Saturday, June 11, 2011

UMNO sambut Rejab dengan 'maksiat main pantai'

KUALA NERUS - PAS membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk penganjuran program maksiat 'pesta main pantai' yang dihidupkan kembali oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Umno cuba menyembunyikan 'dosanya', menganjurkan pesta masksiat 'main pantai' dengan memberi nama baru 'Karnival Sukan Pantai dan Kebudayaan 2011'.

Hakikatnya, menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, ia tetap melalaikan dan mengandungi maksiat.

Beliau juga menyifatkan penganjuran 'main pantai' dalam bulan ini, seolah-olah pemimpin Umno menyambut kedatangan Rejab dengan maksiat.

[Gambar - Persembahan 'separuh bogel' dalam pesta main pantai 'aka' Karnival Sukan Pantai & Kebudayaan]


Katanya, saranan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri yang mahu program tersebut menjadi acara tahunan adalah tindakan menghidupkan semula budaya “khurafat” di negeri ini.

“Umno dan kerajaan Barisan Nasional mahu menghidupkan semula budaya ‘khurafat’ dalam pesta “main pantai” yang telah lama ‘berkubur’. Budaya tradisi yang dimaksudkan itu seperti wayang kulit, menora, makyung, ulit mayang.

“Saya membantah keras program seperti ini dan mengajak masyarakat membantah sekeras-kerasnya supaya tidak berlaku lagi perkara bersifat maksiat secara terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan,” tegasnya yang Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu

Ustaz Abu Bakar yang juga bekas Exco kanan kerajaan sangat dukacita, kerana sehingga kini, pesta maksiat tersebut dianjurkan oleh Exco dan Timbalan Exco Ugama negeri Terengganu.

ADUN Batu Rakit Kazan Che Mat yang juga Exco Agama dan Penerangan Terengganu telah menganjurkannya program serupa, sebelum ADUN Tepoh, Ramli Nuh yang juga Timbalan Kazan.

Lebih malang lagi, menurut Ustaz Abu Bakar, kedua-dua ADUN terbabit digelar 'Ustaz' oleh ahli-ahli Umno.

“Malangnya, pula program ini dalam kawasan wakil rakyatnya ‘ustaz’ iaitu Ustaz Muhammad Ramli Nuh (Yang Berhormat) dibuat di pantai Kampung Tanjung Gelam dalam Dun Tepoh.

“Dan kampung yang bermain ini sekretariatnya adalah kampung asal di mana tempat Yang Berhormat, Ustaz Kazan Che Mat selaku Exco Agama negeri Terengganu.

“Jadi bagaimana orang yang menjadi wakil rakyat berstatus ustaz pun tidak ‘reti’ (tahu) dan tidak faham apa yang harus diberi kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya, penganjur program seumpama itu juga menjadikan anak-anak muda berpoya-poya, leka serta tidak menjaga syariat Islam.

Katanya, pihak penganjur menyajikan dengan hiburan karaoke, dikir barat, wayang kulit serta permainan tidak berfaedah.

“Mereka yang turun berpesta pantai ini sebenarnya tidak mempedulikan dari segi syariat seperti menjaga ibadat, sembahyang lima waktu, cara berpakaian dan pergaulan.

“Saya sendiri pun ada pergi melihat dan meninjau ke tempat program itu untuk melihat suasana. Program-program yang dibuat menjadikan anak-anak muda berpoya-poya dan leka,” jelasnya.

Beliau menyifatkan Umno 'melacurkan masyarakat' dengan menganjurkan program 'tidak senonoh' seumpama itu, demi kepentingan politik Umno-BN.

Program tersebut juga, katanya, merupakan suatu penganjuran yang fasik dan sangat buruk kesan kepada masyarakat dan umat Islam.

“Penganjuran ini seumpama “melacurkan” masyarakat supaya leka dan tidak mempedulikan soal agama.

“Budaya bermain dan tidak berfikir. Apa yang disogok oleh Umno dan Barisan Nasional, dia terima. Maka, tidak keterlaluan jika dikatakan program melacurkan masyarakat untuk mengekalkan sokongan kepada Umno-BN pada pilihan raya,” tegasnya.

Menurutnya, parti Islam PAS bekerja keras sejak puluhan tahun lalu bagi menghapuskan amalan ‘khurafat’ dan maksiat di negeri ini.

Katanya, apa yang berlaku di Kampung Tanjung Gelam ini sebaik sahaja masuk bulan Rejab terus dianjurkan pesta “main pantai” yang maksiat selama lima malam.

Sepatutnya, kata beliau pada bulan Rejab ini diprogramkan masyarakat dengan program yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan program maksiat.

Read more ...

Sayap ulama Umno hanya retorik



SHAH ALAM 11 JUN : Cadangan pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan supaya parti pemerintah menubuhkan sayap ulama Umno bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu Islam yang kononnya hilang keyakinan terhadap PAS dilihat bersifat retorik semata-mata.

Naib presiden PAS, Mahfuz Omar berkata, selama ini kerajaan Umno-Barisan Nasional hanya menggunakan institusi agama untuk menghalalkan setiap tindakan mereka
dan bukannya atas tujuan menjaga kebajikan rakyat.

"Pertamanya kegagalan ulama-ulama dalam Umno melalui biro agama Umno telah (berlaku sejak sekian lama), yang keduanya institusi agama di bawah kerajaan gagal
memberikan imej yang baik tetapi akhirnya diperalatkan untuk mengeluarkan kenyataan bagi kepentingan politik Umno-BN,"kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata demikian bagi mengulas ruangan kolumnis Utusan Malaysia semalam yang bertajuk "PAS hilang arah: Sayap Ulama Umno harus ditubuh segera".

Zaini merupakan penulis sama yang mencadangkan supaya Perdana Menteri Malaysia melancarkan Gerakan 1 Melayu, 1 Bumi ekoran kemenangan DAP di 12 daripada 15
kerusi yang ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri sarawak April lalu.

 Dalam ruangan yang diberikan nama 'Cuit' itu, Zaini berkata muktamar PAS baru-baru ini menunjukkan PAS mengorbankan dasar mereka dan mengikut telunjuk Parti DAP dan PKR semata-mata mahu memastikan matlamat Pakatan Rakyat ke Putrajaya tercapai.

Berbalik kepada isu sayap ulama Umno, menurut Zaini kesedaran rakyat tentang perjuangan PAS yang kian kendur adalah baik untuk Umno menggunakan peluang yang terbuka ini untuk mendapatkan sokongan Melayu.

 Bagaimanapun, Zaini nampaknya lupa bagaimana institusi Islam tajaan Umno mengenepikan prinsip Islam sebenar hingga mengakibatkan rakyat mulai jelek dengan kepimpinan kerajaan.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila institusi agama di bawah kerajaan tidak mampu menjalankan tanggungjawab mereka berhubung laporan qazaf ke atas trio "Datuk T" kerana menuduh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan zina.

Walaupun hal itu telah diadukan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), namun ironinya undang-undang syariah Islam seolah-olah tidak diiktiraf, apatah lagi apabila ia melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Menurut Mahfuz, cadangan wartawan kanan media milikan Umno itu hakikatnya turut menggambarkan kegusaran Umno bahawa kemungkinan undi masyarakat Melayu terus memihak kepada Pakatan Rakyat melalui dasar baru PAS yang mahu membangun Negara Berkebajikan selaras dengan program Buku Jingga.

"Mereka sangat bimbang bahawa orang Melayu akan kembali bersama dengan PAS dan mereka bimbang bahawa PAS mampu melakukan 'swing' undi daripada kalangan Melayu dan inilah yang dibimbangi oleh Umno selama ini dan mereka sedang mencari bagaimana nak mengelak daripada 5 ataupun 7 peratus undi Melayu itu terus pergi kepada PAS atau PR,"katanya.

Read more ...

3 hari dalam lokap sebab tak pakai tali pinggang keledar


 KUALA LUMPUR 11 JUN : Seorang Pegawai Bank mendakwa Polis Melaka menangkap dan menahan beliau di dalam lokap selama tiga hari semata-mata kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

Pegawai Bank itu, Edmund Hiew, 26 mendakwa polis menangkap beliau atas alasan menghalang tugasan pihak polis ketika keluar bersama keluar bersama rakannya 29 Mei lalu.

Menurut Hiew, Polis menuduh beliau di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan sedangkan beliau tidak melakukan apa-apa untuk menghalang tugas Polis.

"Saya dituduh menghalang tugas penjawat awam dengan memarahi seorang Sarjan Polis dengan kata-kata 'lu apa kuasa mau ambik gua punya IC dan lesen', " kata Hiew dalam satu sidang media hari ini.

Hiew mendakwa pegawai Polis tersebut berang apabila beliau mengambil gambarnya dan terus menghubungi Kereta Peronda Polis untuk menangkap Hiew.

Peguam Hiew, Lim Lip Eng mendakwa hal ini tidak patut kerana Hiew tidak melakukan apa-apa untuk menyebabkan beliau dituduh dan ditahan sebegini.

"Sehingga kini dia (Hiew) belum didakwa, dia dilepaskan tanpa syarat.

"Satu-satunya kesalahan dia buat ialah mendapat saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar," kata Lim yang turut bersama dalam sidang media berkenaan.

Lim juga kecewa apabila Hiew dinafikan hak beliau apabila tidak dibenarkan menghubungi keluarga dan peguam sepanjang tiga hari tahanannya di Ibu Pejabat Polis Trafik Melaka Tengah.

"Polis sepatutnya memberitahunya beliau berhak berjumpa dengan peguam seperti dalam Seksyen 28 A Kon Prosedur Jenayah," tegas Lim.

Read more ...