Wednesday, April 21, 2010

Pesatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah pembodek BN



ALOR SETAR, 21 April : Kerajaan Negeri membidas Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah (PKMMNK) yang mendakwa kekurangan projek daripada Kerajaan Negeri sejak dua tahun lalu menjadi punca kira-kira 600 kontraktor Kelas F di negeri ini hampir ‘gulung tikar’.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Pharolrazi Zawawi berkata, kenyataan itu adalah polemik politik semata-mata.

Menurutnya, jika benar dakwaan itu, mengapa PKMMNK tidak pernah merujuk kepada Kerajaan Negeri selama ini, terutama dalam isu kekurangan projek.

“Kerajaan Negeri mengakui kurang menawarkan tender projek kecil-kecilan untuk kontraktor Kelas F sejak kebelakangan ini ekoran kekurangan peruntukan bagi tujuan pembangunan yang sememangnya agak terhad.

“Masalah yang sama turut dihadapi oleh Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu apabila segala peruntukan untuk tender projek kecil-kecilan di peringkat daerah diamanahkan kepada Jabatan Pembangunan Negeri (ICU) oleh Kerajaan Pusat dan tidak lagi diuruskan oleh majlis daerah,” katanya..

Ir Phahrolrazi berkata, peruntukan pembangunan yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri, diserahkan kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat bagi melancarkan pelaksanaan pembangunan yang dirancang.

“Justeru, tidak timbul isu Kerajaan Negeri berat sebelah dalam mengagihkan tender projek kepada kontraktor kecil di negeri ini,”katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, tindakan PKMMNK menuding jari kepada Kerajaan Negeri berikutan masalah kekurangan projek dianggap tidak adil kerana peruntukan bagi membiayai kebanyakan projek mega dan kecil-kecilan di negeri ini paling banyak disalurkan oleh Kerajaan Pusat.

Menurutnya, PKMMNK seharusnya meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Kerajaan Pusat, bukan kepada Kerajaan Negeri kerana mereka juga terlibat secara langsung dalam menyempitkan peluang kontraktor Kelas F untuk meraih tender projek kecil-kecilan.

“Saya fikir tindakan PKMMNK menyerang Kerajaan Negeri tidak kena pada tempat kerana Kerajaan Pusat yang memainkan peranan dalam menentukan seberapa banyak peruntukan diagihkan untuk projek pembangunan di negeri ini melalui Unit Perancang Ekonomi (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

“Kesimpulan saya adalah PKMMNK hanya mahu main politik dalam isu ini untuk membodek BN semata-mata, bukannya benar-benar hendak tolong kira-kira 1,000 kontraktor kecil Kelas F di negeri ini,”katanya.

Ir Phahrolrazi berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan sifat terbuka dalam membincangkan apa jua masalah dengan mana-mana NGO di negeri ini dan meminta wakil PKMMNK untuk datang berjumpa dengan beliau dalam masa terdekat jika mereka benar-benar ikhlas hendak memperjuangkan masalah ahli persatuan itu dalam isu kekurangan projek.

“Saya minta mereka jangan hanya sekadar berpolitik untuk membodek pihak satu lagi (BN). Saya yakin, sekiranya masalah ini dibincangkan secara bersama, jalan penyelesaian mungkin dapat dicapai. Berhentilah melatah dan datang berjumpa dengan saya,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan hampir 60 peratus daripada kira-kira 1,000 kontraktor Kelas F yang mengkhususkan kepada kerja-kerja pembaikan paip dan saliran di Kedah mungkin terpaksa ‘gulung tikar’ kerana kurang mendapat projek daripada Kerajaan Negeri sejak dua tahun lalu.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah, Mohd Fatahi Omar berkata, perkara itu menjadi semakin teruk selepas Kerajaan Negeri mengkorporatkan Jabatan Bekalan Air (JBA) kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Menurutnya, hanya sebilangan kontraktor tertentu sahaja yang mendapat faedah daripada pengkorporatan syarikat air itu manakala sebahagian besar lagi hanya sekadar melihat.SH

Read more ...

Bagaimana nak hadir, kalau tidak dijemput


IPOH , 21 April : Ketiadaan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat (PR) pada majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar kelmarin, terjawab apabila mereka mendakwa tidak menerima jemputan untuk hadir.

ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming berkata, PR menyanjung tinggi institusi raja dan menaruh harapan tinggi terhadap pihak istana sebagai payung keadilan kepada semua rakyat, tetapi malangnya hak mereka untuk didengar telah dinafikan.

Katanya, mereka langsung tidak berpeluang untuk menjelaskan hakikat sebenar apa berlaku kepada sultan berhubung perjalanan sidang DUN baru-baru ini.

"Rakyat perlu faham, alat pembesar suara ADUN PR ditutup sepanjang masa menyebabkan kami tidak dapat bersuara. Kerajaan BN juga enggan menjawab semua 216 soalan yang dikemukakan wakil rakyat PR.

"Akibatnya Dewan Negeri kini telah lumpuh dan tidak dapat berfungsi lagi. Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghantar surat memohon perkenan untuk menghadap tuanku sultan untuk menjelaskan kisah sebenar, tetapi tidak menerima jawapan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Azlan Shah yang menzahirkan rasa malu dengan prosiding Dewan Undangan Negeri dan Parlimen berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat.

Menurut baginda, ini kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah institusi perundangan negara dan dewan tersebut dirujuk sebagai dewan yang mulia serta ahlinya dirujuk sebagai Yang Berhormat.

Kor Ming mendakwa, demokrasi dan hak rakyat di negeri itu telah dianiaya serta menyeru masyarakat supaya melihat apa sebenarnya yang berlaku sebenar.

ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim turut mengesahkan kenyataan rakannya dan berkata, semua ADUN PR Perak tidak dijemput ke majlis gilang-gemilang yang diadakan di Istana Iskandariah itu.

"Sebelum ini kami dijemput hadir dalam acara sambutan tahunan Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak.

"Kenyataan ini dikeluarkan adalah untuk mengelakkan tohmahan dan anggapan sesetengah pihak kononnya kami sengaja tidak mahu hadir pada majlis itu. Ia tidak benar," katanya.SH

Read more ...

RM 5000 tawaran tangkap perogol



TELUK INTAN, 21 April : DAP Teluk Intan menawarkan RM5,000 kepada pemberi maklumat kejadian rogol yang berlaku kelmarin sehingga tertangkapnya penjenayah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Seah Leong Peng berkata, pihaknya tampil untuk membantu pihak polis bagi menjejaki penjenayah yang dikehendaki itu.

Menurutnya, penjenayah seperti itu perlu ditangkap segera dan menerima hukum atas perbuatan terkutuk yang telah dilakukan itu.

“Saya telah bertemu dengan Ketua Polis Daerah Hilir Perak bagi mendapatkan penjelasan kerana maklumat yang diterima, pihak polis lambat tiba di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, setelah penjelasan dibuat, saya berpuas hati dan tidak teragak-agak untuk turut membantu pihak polis menjejaki suspek,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, seorang gadis yang cedera parah dirogol seorang lelaki yang tidak dikenali selepas terjatuh daripada motosikalnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun dalam satu kenyataannya kelmarin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi selepas mangsa bersama rakan selesai makan di sebuah restoran makanan segera, di sini.

Katanya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak di Jalan Pasir Bedamar, di sini, mangsa menyedari diekori sebuah motosikal setelah melihat melalui cermin sisi yang kemudiannya merapati mereka.

“Suspek memintas mangsa sambil menyembur sesuatu semburan ke arah mukanya sehingga menyebabkan mangsa dan pembonceng hilang kawalan serta terbabas lalu terjatuh daripada motosikal.

“Mangsa yang mengalami kecederaan serius di tangan kiri dan paha kiri kemudiannya diraba suspek sebelum diugut akan mencederakan mangsa dengan topi keledar,” katanya.

Mohd Zaki berkata, mangsa kemudiannya dibawa oleh suspek menuju ke Glutton Square di Jalan Pasar, di sini sebelum merogol mangsa lebih kurang 10 minit di dalam kawasan tandas wanita berhampiran.

Katanya, suspek terus melarikan diri sebaik selesai merogol mangsa dan membiarkan mangsa keseorangan di dalam tandas itu.

“Kita sedang memburu suspek yang merupakan seorang lelaki Melayu menaiki skuter warna hijau muda berketinggian lebih kurang 180 sentimeter dan berbadan tegap.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik dan bekerja membantu ibunya dalam perniagaan makanan.SH

Read more ...

PRK Hulu Selangor tak sah ?


HULU SELANGOR, 21 April: Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan hari pengundian Ahad ini tidak sah?
Persoalan ini timbul ekoran dakwaan Pakatan Rakyat bahawa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan 228 pengundi dari Kampung Tanjung, Batang Kali dalam bahagian Hulu Selangor ke kerusi Parlimen jiran — Selayang.
“Kami lihat ini satu tindakan tidak sah, memindahkan pengundi dari satu bahagian ke bahagian lain,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh pada sidang media di sini hari ini.
Dilihat sebagai cabaran bagi beliau yang memikul tanggungjawabnya sebagai pengarah pilihan raya sejak awal Februari lalu, Fuziah menegaskan SPR tidak boleh memindahkan seseorang pengundi ke bahagian lain tanpa pengetahuan pengundi terbabit.
“Pemindahan ini bukan atas permintaan (permohonan) pengundi berkenaan, tetapi SPR yang memindahkan mereka,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.
Fuziah menambah, kumpulan pengundi berkenaan yang memenangkan calon PKR dua tahun lalu seolah-olah terbabit dalam proses persempadanan semula bahagian pilihan raya.
“Mereka dikeluarkan dari satu bahagian (Hulu Selangor) ke bahagian lain iaitu Selayang.
“Tindakan mengeluarkan mereka seperti ini hanya boleh dibuat ketika persempadanan semula, bukannya sekarang.
“Ini satu tindakan SPR menghilangkan hak mereka untuk mengundi,” kata beliau sambil menambah pihaknya ada menghubungi penasihat undang-undang SPR berhubung berkenaan tetapi pegawai berkenaan tidak dapat memberikan jawapan jelas atas alasan baru kembali dari luar negara.
Ditanya adakah Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang mengisytiharkan pilihan raya ini tidak sah, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, “kami sedang menuju kemenangan, jadi tidak mahu memikirkan tindakan (fail kes) ini.”
“Kami akan memikirkan tindakan susulan selepas pilihan raya nanti,” katanya.
Sambil menegaskan pengundi terbabit boleh harus diberikan hak mengundi di Hulu Selangor Ahad ini, Fuziah berkata, pengundi-pengundi terbabit mempunyai hak untuk menyaman SPR.
“Mereka boleh saman SPR,” katanya.
Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata tindakan itu tidak salah dari segi undang-undang.
“Proses ini sudah dijalankan sejak selepas pilihan raya umum 2004. Jadi kami mendapati ada kawasan yang termasuk dalam bahagian pilihan raya yang lain tetapi hakikat pengundi kena mengundi di tempat lain.
“Jadi SPR sedang mengambil tindakan membetulkan lokaliti tempatan mengundi dengan memindahkan pengundi kawasan terbabit ke bahagian-bahagian lain... salah satu bahagian terbabit ialah Hulu Selangor dan Selayang,” katanya.
Kelmarin, beliau mengakui SPR tidak memaklumkan 228 pengundi terbabit berhubung pemindahan mereka.
Mereka tidak dapat mengundi pada Ahad ini.
Menurut Wan Ahmad, pengundi berkenaan kini berada dalam bahagian Dewan Undangan Negeri Rawang, bukan lagi Batang Kali.
Kata beliau, SPR hanya mengenal pasti perkara itu selepas daftar pemilih akhir dikemaskinikan untuk tujuan pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.
Kata beliau pada masa lalu proses menentukan sempadan dibuat secara manual tetapi kini SPR menggunakan sistem maklumat geografi sejak 2004.
-malaysianinsider-

Read more ...

Pemergian Pak Su Kob sukar dicari ganti

CIMG3746.jpg picture by paspb 

PARIT BUNTAR, 21 April :  PAS kehilangan seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan harta benda kepada parti itu. Tokoh berkenaan ialah Yaakob Ahmad, 77 yang  meninggal dunia pada pukul 6.00 pagi hari Jumaat di rumah beliau di Sungai Acheh.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang menziarahi jenazah beliau berkata, Allahyarham semasa hidupnya telah menginfakkan seekar tanah yang bernilai lebih RM 100 ribu kepada PAS Kawasan Nibung Tebal.

“ PAS Kawasan Nibung Tebal telah membina sebuah markas tarbiyyah di atas tapak tanah yang diinfakkan oleh Allahyaraham” katanya

Dr. Mujahid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata,  Allahyarham bukan sahaja banyak memberi sumbangan kepada PAS, malah banyak memberi sumbangan kepada  masyarakat setempat.

“ Pak Su Kob ialah seorang tokoh yang mempunyai perwatakan yang disenangi ahli masyarakat. Jelas terbukti ketokohan beliau apabila ramai anggota masyarakat yang datang menziarahi jenazah beliau selain pimpinan dan ahli PAS Cawangan-Cawangan di Nibong Tebal” katanya

Beliau berkata, PAS Pulau Pinang terutama di kawasan Nibung Tebal telah kehilangan tokoh sukar dicari ganti.

“ PAS amat merasai pemergian Pak Su Kob yang banyak berjasa kepada perjuangan Islam. Masyarakat di Sungai Acheh juga merasai kehilangan tokoh yang cukup dikenali ini.

“ Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh pejuang Islam ini” katanya

Read more ...

Umno jahil kerana 'terlebih mengaji agama'

SHAH ALAM, 21 April: AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa kesal dengan sikap pemimpin BN khususnya Umno yang masih menghebohkan isu minum arak oleh Datuk Zaid Ibrahim yang sudah bertaubat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, sangat tidak wajar mereka masih mengungkit-ungkit perbuatan salahlaku itu kerana Zaid sudah pun menyatakan taubatnya secara terbuka dan meminta maaf kepada rakyat Selangor amnya.

Datuk Zaid adalah bekas Ahli Parlimen Kota Bharu dan Menteri Undang-undang di zaman Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang kemudian meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju ISA dikenakan kepada tiga rakyat Malaysia termasuk Exco Selangor, Teresa Koh.

Beliau kini menjadi calon PKR mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil P94 Parlimen Hulu Selangor menentang calon BN, Kamalanathan dari MIC sedangkan kaum India hanya di bawah 20 peratus.

Mujahid mengulas perkara ini di dalam satu kuliahnya di sini malam tadi ekoran serangan peribadi bertali arus dibuat oleh BN terhadap Zaid menerusi media cetak dan elektronik yang disifatkan keterlaluan dan melampau.

Menurutnya, sedangkan Allah SWT pun menerima taubat sesorang hamba-Nya, takkanlah tahap keampunan di pihak Umno lebih besar daripada keampunan Allah SWT?

Jika hendak dikira begitu, tegasnya, sudah pasti dosa Saidina Omar lebih besar kerana khalifah ketiga itu pernah membunuh anak perempuannya sendiri di zaman jahiliahnya lalu satu ketika, Nabi Muhammad SAW bersabda, Allah mengampunkan segala dosa lepas yang dibuat secara jahil.

Dr Mujahid berkata, dalam hal ini pemimpin Umno yang masih menggunakan isu lama itu sebagai jahil, ‘terlebih mengaji agama’ atau tiada modal besar untuk bercakap.

“Sebab itulah Islam menetapkan jika datang pembawa berita yang fasik membawa berita hendaklah diminta penjelasan dari orang yang kena tuduh itu, jangan tanya pembawa berita itu sebaliknya bertanyalah kepada orang yang kena tuduh,” tegasnya.

Dalam kuliah lebih satu jam itu, beliau telah memberikan penjelasan tentang pelaksanaan undang-undang syariah yang masih ada saki baki di negara ini pun masih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berkuasa agama.

Jangankan hendak kuatkuasakan hukum Islam sepenuhnya, ujar Mujahid, yang ada saki baki undang-undang syariah ini pun tidak mampu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan ini amat mendukacitakan. IBH

Read more ...

Tiga 'katak' menekan Zamry

IPOH, 21 April: Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kini berada dalam dilema dan tertekan dengan sikap tiga calon bebas di negeri itu yang sedang menunggu peluang untuk mengaut pelbagai keuntungan dari tindakan mereka keluar dari Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ketika mendedahkan perkara itu menegaskan, perkara itu diketahuinya melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Menurut beliau, perkara itu juga bukanlah sesuatu yang mustahil kerana beliau sendiri cukup kenal dengan tiga wakil rakyat terbabit yang sebelum ini bertanding atas tiket PKR dan DAP yang bergabung dalam Pakatan Rakyat, tetapi sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat demi kepentingan diri.

Tiga wakil rakyat bebas yang dimaksudkan oleh beliau itu terdiri daripada Kapten (B) Mohd Osman Jailu (Cangkat Jering), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Hee Yit Fong (Jelapang).

“Tindakan 3 katak itu keluar dari Pakatan Rakyat melambangkan mereka manusia yang tidak bertanggungjawab, mengkhianati pengundi-pengundi yang menyokong mereka, sehingga menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak mengalami kesusahan dan dirampas oleh Umno-BN.

“Setelah menyusahkan Kerajaan Pakatan Rakyat, kini 3 katak itu sedang mengugut Zambry pula untuk mendapatkan apa saja. Zambry pula terpaksa beri atau ikut apa sahaja kehendak mereka supaya mereka tidak melompat pula kepada parti lain.

“Tindakan mereka itu ternyata menyusahkan rakyat Perak kerana ia akan melibatkan hak atau harta benda rakyat Perak. Tetapi mereka tetap tidak menghiraukan semua itu bagi menjaga kepentingan mereka sendiri.

“Perkara itu samalah juga dengan apa yang dilakukan oleh Umno terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, sehingga mereka sanggup merampas hak rakyat Perak yang telah memilih Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri Perak.

“Demi kepentingan mereka, para pemimpin Umno-BN sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengkianati rakyat, merampas hak rakyat Perak. Semua itu perlu disedari oleh orang ramai demi kepentingan mereka sendiri,” katanya ketika menyampaikan ceramah di persekitaran Pejabat PAS Bukit Sentosa 2 di Hulu Selangor, malam semalam.

Baru-baru ini, Hi Yit Fong yang juga timbalan Speaker Dun Perak diberikan gelaran 'datuk' oleh Sultan Perak. Tidak diketahui apakah ia ada kaitan dengan dakwaan Nizar ini.

Ketika merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, kata Nizar, Umno mengatakan kepada beliau dengan berbagai-bagai dakwaan yang bukan-bukan termasuk memberi tanah kepada kaum Cina, sehingga dikatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebagai ‘kerajaan Cina’.

“Pada hal apa yang kita lakukan itu amat kita fahami kerana ia sebenarnya bertolak dari prinsip-prinsip Islam dan keadilan. Rakyat Perak sendiri faham perkara itu. Sebab itulah rakyat Perak tetap tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Umno-BN ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak,” katanya yang juga Adun Pasir Panjang.

Sehubungan itu, beliau berharap agar para pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor tidak akan tertipu dengan permainan politik kotor Umno-BN agar mereka tidak tersalah memilih pemimpin.

Read more ...

Air percuma untuk rumah pangsa di Selangor

SHAH ALAM, 21 April : Kerajaan Negeri Selangor akan memberikan kupon air percuma bagi 20 meter padu kepada penduduk di semua pangsapuri kos rendah di negeri ini yang masih menggunakan meter pukal, mulai Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Iskandar Abdul Samad berkata kupon itu akan diedarkan melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Pihak COB akan mengedarkannya kepada ejen pengurusan perumahan untuk diserahkan kepada penduduk di pangsapuri kos rendah yang masih menggunakan meter pukal sebelum ia ditukar kepada meter individu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Beliau meminta semua penduduk di kediaman bertingkat yang masih menggunakan meter pukal supaya segera menukarnya kepada meter indvidu bagi menikmati bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan.

Mengulas lanju
t mengenai skim kupon itu, Iskandar berkata ia akan dilaksanakan bermula Jun ini membabitkan 620 pangsapuri kos rendah membabitkan 168,479 unit kediaman yang masih menggunakan meter pukal.

Beliau berkata kos pemberian kupon percuma itu dianggarkan berjumlah RM24.4 juta.
Lesen buru lima haiwan dibekukan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri memutuskan untuk membekukan pengeluaran lesen memburu lima haiwan berkuat kuasa hari ini, sebagai langkah memelihara spesies yang semakin terancam.
Beliau berkata haiwan terbabit ialah Rusa Sambar atau nama saintifiknya Cervus Unicolor, Kijang (Muntiacus Muntjac), Babi Bodoh (Sus Barbatus), Kluang (Pteropus Uampyrus) dan Kluang Kecil (Pteropus Hypomelanus).

Katanya, sejak 2005 sehingga kini, sebanyak 2,013 lesen memburu haiwan-haiwan berkenaan telah dikeluarkan.

Wong berkata sebelum ini, lesen memburu haiwan berkenaan dikeluarkan sepanjang tahun kecuali bagi Rusa Sambar dan Kijang yang hanya dikeluarkan pada November setiap tahun.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga membatalkan semua lesen perniagaan menjual haiwan dilindungi yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu berkuatkuasa hari ini.

Wong berkata antara premis yang terlibat dengan arahan itu ialah kedai ubat, kedai haiwan peliharaan dan restoran.

"Kerajaan negeri akan menyenarai hitam syarikat dan peniaga hidupan liar yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 1976) Negeri Selangor," katanya.

- Bernama

Read more ...

PAS Selangor optimis Zaid menang


HULU SELANGOR, 21 April : "PAS Selangor optimis setakat ini calon Pakatan Rakyat mendahului calon BN dari sudut sokongan rakyat khasnya para pengundi di Hulu Selangor, kata ketua penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Katanya, kempen yang dilakukan secara bersepadu antara petugas PAS, PKR dan DAP terus menerus mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk tempatan.

"Dari tinjauan didapati bahawa rekod buruk perkhidmatan wakil MIC dari Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum 2008 lalu, telah menyedarkan rakyat untuk tidak lagi memberi peluang pada BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini, tegasnya, ditambah dengan pencapaian memberangsangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ternyata menyentuh hati rakyat jelata.

"Dan ini memberi kesan langsung kepada harapan Datuk Zaid Ibrahim hari Ahad ini, lantaran rakyat selesa dengan kesungguhan dan keikhlasan pimpinan dan kerajaan PR Selangor sejak berkuasa Mac 2008 lalu sehinggalah hari ini," tegasnya.

Menurut Roslan, PAS Selangor menjangkakan jumlah petugas parti itu dari seluruh negara, akan terus meningkat menjelang fasa terakhir tempoh berkempen dan pada hari mengundi bagi menyokong dan membantu jentera PKR.

"PAS Selangor mengambil kesempatan menyeru seluruh pengundi berdaftar di Hulu Selangor agar keluar beramai-ramai pada hari mengundi Ahad ini dan memberikan undi kepada calon PKR yang mewakili Pakatan Rakyat bagi memberikan isyarat kesungguhan rakyat mahu melihat PR terus memerintah negeri Selangor ini.

"Begitu juga kepada para pengundi pos yang berjumlah 799 orang. PAS Selangor mengharapkan agar mereka nanti akan berani menyalurkan suara melalui undi masing-masing demi membina sebuah negeri Selangor yang maju, bersih dan berkebajikan buat semua," tambahnya. "

Read more ...

Pemuda PAS mula gempur

HULU SELANGOR, 21 April : Menyambut ikrar partinya bagi membantu PKR dengan sepenuh tenaga, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, beliau sendiri akan turun berkampung di Hulu Selangor sehinggalan keputusan pilihan raya kecil parlimen itu diumumkan Ahad ini.


Katanya, bagi memastikan keberkesanan jentera PAS, beliau akan memantau program dan aktiviti penerangan pasukannya daripada dekat bermula daripada hari ini.

"Saya sekarang dalam perjalanan ke Hulu Selangor. Sampai di sana, saya akan bermesyuarat dengan jentera Pemuda dan susun pergerakan kita," kata Nasrudin ketika diminta mengulas keputusan PAS untuk meninggkatkan bantuan kepada PKR.

Semalam Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata, setelah diberikan lampu hijau oleh PKR - sebagai parti yang bertanding - pihaknya akan meningkatkan bantuan mereka kepada 60 peratus.

Beliau menjelaskan, jentera pilihan raya pembangkang "agak lemah sedikit" sebelum ini kerana PAS baru menyumbang 20 peratus tenaga dan kepakarannya bagi membantu calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Nasrudin berkata, selepas empat hari berlalu, Pemuda PAS kini bersedia melakukan serangan balas terhadap BN yang didakwanya menggunakan serangan peribadi dengan kencang terhadap Zaid.

"Kita perlu tingkatkan daya tahan. Kita akan fokuskan tenaga untuk aktiviti penerangan dengan menguasai media baru dan blog-blog.

"Dalam pusingan pertama kita masih dilihat bertahan. Sekarang kita akan menyerang balas," katanya.

Nasrudin berkata, memasuki fasa "pecutan akhir" berkempen, pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa lokasi tumpuan untuk tujuan tersebut.

Ditanya tentang sususan dan gerak kerja Dewan itu sebagai jentera utama PAS - yang dilihat paling berpengalaman berdepan BN dalam pilihan raya - Nasrudin berkata, jentera bantuan daripada luar Selangor akan turun secara berperingkat mengikut giliran yang ditetapkan.

"Kita ada dua pasukan daripada dua negeri pada satu-satu masa. Tetapi jentera tempatan sebagai jentera utama itu setiap masalah (di Hulu Selangor)," katanya.

Kesemua operasi Pemuda PAS disusun di markaz pilihan raya mereka di Kampung Gesir, Hulu Bernam.Malaysiakini

Read more ...