Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
KUALA TERENGGANU – Pas mendakwa ada pegawai tinggi kerajaan yang bersedia berkhidmat untuk parti itu dan sanggup menjadi calon sekiranya ditawarkan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, pengakuan itu dibuat beberapa pegawai kerajaan dalam satu perjumpaan dengan beliau sendiri.

“Senario ini menunjukkan kebangkitan dan jumlahnya bukan sedikit kerana pegawai kerajaan tersebut bukan sahaja di peringkat negeri malah juga pusat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, keadaan itu membuktikan rakyat di pelbagai peringkat yakin dengan kemampuan pihak lain selain Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara.

Katanya, dalam masa yang sama mereka mahu memastikan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) lebih baik berbanding yang ada sekarang, selain itu untuk menghapuskan segala penyelewengan kuasa dan rasuah.

Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu berkata, perkembangan itu selari dengan kajian dan analisis politik sama ada daripada pro pembangkang atau pihak luar bahawa PR akan menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu turut bergantung pada peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses mengendalikan pilihan raya.

“Dengan perkembangan positif terhadap Pas, kita yakin boleh menang lebih-lebih lagi kalau SPR boleh berlaku adil,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, rakyat semakin menolak Barisan Nasional (BN) kerana sikap pemimpin parti itu yang berlumba-lumba mencari kekayaan untuk diri sendiri.

Katanya, sikap mementingkan diri sendiri merupakan salah satu sebab rakyat yang masih dibebani dengan kenaikan harga barang kecewa dengan sikap pemimpin BN.