Thursday, July 22, 2010

Pesakit barah perlu dibantu

CIMG4174.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 23 Julai : Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, itulah musibah yang berlaku ke atas Puspaville A/P Perrian yang telah menghidap barah payu dara tahap keempat.

Bertambah malang apabila suaminya, Maniam A/L Thanimalai telah meninggal dunia dan kini beliau telah tinggal bersama ibubapanya di sini.

Anak perempuannya, Kanagevalle A/P Maniam telah berhenti dari bekerja kilang di Perai semata-mata untuk menjaga ibu tercinta. Tinggal bersamanya juga adalah kakak kepada Puspaville iaitu Prameswari A/P Perrian yang turut menghidap barah ovari.

Menurut bapa mereka, Perrian A/L Muthu, beliau kini terpaksa menanggung isteri, anak serta cucunya seramai lima orang.

" Saya hanya bekerja sebagai penangkap ketam yang dijual pada orang kampung. Pendapatannya hanya sekitar RM 350 sebulan" katanya

Menurutnya lagi, anaknya terpaksa menanggung kos sebanyak RM 700.00 seminggu bagi membeli ubat-ubatan penahan sakit dan sebagainya.

Penderitaan mereka ini telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan beliau turut sama bersedihdi atas penderitaan keluarga India ini.

Bersama-sama beliau turut menziarahi mereka adalah ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari, Pegawai Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad serta Pegawai DUN Kuala Kurau, Adnan Said.

Dr Mujahid juga sempat menghulurkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga ini.

Beliau berjanji akan melaporkan hal ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak PERKESO bagi membantu pesakit ini.

Perrian berkata, mereka amat memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan serta sara hidup yang tidak mencukupi.

Beliau merayu bagi mereka yang bersimpati bolehlah membantu mereka yang serba kekurangan ini dan boleh menghulurkan sumbangan ke dalam akaun di atas nama Kanagevalle A/P Maniam (No. 4-7013062-26 - Public Bank).

Read more ...

Dakwaan ' cinta ' Saiful dengan seorang pendakwa raya























KUALA LUMPUR, 23 Julai : Dakwaan bahawa salah seorang anggota pasukan pendakwa kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam hubungan 'romantik' dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan mula menghantui pendakwa raya, tetapi status staf muda berkenaan masih belum diputuskan.

Pasukan pendakwa raya belum memutuskan sama ada akan menggugurkan rakan mereka itu apabila perbicaraan disambung semula pada 2 Ogos ini.

Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin awal hari ini mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan mereka, sedang menjalin “hubungan romantik” dengan Saiful, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar Jun 2008.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya boleh diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

Mohd Yusof enggan mengatakan sama ada anggota wanita itu akan digugurkan kelak.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada anda buat masa sekarang. Saya tidak mendengar tentang dakwaan atau tuduhan ini.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pasukan saya dan kita akan melihat pada 2 Ogos ini sama ada dia akan bersama pasukan kami atau tidak,” kata Mohd Yusof kepada The Malaysian Insider.

Mohd Yusof menekankan, peranan staf itu adalah kecil memandangkan dia bukan “anggota rasmi” dalam pasukan itu apabila kes itu mula didengar.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina Latif.

Saiful dan Farah belum dapat dihubungi untuk reaksi.

Kata Mohd Yusof, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

“Jadi, saya tidak boleh mengatakan dia telah digugurkan daripada pasukan ini kerana dia sebenarnya bukan sebahagian daripada pasukan saya, tidak seperti (timbalan pendakwa raya) Noorin (Badaruddin) atau Wong (Chiang Kiat), atau diri saya.

“Dia dibawa untuk membantu tetapi kini kami ada sekurang-kurangnya tiga peguam yang boleh melakukan kerja-kerja menghimpunkan (data) dan kadangkala Noorin juga mengambil nota,” katanya.

Selain itu menurut beliau, anggota berkenaan juga pendakwa raya yang turut mengendalikan kes-kes lain.

“Jika kami memutuskan untuk tidak menyertakan dia dalam pasukan kami, ia adalah kerana kami boleh mengendalikan kes ini tanpa dia... ini kerana dia juga ada kes lain untuk dikendalikan,” kata Mohd Yusof lagi.

Mohd Yusof sambil berkata beliau tiada maklumat mengenai tuduhan terbaru ini, apa yang dilakukan oleh anggota pasukannya adalah urusan peribadi.

“Saya tidak periksa kehidupan peribadi mereka... jadi saya tidak tahu. Saya tidak boleh komen. Apakah anda boleh percaya Raja Petra? Dia selaku menyebarkan khabar angin,” katanya.

“Saya memberitahu anda yang ini... saya perlu menemui anggota pasukan saya (terlebih dahulu) dan saya akan kembali kepada anda. Bagaimanapun dia bukan bahagian penting dalam pasukan saya, dia hanya akan membantu kami bila kami memerlukannya,” tegas Mohd Yusof.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes liwat Anwar, Ketua Pembangkang, ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. -TMI

Read more ...

ADUN Changkat Jong rasmi karnival sukan rakyat



TELUK INTAN, 23 Julai : Islam merangkumi seluruh cara hidup manusia. Itu jugalah yang setiap hari dilafazkan setiap kali membaca doa iftitah di mana kita berjanji di hadapan Allah ketika solat bahawa sesungguhnya solat, ibadah serta hidup dan mati kita hanya untuk Allah SWT. Maka adalah amat wajar setiap umat Islam memenuhi janji-janji tersebut ketika menjalani hidup di muka bumi ini.

Demikian dinyatakan oleh ADUN Changkat Jong YB Mohd. Anuar Sudin ketika merasmikan majlis penutupan Karnival Sukan Rakyat Kg. Batak Rabit dekat sini. Majlis penutup tersebut telah dadakan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Taman Karentina, Batak Rabit.



Menurut YB Anuar lagi, sekiranya setiap umat Islam menyedari akan syumulnya Islam itu serta setiap tindakan akan dipertangungjawabkan di akhirat kelak maka sudah pasti segala kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat kini dapat di atasi. Ini sesuai dengan konsep 'mencegah lebih utama daripada merawat' di dalam menangani segala permasalahan seperti gejalan sosial, rasuah dan sebagainya.

Turut hadir ialah YDP PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan Pn. Hjh. Faridah Rajiah, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Abdul Fattah Awang dan Ketua Cawangan PAS Batak Rabit.









Menurut pengarah program merangkap Ketua Cawangan PAS, karnival tersebut merupakan tahun keempat berjaya dianjurkan oleh PAS Cawangan Batak Rabit. Tahun ini lebih banyak acara telah ditambah atas permintaan dan sambutan masyarakat setempat. Antaranya ialah pertandingan memancing udang, merentas desa, pingpong, congkak dan pelbagai permainan dalaman.

Pn. Hjh. Faridah yang juga merupakan isteri ADUN Changkat Jong telah menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.Intanhijau

Read more ...

Idea kolot Ibrahim Ali
































KUALA LUMPUR, 23 Julai :
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menyifatkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali seperti “katak di bawah tempurung” kerana masih mempunyai pemikiran yang ketinggalan zaman.

Dengan merujuk kepada idea terbaru Perkasa semalam agar Umno dan PAS dibubarkan lalu ditubuhkan parti baru, Azmin memberitahu, Ibrahim masih lagi mengamalkan pemikiran dan pendekatan yang kolot dan ketinggalan zaman.

“Saya kesal dengan kenyataan Ibrahim kerana saya lihat sebagai pemimpin beliau masih mempunyai pemikiran dan pendekatan yang kolot seperti pepatah Melayu ‘katak di bawah tempurung’.

“Saya tidak sangka masih ada pemimpin Melayu yang sikap perkaumannya masih lagi menebal sedangkan dunia sekarang sudah maju ke depan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin kata Azmin, beliau perlu keluar daripada kotak pemikiran lama dan memikirkan cara untuk maju ke depan bukannya dengan berpegang kepada amalan perkauman seperti dahulu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ibrahim yang mengatakan sebuah parti Melayu yang baru perlu ditubuhkan sebagai pilihan terakhir jika kesemua usaha untuk menyatukan kerjasama PAS dan Umno gagal.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini berkata, parti baru ini seharusnya mengadaptasikan objektif kedua-dua PAS dan Umno.

“Saya tahu idea ini sesuatu yang provokatif, tetapi perlembagaan untuk satu parti Melayu yang baru, yang menggabungkan matlamat PAS dan Umno boleh dirangka oleh sebuah jawatankuasa pemandu,” kata Ibrahim.

Kata Ibrahim, ia adalah mekanisme menjaga air muka, sekali gus mengelakkan persoalan sama ada PAS harus menyertai Barisan ataupun sebaliknya tidak timbul sama sekali.

“Bubarkan PAS, bubarkan Umno dan semua sertai parti baru,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perkasa semalam.

Azmin berkata apa yang diperlukan rakyat bukan sebuah parti yang bersifat perkauman tapi adalah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Bumiputera.

“Parti politik pelbagai kaum ini akan memperjuangkan dasar negara dengan adil kepada semua rakyat Malaysia dan pada masa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang negara selama ini.

“Apa guna sebuah parti Melayu sekiranya pemimpin di dalamnya bergelumang dengan rasuah, penyelewengan, tidak menghormati hak asasi manusia da sebagainya,” katanya.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ini berkata rakyat sebenarnya mahu melihat pemimpin Melayu maju ke depan dengan mengamalkan prinsip-prinsip keadilan dan memartabatkan orang Melayu itu sendiri.

“Ini yang rakyat mahu lihat bukan seperti Perkasa yang dilihat seolah-olah gagal untuk meyakinkan orang Melayu tentang perjuangan mereka,” katanya.

Perkasa datang dengan idea ini ketika Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mahu Umno dan PAS mengambil langkah membincangkan kerjasama perpaduan.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak yakin bahawa pemimpin PAS mempunyai kebijaksanaan yang tinggi untuk menilai propaganda dan sandiwara yang dimainkan Umno.

“Saya yakin pemimpin PAS yang dipimpin Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan terperangkap dengan apa jua propaganda dimainkan Umno,” katanya.

Read more ...

Bangkit isu air untuk naikkan kadar air


SHAH ALAM , 23 Julai : Rakyat Selangor bukan berdepan krisis kekurangan air sebaliknya mereka akan berdepan dengan kenaikan kadar air disebabkan keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada Kerajaan Negeri sekali gus meneruskan agenda penswastaan.

Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom berkata, dakwaan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bahawa Selangor akan menghadapi krisis bekalan air hanyalah alasan untuk menaikkan kadar air di negeri ini.

“Menteri berkenaan harus berhenti daripada mengelirukan orang awam dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor.

“Masalah di Selangor sekarang bukan kekurangan air tetapi tindakan Kerajaan Pusat yang sengaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurutnya, hujah Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor semalam adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan mengalihkan tumpuan isu pengambilalihan pengurusan industri air di negeri ini,” katanya.

Katanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, beliau yakin kadar air di negeri ini akan meningkat.

“Ini disebabkan pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kos hanya RM2 bilion selain pengurusan Syabas yang tidak telus dan pembayaran gaji pengerusi yang terlalu tinggi.

“Selain itu, Puncak Niaga juga dilihat gagal menaik taraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air dan pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi akan menyebabkan kadar air akan meningkat,” katanya.

Menurutnya, air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menjaga hak rakyat Selangor.

“Antara usaha Kerajaan Negeri untuk mengembalikan hak rakyat Selangor ialah dengan mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberi air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu,” katanya.

Oleh itu beliau menyeru Kerajaan Pusat mengakui air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik.

“Kami juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor supaya bertegas memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam usaha mengambil alih industri air di Selangor.

“Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan berkesan,” katanya.SH

Read more ...

Umno tiru dasar Pakatan




















IPOH, 23 Julai : Langkah kerajaan negeri Perak di bawah Umno-Barisan Nasional menganugerahkan lebih 1,000 hektar tanah kepada sembilan sekolah indipenden Cina membuktikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akhirnya terpaksa mengakui dasar yang dibuat semasa Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu adalah yang terbaik untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata idea yang dicedok daripada pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan kepada rakyat Perak dasar serta program yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sebelum ini sebenarnya mendahului di segi idea dan perlaksanaan untuk memberikan kebajikan kepada rakyat.

"Nampaknya Zambry mengikut jejak langkah Nizar dengan membuat pengumuman pemberian bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Cina Persendirian di negeri ini dalam isu pemberian tanah bagi menampung perbelanjaan sekolah terbabit.

"Dulu mereka menganggap apa yang hendak dilakukan cuma retorik politik tetapi sekarang ini mereka mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat itu betul," kata Idris ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau juga melihat kerajaan Umno-BN meniru apa sahaja dasar yang dilakukan oleh negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat kerana ketandusan idea.

Beliau mengambil contoh dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri Kelantan yang memberi cuti bersalin 90 hari serta beberapa dasar yang lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerajaan Umno-BN memperkenalkan dasar-dasar yang dibuat oleh Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan mereka ketandusan idea dan terkebelakang dalam isu menguruskan kebajikan untuk rakyat," ujar beliau lagi.

Berhubung isu tanah yang diberikan kepada masyarakat Cina yang sebelum ini dipolitikkan oleh pemimpin Umno-BN yang dianggap tidak sah, hari ini pula Zambry mengumumkan hal yang sama tanpa dipertikaikan oleh pemimpin Umno yang sama, kata Idris.

Selasa lalu Zambry mengumumkan 1,012 hektar tanah akan diberikan bagi menampung perbelanjaan sembilan sekolah Cina bebas di negeri itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Exco Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Read more ...

Harusani tak mahu dedah nama pemimpin PAS


IPOH, 23 Julai : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bertegas tidak akan mendedahkan identiti pemimpin PAS yang menemuinya bagi membincangkan penyatuan orang Melayu walaupun didesak berbuat demikian.

Katanya, pendirian itu diambil demi menjaga hubungan baik dan amanah yang diberikan kepadanya.

“Tidak...saya tidak akan dedahkan. Biarlah apa orang hendak kata. Banyak isu akan timbul dan saya tidak mahu menyusahkan orang yang memberi kepercayaan kepada saya.

“Tanggungjawab saya sekarang adalah menjalankan amanah sebagai seorang Islam yang memberikan nasihat ke arah perpaduan. Jika ada dua golongan berkelahi, hendaklah didamaikan dan itulah yang saya buat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya adakah beliau bersedia mendedahkan nama pemimpin terbabit bagi mengelak isu kerjasama UMNO dan PAS terus dipolemikkan.

Harussani turut menyelar sikap sesetengah pemimpin yang masih menolak perbincangan ke arah perpaduan sedangkan pada masa sama mengaku memperjuangkan Islam.

Menurutnya, membuat pertemuan bukan bererti kedua-dua pihak yang bertelagah perlu mengikut kehendak pihak yang satu lagi, tetapi untuk bermuafakat dan mencari penyelesaian.

Katanya, sebagai mufti, beliau akan terus memberikan nasihat dan pandangan tetapi terpulang kepada kedua-dua pemimpin untuk membuat keputusan.

“Saya tidak terlibat dengan politik. Saya tidak mahu menyertai sesiapa (parti). Saya hanya bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam,” katanya.

Mengenai dakwaan Ahli Dewan Undan Negeri Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim yang mendakwa tujuan sebenar pertemuan pemimpin PAS terbabit dan beliau hanya membincangkan hal perniagaan dan bukannya penyatuan Melayu, Harussani berkata:

“Kalau Khalil kata saya bohong tentang tujuan sebenar perjumpaan itu, beritahu saya siapa pemimpin PAS yang Khalil maksudkan? Ramai orang (pemimpin PAS) berjumpa saya."SH

Read more ...

Polis tidak ambil tindakan




















SHAH ALAM, 22 Julai : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan kecekapan polis Selangor yang didapati gagal menunjukkan minat dan usaha untuk membanteras aktiviti kecurian pasir walaupun setelah dilaporkan kepada polis secara bertulis dan diberikan bukti yang mencukupi untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Abdul Khalid beliau menerima laporan bahawa pihak polis di Pulau Pinang berjaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menjalankan aktiviti mencuri pasir di negeri itu, jauh berbea dengan sikap pihak polis di Selangor.

"Walaupun belum dibanteras sepenuhnya tetapi usaha polis Pulau Pinang yang cekap dan berjaya dalam masa yang singkat patut dipuji. Yang saya hairan mengapa polis Selangor belum bertindak langsung walaupun laporan telah diberi?" jelas beliau kepada media selepas Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor semalam.

Kata Menteri Besar lagi, satu laporan berkenaan kecurian pasir serta beberapa bukti yang dikumpul oleh kerajaan negeri Pakatan Selangor telah dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan satu salinan telah dihantar kepada Ketua Polis Selangor pada minggu lalu agar tindakan segera dapat diambil.

Namun sehingga hari ini wakil kerajaan Ummno-BN tersebut hanya meneruskan dengan kritikan kecurian pasir tanpa mahu mengambil apa-apa tindakan, dan polis Selangor pula mengambil sikap mendiamkan diri dan berpeluk tubuh sahaja.

"Inilah contoh bagaimana polis di bawah kerajaan Umno-BN memberikan khidmat mereka, yang sepatutnya memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku bukan sahaja berkenaan pasir malah apa jua pelanggaran undang-undang," tegas Abdul Khalid yang jelas kecewa dengan kegagalan polis mengambil tindakan tegas.

Read more ...

Kerjasama PAS-PKR baik


ALOR SETAR , 22 Julai : Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan desas-desus kononnya terdapat sebilangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri akan keluar parti berikutan kecewa dengan kepimpinan PKR Kedah.

Katanya, setakat ini, hubungan antara PAS dengan PKR termasuk DAP berjalan lancar dan tiada masalah berhubung kerjasama mahupun komunikasi.


Malah, katanya, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu kini sedang giat membuat persiapan awal untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

“Saya langsung tiada maklumat mengenai adanya pemimpin PKR mahu keluar parti. Bagaimanapun, sekiranya benar dakwaan itu, saya tak boleh nak buat apa-apa termasuk sekat kehendak mereka,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Wan Salleh Wan Isa kelmarin, yang berkata ada sebilangan pemimpin parti itu sedang menunggu kesempatan untuk keluar parti kerana tidak puas hati dengan kepimpinan PKR negeri yang tidak mampu memenuhi agenda peribadi mereka.

Mengulas mengenai lantikan baru menggantikan Wan Salleh sebagai wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi kawasan DUN Kuah, Langkawi, Azizan berkata, nama calon sudah dipilih oleh PKR dan terpulang kepada Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, selaku ADUN angkat kawasan berkenaan untuk menerimanya.

“Saya serahkan pada Phahrolrazi sama ada setuju atau tidak dengan calon itu, beliau berhak tentukan siapa yang beliau mahukan untuk pikul amanah bagi pihaknya di sana. Saya difahamkan lantikan sudah dibuat,” katanya.

Azizan turut mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bersidang pada 2 Ogos depan.

“Kita sedang membuat persiapan untuk Sidang DUN dan mengkaji soalan-soalan yang akan dibahaskan kelak, termasuk pembentangan yang akan dibuat. Semuanya berjalan lancar dan tiada masalah timbul setakat ini,” katanya.

Ditanya sama ada DUN mempertingkatkan tapisan yang lebih ketat terhadap soalan yang dibahaskan berikutan timbulnya kontroversi pada soalan DUN lalu membabitkan kuasa Sultan, Azizan berkata, prosedur berjalan seperti biasa dan tiada sebab untuk membuat tapisan yang lebih ketat berikutan insiden itu.

“Sebenarnya bukan soalan yang silap ketika DUN lalu, tetapi orang yang timbulkan kontroversi itu yang tidak faham undang-undang,” katanya sinis.SH

Read more ...

Perpaduan Umno-PAS hanya sedap dimulut















KUALA LUMPUR, 22 Julai: Perpaduan sebenar di kalangan umat Islam adalah berdasarkan ketaqwaan kepada Allah dan bukan berasaskan bangsa, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Ia sama dengan mencari pemimpin. Sebagai orang biasa, kita mencari pemimpin yang bertaqwa kepada Allah.

"Begitu juga dengan perpaduan. Kita mahu perpaduan berasaskan ketaqwaan kepada Allah kerana perpaduan berasaskan bangsa lebih banyak melakukan pengkhianatan dari kebaikan," tegas beliau.

Lebih dari itu, katanya lagi, perpaduan berasaskan bangsa "hanya sedap diucapkan di mulut sahaja".

Sama seperti orang-orang Arab, beliau tidak nampak orang-orang Melayu boleh disatukan atas nama bangsa.

"Bangsa Arab tidak pernah bersatu menentang Israel dan tidak pernah bersatu untuk kepentingan rakyat Palestin yang dijajah.

"Kalau perpaduan boleh diwujudkan atas nama bangsa, sudah lama Arab bersatu melawan Israel dan membebaskan bumi Palestin yang ditakluki," katanya.

Malah, katanya, kerajaan-kerajaan Arablah yang berkomplot menentang usaha-usaha yang dilakukan Mufti Baitulmuqaddis, Muhammad Amin al-Husayni yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menentang Zionisme dan penubuhan negara orang-orang Yahudi di bumi Palestin.

"Kerajaan-kerajaan Arab jugalah yang enggan mengiktiraf kemenangan besar Hamas dalam pilihan raya Palestin 2006 dan kini kerajaan-kerajaan Arab jugalah yang bersekongkol melakukan sekatan bantuan kemanusiaan ke atas Gaza," katanya.

Palestin, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, tegas Mohamad lagi, tidak akan dibebaskan oleh perpaduan Arab.

"Palestin, Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa akan dibebaskan oleh orang-orang yang bertaqwa serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang berkaitan dari Eropah," katanya.hrkh

Read more ...

Kelulusan dibatal tanpa notis


GERIK , 22 Julai : Dewan Pemuda PAS (DPP), di sini melahirkan rasa tidak puas hati apabila kelulusan untuk menggunakan Dewan Serba guna Felda Bersia dibatalkan tanpa sebarang notis.

Ketua Penerangan DPP Kawasan Gerik, Umair Zakuwan Khalid berkata, pihaknya sudah menghantar surat permohonan pada 30 Jun lalu bagi mengadakan ceramah perdana.


Menurutnya, pada awalnya permohonan itu diluluskan oleh pihak pengurusan Felda Bersia, namun dibatalkan selepas itu.

“Pada awalnya, pihak pengurusan Felda Bersia membalas surat permohonan kami pada hari sama untuk membenarkan kami menggunakan dewan itu.

“Kami juga sudah membayar sewa dewan itu sebanyak RM100 dan deposit pembersihan dewan RM100 setelah mendapat kelulusan, namun pada 15 Julai lalu, kebenaran itu ditarik balik oleh pihak pengurusan Felda Bersia,” katanya ketika ditemui di Markaz PAS Kawasan Bandariang, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Gerik, Mohd Noor Abdul Rahman.

Umair Zakuwan berkata, kini DPP Kawasan Gerik sedang berbincang dengan peguam kerana berkemungkinan perkara itu akan dibawa ke muka pengadilan.

"Diharap pihak PAS Kawasan Gerik akan menuntut kembali wang deposit dan sewa penggunaan dewan yang dibayar sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Felda Bersia berkata, keputusan menarik balik kelulusan itu adalah keputusan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda Bersia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Felda Bersia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana masa penganjuran tidak bersesuaian berikutan bukan musim pilihan raya dan dikhuatiri ceramah itu akan menjadi medan untuk pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan memburukkan pihak pengurusan Felda serta pemimpin.SH

Read more ...

Umno perlu diganti

























KUALA LUMPUR, 22 Julai :
"Kekecewaan orang Melayu terhadap Umno sudahpun diketahui umum, sebab itu perlu ada politik baru di kalangan Melayu yang tidak rela membiarkan kepimpinan ini terus merosakkan bangsa dan negara."

Demikian maklum balas Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) petang tadi, mengulas rancangan 'Perpaduan Melayu' yang dipopularkan oleh beberapa pemimpin Umno belakangan ini.

Menurut beliau, budaya berpolitik yang diamalkan oleh Umno telahpun tergelincir dari landasan kebudayaan Melayu yang sebenar.

Katanya, perbincangan itu sudah tergelincir dari landasan yang sebenar kerana lebih untuk mempertahankan kepimpinan pemimpin dan parti politik tertentu walaupun mereka diketahui umum mengamalkan rasuah, pecah amanah, tidak menghayati keharmonian kaum dan tutup ruang demokrasi.

Sedangkan, katanya, kekuatan orang-orang Melayu yang sebenar adalah kembali berpegang teguh pada ajaran Islam.

"Kalau nak bincang tentang perpaduan Melayu, mengapa tidak pergi pada kekuatan sebenarnya, iaitu Islam," ujar beliau.

"Kekuatan Islam yang membentuk budaya orang-orang Melayu yang tinggi, tidak suka pada politik murahan dan pinggiran, amanah dan sangat menjaga maruah bangsa dari terjebak dengan politik yang tidak sihat."

Baginya, orang-orang Melayu seharusnya dididik dengan budaya berfikir yang lebih dinamik supaya tidak terperngaruh dengan anasir-anasir tidak sihat ciptaan pihak tertentu yang berkuasa.

Melihat pada kemusnahan budaya Melayu dalam Umno, beliau berkata, orang Melayu tidak perlu menunggu perpaduan Melayu melalui parti perkauman itu demi melakukan perpaduan mahupun perubahan dalam masyarakat.

Sebaliknya, perubahan paradigma dan budaya orang Melayu seharusnya diperkasakan melalui badan bukan kerajaan (NGO) berwajib serta dalam parti-parti alternatif yang popular di kalangan Melayu.

"Perubahan ini tidak perlu Umno, perpaduan atau perubahan ini sebenarnya perlu (kuasa politik) yang lain, perlu dibuat berperingkat di semua peringkat," tegasnya.

Beliau turut menolak formula popular di kalangan pemimpin Umno kononnya orang-orang Melayu seharusnya mendahulukan perpaduan Melayu melalui Umno walaupun segelintir kepemimpinan parti perkauman tersebut dilihat tidak berbudaya Melayu yang sebenar.

"Bukan Umno sahaja yang Melayu," tegasnya.

Read more ...

Mufti Perak dinasihat sertai Umno



KUALA TERENGGANU , 22 Julai : Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mencabar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meletak jawatan dan menyertai politik untuk menjayakan pandangan beliau bagi menyatukan PAS-UMNO.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah mendakwa, Harussani patut mengambil keputusan sedemikian bagi menunjukkan tanggungjawabnya memandangkan hanya dengan memiliki kuasa politik, penyatuan itu boleh berlaku.


Melalui politik juga katanya, Harussani dapat menetapkan pendirian beliau sama ada cenderung kepada UMNO atau PAS.


“Kalau beliau benar-benar ikhlas, saya minta terlibat dengan politik. Dia kata tidak berpolitik tetapi sebenarnya dia lebih berpolitik,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Harussani mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau itu.


Namun, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti UMNO dan PAS.


Mohd Nor turut memberitahu bahawa pihaknya sebelum ini tidak bersetuju dengan beberapa pandangan Harussani iaitu berhubung kalimah Allah serta percanggahan pendapat dengan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung pengharaman ESQ.


Beliau mendakwa, Harussani juga masih belum menyelesaikan masalah Melayu murtad yang dinyatakan sebelum ini walaupun menyandang jawatan mufti.


“Isu murtad boleh diselesaikan sekiranya beliau mempunyai kuasa politik,” katanya.
SH

Read more ...

Baru pasang dah terbang



HULU SELANGOR, 22 Julai : Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) diarah menjalankan siasatan terhadap bumbung pangsapuri di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa bagi menentukan sama ada ianya masih selamat.

Keputusan ini dibuat setelah bumbung-bumbung bagi 2 blok pangsapuri di situ telah diterbangkan oleh ribut kelmarin, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad.


Bumbung itu telah diganti oleh kerajaan persekutuan ketika pilihanraya umum Hulu Selangor Mac lalu dan projek itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika program Juara Rakyat di Hulu Selangor sebelum itu.

Menurut laporan, sebanyak 57 blok pangsapuri kos rendah terlibat dalam projek tersebut.

Iskandar berkata, kerajaan persekutuan juga mesti melakukan satu siasat yang terperinci agar penduduk Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa tidak terdedah kepada sebarang bahaya.

"Kerajaan persekutuan mesti mengenal pasti punca kegagalan bumbung tersebut dan kerja baik pulih mesti dilakukan dengan segera demi keselamatan rakyat.
Kesemua 57 blok mesti disiasat dengan segera dan sekiranya telah berlaku sebarang penyelewengan, mereka yang bertanggung jawab mestilah dihukum.

"Kerajaan persekutuan telah membaik pulih bumbung dan mengecat 57 blok pangsapuri dengan kos RM17.7 juta atau kos purata RM310,526.32 seblok.


"Kerajaan Selangor pula telah mengganti bumbung untuk dua blok dengan kos RM372,196 atau kos purata RM186,096 seblok.


"Bumbung yang diganti itu masih kukuh hingga ke hari ini," tambahnya.

Read more ...