Muktamar: Nik Amar lawan Mat Sabu? KUALA TERENGGANU – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkemungkinan turut dicalonkan Pas Kawasan Kuala Nerus bertanding jawatan timbalan presiden sekali gus mencabar penyandangnya, Mohamad Sabu dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Keadaan itu berkemungkinan besar memandangkan Nik Mohd Amar dijemput Pas kawasan itu untuk merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Nerus Kali Ke-53 pada 14 September lalu.

Sekiranya benar beliau mendapat sokongan di kawasan Kuala Nerus, ini bermakna Nik Mohd Amar mendapat dua pencalonan di peringkat negeri setakat ini selepas Besut.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus, M Shukrimun Shamsudin berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Rabu depan untuk mencalonkan nama bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden.