Monday, April 19, 2010

“ Namakan tempat dan masanya , kalau beliau berani untuk berdebat dengan saya,” Azli Musa


IPOH, 18 April : Ust Norazli Musa mempertahankan tindakan Pemuda Pakatan Rakyat Perak (Pemuda PRPk) yang mengadakan demonstrasi di perkarangan Masjid Negeri selepas solat Jumaat yang baru lalu.

Mengulas dakwaan Dato Nazri Ismail, ADUN Manjoi yang menuduhnya sebagai mengambil kesempatan untuk mencari pablisiti murahan dengan mengadakan demonstrasi tersebut, Norazli mencabar Nazri supaya tampil untuk berdebat dengannya atas isu Apko.

“ Namakan tempat dan masanya ; kalau beliau berani untuk berdebat dengan saya,” cabar Norazli kepada Nazri

Katanya, penggunaan masjid untuk menjalankan demonstrasi itu tidak mengganggu jemaah kerana ia diadakan selepas solat Jumaat.

“Tidak salah melakukan demonstrasi itu di masjid kerana ia adalah tempat perhimpunan orang Islam dan mesej yang disampaikan lebih jelas,” katanya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan membaling telur dan memijak papan tanda tertera logo UMNO dan 1Malaysia tanda menunjukkan mereka tidak menghormati masjid malahan mencemarinya dengan begitu teruk, Norazli berkata, tindakan itu adalah sebagai simbolik untuk menyatakan betapa busuknya ‘tembelang’ Umno itu sendiri apabila hubungan sulit Umno dengan Apko yang mempunyai hubungan dengan rejim zionis didedahkan.

“Tembelang Umno itu lebih busuk dan jijik daripada telur tembelang,’ katanya.

Pakatan Rakyat menggesa supaya Kerajaan Persekutuan menarik balik perjanjian yang dibuat dengan syarikat perunding Apco Worldwide (Apco) yang didakwa menyokong zionis -Israel.

Read more ...

Bahana UMNO-APCO, potong bekalan minyak ke Iran

KUALA LUMPUR, 19 April : Gara- gara percubaan untuk memulihkan imej peribadinya pada mata dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk menekan Republik Islam Iran.

Tindakan kerajaan Malaysia menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran seperti diumumkan Najib di Washington sah membuktikan pentadbiran Umno-Barisan Nasional menyertai blok penyokong negara haram Israel.

"Perjanjian kerajaan bersama firma perunding Yahudi, Apco Worldwide berjaya menjadikan pentadbiran negara turut serta dalam perang tekanan sekutu Israel ke atas Iran," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad kepada Harakah.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, sebagai sebuah negara Islam, Malaysia patut malu kepada Venezuela dan Bolivia yang berani menentang hegemoni AS serta Barat dan terus menjalin hubungan dagang dengan Iran.

"Apakah kunjungan Najib ke Washington sekadar menjadi pak turut kepada AS? Apakah Apco Worldwide yang menjadi konsultan kerajaan turut mengatur pertemuan Najib-Barack Obama, bertanggungjawab menasihat kerajaan Malaysia menamatkan penjualan gas ke Iran,?" soal beliau.

Syed Azman berkata, Malaysia sudah lupa daratan kerana melalui Petronas, telah bertapak lebih 20 tahun di Iran. Petronas telah mengutip berpuluh bilion dolar menerusi urusniaga minyak dan gas.

"Hubungan Malaysia dengan Iran begitu baik dan tidak pernah ada tekanan walaupun menghadapi ancaman sekatan dari AS," jelas beliau.

"Kita amat kesal dengan tindakan Najib kerana Iran merupakan satu-satunya negara Islam yang aktif membantu Palestin.Pada kita ancaman nuklear Iran hanya helah AS bagi melindungi kepentingan strategik mereka di Teluk Parsi," tegasnya.

Isu sebenar kata beliau, ialah AS mahu menjaga dan melindungi keselamatan Israel dari ancaman Iran.

Israel sebenarnya ancaman dunia

Israel sebenarnya kata beliau, menjadi ancaman dunia kerana memiliki senjata nuklear dan tidak pernah menandatangani perjanjian ‘nonproliferation nuclear treaty’ sedangkan Iran menandatangani perjanjian itu.

"Apakah selepas ini Kerajaan Malaysia akan menamatkan perjanjian antara Petronas dengan Sudan yang turut disenaraikan sebagai sebuah negara ‘pengganas’ oleh AS,?" soal beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaafar berkata, tindakan Najib menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran memberi gambaran Malaysia duduk dalam blok Israel kerana Israel memusuhi Iran. Hanya Iran menjadi ancaman kepada Israel.

"Kita kecewa dengan tindakan ini kerana beliau membawa Malaysia menyokong Israel, sebuah rejim yang jahat, terkenal dengan kekejaman dan kerakusan membunuh umat Islam di Palestin," ujar beliau.

Dalam satu majlis penerangan Pakatan Rakyat di Kuala Kubu Baru baru-baru ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian hadirin dengan dokumen perjanjian di antara Apco Worldwide dan kerajaan Malaysia.

"Ini perjanjian, perjanjian apa? Amerika Israel punya syarikat. Berapa Najib bayar, RM77 juta setahun. Ini merupakan suatu pengkhianatan parti perkauman itu (Umno) terhadap solidariti Palestin dan umat Islam di Malaysia.

Ketika di Washington Jumaat lalu, Najib mengesahkan Malaysia telah memotong bekalan minyak ke Iran sambil memberi amaran bahawa negara Islam itu hampir pasti dikenakan sekatan antarabangsa terbaru berhubung program nuklearnya. -Harakah

Read more ...

Kes Scorpene di Mahkamah Perancis bakal dedah banyak rahsia


HULU SELANGOR, 19 April : Siasatan terhadap skandal rasuah berbilion ringgit berhubung pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia di mahkamah Perancis dijangka akan mendedahkan lebih banyak rahsia yang selam ini terselindung dan tidak diketahui rakyat Malaysia.

Pengarah Strategi KEADILAN, Tian Chua berkata, beliau yakin sistem perundangan Perancis yang lebih terbuka akan membongkar segala penyelewengan dalam pembelian kapal selam yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga peguam kanan Perancis yang memfailkan permohonan di mahkamah Paris bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pembayaran komisyen pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

"Badan kehakiman di Perancis telah mengambil perhatian ada unsur penyelewengan dalam perjanjian kapal selam ini dan siasatan telah dilakukan. Kita telah melibatkan diri dalam pembelian kapal selam yang harganya bernilai berbilion. Sekarang didapati ada penyelwengan dalam perjanjian ini.

"Apa pun, kita akan dapati proses siasatan ini akan mendedahkan lebih banyak rahsia yang tidak diketahui orang awam di Malaysia ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Menurut Tian Chua, di Malaysia, isu pembelian kapal selam berkenaan telah berulangkali dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan rakyat namun disekat Umno-Barisan Nasional menggunakan kuasa mereka.

Tambah beliau, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis juga telah dilakukan tetapi tidak diendahkan pihak berkuasa.

"Kalau tidak ada penyelewengan, mengapa tidak telus, mengapa tidak mengaku siapa yang dapat faedah dari pembahagian komisyen ini.

"Setakat ini rakyat telah dikecualikan dari mendapat tahu hal sebenar. Selain kita tahu ada kapal selam yang kita beli, kita tidak tahu berhubung kos penyelenggaraan, kenapa kerosakan teknikal berlaku hari pertama kita terima kapal selam ini. Apakah pembelian ini mengikut spesifikasi kerajaan Malaysia," soal Ahli Parlimen Batu itu.

Ditanya samada kemungkinan Najib akan dipanggil untuk disiasat, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa Perancis. Bagaimanapun beliau percaya kes itu akan diadili sebaik mungkin dan yakin dengan sistem kehakiman di negara itu.

"Saya tidak mahu buat andaian sekarang, saya rasa proses keadilan ini harus dijalankan tanpa kebimbangan tidak kira siapa pun yang terlibat. Sistem perundangan di Perancis ini tidak memandang sesiapun kalau didapati melakukan penyelewengan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya bukan pakar dalam undang Perancis tetapi saya percaya siasatan ini akan melibatkan banyak klausa perjanjian dan dokumen. Sebagai bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib enggan mendedahkan kepada golongan awam setakat ini," ujarnya.

Menurutnya, terdapat benyak keraguan dalam pembelian kapal selam berkenaan termasuk latihan yang membabitkan pegawai-pegawai dan kos sebenar latihan.

"Baru-baru ini dalam Parlimen kita dengar 600 pegawai melibatkan kapal selam ini telah dilatih, sebelum ini kita dengar jumlahnya hanya 160. Kenapa kita harus bawa mereka berlatih di Perancis? Semua soalan ini merupakan misteri untuk rakyat Malaysia. Saya amat mengharapkan semua misteri ini dapat dibongkar dalam sistem kehakiman di Perancis," kata Tian lagi.

Menurut laporan Asia Sentinel yang bertajuk "Murky Arms Deal Linked To International Pattern of Kickbacks" oleh wartawan John Berthelsen bertarikh 16 April 2010, skandal berbilion dolar ini yang didakwa didalangi oleh Najib kini tidak lagi dapat dibendung dalam Malaysia dan kini telah melimpah ke arena antarabangsa.

Asia Sentinel berkata tindakan peguam, William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham dengan kerjasama pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram, memfailkan kes tersebut dengan pihak pendakwa Perancis.

Pembabitan Malaysia berkisar dakwaan pembayaran komisyen berjumlah €114 juta (RM540 juta) kepada sebuah syarikat tempatan, Perimekar bagi perkhidmatan sokongan berkaitan pembelian kapal selam. Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd yang dipunyai oleh sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda.

Sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2000 hingga 2008, Najib telah bertanggungjawab terhadap perancangan menaiktaraf pertahanan angkatan tentera Malaysia secara besar-besaran termasuk pembelian dua buah kapal selam daripada Armaris dan pajakan sebuah lagikapal kelas Agosta yang pernah digunakan oleh tentera laut Perancis. -SK

Read more ...

Dewan Himpunan Penyokong PAS lawat parlimen

CIMG3735.jpg picture by paspb


PARIT BUNTAR , 19 April : Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar telah mengadakan lawatan Parlimen diketuai Pengerusinya Ong Choi Ee bagi menyaksikan persidangan dewan rakyat.


Ong Choi Ee berkata rombongan tersebut yang disertai seramai 16 orang ahli termasuk Ajk Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar.


“ Lawatan ke Parlimen membolehkan kami menyaksikan sesi soal jawab dan perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen.


“ Kami mendapat pendedahan tentang persidangan dewan dan dapat menyaksikan Ahli Parlimen terutama Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat berbahas dalam Parlimen” katanya


CIMG3728.jpg picture by paspb


Beliau berkata, ahli rombongan telah disambut dan diraikan oleh beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terutama Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa.


“ Ahli Parlimen Jerai Firdaus Jaafar dan Ahli Parlimen Bruas Ngeh Koo Ham turut sama meraikan kami di Parlimen.


“ Kami gembira dan berbangga kerana inilah pertama kali sampai ke Parlimen , malah diraikan pula oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat” katanya


Menurutnya lagi, Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar yang baru ditubuhkan akan mengatur beberapa program lagi untuk menarik orang Cina dan India menyertai dewan berkenaan.


“ Kami berterima kasih kerana mendapat bimbingan Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar untuk mengadakan aktiviti ini


“ Kami merancang membawa lebih ramai lagi orang Cina dan India mengadakan lawatan ke Kelantan setelah melihat kejayaan program lawatan sebelum ini. “katanya

Read more ...

Dibeli untuk lompat parti



ALOR SETAR , 19 April : Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu dibeli oleh barisan pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti sewaktu demam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor sedang berlangsung dan menyifatkan tindakan itu bertujuan menjatuhkan reputasi PKR di mata pengundi kawasan itu.

Ketua Cabang PKR Sungai Petani itu berkata, beliau mempunyai bukti kukuh menunjukkan tindakan Wei Shu keluar parti pada saat-saat ‘genting’ ini adalah atas arahan pemimpin atasan BN yang cuba menggunakan isu itu sepenuhnya bagi menutup kemelut dalaman yang melanda MIC akibat calon kegemaran parti itu, Datuk G Palanivel tidak terpilih sebagai calon.

Menurutnya, walaupun Wei Shu sebelum ini menafikan beliau kecewa kerana tidak dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri, namun hakikatnya Wei Shu mula tidak berpuas hati dengannya setelah Johari membentangkan masalah prestasi Wei Shu sewaktu mesyuarat Kepimpinan PKR negeri, kira-kira empat bulan lalu.

“Saya tahu yang beliau didekati oleh orang-orang BN sejak beberapa bulan lalu. Antaranya termasuk ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh di mana beliau sentiasa turun naik ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengannya secara senyap-senyap.

“Alasan yang digunakan yang kononnya beliau bergaduh dengan saya adalah sekadar alasan. Beliau tidak puas hati sebab saya tidak tolong beliau daripada tidak digugurkan sebagai ahli Exco,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa laman blog yang turut mengaitkan rasa tidak puas hati Wei Shu terhadap Johari adalah disebabkan tindakan Johari memaklumkan kegiatan Wei Shu menjalankan perniagaan rumah urut di Bakar Arang tanpa permit kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Johari menyatakan beliau tidak ambil tahu mengenai perniagaan Wei Shu di samping tidak pernah memaklumkan apa-apa kepada Azizan.

Johari turut mendedahkan sebelum ini Wei Shu pernah menuduh beliau tidak meluluskan projek penambahbaikan Stesen Pengangkutan Awam di Sungai Petani, sedangkan hakikat sebenar projek penambahbaikan itu dihentikan oleh Kerajaan Pusat atas masalah teknikal.

“Saya tiada kuasa untuk menyambung semula kedudukan beliau sebagai Exco melainkan di bawah kuasa Menteri Besar.

“Itu adalah keputusan politik yang dibuat beliau, bukan saya. Perlu diingat saya yang mencadangkan dia supaya dipilih sebagai Exco tetapi hasilnya dia pula yang berjinak-jinak dengan BN,” katanya.

Ditanya sama ada peluang PKR di PRK Parlimen Hulu Selangor akan terjejas berikutan tindakan drastik Wei Shu keluar parti pada tahap genting, Johari menegaskan ia tidak akan menjejaskan kempen PKR dan jentera Kerajaan Negeri Kedah.

“Saya juga menegaskan bahawa tindakan beliau tidak sedikit pun menjejaskan peluang PKR di Hulu Selangor kerana rakyat tidak lagi bodoh sebab setiap kali pilihan raya ada sahaja yang bertindak keluar parti dan rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.

Wei Shu, 54, digugurkan daripada jawatan Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Sumber Tenaga Manusia, Pengangkutan 10 Mac lalu dan tempat beliau digantikan oleh ADUN Sidam, Tan Chow Kang.

Beliau merupakan wakil rakyat PKR kedua dari Kedah yang mengisytiharkan keluar parti. Sebelum ini ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh berbuat demikian pada 23 Ogos 2009.SH

Read more ...

Jentera PKR kukuh kerana Individu tidak aktif keluar PKR


SHAH ALAM, 19 April : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yakin tindakan keluar parti ahli PKR yang kononnya mendakwa dirinya Ketua dan Timbalan AMK Cabang Shah Alam langsung tidak memberikan kesan kepada jentera dan kekuatan AMK di Hulu Selangor.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, sebenarnya individu-individu terbabit sudah lama tidak aktif dalam gerak kerja parti lebih dua tahun lebih, malah jawatan tersebut telah dipangku oleh individu lain.

Menurutnya, AMK Selangor yakin ianya sebahagian perancangan jijik UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada PKR.

“Bagaimanapun, tindakan tersebut sebenarnya langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada keyakinan pengundi Hulu Selangor kepada calon berwibawa Datuk Zaid Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan keluar parti itu sebenarnya episod ulangan yang digunakan oleh UMNO dan BN yang sudah ketandusan idea-idea pembaharuan dan gagasan membela rakyat.

Mohd Ezli berkata, isu lapuk yang dibawa ialah fitnah, adu-domba dan keganasan politik lantaran penolakan total rakyat kepada BN sebelum ini.

“AMK Selangor menegaskan calon yang ditampilkan oleh PKR adalah individu yang akan membawa suara pembelaan rakyat ke Parlimen.

“Integriti tinggi dan berprinsip yang dibawa oleh Datuk Zaid mencerminkan gagasan pembaharuan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Menurut beliau, rakyat di Parlimen Hulu Selangor amat bertuah kerana Zaid adalah insan hebat yang memegang prinsip dan memahami denyut nadi perjuangan rakyat pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, beliau (Zaid) menjadi harapan baru kepada suara rakyat Hulu Selangor, justeru untuk membawa agenda Selamatkan Malaysia, beliau adalah individu yang paling layak membawa obor perjuangan rakyat itu.

Semalam, Ketua AMK cabang Shah Alam, Nor’isham Manap dan Timbalannya, Muhamad Ali Mukhtar mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta merta.

Seorang anggota Jawatankuasa (AJK) cabang itu, Mohd. Nazri Mukhtar dan empat anggota Angkatan Muda cawangan Padang Jawa turut mengumumkan keluar parti.

Tindakan itu didakwa diambil kerana kecewa dengan kepimpinan PKR yang memilih Zaid sebagai calon pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Hulu Selangor.SH

Read more ...

Kalau bukan SPR, siapa pindahkan 13, 488 pengundi Hulu Selangor ?


HULU SELANGOR, 19 April : Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menukar pusat mengundi secara tiba-tiba yang membabitkan 13,488 pengundi dekat sini.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, tindakan itu jelas menunjukkan badan bebas itu cabang kepada Barisan Nasional (BN) bagi menjatuhkan PKR.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya meneliti daftar pemilih yang dikeluarkan SPR iaitu sebilangan besar dari 64,500 pengundi dipindahkan pusat mengundi tanpa sebarang makluman.

“Bayangkan 13,488 pengundi akan buang undi di tempat yang biasa dan sekiranya mereka menyemak nama tetapi tiada. Itu akan menyebabkan berlakunya kecelaruan serta kekecohan di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri yang terletak di sini.:

“Ini menunjukkan SPR tidak bertanggung jawab dan saya yakin tindakan SPR adalah taktik kotor untuk menjatuhkan PKR,” katanya pada sidang media di Pusat Media PKR di Kuala Kubu Bharu di sini, semalam.

Beliau juga mendakwa 558 pengundi dibersihkan daripada senarai daftar pemilih pada Disember 2009.

“Saya dapati tiada kemasukan baru pengundi dan kita sedang siasat untuk pastikan 558 pengundi itu benar-benar sudah meninggal dunia,” katanya.

Fuziah berkata, seramai 230 pengundi di Kampung Tanjung di Sungai Choh dipindahkan daripada senarai pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Hulu Selangor ke Parlimen Selayang.:

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, tindakan itu adalah taktik kotor BN untuk menewaskan Pakatan Rakyat.

“Selepas pilihan raya kali ini kita akan aktif kembali Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan desak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dipecat dan digantikan pemimpin berwibawa bagi menjamin ketelusan perjalanan pilihan raya,” katanya.SH

Read more ...

Halili keluar, suatu rahmat bagi PKR

KUALA LUMPUR, 19 April : Tindakan Datuk Dr. Halili Rahmat keluar PKR dan menyertai Umno dianggap sebagai suatu rahmat daripada Allah kepada Pakatan Rakyat.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, sikap yang ditunjukkan Halili katanya membuktikan Pakatan Rakyat tepat membuat keputusan untuk tidak memilihnya sebagai calon bagi PRK Hulu Selangor.

Nama Halili sebelum ini antara tersenarai sebagai calon Pakatan Rakyat bagi PRK Hulu Selangor.

"Memang namanya (Dr. Halili) antara yang dicalonkan, mujur kita tak pilih beliau, kalau kita (pimpinan Pkatan Rakyat) pilih sudah tentu merugikan rakyat kelak."

"Alhamdulillah, dengan keputusan Dr. Halili keluar (parti) seolah-olah suatu rahmat daripada Allah, (maka) saya cuma nak ucap terima kasih." ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Keputusan Halili itu juga katanya memberi isyarat yang jelas bahawa keputusan Pakatan Rakyat memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon di Hulu Selangor merupakan keputusan yang terbaik.

Tambahnya lagi, Pakatan Rakyat tidak menganggap penghijrahan Dr. Halili kepada Umno sebagai suatu kerugian pada Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, menurut beliau, pemergian itu merupakan suatu proses pemutihan bagi Pakatan Rakyat, khususnya PKR sendiri.

"Ia bukan suatu kekurangan, saya nampak ia suatu proses pemutihan buat PKR dan Pakatan sendiri kerana sesiapa pun tahu realiti bankrapnya amalan politik Umno buat masa ini," beliau menambah.

Pagi tadi, media melaporkan Dr. Halili mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Bendahari PKR Hulu Selangor.

Dipercayai tindakan menyertai Umno itu disebabkan beliau berasa tidak puas hati dengan keputusan Pakatan Rakyat memilih Zaid sebagai calon tunggal di P.94 Hulu Selangor tersebut.

Read more ...

Tok Guru Nik Aziz turun kempen 23 April

KOTA BHARU, 19 April:Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyokong penuh calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan akan turun ke sana 23 April ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata sebaik sahaja dimaklumkan Zaid bakal bertanding di Hulu Selangor, Tuan Guru menelefonnya dari tanah suci memaklumkan sokongan penuhnya terhadap calon Pakatan Rakyat.

Jelas Husam, Tuan Guru memberitahu Zaid akan mendapat sokongan dalam pilihan raya kecil itu nanti memandangkan kelebihan yang ada padanya disamping peka terhadap masaalah rakyat.

“Kerana itu, Tuan Guru akan turun ke Hulu Selangor pada 23 April ini untuk berkempen bagi membantu kemenangan calon Pakatan selepas pulang ke tanah air 21 April ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan kunci rumah kedai Bandar Baru Tunjung, dekat sini pagi tadi.

Sambung Husam lagi, bukan itu sahaja Tuan Guru turut menghubungi Zaid selepas beliau diistiharkan calon Pakatan Rakyat dihari penamaan calon.

“Malah dua hari berikut Tuan Guru sekali lagi menelefon Datuk Zaid untuk memberi semangat dan sokongan,”ujar Husam lagi.

Bagi Husam, Zaid merupakan calon yang paling layak untuk bertanding dalam pilihan raya itu kerana kekuatannya yang tersendiri.

Sambungnya, calon berkenaan secara jelas telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri diJabatan Perdana Menteri semata-mata kerana rakyat yang telah diperbodohkan oleh kerajaan BN khususnya dalam masaalah ISA.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru bakal pengundi di Hulu Selangor menolak calon BN dalam pilihan raya itu nanti dan sebaliknya menyokong penuh calon Pakatan Rakyat yang akan meneruskan perjuangan mereka.

Read more ...

75,000 Generasi Kedua Felda bakal dapat 10 ekar tanah


HULU SELANGOR, 19 April: Nasib Generasi Kedua Felda akan dibela sepenuhnya sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat, menang dalam pilihanraya umum ke 13 dan mentadbir Putrajaya.

Seramai 79,000 orang generasi kedua Felda akan diberikan hak tanah 10 ekar setiap seorang dengan rancangan pengambilan semula tanah-tanah milik Felda Plantation oleh kerajaan negeri.

"Saya nak sebut malam ini, antara perjuangan anak ialah, menuntut kalau Pakatan Rakyat menang, kita minta supaya Felda Plantation yang menjadi anak syarikat Felda dimansuhkan supaya diberi anak-anak peneroka,"kata Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar).

Beliau berkata demikian kerana penubuhan Felda Plantation, yang menjalankan perniagaan, adalah bercanggah dengan dasar yang disebut oleh Bekas Perdana Menteri Tun Abul Razak Hussein pada 27 April, 1960.

Katanya, Tun Razak menegaskan Felda adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk mengeluarkan orang-orang Melayu dari kancah kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Oleh itu katanya, menurut dasar yang dibentangkan oleh Tun Razak Felda hanya bertindak sebagai agen pengurusan semata, dan ia bukan satu badan perniagaan.

”Saya dah sebut dengan kawan-kawan yang memerintah negeri Selangor, termasuk baru-baru ini saya sudah berbincang dengan Ustaz Azizan Razak Menteri Besar Kedah.

"Kalau ini sudah jelas terma-termanya, kenapa tidak kerajaan negeri mengambil semula ladang-ladang Felda ini yang berjumlah 367,000 hektar,”jelasnya ketika berucap di Medan Niaga Sungai Tengi, di sini, semalam.

Kemudian, katanya, tanah-tanah tersebut akan diberikan kepada anak-anak peneroka, yang akan mendapat keluasan 10 ekar setiap seorang.

Felda Sungai Tengi terbahagi kepada dua iaitu Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan. Ketika peneroka Sungai Tengi boleh memiliki tanah yang mereka teroka, peneroka Sungai Tengi Selatan tidak kerana ia milik Felda Plantation. Mereka kekal sebagai pekerja Felda.

Read more ...