan. Bukan isu ahli parlimen yang hendak bersara," kata Anwar.

Khairy sebelum ini mengumumkan beliau tidak mahu mempertahankan kerusi parlimen Rembaunya pada pilihanraya umum akan datang setelah gagal untuk dilantik ke sebarang jawatan Kabinet oleh Najib.

Najib semalam enggan berbahas dengan Anwar atas alasan perbahasan itu tidak akan membawa sebarang hasil.

Namun beliau menggunakan media arus perdana untuk mengkritik program itu sebagai tidak realisitk dan bakal memufliskan negara.

Program 100 hari Pakatan Rakyat menawarkan subsidi rakyat yang lebih tinggi, lebuhraya tanpa tol, imbuhan yang lebih baik untuk kakitangan awam yang memerlukan peruntukan RM19.2 bilion ringgit. Ia akan dilaksanakan dalam tiga bulan pertama gagasan itu menawan Putrajaya.

Pakar-pakar ekonomi yakin program itu berwibawa kerana berpaksi kepada penjimatan wang rakyat jika pemberian kontrak kepada syarikat kroni dibanteras, manakala subsidi untuk syarikat korporat kroni dikurangkan.

Transparency International menganggar rasuah menyebabkan negara kerugian RM10 bilion setahun. Ketua Audit Negara, dalam laporan tahunannya mendedahkan ketirisan sahaja mengakibatkan Malaysia kerugian RM28 bilion ringgit.

Anwar berkata program ekonomi pakatan rakyat yang dikenali sebagai "buku jingga" akan diedarkan kepada rakyat di setiap negeri dalam tempoh sebulan.

Merujuk kepada kritikan Najib terhadap program 100 hari PR, Anwar berkata Najib harus menyahut cabaran untuk berbahas dengannya supaya rakyat boleh menilai program yang ditawarkan oleh BN dan Pakatan Rakyat.

"Kita keluarkan dengan hujah yang diperkukuhkan oleh kumpulan penasihat ekonomi. Kalau mahu rakyat menilai, orang yang bertanggungjawab dalam pengurusan ekonomi, PM dan PR yang mempunyai dasar alternatif harus berbincang secara terbuka," jelas beliau kepada media.

"Kita akan mempertahankan keperluan menyebar luas program ini dan memberi ruang kepada BN mengulas," tambah Anwar lagi.

Anwar turut mengumumkan sebuah konvensyen khas PR mengenai ekonomi akan dianjurkan bersama NGO pada bulan Mac nanti.

Read more ...

Nasional » Sentral » Khusrin: Sultan Arah 'Dato Seri' Khir Toyo Digantung Khusrin: Sultan arah 'Dato Seri' Khir Toyo digantung




SHAH ALAM 13 JAN : Penyerahan balik Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran "Dato' Seri" kepada Dr Khir Toyo, adalah sebenarnya atas arahan Sultan Selangor dan bukannya 'penyerahan sementara' seperti yang didakwanya.

Keputusan berkenaan dibuat oleh baginda setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor pada 11 Januari lalu yang memutuskan darjah itu digantung, kata Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam satu kenyataan hari ini.

"Penggantungan gelaran dan penggunaan Darjah Kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan Yang Berhormat tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan," tambahnya.

Menurut beliau, keputusan itu berikutan pertuduhan rasuah terhadap mantan menteri besar Selangor itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Selain Dr Khir, darjah kebesaran Pengarah Ditamas, Shamsuddin Haryoni yang juga didakwa dalam kes yang sama, turut digantung.

Khir dianugerahkan gelaran 'Dato Seri' pada 2001 manakala Shamsuddin pula dianugerah gelaran 'Dato' pada 2002.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara," kata Khusrin.

Semalam, Dr Khir dalam blognya menulis beliau telah memulangkan sementara darjah kebesaran berkenaan tanpa menyebut tindakannya itu atas arahan sultan.

Beliau berkata pemulangan semula pingat itu bagi mengelak darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung.

Pada 6 Disember lalu, Dr Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbicaraan kes rasuah terhadap menteri besar Selangor itu akan didengar pada 6 hingga 24 Jun ini.

Read more ...