Monday, March 22, 2010

Siapa kartun ?












IPOH , 22 Mac :
“Siapa dia hendak bercakap mengenai perlembagaan, adakah dia arif mengenai perlembagaan, kalau sekadar menuduh orang tu kartun, orang ni kartun, baik tidak payahlah,” kata bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar.

Dalam soal siapa speaker yang sah antara Datuk R Ganesan, katanya, ramai pakar perlembagaan termasuk Pensyarah Undang-Undang mengatakan beliau masih lagi speaker DUN.

“Bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) boleh menyifatkan tindak-tanduk saya ini sebagai kartun, sedangkan apa yang saya pertahankan adalah mengikut lunas perundangan, malah terbukti melalui kenyataan pakar perundangan.

“Kalau dia labelkan saya sebagai kartun, macam mana pula dengan kes enjin jet pejuang hilang dan kapal selam yang tidak berfungsi, bukankah permasalahan ini lebih sesuai dilabelkan sebagai kartun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin kelmarin yang menyifatkan dia sebagai kartun dalam isu Speaker DUN Perak.

Sivakumar berkata, beliau tetap mempertahankan jawatan speaker kerana pelantikannya mengikut saluran sah, bukan sebagaimana berlaku ke atas Ganesan.

Katanya, segala tindak-tanduk beliau sebelum ini adalah berlandaskan kepada enam perkara dan beliau mohon supaya Timbalan Perdana Menteri menjawab semua perihal itu iaitu bagaimana Ganesan boleh memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), sedangkan perintah mahkamah dikeluarkan melarang orang awam dan Ahli Parlimen.

“Keduanya, persidangan 7 Mei tahun lalu, saya memberitahu sidang belum dimulakan sehinggalah 10 orang yang digantung keluar dewan mengikut Perintah-perintah tetap DUN, namun saya telah diheret keluar.

“Apa yang berlaku dalam tempoh itu adalah tidak sah termasuk dalam pelantikan Ganesan dan perlucutan saya sebagai speaker,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Tronoh berkata, perkara ketiga adalah aturan mesyuarat telah dilanggar, sepatutnya dimulakan dengan titah ucapan tuanku sebagai perasmian pembukaan penggal kedua dewan, sebelum diikuti agenda berikutnya.

“Perkara keempat pula mengenai proses pelantikan speaker, bagaimana Hee Yit Foong pada ketika itu telah meletak jawatan sebagai ADUN dan Timbalan Speaker boleh mengambil kuasa sebagai speaker, sedangkan saya berada di situ dan masih bergelar speaker.

“Begitu juga usul pelucutan dan pelantikan speaker yang perlu dibuat melalui usul majoriti, tetapi saya tidak nampak pun usul itu dikemukakan, tambahan lagi usul berkenaan dicadangkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar) yang pada ketika itu sudah digantung pada 6 Mei sehari sebelum sidang, maka usul berkenaan tidak sah.

“Perkara keenam adalah mengenai status atau kedudukan Ganesan yang bila dilantik sebagai speaker seharusnya melepaskan segala jawatan ikhtisasnya dalam tempoh tiga bulan, tetapi surat dari Majlis Peguam Negara mengesahkan Ganesan tidak meletak jawatan dalam tempoh berkenaan menyebabkan dengan sendirinya jawatan sebagai speaker terlucut,” katanya.SH

Read more ...

Umno dicabar batal kontrak APCO





SHAH ALAM, 22 Mac : Parti Keadilan Rakyat mendesak kerajaan BN membatalkan kontrak APCO Worldwide yang mempunyai kaitan dengan elemen Zionis dan Neo-Konservatif Amerika Syarikat.

Desakan ini dibuat ekoran pendedahan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat tempoh hari, yang mengkritik keputusan Perdana Menteri Najib Abdul Razak melantik syarikat perunding itu membantu BN menguruskan negara.


"Jika Umno-BN tidak membatalkan kontrak APCO, ia memberi implikasi bahawa dasar-dasar Israel menjadi asas kepada komunikasi negara. Saya cabar Perdana Menteri jika tidak ada tindakan tegas diambil, rakyat akan berkata kamu bersekongkol dengan pemimpin Israel," kata Ahli Parlimen Yusmadi Yusoff bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Anwar mendedahkan semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan Umno-BN juga telah membayar sejumlah wang kepada pelobi Yahudi yang pro-Zionis dan neo-konservatif ektremis, Jack Abramoff.

Kerajaan Malaysia telah membayar yuran perundingan sebanyak AS$1.2 juta (RM4.6 juta) kepada Abramoff bagi khidmat menguruskan pertemuan antara Dr Mahathir dan Presiden Amerika ketika itu George W. Bush di White House, Washington pada Mei 2002.

Menteri Pertahanan Zahid Hamidi turut dikecam keras kerana mengadakan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak di sebuah majlis koktel di Pertunjukan Udara Paris, 17 Julai tahun lalu.

Muqabalah antara pemimpin kanan Umno ini dan Penyembelih Gaza (The Butcher of Gaza) telah menghiris hati umat Islam di negara ini.TVS

Read more ...

Musa Hassan tidak serius basmi jenayah





KUALA LUMPUR, 22 Mac : Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah pimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan didakwa melanggar etika polis dalam membasmi jenayah di negara ini yang semakin meningkat daripada 150,000 kepada 210,000 kes jenayah dari tahun 2005 sehingga sekarang.
Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan tindakan Musa menolak permohonan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menubuhkan Polis Bantuan (Auxiliary Police).
MBPJ sebelum ini telah membuat permohonan bagi mendapat kelulusan Ketua Polis Negara melalui Ketua Polis Daerah Petaling dengan menyatakan peruntukan sebanyak RM4.2 juta telah diluluskan dalam bajet MBPJ bagi menubuhkan polis bantuan berjumlah 50 anggota.
Keputusan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara secara bertulis pada 17 Mac kepada MBPJ mengatakan kelulusan tidak dapat diberi dengan alasan akan wujud pertindihan kuasa antara polis dengan pasukan yang akan ditubuhkan nanti.
Dalam sidang media yang di adakah di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa menegaskan MBPJ mengambil tindakan positif untuk membantu polis dalam usaha membasmi jenayah yang kian meningkat sekarang.
"MBPJ telah mengambil initiatif yang pro-aktif untuk mengatasi masalah keselamatan di bandaraya tersebut. Peruntukan sebanyak RM4.2 juta telah diluluskan dalam bajet 2010 bagi menubuhkan polis bantuan seramai 50 orang.
"Cadangan ini telah menerima sokongan yang sepenuhnya daripada Ketua Polis Daerah Petaling tetapi cadangan dan sokongan itu ditolak oleh Ketua Polis Negara.
"Kita kesal dengan tindakan tersebut, MBPJ sediakan segala kemudahan dan kos bagi polis bantuan bukannya menggunakan bajet PDRM sehinggalah kepada menyediakan pondok-pondok bagi menempatkan anggota tersebut. Kita cuma inginkan kelulusan sahaja kalau, alasan berlaku pertindihan kuasa itu tidak boleh diterima kerana apa yang kita sedia maklum faktor yang meningkatnya kadar jenayah adalah disebabkan oleh kekurangan anggota polis dalam memantau setiap daerah dan tempat," jelas Sivarasa.
Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN juga berkata disebabkan jenayah yang tidak dapat dibendung lagi persatuan penduduk terpaksa mengambil tindakan sendiri dengan mengupah syarikat pengawal serta membina halangan-halangan jalan raya di kawasan perumahan mereka.
"Saya nak maklum halangan jalan raya yang diambil oleh persatuan adalah salah tetapi demi memastikan keselamatan, mereka rela berhadapan undang-undang.
"Bagi memastikan matlamat Bandaraya Selamat, MBPJ telah mengambil initiatif menubuhkan pasukan polis bantuan malangnya permohonan mereka ini telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Jika Kementerian Dalam Negeri ikhlas untuk menangani masalah kadar jenayah yang masih meningkat, kerajaan perlu membuat penyusunan dan penugasan semula jabatan dan anggota PDRM yang berjumlah 100 ribu orang. Gunakan puluhan ribu anggota yang berada di Cawangan Khas, Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am bagi membantu mencegah jenayah," tegas beliau.RM

Read more ...

Bergerak bukan hanya semasa pilihanraya

Image006-4.jpg picture by paspb


PARIT BUNTAR, 22 Mac ; PAS bukan sebuah parti yang bergerak hanya semasa pilihanraya, sebaliknya PAS melaksanakan aktiviti dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang masa.


Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata Jawatankuasa PAS di cawangan perlu turut sama mengerakkan jentera PAS di cawangan dengan aktiviti yang bermanfaat kepada ahli dan masyarakat setempat.


“ Jangan tunggu semasa pilihanraya baru nak bergerak kerana perjuangan Islam tidak berlaku hanya sewaktu pilihanraya “ katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Parit Haji Wahab Darat.

Menurut Khairulzami, PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat

“PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya” katanya

Khairulzami berkata PAS Cawangan perlu terus berusaha menarik ahli-ahli Umno menyertai PAS kerana Umno sudah tidak boleh diharap untuk menyelamatkan umat Melayu dan Islam.

“PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah” katanya

Mesyuarat Agung PAS Cawangan Parit Haji Wahab Darat telah diadakan di rumah Ketua PAS Cawangan Abd Wahab Haji Kadri dan dihadiri oleh 54 orang ahli PAS Cawangan berkenaan.

Image008-4.jpg picture by paspb

Image000.jpg picture by paspb

Image012-3.jpg picture by paspb

Read more ...

Bukan penggal akhir jadi MB













SHAH ALAM, 22 Mac : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan spekulasi bahawa ini mungkin penggal terakhir beliau sebagai menteri besar Selangor dan akan kembali ke dunia korporat.

Katanya, beliau tidak pernah memikirkan mengenai perkara itu atau dibangkitkan secara rasmi.

"Peranan saya di luar spekulasi kerana saya ingin berkhidmat kepada orang ramai selagi rakyat dan rakan-rakan saya dalam parti (PKR) mahukan saya," katanya.

Abdul Khalid memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Khalid yang juga pengerusi perhubungan PKR negeri berkata beliau akan terus aktif dalam politik jika itu adalah yang terbaik untuk beliau lakukan.

Beliau adalah ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003 sebelum memasuki politik dan menyertai PKR.

Sementara itu, Khalid berkata permintaan untuk memperbaiki jalan-jalan di Selangor adalah tinggi kerana negeri ini bertanggungjawab untuk penyelengaraan kira-kira 4,000 kilometer, dan 1,000km di negeri ini adalah jalan persekutuan.

Mengenai cadangan Sime Darby Property untuk membangunkan sebahagian kawasan Taman Subang Ria, di Petaling Jaya sebagai taman rekreasi, beliau berkata ia lebih sesuai jika taman itu dimajukan dahulu sebelum kediaman.

Pengarah urusan Sime Darby Property Bhd, Datuk Tunku Putra Badlishah, dilaporkan berkata bahawa syarikat itu merancang membangunkan kediaman untuk membiayai kos taman rekreasi tersebut disebabkan kosnya yang tinggi, yang hanya kira-kira 20 peratus daripada harga hartanah itu.

Khalid juga berkata Taman Subang Ria ialah sebuah hartanah persendirian milik Kumpulan Sime Darby, dan bukan taman awam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Read more ...

Ulama semakin kurang di dunia


SHAH ALAM , 22 Mac : Bukan sahaja negeri Selangor dan Malaysia, bahkan dunia Islam hari ini sememangnya kekurangan ulama berwibawa yang mempunyai penguasaan mantap dalam ilmu Islam dan ilmu moden.

Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata demikian mengulas kenyataan Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang menyatakan bahawa Selangor kini kekurangan ulama.

“Kenyataan Datuk Dr Hasan memang benar dan kita mengambilnya sebagai motivasi untuk menambahkan lagi kelompok ulama di negara ini.

“Kalau kita lihat ketika ini mereka yang ingin mendapatkan ilmu Islam memang banyak tetapi hendak menyampaikan ilmu tersebut amat kurang. Kita ketandusan ilmuan yang dapat menguasai kedua-dua bidang,” katanya.

Sheikh Abdul Halim berkata, kenyataan itu sebagai pendorong kepada persatuan tersebut dalam usaha mewujudkan lebih ramai umat Islam yang hafaz al-Quran dan ahli hadis yang mempunyai pendidikan moden.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha menambahkan ulama’ dengan pelbagai cara dan di pihak kerajaan, mungkin mereka akan membantu dari segi mendapatkan bantuan.

“Kita sedang berusaha sekarang ini untuk menambahkan bilangan ulama’dan ia mengambil masa selama lima hingga 10 tahun. Seperti yang dilakukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebab menghafaz al-Quran memakan masa tiga hingga lima tahun.

“Selepas itu barulah, mereka meneruskan penguasaan ilmu moden seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, sains dan sebagainya. Sebab kita tidak mahu seperti yang berlaku sebelum ini, bila kita berbincang mengenai ekonomi dalam dunia Islam, dia tidak tahu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ada sesetengah individu tidak mengaku ulama tetapi bercakap dan memberi pandangan seolah-olah dirinya seorang ulama.

“Kalau benar-benar mempunyai ilmu Islam dan ilmu moden yang mantap, mereka tidak akan mendabik dada,” katanya.

Terdahulu, Hasan mengeluarkan kenyataan bahawa Selangor akan melahirkan lebih ramai ulama yang bukan sahaja mampu menerokai khazanah ilmu Islam tetapi juga berkemampuan menguasai ilmu moden dalam usaha menampung kekurangan ulama di negeri ini.

Menurut Hasan, sekiranya perancangan tersebut berlaku, kekurangan ulama’ di negeri ini akan dapat ditampung dan dalam 10 tahun akan datang, akan kelihatan kegemilangan ulama di negeri ini seperti dulu yang dikenali sebagai ‘kilang’ melahirkan ulama.SH

Read more ...