Thursday, November 4, 2010

Umno pecah amanah belum serah wang warga emas


GEORGETOWN, 5 Nov. : UMNO dianggap cuba pecah amanah sekiranya tidak memulangkan wang warga emas seperti yang dikatakan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik berkata, beliau mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Norman Zahalan yang dianggap hanya bersikap seperti omong kosong dan sehingga kini masih tiada wang yang dipulangkan kepada pihaknya.


“Ke mana wang itu? Dia (Norman) ada kata dalam surat khabar dan mengatakan ada kira-kira 1,000 warga emas yang akan pulangkan wang yang dikatakan mereka adalah wang judi, jika jumlah 1,000 itu didarabkan dengan RM100, pasti menjadi RM100,000.

“Jadi mana duit RM100,000 itu pergi, sekarang dia kata ada RM20,000 dan saya musykil dari mana duit itu datang,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu melalui laporan media, Norman berkata, seramai 1,000 lagi warga emas di Pulau Pinang dijangka memulangkan semula wang ihsan RM100 yang diterima dari Kerajaan Negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian.

Menurutnya, kebanyakan daripada warga emas berkenaan kecewa kerana wang yang diperoleh itu datang daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Pengakuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri sebelum ini telah menyebabkan lebih ramai lagi warga emas akan berbuat demikian dalam masa yang terdekat kerana mereka tidak sanggup menggunakan wang dari sumber haram.

Norman juga berkata, UMNO tidak memaksa mereka untuk memulangkan wang ihsan tersebut, sebaliknya warga emas berkenaan bertindak atas kerelaan hati.

Katanya, Pemuda UMNO Negeri akan mengumpulkan semua wang itu dan akan mengembalikannya secara rasmi kepada Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

Beliau juga semalam cuba menyerahkan wang berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Namun Wei Aik meragui sumber wang berkenaan berikutan tidak disertakan dengan senarai nama pemberi wang.

Wei Aik berkata, sekiranya UMNO masih belum memulangkan wang tersebut beliau menasihatkan supaya semua warga emas yang telah menghantar wang kepada UMNO segera membuat laporan polis.

Menurutnya, ia kerana mereka hanya pandai mengutip wang tetapi tidak memulangkannya kembali.

“Ini adalah di bawah kesalahan pecah amanah dan tidak ada akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata sekiranya masih terdapat warga emas yang mahu memulangkan wang tersebut boleh berbuat demikian secara individu di Pejabat Daerah dan Tanah di setiap daerah tanpa didalangi mana-mana pihak.

“Mereka perlu isi borang dan nyatakan sebab kenapa mereka serahkan semula wang berkenaan,” katanya.SH

Read more ...

Sambutan 15 tahun Pemuda PAS Pokok Sena


LANGGAR, 5 Nov. : Dewan Pemuda PAS Kawasan Pokok Sena mengambil keputusan untuk mengenang dan merayakan kejayaan 15 tahun pergerakan itu di Parlimen Pokok Sena bermula dari tahun 1996 sehingga 2010.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Pokok Sena, Abdul Rashid Mohd Shariff berkata, kejayaan lima Ketua Pemuda PAS Kawasan Pokok Sena yang sebelum ini mengemudi sayap parti PAS di kawasan ini sehingga kepada satu tahap yang boleh dibanggakan juga turut dikenang.


Menurutnya, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Attantawi dijangka hadir untuk merasmikan program terbesar yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Kawasan sejak 15 tahun yang lalu.

“Program ini diadakan pada 4 sehingga 6 November ini di pekarangan Markas Pas Kawasan Pokok Sena dan selama tempoh dua hari pelbagai program dan acara menarik disediakan kepada hadirin.

Selama 15 tahun ini, program ini adalah aktiviti paling besar yang pernah diadakan dan dianjurkan oleh PAS Pemuda Kawasan Pokok Sena untuk menghimpunkan pemuda-pemuda Pas di seluruh kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Rashid berkata, antara aktiviti dan program yang menarik yang turut disediakan ialah program Diskusi Ilmu Fiqh Kerahsiaan Wanita, Konvokesyen Pasti Kawasan Pokok Sena, Piala Futsal Ketua Pemuda PAS Kawasan Pokok Sena dan Tahlil Perdana.

“Selain acara menarik, kita turut menjemput penceramah terkenal antaranya Saifuddin Nasutions Ismail dan Mohd Sabu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebanyak 40 gerai turut disediakan kepada penggerai yang turut menjual pelbagai barangan jualan dan juga barangan cenderahati sempena sambutan berkenaan.

“Setakat ini, perjalanan perancangan aktiviti masih lagi berjalan lancar dan kita berharap masyarakat Pokok Sena dapat hadir dan menyertai pelbagai acara yang banyak disediakan,” katanya.

Tambahnya, beliau menjangkakan kehadiran bukan sahaja datang daripada penduduk Parlimen Pokok Sena bahkan dari seluruh negeri ini.SH

Read more ...

Nazree bakal dedah dalang


SHAH ALAM, 5 Nov : Menteri Besar, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim tidak akan menarik semula dua saman terhadap Mohd Nazree Mohd Yunus walaupun sedia bertemu dengan bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Intergriti dan Anti Korupsi (Gerak) itu.

Setiausaha Politiknya, Faekah Husin berkata, saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu tetap diteruskan walaupun Mohd Nazree sedia mendedahkan siapa dalang terlibat dalam aduan dakwaan salah laku Abdul Khalid.


“Pertemuan boleh diadakan pada bila-bila masa kerana Abdul Khalid mahu mengetahui siapa dalang di sebalik aduan berhubung dakwaan salah laku melibatkan dirinya, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah me-ngesahkan tiada sebutan kes berhubung aduan itu.

“Beliau (Abdul Khalid) tidak ada masalah untuk bertemu Mohd Nazree malah, bersedia pada bila-bila masa untuk mendengar beberapa pendedahan yang bakal dibuat bekas Pengerusi Gerak itu.

“Sebenarnya, jika tidak ada pertemuan pun tidak mengapa, yang penting dia (Mohd Nazree) perlu mendedahkan dalang yang bertanggungjawab kepada media,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Namun katanya, Mohd Nazree sehingga kini belum membuat sebarang permohonan rasmi bagi menemui Abdul Khalid.

Abdul Khalid sebelum ini menfailkan saman berhubung kenyataan media Mohd Nazree yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan dengan menggunakan wang awam untuk membiayai kos penyelenggaraan dan belian aksesori serta alat ganti untuk kereta milik peribadi beliau.

Fakeah berkata, satu lagi saman ialah berhubung kenyataan media Mohd Nazree kononnya Abdul Khalid menggunakan wang Kerajaan Negeri bagi membiayai pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 pada Hari Raya korban 2008.SH

Read more ...

Tangguh pemilihan PKR, gantung JPP


PETALING JAYA , 5 Nov. : Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub memohon supaya status Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan kerana ketelusan dan integriti badan bebas yang mengawal selia hal ehwal pemilihan parti itu diragui.

Menurutnya, status JPP perlu digantung dan proses pemilihan parti ditanggung sehingga kewibawaan badan bebas itu diyakini sepenuhnya untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti yang berlandaskan keadilan untuk semua.


Oleh itu, untuk tujuan tersebut, Mustaffa akan menghantar memorandum cadangan kepada Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah.


“Memorandum akan dihantar dalam masa terdekat kerana kami sedang menyiapkan beberapa dokumen tambahan.


“Kami ingin menegaskan, bentuk tindakan yang dilakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti di atas dan supaya ia tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses Pemilihan Parti 2010,” katanya.


Beliau yang juga calon Naib Presiden berkata, ketelusan terhadap JPP terus dipertikai pelbagai pihak dengan pelbagai insiden salah laku di mana terdapat kaedah pengendalian tidak bersikap profesional dan bersifat berat sebelah, termasuk penjumlahan undi yang diumumkan tidak konsisten, terutama kedudukan jawatan Timbalan Presiden.


“Majoriti calon di peringkat cabang dan pemilihan pusat mempertikai urus kendali yang dijalankan JPP, namun ramai di kalangan mereka mengambil sikap berdiam diri.


“Jika tidak ada tindakan proaktif daripada JPP, kami khuatir akan menimbulkan masalah besar terutamanya melibatkan pemilihan bagi cabang-cabang di Selangor yang dianggarkan minimum satu cabang ada 1,000 ahli,” katanya.SH

Read more ...

Penubuhan Kaukus Pemuda Partai Islam Se-Asean

JAKARTA, 5 Nov. : Pada 29 Oktober lalu, melalui penglibatan dan usaha Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Lajnah Antarabangsa telah berjaya menubuhkan Kaukus Pemuda Partai Islam Se-Asean bersama Dewan Pimpinan Pusat Pemuda Partai Bulan Bintang, Dewan Pimpinan Pusat Generasi Muda Pembangunan Indonesia Partai Persatuan Pembangunan dan juga Dewan Pimpinan Pusat Pemuda Partai Kebangkitan Nasional Ulama.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Malam Sambat Ka'ban atau MS Ka'ban, Ketua Umum Dewan Pimpinan Pusat Partai Bulan Bintang di kantor Dewan Pimpinan Pusat Partai Bulan Bintang, Jakarta. Serentak dengan itu juga diadakan Latihan Kepimpinan secara bergerak disemua parti yang terlibat di Jakarta.

Semua Ketua Umum Dewan Pimpinan Pemuda termasuk Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat hadir sama. Rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat ini turut bersama 20 orang kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang diketuai oleh Zawawi Hassan sebagai Ketua yang turut hadir bersempena lawatan kerja di sana.

Pelbagai pengisian program sempena Latihan Kepimpinan tersebut yang mendekatkan antara Malaysia - Indonesia diadakan. Menurut Dr Raja Ahmad Al-Hiss, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang mengatakan akan berusaha pula mengembangkan Kaukus ini di negara-negara Asia Tenggara yang lain.DPPNPK

Read more ...

Sokongan orang Cina tidak berubah

P1000993.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 5 Nov.: Kekalahan PAS di Galas tidak melemahkan semangat pimpinan dan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar (DHPP) untuk terus menyokong parti berkenaan.

Pengerusi DHPP Parit Buntar Ong Choi Ee berkata, kekalahan tersebut tidak sedikit pun menjejaskan sokongan ahli-ahli DHPP terhadap PAS.

“ Walaupun berlaku kekurangan undi orang Cina kepada PAS di Galas, tidak mengambarkan bahawa sokongan orang Cina kepada PAS merosot di seluruh negara.

“ Saya yakin orang Cina di Galas akan kembali menyokong PAS pada pilihanraya umum akan datang. PAS akan merampas kembali kerusi tersebut dari BN” katanya yang ditemui selepas pulang menjalankan tugas berkempen di Galas.

P1000996.jpg picture by paspb

Ong berkata, beliau bersama beberapa orang petugas DHPP dari Parit Buntar telah menjalankan tugas berkempen selama dua hari di Galas.

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad berkata sokongan orang Cina kepada BN di Galas adalah bersifat sementara.

“ Pertambahan undi orang Cina kepada BN mungkin kerana mereka mahu pembangkang yang kuat dalam DUN Kelantan.

“ Bagi orang Cina , PAS masih memerintah Kelantan walaupun kalah di Galas. PAS hanya kekurangan 200 undi orang Cina berbanding pilihanraya umum lalu” katanya

Turut bersama mereka adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Harun Hashim yang turut berkempen membantu calon PAS, Dr Zulkefli Ahmad di DUN Galas.

Read more ...

PAS buat bedah siasat punca kekalahan



















GUA MUSANG, 4 Nov: PAS akan melakukan bedah siasat terhadap kegagalan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Biar pun begitu jentera pilihan raya PAS Kelantan berpuas hati dengan gerak kerja kempen yang dijalankan dan bantuan jentera dari luar serta rakan-rakan dari Pakatan Rakyat.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, kesungguhan ditunjukkan jentera kempen begitu memberangsangkan sekali sehingga ramai tenaga dari luar datang membantu.

“Namun kita juga mengesan ada penyokong di peringkat Unit Peti Undi (UPU) tidak keluar mengundi mungkin berpunca dari masalah tertentu.

“Kegagalan mereka keluar mengundi menyebabkan prestasi pilihan raya umum lalu gagal dipertahankan,” katanya di sini.

Pada pilihan raya kecil hari ini calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff mendapat 5,324 undi, manakala calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi.

BN mendapat majoriti sebanyak 1,190 undi. Dan peratusan keluar mengundi sebanyak 83 peratus.

Keputusan rasmi pilihan raya tersebut diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Galas, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.

Abdul Fatah yang juga Adun Bukit Tuku berkata, faktor peningkatan ketara pengundi Orang Asal kepada BN kerana penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan mereka.

Katanya, penglibatan secara langsung agensi kerajaan terbabit dengan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asal menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

“Biar apa pun PAS akan melakukan post mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan undi pada pilihan raya kecil ini. Selain jentera kerajaan pusat kita perlu lihat ada faktor sampingan lain,” ujarnya.

Read more ...

Galas, Batu Sapi petanda pilihan raya umum awal

































KUALA LUMPUR, 5 Nov. :
Barisan Nasional berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan dan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah.


Di Batu Sapi, keputusan rasmi Datin Linda Tsen dari PBS menang dengan majoriti 6,359 manakala Ab Aziz Yusoff memenangi Galas dengan majoriti 1,190 undi.

Kemenangan BN ini, susulan ganjaran-ganjaran kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak melalui belanjawan dan pelbagai tindakan untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu menguatkan jangkaan pilihan raya yang lebih awal.

Blog-blog dan pemerhati pro-BN mendakwa BN telah memenangi semula undi bukan Melayu di Galas, sesuatu yang telah diusahakan sejak perubahan besar sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media di Batu Sapi mendakwa kemenangan di Sabah itu sebagai satu sokongan kepada gagasan 1 Malaysia perdana menteri.

Pada masa sama, kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini dilihat terpinggir daripada Umno. Razaleigh menjadi faktor kekuatan Umno dalam pilihan raya kecil ini.

Kemenangan Umno di negeri kubu kuat PAS ini walau bagaimanapun tidak menjejaskan kerajaan negeri PAS.

Kemanangan kedua-dua pilihan raya kecil ini memberi kesan positif yang besar kepada Umno dan Barisan Nasional, kerana mengalahkan dua parti PR iaitu PAS di Kelantan dan PKR di Sabah.

Read more ...

Terima kasih petugas PAS, teruskan perjuangan





















KUALA LUMPUR, 4 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada para petugas Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP dari seluruh negara yang membantu di dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menerima kekalahan calon PAS di Galas dan PKR di Batu Sapi.

“Kita akui ada kelemahan dan kita sedia baiki kelemahan dan kesilapan,” ujarnya di laman twitter.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada BN yang memenangi kedua-dua PRK itu.

“Bolehlah buat pilihan raya awal untuk dapat mandat baru,” ujarnya.

Mahfuz seterusnya menggesa para petugas Pakatan Rakyat supaya meneruskan perjuangan.

"Jadikan kekalahan Batu Sapi dan Galas seperti di Ijok dan bangkit semula pada pilihan raya 2008 dengan syarat perbaiki kelemahan dan perbetul kesilapan kita," ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan PKR di dalam kedua-dua PRK tersebut.

“Tahniah rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menukilkan serangkap pantun berhubung keputusan kedua-dua PRK itu.

Udang galah dibuat kari,

Dicicah ketupat daun palas,

BN tak kalah di Batu Sapi,

PAS tak menang di Galas.

Bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan, kekalahan di dalam PRK jangan dibaca sebagai kalah berjuang.

“Selama kita bersama kebenaran, ia adalah kemenangan. Sabar harungi medan dengan kekalkan prinsip dan akhlak,” ujarnya.

Sambil menyeru petugas parti meneruskan dakwah dan penerangan, beliau menambah, tiada kemenagan percuma buat Gerakan Islam, justeru politik atau siasah pilihan raya hanyalah wasilah atau alat.

Pada PRK Galas, BN menang dengan majoriti 1,190 undi.

Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi sementara calon BN, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi di mana 132 undi rosak.

Jumlah pengundi yang membuang undi adalah 9,555 atau 83 peratus.

Keputusan itu diumumkan pegawai pengurus PRK itu, Wan Mustapha Wan Ab Hamid di Dewan Sivik Gua Musang.

Bagi PKR Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu apabila calonnya dari PBS, Datin Linda Tsen yang mendapat 9,773 undi menang dengan majoriti 6,359 undi.

Calon PKR, Ansari Abdullah memperoleh 3,414 undi dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengutip 2,013 undi.

Hanya 15,774 pengundi atau 61.47 peratus keluar mengundi di Batu Sapi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain di Dewan Komuniti Sandakan.

Read more ...

Samseng Umno semakin ganas


SHAH ALAM, 4 Nov. : ADUN Sekinchan Ng Suee Lim hari ini membuat laporan polis, mendakwa beliau diserang dan dipukul oleh sekumpulan orang yang disyakinya ahli Umno Tanjong Karang.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kuala Selangor pada jam 1.30 petang tadi.

Menceritakan insiden tersebut, Ng mendakwa beliau bertemu dengan petani di kunci air Sawah Sempadan di Tanjong Karang kira-kira jam 11.35 pagi "untuk mendengar rintihan harga jualan padi yang rendah dan potongan basah yang terlalu tinggi".

"Maka petani menjemput saya turun ke kawasan tersebut untuk mengenal pasti keadaaan sebenar.

"Apabila saya sampai dan turun dari kereta dan sempat bersalaman dengan tiga orang petani, saya telah dikepong oleh sekumpulan yang (di)syaki ahli Umno bahagian Tanjong Karang menghalang dan menghalau saya balik dan mereka berkata ini bukan kawasan YB.

"Oleh kerana keadaan tidak terkawal dan beredar ketika itu, saya diserang dan dipukul, kepala ditumbuk, perut ditendang dan tangan dipukul," laporan polis itu dipetik.

Dalam laporan itu Ng turut mendakwa dua pembantunya turut dipukul dan kereta milik pengiringnya kemik di pintu belakang. - Malaysiakini

Read more ...

PAS ganti Umno bukan warisi perangai buruk Umno

images














PARIT BUNTAR, 3 Nov. : Saranan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu supaya PAS tidak mewarisi tingkah laku buruk parti Umno bertepatan dengan prinsip perjuangan parti berkenaan. Demikian kenyataan Penolong Setiusaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman.

Menurutnya, Umno membina kewangan parti melalui tender runding projek untuk faedah kewangan individu atau kewangan parti.

” Sekiranya, PAS juga bertindak demikian apabila membentuk kerajaan. Apa bezanya PAS dan Umno?

“ PAS akan dilihat bukan sahaja mengantikan Umno sebagai pemerintah tetapi juga mewarisi tingkah laku buruk Umno.

Beliau menyokong pandangan Haji Mohamad Sabu supaya hasil hutan, khazanah bumi, tanah dan sebarang bentuk transaksi dimasukkan ke Baitul Mal bukan kepada individu, puak atau parti.

“ kekuatan parti mesti datang dari wang infak atau zakat atau lain-lain sumber yang tidak boleh ditafsirkan sebagai rasuah.

" PAS akan runtuh sekiranya kekuatan parti dibina sama seperti Umno membina parti mereka” katanya

Adnan berharap PAS terus memberi penekanan kepada program tarbiyyah yang berterusan kepada pimpinan PAS di semua peringkat.

“ Sekiranya, pimpinan PAS tidak melalui proses tarbiyyah yang dilaksanakan oleh parti. Kita bimbang mereka akan mewarisi stail kepimpinan Umno yang memperalatkan pembangunan untuk pembinaan kekuatan individu dan parti’ katanya Menurutnya, tindakan perlu diambil jika terdapat pemimpin PAS yang sudah mewarisi stail kepimpinan Umno dengan mengambil kesempatan mendapat faedah peribadi melalui tender runding projek.

“ Jika , pemimpin PAS terlibat tidak diambil tindakan . Malah , tingkah laku buruk ini ditutup . Sama seperti Umno melindungi pemimpinnya yang rasuah.

“ Masanya akan tiba. PAS bukan sahaja mampu mengantikan Umno, bahkan juga akan mengalami nasib yang sama seperti Umno “ katanya

Read more ...