Tuesday, April 6, 2010

Baiduri penipu



Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta Polis menyiasat Badan Amal dan Usaha Isteri-isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional negeri Perak (BAIDURI) kerana masih menggunakan nama lamanya iaitu Badan Amal Dan Usaha Isteri-isteri Wakil rakyat negeri Perak (BAIDURI) sedangkan mereka telah meminda dengan menukar nama barunya daripada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Negeri Perak yang telah diluluskan tahun 2008 lagi.

DPPN Pk merasakan BAIDURI yang boleh disifatkan sebagai badan politik tidak boleh menerima sumbangan daripada pihak Kerajaan Negeri mengikut etikanya. BAIDURI jelas telah menipu semua agensi Kerajaan Negeri yang telah menyalurkan sumbangan kepadanya, ini jelas telah menyalahgunakan kewangan rakyat dan kerajaan. DPPN Pk juga merasakan Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memperjelaskan berkaitan perkara ini kerana DPPN Pk telah membuat aduan pada 27 Jun 2008 lagi.

DPPN Pk meminta supaya pihak Polis dan juga SPRM telus di dalam memastikan sumber kewangan rakyat dan juga kerajaan tidak disalahgunakan. Rakyat sudah tentu mempertikaikan BAIDURI yang jelas menggunakan nama sebuah parti politik mendapat kewangan rakyat dan kerajaan dan ini tidak sepatutnya berlaku.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Read more ...

Polis lambat-lambatkan usaha PKR


GERIK, 6 April : Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa menahan serta melambat-lambatkan usaha mereka mengedarkan risalah Fitnah Dua di beberapa kawasan sekitar Perak, kelmarin.

Ketua Biro Strategi PKR Perak, Mat Nasib Rahim berkata, beliau kecewa apabila rombongan menaiki bas, Majlis Pemimpin PKR Perak terdiri dari 22 cabang PKR serata negeri ditahan beberapa kali dalam perjalanan mereka.

“Rombongan ini dikawal ketat sepanjang perjalanan, bermula dari Ipoh ke beberapa kawasan dan berakhir di Gerik.

“Kami di tahan di sepanjang perjalanan dengan tujuan untuk melambatkan perjalanan kami ke sembilan cabang PKR serata negeri Perak mengedarkan risalah Fitnah Dua yang mengandungi maklumat berkenaan fitnah ke dua dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui di hadapan perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, dekat sini.

Mat Nasib berkata, semasa di Sungai Siput pihak berkuasa turut menggunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menahan kami ketika dalam perjalanan mengedarkan risalah yang mengandungi kenyataan dari Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

“Sungguhpun kami telah mengemukakan bukti-bukti serta dokumen-dokumen secukupnya berkenaan rombongan, namun kami tetap ditahan dan perjalanan kami dilambatkan,” katanya.

Beliau mendakwa bahawa tindakan itu jelas melanggar prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Kami kecewa dengan tindakan mereka yang bersekongkol dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghalang usaha PKR memperjuangkan keadilan.

“Walhal kami hanya bergerak sebagai satu rombongan sahaja dengan menaiki sebuah bas untuk mengedarkan risalah-risalah berkenaan, serta fokus atau sasaran kami pula adalah cabang-cabang parti di sembilan kawasan di Perak,” katanya.

Rombongan Majlis Pemimpin PKR Perak itu melibatkan seramai 15 peserta rombongan ketika tiba di Gerik, termasuk Wanita PKR dan juga Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Perak, Madzi Hassan memaklumkan beberapa barangan yang dibawa dirampas ketika ditahan di Gerik dan dibawa ke IPD Gerik.

“Sebanyak 1,722 keping risalah yang mengandungi maklumat berkenaan fitnah kedua dilemparkan kepada Anwar dirampas bersama satu ‘banner’ bertulis Konvoi Keadilan Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

“Kami benar-benar merasa kesal dan menganggap ia sebagai satu halangan terhadap usaha mencari keadilan,” katanya.SH

Read more ...

Tujuh rumah dilanda ribut


PARIT BUNTAR, 6 April : Tujuh rumah di Parit Haji Abdul Rahman, Parit Haji Tahir dan Batas Raja rosak teruk akibat kejadian ribut kencang, petang semalam.

Kerosakan yang dialami rumah tersebut melibatkan sebahagian besar bumbung dan dinding.

Bagi menunjukkan rasa prihatin, Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Harun Haji Hashim mengetuai rombongan PAS Parit Buntar membuat lawatan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut berkenaan.

Harun berkata, dia bersimpati terhadap mangsa ribut dan berharap Kerajaan Negeri memberi bantuan segera kepada mereka.

Menurutnya, keadaan rumah yang dilanda ribut ini amat menyedihkan kerana ada yang hilang sebahagian besar bumbung dan sebelah dinding.

“Saya berharap mangsa dapat bersabar dengan ujian Allah yang menimpa kerana setiap sesuatu yang terjadi mempunyai hikmahnya.

“Kejadian ribut kerap berlaku di Parit Buntar ini dan berharap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa ribut berkenaan.SH

Read more ...

1Malaysia hanya nama


KOTA BHARU , 6 April : Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan tidak menarik perhatian rakyat di negara ini, Kata Pengerusi Dewan Perhimpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw.

Menurutnya, Gagasan 1Malaysia hanyalah berkisar kepada nama yang gah, sebaliknya tiada pembaharuan melalui pemerintahan yang diterapkan Perdana Menteri.

“Tiada apa yang baru, ia hanyalah sekadar nama yang sedap tetapi tiada pengisian yang jelas,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Najib selepas genap setahun mengambil alih kepimpinan negara.

Sebelum ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pembentukan gagasan tersebut mendapat nasihat daripada syarikat perunding Apco Worldwide (Apco) iaitu syarikat yang dikaitkan dengan pembentukan slogan 1Israel pada tahun 1999.

Phang Chaw turut mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep itu sedangkan ia sepatutnya ia sudah menjadi teras kepada mana-mana pemimpin yang menjadi ketua negara.

Dalam pada itu, ditanya adakah konsep itu akan diuji dalam pilihan raya Hulu Selangor, beliau berkata, rakyat memberi undi berdasarkan kepada parti yang menjaga kebajikan rakyat.

“Saya tidak nampak ia menjadi kelebihan kepada BN, malah jika Perdana Menteri mahu konsep 1Malaysia, sudah tentu beliau tidak perlu berfikir panjang untuk meletakkan calon MIC,” katanya.SH

Read more ...

Zulkifli Nordin suka putar belit



ALOR SETAR , 6 April : Exco Kerajaan Negeri, Lim Soo Nee menyifatkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin seorang yang gemar memutar belit fakta.

Katanya, Zulkifli sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya, walaupun terpaksa mempergunakan nama pihak ketiga.

“Saya dedahkan perkara ini kerana tidak sanggup lagi melihat rakyat ditipu dengan mudah oleh Zulkifli. Dengan penampilan dirinya itu saya yakin ramai yang sudah terpedaya,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Soo Nee, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim berkata, beliau terpanggil untuk mendedahkan rahsia Zulkifli kerana tidak sanggup lagi bersubahat dengan Ahli Parlimen bebas itu, terutama apabila Zulkifli mendakwa beliau ditawarkan ganjaran besar untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Jika benar beliau ikhlas dan profesional, sepatutnya ketika menerima tawaran itu beliau membuat laporan polis atau mendedahkannya kepada umum. Tetapi kenapa baru sekarang, setelah hampir empat tahun berlalu?” katanya.

Soo Nee berkata, ketika sama-sama berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Zulkifli pernah mengaku menyimpan bukti kes pembunuhan itu, ketika mewakili tertuduh dalam kes terbabit, Cif Inspektor Azilah Hadri, tetapi menarik diri kerana didakwa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam persediaannya membuat pembelaan.

Mengulas mengenai insiden yang dianggapnya menganiayai rakan separti, Soo Nee berkata, Zulkifli pernah menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya pada PRU-12, untuk meminta wang bagi digunakan ketika berkempen dengan menggunakan nama pihak ketiga.

“Mengikut rekod SMS itu, katanya, jentera Pas meminta RM21,000 untuk berkempen dan jika tidak dipenuhi, jentera Pas akan memboikot kempen itu. Katanya, saya hanya perlu tanggung sebahagian kos, iaitu RM7,000,” katanya.

Soo Nee berkata, memandangkan beliau tidak memberi maklum balas kepada SMS itu dengan segera, Zulkifli menghantar SMS kedua, memaklumkan kemarahan pihak terbabit dan meminta beliau memberi sejumlah yang mampu.

“Setelah Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya itu, kebetulan saya terjumpa Yang Dipertua Pas Kulim Bandar Baharu ketika itu, Yaakub Husin dan bertanya mengenai hal itu, tetapi beliau menafikan meminta wang untuk berkempen. Sejak itu, saya tertanya-tanya bagi tujuan apa duit itu diambil oleh Zulkifli?” katanya.:

Dengan pendedahannya itu, Soo Nee mencabar Zulkifli membuat kenyataan balas terhadap semua tindakannya, atau setidak-tidaknya meletakkan jawatan untuk menegakkan kebenaran.

“Eloklah buat pilihan raya kecil (PRK). Selepas itu kita lihat sama ada penduduk Kulim Bandar Baharu masih menyokong beliau atau sebaliknya,” katanya.

Soo Nee berkata, beliau berani membuat tuduhan ini kerana sehingga kini beliau masih menyimpan bukti, termasuk SMS yang dihantar Zulkifli dua tahun lalu, bertarikh 5 Mac dan 6 Mac.

Sementara itu:, Zulkifli, ketika dihubungi berkata, beliau tidak berminat berbalas kenyataan secara terbuka.

Menurutnya, apa sahaja tuduhan yang dilemparkan kepadanya “tidak perlu diperbesarkan” dan beliau “tidak kisah dengan tuduhan itu”, walaupun tuduhan itu sedikit sebanyak akan mencalar imejnya sebagai seorang pemimpin.

“Saya tidak minat untuk menjawab semua pertuduhan itu secara terbuka.

“Saya tak minat langsung nak komen isu ini. Apa yang saya boleh katakan ialah saya kenal Soo Nee sebagai seorang rakan dan ucapkan selamat maju jaya kepadanya.:

”Saya minta dia jaga kawasan dia dengan elok supaya dapat jadi calon pada masa akan datang.

“Biarlah apa dia nak kata. Saya tetap dengan pendirian saya, tak mahu berbalas kenyataan tentang isu yang dibangkitkan,” katanya.SH

Read more ...

Pemuda Serawak bangkit



MIRI, 6 April : Dewan Pemuda PAS Miri bersama-sama parti komponen Pakatan Rakyat Sarawak terdiri Angkatan Muda Keadilan, DAPSY dan SNAP telah menjayakan program Pentas Pemuda Pakatan Rakyat bertempat di perkarangan rumah YDP Pas Miri, Tuan Haji Jofri.

Lebih menarik kehadiran pimpinan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduk Nik Aziz serta Saudara Khairul Anuar ,Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat yang juga merupakan bekas calon Parlimen Pekan yang berhadapan dengan Perdana Menteri Najib pada 2008.

Lebih ratusan hadirin tidak berganjak dari tempat duduk biarpun hujan turun pada malam itu.
Hadirin yang kebanyakan golongan pengundi muda turut serta mendaftarkan diri sebagai ahli PAS bersempena program Jom Sertai PAS.

Simbolik pada malam Pemuda Pakatan tersebut, satu majlis pengistiharan Pakatan Rakyat Miri dengan setiap wakil Pemuda parti menyerahkan vest yang tertera logo keempat empat parti dan nama Pakatan Rakyat kepada semua pimpinan tertinggi PR Miri.

Lebih manis ia disarungkan oleh komponen berlainan dengan Pn Zulhaidah (AMK) menyarungkan kepada Madam Lim yang mewakili Saudara Fong Pui Tek (DAP) dan Ustaz Nik Abduh (DPPas) menyarungkan kepada Dr Michael Teo (PKR) Sementara wakil DAPSY, Saudara Micahel Ding menyarungkan kepada wakil SNAP, sementara wakil SNAP Abg Azeez memakaikan kepada Haji Jofri (PAS).

Ini jelas menunjukkan solidariti Pakatan Rakyat yang terus kukuh menjelang PR DUN nanti.

Michael Ding (DAP) selaku pimpinan muda pertama berucap telah menzahirkan akan kerjasama lebih erat khasnya dari pimpinan muda parti DAP yang akan terus kukuh dalam menjalin kerjasama erat bersama PAS, PKR dan SNAP dalam menjayakan msi Pakatan.

Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap kepimpinan PAS terutama Tuan Guru Nik Aziz dalam menjadi pemimpin yang rendah diri dan berjiwa rakyat.

Ini menjadi panduan hatta kepada pimpinan DAP seperti Datuk Seri Lim Guan Eng yang menyatakan misi mencontohi tokoh kepimpinan ulama Khalifah Umar Abdul Aziz.

Bagi Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Wan Syukairi menjelaskan prinsip asas semasa kerajaan PAS memerintah di Terengganu pada 2004 bahawa setiap rakyat diberi tanah atas prinsip kebajikan dan kemanusiaan akan tetapi di Sarawak tanah adat dirampas dari menjadi hakmilik rakyat tetapi diberi kepada kroni pembalakan Taib Mahmud.

Ini disusuli ucapan daripada saudara Khairul Anuar yang membawa isu pendidikan apabila menunjukkan fakta dan bukti masalah kewangan Kerajaan apabila mengarahkan pelajar Sekolah Berasrama pulang pada hujung minggu bagi mengurangkan kos perbelanjaan makanan.

Lebih malang lagi kata beliau apabila PRK DUN Hulu Selangor, BN menabur gula gula politik projek mee segera dengan janji membina 4 sekolah baru;akan tetapi di Miri Sarawak, guru hanya tinggal di bawah bilik darjah malahan bekalan air bersih pun tidak mampu dimiliki.

Program pada malam tersebut dihangatkan oleh ucapan Ustaz Nik Abduh (PAS) yang membawa mesej dari ayahanda beliau Tuan Guru Nik Aziz bahawasanya PAS dan DAP akan terus erat bersama PR biarpun usaha giat UMNO/BN menghalangnya.

Politik yang PAS majukan adalah berteraskan Politik Li Ta'arafu - politik saling menghormati, khususnya bagi negeri Sarawak yang bersifat majmuk, dan dengan ini, ia bertambah penting bagi PAS menyerlahkan sifat keadilan Islam yang mampu meraikan kepelbagaian.

PAS menegaskan menawarkan diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan Negeri bersama setiap rakan PR dalam mengambil alih tampuk pemerintahan dari regim BN/Taib Mahmud yang telah mendatangkan banyak kegagalan dalam sudut pentadbiran di negeri ini.
Pesan ayahanda TG Nik Aziz untuk membawa perubahan di Negeri Bumi Kenyalang yang kaya hasil minyak dan balak untuk kebajikan rakyat.

Pada kesokan harinya rombongan bergerak kerumah fakir miskin dan ibu tunggal bagi menyampaikan bantuan keperluan di sekitar Tudan.

Ustaz Nik Abduh jelas kecewa dengan keadaan uzur rumah rakyat di Sarawak membandingkan hasil negeri yang begitu tinggi.

Secara sinis beliau berkata;“Di Kelantan kami disekat royalti tapi rakyat tidak semiskin di Miri.
Di Sarawak empangan ada royalti ada tapi rumah tiada elektrik dan hampir nak runtuh".

Sementara itu, Ustaz Wan Syukairi secara berseloroh menambah "Jangan runtuh seperti Stadium di Terengganu sudah. Inikan semua salahguna kuasa BN”.

Yang pasti program yang berlangsung di Miri ini akan menjadi satu momentum perubahan besar kearah menjayakan misi Sarawak kearah Negeri Rakyat dan Berkebajikan.

Read more ...

Dua agen perisikan Israel di Bukit Aman dicurigai










K UALA LUMPUR, 6 April: Kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertikai apabila Asiasoft (M) Sdn Bhd dilantik sebagai sub-kontraktor bagi pembangunan Sistem Laporan Polis (RPS) Fasa ketiga, dari sistem analog kepada sistem digital.


"Sistem Laporan Polis (PRS) fasa ketiga diserahkan pada Perunding Master Plan Sendirian Berhad (kontraktor utama) yang kemudiannya diserahkan pada sub kontraktor Asiasoft tanpa mengikut prosedur," jelas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) tengah hari tadi dalam suatu kenyataan media di lobi Parlimen.


Menurutnya, perlantikan firma komunikasi strategik tersebut mencurigakan kerana turut membabitkan dua programmer dari Agensi Perisikan Israel (ISA), iaitu Izhak David Naskar dan Ido Sccheschter.


Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mendedahkan, Izhak merupakan pakar sistem komputer yang pernah memenangi anugerah dari Kementerian Pertahanan Israel.


Izhak kemudiannya, menurut Anwar, bertanggungjawab membangunkan sistem perisikan berteknologi tinggi negara haram Israel beberapa dekad lalu.


Manakala, Ido pula, menurut Anwar dipercayai masih berkhidmat sebagai tentera kor risik Israel.


Kedua-dua peribadi misteri tersebut, menurut dakwaan Anwar, sedang melakukan tugas masing-masing di tingkat dua dan tiga, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.


Tidak cukup dengan itu, menurut Anwar, keterlibatan perisik Zionis-Israel dalam PDRM dan sistem keselamatan dalam negeri turut disahkan sendiri oleh (Unit Polis) Cawangan Khas dan Jabatan Logistik Polis Bukit Aman.


Pun begitu, menurut Anwar, pegawai tertinggi dalam Polis dan KDN sendiri seolah-olah merestui keterlibatan dua perisik Israel dalam sistem keselamatan negara.


Dari segi yang lain, Anwar berkata, walaupun AsiaSoft tersebut didaftarkan di Malaysia, namun syarikat itu dimiliki secara penuh oleh Asiasoft Pte. Ltd yang berpangkalan di Singapura.


Bercakap pada sidang media yang sama, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS merayu kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya campur tangan dalam isu terbaru tersebut.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu wajar berbuat demikian memandangkan PDRM di bawah legasi mereka.


Antara yang menyertai Anwar dan Mahfuz adalah Tian Chua (Ahli Parlimen Batu), Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap), Yusmadi Yusof (Ahli Parlimen Balik Pulau).


Sebelum pada itu, Anwar ketika membahaskan bajet tambahan KDN di Dewan Rakyat, mendedahkan beberapa surat rasmi PDRM berhubung pembabitan dua perisik Israel dalam PDRM.


Selain itu, beliau turut meminta KDN menjelaskan tentang projek APCO425 (kemudiannya dikenali sebagai RMT Net) di Taman Teknologi Sungkai yang bernilai antara RM900 juta hingga RM999 juta.

Read more ...

Tangkap keli Afrika

BAGAN SERAI, 5 April : Satu pertandingan memancing anjuran Nisa' PAS Kawasan Bagan Serai telah diadakan dengan jayanya di kolam Haji Sulaiman,Masjid Tinggi.

Pertandingan ini adalah kali kedua anjuran Nisa' selepas pertandingan pertama yang diadakan pada tahun lepas.

Berbeza dengan tahun lepas,kali ini pertandingan ini juga boleh disertai oleh kaum lelaki.Sebanyak 171 penyertaan telah terlibat dalam aktiviti kali ini.

Pertandingan bermula pada jam 830 pagi dan setiap joran dikenakan yuran sebanyak RM10.Selain daripada memancing,diadakan juga slot menjawab teka-teki,cabutan bertuah dan juga 3 soalan cepumas(soalan ini adalah dari tuan punya kolam iaitu Tuan Haji Sulaiman).

Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu ikan terberat dan ikan terbanyak.Tempat ketiga RM150,tempat kedua RM250 dan juara RM 350 beserta hamper.
Kaunter pendaftaran dan gerai jualan makanan dan minuman untuk para peserta dan pengunjung

Hos yang sentiasa berceloteh dan membuat pengumuman

Antara hadiah-hadiah menarik yang menanti para peserta

Kaum lelaki di sebelah kanan kolam

Kaum wanita disebelah kiri kolam

Adik-adik turut serta dalam pertandingan ini

Harakah untuk dijual

Tuan punya kolam,Haji Sulaiman sedang memerhatikan gelagat pemancing-pemancing

Si kecil juga turut serta

Wajah-wajah ceria si kaki pancing...Ramai yang dapat hasil dan tidak kurang juga yang berputih mata...
Tukang timbang ikan untuk pertandingan ini diketuai oleh saudara Zuwairi.Pertandingan tamat pada pukul 12 tengahari.Jumlah ikan yang telah dinaikkan oleh semua perserta adalah sebanyak 86 ekor ikan.
Inilah dia juara untuk pertandingan kali ini.Tahniah diucapkan kepada saudara Fauzi B Itam dari Parit Ali Kalang denagn ikan seberat 8.1 kg.Hadiah telah disampaikan oleh YB Husin kepada semua pemenang.
Dan di bawah ini adalah aksi saudara Fauzi ketika hendak menaikkan ikan yang telah menjadikan beliau juara hari ini dan nasib memang menyebelahi beliau kerana turut mendapat habuan dalam cabutan bertuah.


Alhamdulillah,semuanya berjalan dengan lancar sekali.Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.Dan majlis tamat pada pukul 1 tengahari.Dan,Insyaallah pada tahun depan pertandingan yang sama akan diadakan lagi memandangkan sambutan yang hangat dari penduduk sekitar.

Read more ...

Pelbagaikan aktiviti PAS Cawangan

b1235903.jpg picture by  paspb


PARIT BUNTAR, 5 April : Organisasi PAS Cawangan akan lebih kukuh melalui gabungan tenaga kerja semua ahli PAS di cawangan.


Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa berkata, setiap ahli PAS cawangan diingatkan agar bersama-sama memberi sumbangan kepada setiap aktiviti yang dijalankan oleh PAS Cawangan


“ Setiap ahli PAS mempunyai tanggungjawab masing-masing mengikut tahap serta kemampuan bagi membantu PAS Cawangan “ katanya


Bahrain berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Pekan Tanjung Piandang di Markas PAS Tanjung Piandang


“ PAS Kawasan Parit Buntar meletakkan kepercayaan yang penuh kepada ahli parti tanpa mengira peringkat usia, lama dan baru dalam perjuangan.


" Malah, PAS sekarang menggabungkan keahlian di kalangan golongan ulama', profesional, petani dan nelayan, " katanya

b1252e0.jpg picture by paspb


Beliau juga menyarankan agar PAS Cawangan mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan selain aktiviti keagamaan yang sedia berjalan di Markas Tanjung Piandang.


“ Melalui aktiviti yang dijalankan ini bukan sahaja menarik masyarakat setempat untuk hadir ke Markas.


“ Malah, masyarakat akan memandang tinggi kepada PAS Cawangan yang aktif mengadakan aktiviti berbanding parti lain” katanya


Bahrain berkata masyarakat sudah maklum bahawa PAS Cawangan Pekan Tanjung Piandang banyak mengadakan aktiviti terutama di bulan Ramadhan.


Saya puji kemampuan PAS Cawangan ini mengadakan pelbagai aktiviti. Jadi, saya berharap PAS Cawangan dapat menggandakan usaha mengadakan aktiviti terutama yang membabitkan anak-anak muda “ katanya

Read more ...

Najib akhirnya mengaku kerajaan tiada duit



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) persoalkan kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak yang mengakui bahawa asas perolehan negara pada masa ini tidak kukuh dan Kerajaan tidak mampu untuk membayar gaji penjawat awam, sedangkan pada akhir tahun lepas kerajaan bangga mengumumkan bahawa ekonomi berkembang dengan baik iaitu 4.5% dan tahun ini dijangka melebihi 5.5% pula.

Najib (gambar kanan) terdesak membuat pengakuan itu demi untuk menarik perhatian kakitangan awam untuk menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kini ditolak oleh majoriti rakyat.

Kenyataan Najib itu membuka pekung pemerintahannya yang kini sedang sibuk menabur duit di Hulu Selangor sempena pilihanraya kecil.

Tindakan Najib memaksa kakitangan awam menyokong dasar ini secara membuta tuli adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini di mana setiap warganegara berhak untuk membuat pilihan sama ada mahu menyokong atau tidak.

Tidak guna gaji kakitangan Kerajaan dinaikan sedangkan dalam masa yang sama cukai GST diperkenalkan.

Jika GST dilaksanakan, keadaan ekonomi kakitangan awam mungkin lebih teruk kerana kenaikan gaji hanya sekitar RM200-RM500 sahaja sedangkan pertambahan kos sara hidup berkemungkinan meningkat lebih dari kadar itu.

Najib juga dilihat zalim kerana menjadikan kakitangan kerajaan sebagai "hamba" yang kena terima apa sahaja yang kerajaan ingin lakukan. Oleh itu, kakitangan kerajaan harus bijak dan menolak dasar ini.

Kerajaan boleh tangguhkan kenaikkan gaji sehingga ekonomi pulih sepenuhnya tanpa perlu perkenalkan cukai baru.

Jika GST dilaksanakan, bukan sahaja 1.2 juta kakitangan awam akan jadi mangsa, lebih 25 juta rakyat Malaysia akan terima kesannya.

Pekerja swasta yang tidak mendapat kenaikan gaji akan menerima kesan yang lebih teruk, kerana kos hidup mereka secara purata bertambah 4%.

Oleh itu PAS berharap agar kakitangan Kerajaan tidak menurut sahaja kehendak Najib. Jika dasar ini dilaksanakan bersama Model Ekonomi Baru, maka rakyat negara ini akan lebih sengsara.

Ketiadaan syarat ekuiti tempatan akan menyebabkan pasaran negara akan datang dimonopoli oleh pelabur dan perniagaan asing.

Dan pastinya mereka tidak peduli kesusahan rakyat di negara ini dan mereka boleh kuasai harga jual beli pasaran dalam negara dengan mudah. Jika mereka naikkan harga, maka nilai 4% cukai GST juga naik.

Kerajaan tidak mampu kawal perkara ini, malah Kerajaan kini cuba juga untuk hapuskan subsidi bagi melepaskan diri dari tanggungjawab membantu rakyat. Jadi bayangkanlah harga gula, beras, minyak tanpa subsidi tapi ditambah dengan cukai GST 4%.

Tidak cukup dengan itu, dengan begitu banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA), pelabur dan peniaga tempatan juga akan bungkus kerana tidak dapat bersaing kerana harga barang mereka akan jadi lebih mahal jika dicampur dengan GST, berbanding harga barang China yang lebih murah kos pembuatannya.

Jadi, GST bukan sahaja akan beri kesan kepada Kakitangan kerajaan, ia akan memberikan kesan kepada seluruh sistem ekonomi negara. PAS tetap akan menentang dasar ini untuk kepentingan rakyat.

*Kenyataan media oleh Idris Ahmad selaku Ketua Penerangan PAS.

Read more ...

Untung pasir untuk rakyat


SG TENGI 5 April :
Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata 10 peratus daripada keuntungan penjualan pasir sepanjang tahun ini akan diperuntukkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung diseluruh negeri Selangor.

Berucap pada Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Felda Sg Tengi semalam beliau berkata melalui urus tadbir yang lebih telus dan profesional melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, penjualan pasir telah meningkat kepada 500,000 metrik tan dengan keuntungan sebanyak RM3.5 juta sebulan.

"Ini jauh berbeza semasa pentadbiran Barisan Nasional di mana kerajaan negeri hanya memperolehi keuntungan RM2.7 juta setahun.

"Jumlah penjualan pasir dijangka akan meningkat apabila kita mengeluarkan lesen kepada tanah milik individu dan tahun ini kita harap dapat mengutip RM30 juta. 10 peratus daripada jumlah ini akan kita agihkan kepada JKKK," kata Yaakob.

Beliau berkata berbeza dengan Umno-BN yang hanya pandai membuat janji kepada rakyat tetapi tidak menunaikannya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor sebaliknya menyegerakan sebahagian daripada janji yang dibuat dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008.

Inii termasuk 20 meter padu air percuma, skim warga emas dan khairat kematian, tabung pendidikan dan terbaru perlaksaan program mikrokredit bagi membantu usahawan kecil.

"Di Selangor kami wakil rakyat hanya menjadi pelaksana amanah yang diberikan rakyat. Rakyat adalah bos kami tetapi di bawah Umno-BN mereka kata kami adalah bos dan harta negeri adalah hak kami, rakyat marhaen jangan tanya apa-apa dan ikut sahaja," ujar beliau.

Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berkata kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat tekah membawa perubahan besar sejak dua tahun memerintah dan aka terus melaksanakan program pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor tujuan utamanya ialah untuk memperkasakan hak ekonomi rakyat melalui dasar yang telah kita laksanakan.

"Baru kami mentadbir kerajaan negeri bermacam-macam mampu kami lakaukan, belum lagi kita mentadbir kerajaan pusat.

"Umpamanya kita bercadang daripada keuntungan besar Petronas, 10 peratus akan kami agihkan kepada program pembasmian kemiskinan, 10 peratus lagi kepada skim pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia dan 10 peratus untuk meningkat mutu perkhidmatan kesihatan," kata Saari.

Justeru itu Saari menyeru kepada pengundi Huu Selangor agar memberi sokongan padu kepada calon KEADILAN-Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil 25 April depan kerana Hulu Selangor adalah jalan penting menuju ke Putrajaya.

Read more ...

BN langgar peraturan pilihanraya



SHAH ALAM , 5 April : Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) membidas tindakan Kerajaan Pusat meluluskan pelbagai projek perumahan dan sekolah kepada penduduk Hulu Selangor.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Barisan Nasional (BN) seolah-olah tidak menghormati proses pilihan raya demokratik dan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak tegas terhadap BN.

”Ini satu jenis kempen dan kalau berbalik kepada peraturan pilihan raya, tindakan itu adalah kesalahan mengikut peraturan pilihan raya.

“Jadi, seharusnya SPR memberikan amaran dan mengeluarkan arahan supaya tidak ada apa-apa kempen sehingga hari penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Mafrel berkata, Kerajaan Pusat mungkin mendakwa apa yang dilakukan itu terkandung dalam rangka menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat jawatan kerajaan tetapi hakikatnya ia jelas berunsur kempen.

"Kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor sepatutnya belum boleh dimulakan selagi proses penamaan calon pada 17 April belum berlangsung.

"Tindakan BN jelas bercanggah Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2006) yang menyebut seseorang didapati bersalah jika melakukan sogokan sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada semua pihak supaya berhenti berkempen kerana pilihan raya kecil Hulu Selangor masih belum bermula lagi.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana tempoh rasmi berkempen hanya bermula selepas selesai tempoh penamaan calon iaitu pada 17 April.

“Sebelum hari penamaan calon, SPR boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana parti yang memasang bendera dan sepanduk, berkumpul dan berarak untuk tujuan berkempen.

“Saya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis meningkatkan pemantauan aktiviti kempen pihak terbabit sekarang.

"Mana-mana parti yang bertanding perlu mematuhi undang-undang iaitu hanya dibenarkan berkempen selepas hari penamaan,” katanya.SH

Read more ...

Pemuda Umno macam budak-budak


SHAH ALAM, 5 April :
PAS menyelar tindakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak menghantar memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya darjah kebesaran ditarik balik terhadap dua wakil rakyat pembangkang sebagai taktik politik murahan.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, perbuatan mereka seperti kebudak-budakan dengan melibatkan pihak lain dalam agenda politik untuk menyerang pakatan pembangkang.

“Mereka sepatutnya menyerang dengan hujah yang :gentleman: melalui saluran yang betul untuk menyelesaikan konflik berbangkit.

“Mereka perlu belajar cara berpolitik mengikut kerangka Perlembagaan yang demokrasi dan Perlembagaan negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, terdapat cara lain untuk membantah secara rasional dengan berhujah dan perbahasan matang antara dua pihak terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda, Nasrudin Hassan berkata, Pemuda UMNO Perak tidak berhak campur tangan berhubung penganugerahan yang telah diputuskan sultan.

“Tindakan tersebut keterlaluan kerana seolah-olah mengajar dengan mendesak sultan dan institusi istana mempertikaikan anugerah yang telah diberikan.

“Ini memberi implikasi kepada persepsi rakyat terhadap institusi istana yang dihormati,” katanya.

Menurutnya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan antara mereka tanpa perlu membabitkan pihak lain untuk turut terlibat dalam konflik terbabit.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penarikan balik darjah kebesaran terbabit wajar dilaksanakan kerana tindakan dua wakil pakatan pembangkang terbabit yang tidak mengikut nasihat sultan dan mempertikai keputusan mahkamah.

“Mereka sepatutnya menjadi contoh namun perilaku tersebut memberi pandangan buruk kepada rakyat sebagai wakil rakyat.

“Bagaimana rakyat nak hormat sekiranya tindakan mereka sendiri tidak menghormati sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan institusi istana,” katanya.

Beliau berkata, keputusan terbabit terpulang kepada sultan dan pihak istana untuk menarik balik atau sebaliknya.SH

Read more ...

PAS tak terima komisen balak



KOTA BHARU, 5 April : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan PAS Kelantan menerima wang komisen daripada syarikat balak yang diberi hak untuk mengusahakan balak di negeri itu.

Nik Aziz berkata, sepanjang pengetahuannya perkara negatif itu tidak berlaku dalam pentadbirannya.

“Saya tak suka sebut benda-benda begitu, tapi benda ini tidak ada (berlaku) dalam pengetahuan saya,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Minggu Motosikal Kelantan, di sini, semalam.

Dalam acara tersebut, lebih 1,000 motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara dan peserta asing dihimpunkan di Kelantan.

Sebelum ini, blog Kickdefella mendedahkan sebuah syarikat yang diberikan konsesi balak oleh Kerajaan Negeri memberi derma kepada organisasi di bawah naungan Pas yang didakwa sebagai balasan daripada pemberian konsesi tersebut.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS berkata, beliau dukacita dengan tindakan bloggers tersebut yang menurutnya tidak menulis untuk memberi ilmu, tetapi menyebarkan fahaman sendiri.

Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Nik Aziz berkata, beliau belum menghadiri mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) mengenai perkara itu.

“Tapi saya berdoalah (dan minta) semua ahli pakatan, khasnya PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (berusaha) memenangkan calon Pakatan,” katanya.SH

Read more ...