Thursday, February 3, 2011

Kuasa siber digeruni kerajaan Bini Najib

Kuasa Siber Dan Revolusi Timur Tengah


Artikel : Ketika banyak pihak bercakap soal pengaruh dan kuasa media baru dalam proses kebangkitan rakyat di Timur Tengah sekarang ini, sekonyong-konyong Kementerian dalam Negeri mengumumkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) akan dijadikan lebih komprehensif dan tidak lagi terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Ketua Setiausahanya, Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu untuk membolehkan ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian. Difahamkan pindaan akta itu dijangka dibentang di Parlimen menjelang sidang Mac ini. Ramai mengaitkan dengan persiapan BN menghadapi pilihan raya umum ketiga.

Reaksi segera sudah dapat diduga. Tanpa bertangguh bantahan dirakamkan. Masing-masing terkejut. Regim Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan ciri-ciri autoritarian, namun bekas Perdana Menteri itu -- yang juga seorang blogger terkenal -- seringkali menegaskan tidak akan mengamalkan tapisan dan sekatan kepada internet.

Apakah anak didiknya, Najib Razak, lebih terdesak dan terhimpit sehingga mahu bertindak garang dan ganas? Kedudukan Umno-BN bagai telur di hujung tanduk, namun jika benar AMCP mahu diluaskan skop dan bidang kawal selianya, terutama terhadap kandungan internet, Najib sebenarnya sengaja mengundang parah, yang mungkin natijahnya tidak pernah terfikir olehnya.

Sejak mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) lebih kurang sepuluh tahun lalu, bagi mempromosi kebebasan akhbar, saya akui kesukaran yang dihadapi, terutama bagi meraih sokongan dan simpati masyarakat. Ramai yang masih tidak peduli dengan isu-isu sekatan dan kongkongan melampau terhadap media, termasuk golongan wartawan sendiri. Mungkin mereka menyifatkan tekanan pemerintah terhadap media bebas tiada kaitan dengan kualiti hidup rakyat terbanyak.

Beberapa penerbitan berkala yang saya usahakan -- dengan menyewa permitnya daripada rakan-rakan -- diharamkan KDN tanpa sebarang alasan, tanpa sempat mencecah usia setahun. Majalah dua kali sebulan, Detik dan makalah bulanan khas untuk remaja wanita, Wasilah tidak disambung permit menyebabkan lebih 15 kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda menganggur secara tiba-tiba. Pengedaran akhbar mingguan, Cabaran, yang juga saya sewa permitnya, diganggu secara intensif oleh KDN sehingga terpaksa ditutup.

Tidak cukup dengan memorandam dan surat bantahan dikemukakan, berulang kali saya naik-turun ibu pejabat Suhakam mengadu hal, selain mengedarkan risalah, kenyataan akhbar dan menghadiri forum terbuka, namun ia tidak cukup untuk menarik perhatian masyarakat. Gimik terakhir sebelum saya menutup pejabat operasi di Medan Idaman, Gombak adalah dengan mengusung keranda Detik sebelum cuba mengusahakan siri penerbitan akhbar tidak berkala, yang mendapat tekanan lebih hebat daripada KDN.

Saya hanya seorang individu kerdil berdepan gergasi KDN. Justeru, terpaksalah saya secara solo bertembung musibah itu, di samping menanggung kerugian lebih RM3 juta.

Tetapi, bagaimana dengan kes pengurangan kekerapan penerbitan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, bermula Mac 2000, selepas Umno terkejut besar dengan prestasinya dalam PRU November 1999? Rasanya respons yang ditunjukkan masyarakat, termasuk pembaca Harakah, juga agak dingin. Mungkin Dr Mahathir sendiri terkejut dengan reaksi "suam-suam kuku" penyokong Barisan Alternatif waktu itu!

Namun, berdepan langkah primitif-jumud pemerintahan Najib kali ini, suasana pasti berbeda. Meskipun butiran pindaan AMCP belum dijelaskan, apa juga yang berkaitan akta preventif adalah bersikap mengongkong dan menyekat semata-mata. (Kini kira-kira 35 undang-undang yang menyekat kebebasan di Malaysia). Motifnya hanya tertumpu untuk menyelamatkan kedudukan Umno-BN, juga mengikat-kuat seteru politiknya dan golongan yang dilihat berbeda pandangan. Proses pendemokrasian sejagat yang turut melanda negara kita terbantut.

Najib bukan lagi menjolok sarang tebuan, malah mempercepatkan "saat-saat kematian" kerajaan BN. Pembaca Detik atau Suara Keadilan mungkin tidak mengamuk apabila media tradisi itu diharamkan KDN, tetapi bagaimana dengan peminat laman-laman web bebas seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Malaysian Insider atau Tranungkite, dan tidak terkecuali 700,000 blogger yang semakin galak menulis apa yang terfikir di minda mereka, atau lebih tepat lagi lebih 9.9 juta pengguna Facebook di Malaysia? Terdapat 16.9 juta pengguna internet di negara ini, merujuk laporan Jun 2009.

Sekatan kali ini adalah operasi rampasan hak asasi besar-besaran, dan tidak lagi khusus kepada mereka yang dilihat berkepentingan politik. Sekalipun pindaan AMCP itu mungkin dikhususkan kepada kandungan internet yang "politikal", ia tetap menyentuh sensitiviti jutaan rakyat yang kini bebas mengakses dunia maya. Saya yakin majoriti rakyat tidak dapat menerimanya dan mudah berang, sekali gus boleh memenuhi protes di jalan-jalan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah menggesa agar AMCP dimansuhkan, memberi reaksi: "Mereka ini (8 juta anak muda pengguna Facebook berusia 35 tahun ke bawah) pastinya tersinggung dan tidak dapat menerima pindaan yang mengongkong saluran media dan rangkaian sosial yang sudah menjadi seperti sebati dengan mereka. Janganlah kita bersifat jumud dan mengambil jalan mudah dengan mengetatkan kekangan serta mengeluarkan undang-undang apatah lagi apabila masyarakat semakin bijak dan matang."

Mengulas isu sama, Ketua Pengarang kumpulan dan pengasas bersama Malaysiakini, Stevan Gan menyifatkan pindaan itu ibarat pukulan paku terakhir di keranda bagi kebebasan media di negara ini. "Kebebasan meluahkan pendapat yang serba terbatas dinikmati di alam maya sejak 16 tahun lalu bakal berkubur. Dengan perlesenan, kerajaan boleh mengenakan tekanan politik ke atas media di internet. Paling menggerunkan, Menteri Dalam Negeri yang sebegitu berkuasa itu berhak mengisyitiharkan mana-mana lamanweb sebagai tapak haram. Lebih malang lagi, mengikut akta itu, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah."

Sewaktu rakyat kecewa dengan jaminan tidak tertunai menterinya, Hishammuddin Hussein untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Polis, pada sesi Parlimen, Oktober 2009 -- seperti dijanjikan dalam sidang akhbar di Putrajaya pada 19 Ogos 2009 -- tiba-tiba kita dikejutkan dengan langkah represif yang begitu ketinggalan zaman.


II.

Seorang pembaca Harakah yang mahu dikenali dengan panggilan "Makcik Kedah", dari Taman Melati, Hulu Kelang, agak lama tidak menghubungi saya. Selalunya, ada-ada saja idea baru yang dilontarkan. Kadang-kadang beliau menyanyikan lagu-lagu patriotik melalui telefon dan bercerita tentang kisah lamanya di Bukit Besar. Pandangan beliau terhadap pergolakan politik ada kalanya tak terfikir oleh saya. Isu yang dikemukakan merakyat sifatnya.

Hari itu, ketika saya mendapatkan rawatan susulan selama tiga hari di wad HUKM, Makcik Kedah menelefon. Dia nampak cukup berminat dengan perkembangan Revolusi Jasmin di Tunisia yang berjaya menghalau Presiden Zine El Abidin Ben Ali, 74. Diktator yang berkuasa selama 23 tahun itu melarikan diri ke Jeddah.

Isterinya, Leila Trabelsi, 53, yang dilatih suaminya sebagai pengganti Ben Ali, terbang ke Dubai dengan jet peribadi -- yang disifatkan rakyatnya sebagai "shopping plane" -- sambil membawa bersamanya wang dan satu setengah tan emas daripada bank pusat, manakala anak-anak mereka ke England. Dalam siri demonstrasi, penunjuk perasaan dilaporkan memekik: "Gantung mereka semua, tapi dapatkan balik emas milik kita dahulu!"

Seperti beberapa panggilan sebelum itu, Makcik Kedah mahu kepastian apakah senario di Tunisia itu mungkin juga berlaku di Malaysia? Saya ketawa kecil, bukan dengan niat mempersenda. Bagaimanapun beliau serius menekan: "Apakah tidak cukup dengan kesengsaraan yang kita tanggung? Rakyat makin susah, nak makan ikan sebesar dua jari pun tak mampu, ramai menderita tetapi orang besar kaya raya, makan rasuah?"

"Patutnya pemimpin kita yang berada di atas sana, turun ke bawah, melawat orang miskin yang semakin ramai. Kita ni, sampai masanya, rimas duduk fikir nak cari duit baharui insuran dan cukai jalan kereta, macamana nak selesaikan bil-bil bulanan, keperluan anak sekolah," asaknya lagi.

"Tapi sekarang dah ramai yang senang dan mewah makcik," saya memintasnya. "Kerajaan pula pandai main sentimen untuk lupakan masalah sebenar. Kerja pun masih ada, tak macam di Tunisia, ramai anak muda menganggur. Di Iskandariah, jurang kaya miskin menonjol sangat. Pasaraya di sini masih sendat dengan pelanggan. Tapi janganlah tunggu negara kita jadi macam di sana baru nak lawan ...," tambah saya, menunggu reaksinya. "Betul juga tu, kawan-kawan makcik yang dapat pencen bulan-bulan dekat RM1000, memang nampak macam selesa aja," akuinya.

Selang beberapa hari, Makcik Kedah mengirimkan SMS: "Nak tunggu kebulur baru nak bangkit? Ada stamina ka kita nak lawan kerajaan zalim ini?" Sampai kini saya belum menjawabnya. Mungkin beliau lebih teruja mendengar berita kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi sudah melimpah ke Sanaa, Yemen, mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.

Bertambah semangat rasanya Makcik Kedah, apabila aksi protes antiregim zalim menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun berundur, bukan saja tercetus di Kaherah dan Iskandariah tetapi juga merebak ke bandar-bandar lainnya, seperti Suez, 134 km daripada situ. Ribuan penunjuk perasaan ditahan termasuk pemimpin Ikhwan Muslimin. Bilangan yang terbunuh semasa demonstrasi juga semakin meningkat dengan pantas.

Kejatuhan Ben Ali, yang bakal diikuti Mubarak, bukan sahaja menggerunkan regim lain di dunia Arab -- tidak kira sama ada yang mengamalkan sistem monarki atau republik, bermusuh atau bersahabat dengan Israel -- malah memberi isyarat jelas bahawa proses transformasi ini akan menjalar ke peringkat global, terutama di negara-negara Islam.

Bagaimanapun, bagi saya, pemimpin yang mahu menawarkan perubahan, yang berdepan penguasa zalim dan menindas, semuanya harus dekat dengan nurani rakyat, merasai denyut degup jantung mereka, bukan turut dilihat bermewah-mewah dan berseronok dengan kehidupan elitis. Memang suasana di setiap negara berbeda-beda dan tidak memerlukan keadaan menjadi seteruk rantau Arab untuk berlakunya pertukaran regim, 'kan?

Kejayaan mengkagumkan revolusi di Tunisia dalam masa 24 jam dan kini dilihat menjalar ke Mesir juga mengingatkan tentang pengaruh dunia maya atau kuasa siber, yang juga digeruni di Malaysia. Di Mesir, akses internet disekat dan panggilan telefon disekat. Operasi stesen TV Al-Jazeera turut diarah tutup. Jaringan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang cukup berkesan membangkitkan amarah rakyat tertindas di negara tersebut dihalang.

Jika Mubarak berjaya digulingkan dan pemerintahan yang "benar-benar baru" muncul di Kaherah, pengaruhnya ke atas masyarakat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pemimpin yang dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin bakal memainkan peranan penting dalam kerajaan Mesir nanti.
Ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman

Read more ...

Pak Lah Islam Hadhari, Mahathir Islam Nasionalis yang teruk

Islam Nasionalis Mahathir Teruk, Mengelirukan


Artikel : Memang pegangan Islam nasionalis yang dipegang oleh Tun Dr Mahathir teruk dan mengelirukan. Acuan yang diikut bukan berdasarkan kepada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Islam yang difaham oleh Tun dan rakan-rakan dalam Umno hanyalah alat untuk berpolitik dan membeli undi sahaja. Bercakap Islam ikut musim dan suasana, menjauhkan Islam ketika luar musim perayaan Islam. Fahaman inilah yang mengelirukan orang bukan Islam di negara ini, dengan tindak tanduk pemimpin Umno.

PAS merasa geli hati apabila mendengar kenyataan Tun yang mengatakan Tuan Guru Nik Aziz akan bersetuju jika pendapat rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan.

PAS hendak mengingatkan kepada Tun bahawa Tuan Guru Nik Aziz bukanlah berpolitik sehingga menggadaikan prinsip agama dan memperalatkan agama seperti yang disangka oleh Tun. Banyak salah tanggapan terhadap Islam diperbetulkan oleh Tuan Guru Nik Aziz sepanjang memerintah Kelantan melalui tindakan dan amalan.

Yang menggunakan agama dan orang agama ialah pemimpin Umno seperti Tun Mahathir sendiri. PAS daripada dulu lagi menentang tindak tanduk Lee Kuan Yew dalam politik dan pandangan agama yang tidak betul. PAS tidak dengar pula Tun Mahathir marah, ketika ayam sabung beliau, Datuk Seri Najib menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu kepada Singapura seluas 217 hektar. Kenapa beliau tidak berkokok, mungkin kerana kehendak dan nafsu serakah beliau ditunaikan oleh Datuk Seri Najib. Kenapa beliau marah dengan Tun Abdullah Badwi dalam setiap langkah yang dibuat oleh Tun Abdullah. Masyarakat nampak semua berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan di zaman beliau.

Dakwaan Tun Mahathir mengatakan kewujudan PAS membawa perpecahan orang Melayu juga tertolak. Bukankah kewujudan Umno yang direstu oleh penjajah Inggeris. Malah ketika Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946, sudah ada parti melayu yang pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Malah ketika semua parti di tanah Melayu diharamkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1948, yang dibenarkan hidup hanya Umno. Bukankah ini bukti kewujudan Umno untuk memecah belah perpaduan Melayu dan menjadi alat penjajah untuk melawan sesama sendiri.

Kenapa hendak salahkan PAS dan Tuan Guru Nik Aziz apabila lahirnya Parti Semangat 46. Bukankah Tun merupakan orang yang bertanggungjawab di atas perpecahan di dalam Umno, sehingga lahir team A dan team B. Begitu juga lahirnya Parti Keadilan Rakyat kerana kebangkitan ahli Umno yang tidak puas hati dengan cara Tun memimpin parti pada waktu itu dan melakukan kezaliman terhadaap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah Islam nasionalis yang difahamkan oleh Tun menepati dengan kehendak Islam. Tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memperlekehkan hukum salam mungkin ini adalah anutan Islam nasionalis. Mungkin Soi Lek belajar daripada Tun yang pernah mengatakan bahawa nabi simpan janggut , kerana tidak ada pisau cukur. Beliau juga melihat bagaimana isteri pemimpin Umno berpeluk dengan Shah Rukh Khan. Jadi tidak hairanlah Soi Lek memperlekehkan hukum salam dalam Islam. Siapa gurunya?Ditulis oleh Idris Ahmad

Read more ...

Teruknya kerajaan BN, hansard DUN Sarawak pun dipadamnya




Jika ada bahagian-bahagian dalam Hansard yang dipadamkan secara sengaja, ia akan mengaibkan reputasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Hansard adalah cetakan transkrip persidangan Parlimen dan DUN.

Menegaskan demikian, Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang
Khim berkata sejak penubuhan institusi Parlimen dan dewan undangan negeri di negara ini, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku .

Teng (kanan) mengulas insiden di DUN Sarawak di mana ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui mendakwa sebahagian daripada ucapannya dalam persidangan dewan November lalu, tidak termasuk di dalam Hansard.

Yong telah menulis kepada Speaker DUN Sarawak, Datuk Awang Asfia Nasar mengenai perkara itu, tetapi beliau belum lagi menerima sebarang jawapan.

Menurut Yong, sebahagian daripada ucapannya menyentuh tentang keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan, telah dikeluarkan dari hansard.

Malaysiakini/-

Read more ...

Najib jumpa ADUN BN Sarawak Ahad ini



KUCHING: Kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memberi laporan terperinci berhubung kawasan masing-masing, termasuk masalah dihadapi, semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad ini.

Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengakui setiap kawasan DUN di Sarawak ada cabaran tersendiri namun ia telah diselesaikan dan akan dicari jalan penyelesaian memandangkan bukan semua masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata ADUN terbabit telah cuba memperoleh maklum balas mengenai pelbagai isu di kawasan masing-masing sejak setahun lalu melalui perbincangan dengan pemimpin peringkat akar umbi.

Taib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di ibu pejabat parti tersebut di sini Khamis.

Sementara itu, Perdana Menteri dijadual tiba di Miri pada Ahad ini dengan aturcara pertama beliau ialah mengadakan sesi perjumpaan dengan Adun Sarawak, manakala pada sebelah malam pula, beliau akan menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Dataran Kipas, Miri.

Ramai penganalis politik di sini meramalkan pertemuan dengan ADUN itu sebagai langkah terakhir Perdana Menteri untuk mengumpul maklumat bagi membuat keputusan sama ada mengadakan pilihan raya umum serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Sebelum ini, Taib dipetik berkata beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-13.

Tempoh penggal kerajaan negeri sekarang akan berakhir pada Julai tahun ini.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak menang 63 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. mStar/-

Read more ...

PAS anjur solat hajat doakan keselamatan rakyat Malaysia di Mesir

Solat hajat doakan rakyat kita di Mesir selamat

Egyptian anti-government demonstrators gather at Cairo's Tahrir square on February 3, 2011 on the 10th day of protests calling for the ouster of embattled President Hosni Mubarak.KOTA BHARU, 4 Feb. : Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) menganjurkan majlis solat hajat berikutan krisis yang berlaku di Mesir yang semakin meruncing pada masa ini.

Ketua Penerangan DPPNK, Ahmad Fadhli Shaari berkata, solat hajat dan ceramah khas Solidariti Bersama Kebangkitan Rakyat di Timur Tengah itu akan diadakan di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah (Putik), Pengkalan Chepa, Ahad ini.

”Antara penceramah yang dijangka hadir, termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Sabu.

“Selain itu, beberapa wakil lain, termasuk Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan wakil dari Mesir,” katanya.

Beliau berkata, majlis berkenaan akan dimulai dengan solat Isyak dan solat hajat berjemaah memohon supaya rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir diselamatkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ahmad Fadhli berkata, umat Islam, terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih menuntut di Mesir dijemput hadir menyertai solat hajat berjemaah dan mendengar penerangan dari penceramah jemputan pada malam berkenaan.

Menurutnya, usaha tersebut sebagai melahirkan perasaan prihatin terhadap krisis di Mesir, selain sama-sama turut mendoakan mereka yang masih belajar di sana selamat.

Read more ...

Mahathir dah beri ruang yahudi bermaustatin di Malaysia semasa jadi PM ?

solatframe1(Gambar) bahagian kilang milik Gary Braut juga terdapat bingkai ayat Al-Quran. Mungkin Braut juga tahu serba sedikit bahasa Arab dan memahami budaya umat Islam Malaysia.

"DALAM temu ramah itu juga Andrew (Andrew Harris) mendedahkan Braut pernah beberapa kali berjumpa Dr. Mahathir serta mengenali rakan sekuliah Dr. Mahathir yang berbangsa Yahudi iaitu Dr. Yahya Cohen ketika menuntut di Universiti Malaya, Singapura."

Demikian tulis Ibnuyaacob dalam Blognya mendedahkan kisah adanya orang Yahudi diKuala Lumpur. Menurutnya, dalam laman web milik Andrew Harris seorang Yahudi Australia, penulis serta juru gambar bebas, telah menemuramah seorang ahli perniagaan berbangsa Yahudi yang menetap di Malaysia serta mempunyai kilang perusahaan sendiri di Kuala Lumpur.

Di dalam temu ramah bersama pemilik Malaysia Chabad Home iaitu Gary Braut, Andrew bertanyakan beberapa soalan berkaitan kehidupan mereka sebagai Yahudi di Malaysia. Seperkara yang amat menarik perhatian, ialah tentang pendedahan Braut bahawa Dr. Mahathir, ketika menjadi Perdana Menteri pernah membenarkan pelajar-pelajar dari Israel membuat lawatan dan berjumpa dengan pelajar-pelajar di Malaysia.

Ketika lawatan tersebut berlaku, Perdana Menteri Israel ialah Yitzak Rabin. Lawatan pada 3 hingga 16 Mac 1997, disertai 16 belia Israel lelaki dan perempuan. Delegasi pelajar dari sekolah tinggi Israel itu mengadakan lawatan di dua buah sekolah sekitar Kuala Lumpur. Delegasi itu juga mengadakan perjumpaan bersama Menteri Pendidikan dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Beberapa hari selepas itu, pasukan kriket Israel pula datang membuat perlawanan persahabatan dan ianya disambut dengan demonstrasi masyarakat awam yang menentang kedatangan pasukan tersebut. Malangnya, sebahagian pendemostrasi ditahan oleh pihak keselamatan (lihat The Straits Times edisi 5 dan 9 April 1997)

Kata Braut tentang keadaan kehidupannya di Malaysia perlu kita perhatikan, katanya; “More comfortable than Brooklyn, that’s for sure.”

Komen Ibnuyaacob: Artikel ini sekadar membuktikan adanya Yahudi bermastautin di Malaysia. Dan ia juga membuktikan Yahudi selesa di negara Islam tetapi umat Islam sentiasa diundang bahaya di negara Nasrani dan Yahudi.

Adanya kubur Yahudi di Jalan Yahudi, Pulau Pinang membuktikan bahawa bangsa Yahudi ada di Malaysia sehingga sekarang khususnya di Kuala Lumpur. Walaupun minoriti, tetapi yang sedikit ini adalah beragama Judais, jika beragama lain mungkin lebih ramai. (Sila lihat Ibnuyaacob dan banyak lagi berita menarik)

Read more ...

Komando Israel dan tentera upahan Badwi serta penyokong Perkasa Mubarak dikerah menentang rakyat Mesir !

Pemerhati Timur Tengah, Hadi Majidi, menyatakan bahwa 1500 pasukan komando Israel dan 5 ribu tentera upahan keturunan Baduwi dikerahkan untuk menghadapi para pendemo yg menentang Hosni Mubarak.

Tambah Hadi Majidi lagi, ramai dari anggota komando Israel itu pandai berbahsa Arab. Pejuang upahan berbangsa Baduwi itu pula dilengkapi dengan senjata tajam pisau ataupun pedang.

Dalam wawancara dengan pemberita Farsnews, Majidi berkata yg pergolakan di Mesir sudah masuk hari ke 10 dan semakin serius dimana Israel dan Amerika mula merancang bagi mengelak gangguan kepada kepentingannya.


Menyusul tindakan demosecara besar-besaran di Mesir, Zionis telah pun menghantar tiga pesawat khas pengangkut senjata pertahanan ke Kaherah. The International Network for Rights and Development melaporkan , tiga pesawat pejuang Zionis Israeltelah mendarat di Bandar Antarabangsa Mina di Kaherah pada hari Sabtu lalu (29/1).


Dimaklumkan juga beberapa jenis senjata itu termasuk yg berisi granite yg diharamkan dalam perang selain senjata senjata konvensional yg lain.

Read more ...

Hosni Mubarak bagi alasan jahat untuk selamatkan kuasa

Bimbang Pengaruh Ikhwanul Muslimin: Hosni Enggan Undur


KAHERAH 4 Feb.: Bimbang dengan pengaruh gerakan Ikhwanul Muslimin,Hosni Mubarak enggan berundur dari tampuk kuasa sebagai Presiden Mesir.

Sehubungan itu beliau memberi amaran bahawa parti Ikhwanul Muslimin akan mengisi vakum kuasa jika beliau meletakkan jawatan sekarang.

Dalam satu temubual dengan stesen ABC News, beliau berkata sudah “bosan” kekal sebagai presiden Mesir dan memang mahu bersara dengan segera tetapi keadaan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian sekarang.

Diktator berusia 82 tahun melahirkan kebimbangan bahawa negara dengan 80 juta penduduk itu akan huru-hara jika mengambil tindakan meletakkan jawatan sekarang.

Memasuki hari ke -11 reformasi rakyat paling berpengaruh di benua Afrika itu telah menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.

Hosni berada di tampuk pemerintahan sejak tiga dekad lalu dengan didakwa melakukan penindasan politik khususnya ke atas Ikhwanul Muslimin.

Beribu-ribu penunjuk perasaan terus berada di ibu negara Mesir dengan puak pro-Hosni pula melakukan serangan ke atas mereka.

Tentera yang cuba untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu kelihatan gagal berbuat demikian.

Memetik laporan ABC, Hosni dikatakan beliau juga ada memberitahu Presiden Barack Obama bahawa Amerika Syarikat tidak faham budaya Mesir dan tidak berminat untuk menjadikan anaknya Gamal sebagai presiden mengantikannya.

Naib Presiden baru yang dilantik Hosni, Omar Suleiman mengajak Ikhwanul Muslimin mengadakan dialog dengan kerajaan.

Barisan pembangkang sudah pun menolak sebarang bentuk rundingan dengan Hosni.

Read more ...

Bila selalu cepat lupa tu maksudnya dah nyanyuk!

Mahathir Hidap Penyakit Melayu Mudah Lupa

http://blogs.afp.com/public/.Mahathir_m.jpgSHAH ALAM 4 Feb.: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jelas menghidapi penyakit kronik "Melayu mudah lupa" apabila melabel Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai agen pemecah belah bangsa Melayu.

Tetapi hakikatnya sejarah sepanjang tampuk pemerintahan Dr Mahathir, menunjukan beliau sebenarnya adalah pemimpin yang bertangungjawab memecah-belahkan orang Melayu.

Nik Aziz dalam kenyataan akhbarnya semalam, memberikan ulasan berkenaan pandangan beliau tentang tuduhan Dr Mahathir bahawa beliau agen pemecah belah bangsa Melayu dan membuktikan kesediaannya untuk mendengar pandangan dan berhujah berhubung dakwaan yang dilemparkan mahathir terhadapnya.

Mengulas penyakit DR Mahathir ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Mahathir melabel Menteri Besar Kelantan sebagai agen pemecah belah bangsa melayu, sebagai satu penyakit yang kronik dan ia keluar dari multu seorang yang hilang pertimbangan akal.

"Orang yang mampu berfikir, mereka tidak harus mengendahkan kenyataan dari Tun Mahathir kerana kenyataan ini dilihat hadir dari orang yang sudah hilang pertimbangan akal dan beliau cuba membawa kepada situasi dimana perhatian masyarakat dan rakyat dialihkan tentang persoalan yang perit, persoalan yang mana terhasil daripada zaman pemerintahan beliau"

Ketika dihubungi Tv Selangor, Mahfuz juga menjelaskan apa yang berlaku hari ini ialah tempoh timbang tara terhadap pemimpin vateran itu atas apa yang telah dicipta dahulu setelah menyaksikan ramai sokongan Melayu kian pudar terhadap kepimpinan Umno.

"Dan daripada segala masalah yang dilakukan sepanjang pemerintahan beliau itulah menyebabkan masyarakat melayu semakin meminggirkan diri daripada Umno serta berlaku penghakisan sokongan Melayu terhadap Umno," katanya.

Tambahnya lagi, melihat daripada kesan penghakisan sokongan melayu terhadap kepimpinan Umno hari ini, Mahathir hadir dengan pelbagai persoalan dan bertindak sebagai 'Hero Melayu' dalam membetulkan keadaan dengan menimbulkan suasana ketakutan keatas masyarakat melayu terhadap poltik negara hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata Mantan Perdana menteri kini seolah-olah meraih hasil dari baja yang disemai ketika tampoh pemerintahnnya dahulu dengan menyaksikan rakyat khususnya bangsa melayu kini berada dalam keretakan.

"Saya kira ini satu strategi politik yang lapok dek zaman kerana dalam keadaan rakyat telah yakin dengan kata-kata beliau ketika menjadi perdana menteri dahulu"

"Jadi apa yang berlaku sekarang ini ialah beliau melihat kehakisan sokongan semakin terjadi dan perkara yang boleh dilakukan dan sedang dilakukan ialah dengan naikan semangat perkauman kembali dengan harapan masyarakat melayu kembali menyokong Umno,"katanya.

"Dan beliau boleh kembali laksanakan apa yang UMNO telah lakukan pada tahun awal 50, 60 dan 70-an, dan saya rasa perkara ini bukan mudah kerana zaman telah berlalu, Hosni Mubarak di Mesir pun gagal, rakyat semakin cerdik dan perkara ini yang berlaku," jelasnya.

Read more ...

Kenapa Najib tak desak Hosni Mubarak letak jawatan macam ketua negara lain?

Kerajaan Malaysia Harus Minta Hosni Mubarak Letak Jawatan


SHAH ALAM 3 Feb.: Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) harus mengambil pendirian menyokong rakyat Mesir mendapatkan keadilan dan meminta Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan dengan kadar segera.

Pengerusi Biro Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong berkata, tindakan kerajaan Malaysia menyatakan pendirian mereka sama pentingnya dengan tindakan membawa pulang pelajar Malaysia keluar dari kemelut yang melanda Mesir lebih seminggu lalu.

"Apa yang penting bagi Malaysia adalah kerajaan haruslah memainkan peranan yang lebih penting bukan sahaja membawa pelajar Malaysia di Mesir balik ke tanah air tetapi juga peranan yang lebih penting sebagai satu suara yang memihak keadilan, memihak kepentingan rakyat di Mesir," kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata adalah jelas kerajaan Mesir terutama pemimpinnya, Hosni Mubarak telah kehilangan kepercayaan negara-negara yang dahulunya menjadi sekutu Hosni seperti Amerika Syarikat yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan menegaskan kekerasan terhadap rakyat Mesir perlu dihentikan.

Katanya lagi, negara-negara Islam lain juga dilihat tidak memberikan satu respon yang membina, malahan kerajaan Malaysia yang dilihat sebagai negara contoh dunia Islam juga masih tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga kini.

"Berpandangan bahawa kerajaan Malaysia ini penting bagi umat Islam dan dunia Muslim, ataupun sebagai satu negara yang penting dalam arena antarabangsa memang kerajaan harus bersuara untuk mempercepatkan proses pemdemokrasian di Arab Tengah," tegas beliau lagi.

Manakala Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Yusmadi Yusof berkata isu penting yang perlu diambil perhatian ialah sejauh mana kepimpinan Mesir mahu melakukan perubahan dalam kerajaan seperti yang dikehendaki oleh rakyatnya atau berdegil mempertahankan kedudukan Hosni sebagai Presiden Mesir.

Beliau menjelaskan, kebanyakan negara-negara lain yang berkepentingan di Mesir telahpun memberikan isyarat menyokong perubahan dalam pemerintahan Mesir.

"Sekiranya Mesir masih ambil sikap tidak responsif kepada dunia luar dan juga suara kebebasan daripada dalam, saya rasa banyak negara telah menghantar satu isyarat bahawa mereka mahukan keadaan yang lebih demokratik di Mesir," kata beliau.

Sementara itu, desakan dari pemimpin dunia sudah mula kedengaran terkini Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama memberitahu Hosni Mubarak perlu memulakan peralihan kuasa sekarang, sekali gus membayangkan pengumuman pemimpin itu untuk tidak bertanding pada pilihan raya September ini, masih belum mencukupi.

Obama bercakap demikian kepada Presiden Mesir itu malam tadi melalui satu perbualan telefon yang panjang sejurus Mubarak mengumumkan hasratnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya Presiden negara itu, melalui satu ucapan yang disiarkan melalui televisyen.

"Saya menyatakan kepercayaan saya kepada beliau (Mubarak) bahawa satu peralihan kuasa terancang, bermakna dan aman perlu dilakukan sekarang," katanya.

Kenyataan Obama itu yang disiarkan secara langsung dari White House, sebagai satu cubaan untuk meyakinkan Mubarak supaya meletak jawatan lebih awal.

Turut memberi ingatan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta Hosni Mubarak untuk memenuhi keinginan rakyat Mesir untuk melakukan perubahan.

Dalam pidato mingguannya di parlimen, Selasa lalu, Erdogan melukiskan permintaannya itu sebagai sebuah nasihat yang sangat jujur dan sebuah peringatan yang penuh hormat kepada Mubarak.

“Dengarlah teriakkan rakyat dan keinginan kemanusiaan mereka. Penuhi kerinduan rakyat untuk berubah tanpa harus diikuti sikap benci,” kata Erdogan.

Read more ...

Polis tampar wanita hamil : Polis suruh wanita hamil kemukakan bukti

Polis Tampar Wanita: MP Segambut Tak Puas Hati Siasatan Polis


SEGAMBUT 3 Feb.: Susulan kes seorang wanita hamil mendakwa ditampar dan dirompak anggota polis berpakaian preman di premisnya Isnin lalu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hari ini meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap siasatan yang dijalankan IPD Petaling Jaya berhubung kes tersebut.

Bercakap kepada Tv Selangor melalui telefon, Lim membidas kenyataan yang dikeluarkan, pihak polis mencabar wanita terbabit untuk mengemukakan bukti jika benar dirinya dikasari dan wangnya diambil.

Justeru, beliau mendesak supaya kes ini segera dipindah ke IPK Selangor untuk siasatan lanjut.

“Saya nak mendesak OCPD supaya meminda semua siasatan kepada IPK Selangor sebab kami terutamanya mangsa sudah hilang kepercayaan kepada IPD PJ,” katanya.

Tambah Lim, tindakan polis yang menggari tangan wanita berkenaan ketika ditahan dianggap tidak wajar sama sekali ekoran wanita tersebut sedang hamil lapan bulan.

Isnin lalu, seorang wanita mendakwa dirinya dikasari dan dirompak anggota polis berpakaian preman yang didakwa memecah masuk ke kedainya di Sungai Buloh sebelum bertindak menangkapnya.

Mangsa, Chow Soo Meng, 36, turut mendakwa anggota polis berkenaan turut mencuri sejumlah wang kira-kira RM20,000 selain merampas 30 kad sim telefon bimbit dan memindahkan kamera TV litar tertutup dari kedainya.

Chow dikatakan telah digari tangannya sebelum dibawa ke balai polis Damansara Utama untuk disoal siasat. Dia diminta hadir semula ke pejabat Jabatan Kastam di Kelana Jaya pada 2 Mac.

Read more ...

Kalau semua nak kena bayar lebih baik duduk sahaja di Mesir


"TERKINI : Maklumat daripada Bilik Gerakan Kedutaan Malaysia di Mesir.

1. Kos perjalanan Kaherah - Jeddah ditanggung oleh pihak kerajaan

2. Sara hidup sepanjang di Jeddah ditanggung oleh pihak kerajaan.

3. Kos untuk pulang ke Malaysia dengan kapal TLDM yang ditanggung oleh pihak kerajaan. Kapasiti muatan seramai 500-600 orang sahaja.

4. Perjalanan Jeddah - KL dengan tanggungan sendiri

5. Perjalanan Jeddah - Cairo juga dengan tanggungan sendiri

Maklumat diperolehi daripada Encik Wan Ahmad Tarmizi Wan Idris Sekretariat Evakuasi, melalui panggilan telefon pada jam 12.48pm waktu Mesir

p/s : Ramai Pelajar Malaysia di Mesir sekarang bertanggapan, jika hendak bawa rakyat Malaysia ke Jeddah secara percuma tetapi dikenakan kos perjalanan dari Jeddah ke Malaysia ..lebih baik duduk sahaja di Mesir yg lebih selamat dirumah masing-masing .

Kebetulan pula Pihak Al Azhar sendiri sudah menjelaskan pengajian akan dibuka semula pada 12 Februari ini seperti biasa selepas cuti sem-pertama berakhir.

Sekali-gus menolak dakwaan Pengajian Tinggi Malaysia dengan mendakwa Pengajian Al Azhar diberi cuti setahun.

Mungkin ada yang bertanya, Kalau begitu, kenapa nak balik kalau kat sana rasa sudah aman..?

Hakikat sebenarnya untuk menjawab soalan sinis ini ,kami disini seolah-olah diberikan ancaman dari pihak Kerajaan Malaysia, jika tidak mahu mengikuti pelan Evakuasi kedutaan , pihak kedutaan tidak akan betanggungjawab apa sahaja keadaan yang berlaku pada yg berkeras untuk terus tinggal di Mesir,

Tetapi jika mengikuti arahan pelan Evakuasi Kedutaan pula , pelajar akan dikenakan bayaran tambang setibanya di Jeddah samada untuk pulang kembali keMesir ataupun ke Malaysia dengan jumlah kos yg tidak dinyatakan.

Makluman ini dinyatakan selepas rombongan pertama sudah berlepas di Airport.

Perlu di ingat, lebih dari 75% pelajar disini bukanlah dari golongan berada, duit dikocek pun cukup-cukup makan dan sewa sebulan

Harap perkara ini di panjangkan oleh yang berkenaan diMalaysia. "

Read more ...

Rupannya Mubarak pun ada Perkasa guna unta dan kuda


"President Mesir Hosni Mubarak kerajaan boneka Amerika dan Yahudi mengunakan unta dan kuda untuk membuat provokasi terhadap kumpukan anti Hosni Mubarat yang berada di Medan Tharir atau Tharir square.

Kumpulan yang pro- Mubarak menyerang dengan kuda, unta dan melontar bom api dan menembak kumpulan yang anti Mubarak. Tindakan Mubarak mengumpul kumpulan pro Mubarak satu pelan tindakan yang jahat untuk melemahkan kumpulan anti Mubarak.

Jelas provokasi Mubarak berniat jahat dan tujuan untuk bertindak dengan lebih kejam apabila berlaku pertempuran diantara kumpulan pro ubarak yang diupah dan kumpulan anti Mubarak.

Mengikut "Ammesty Internasional" yang berada di Mesir kumpulan pro Mubarak terdiri dari kakitangan kerajaan Mubarak dan kakitangan pekerja kilang petrokimia. Dalam kumpulan berkuda dan unta yang menyerang kumpulan anti Mubarak terdiri kakitangan perisik dan anggota keselamtan yang berpakian preman.

Dalam pertempuran dua kumpulan tiga terbunuh dan ratusan cedera yang didalangi oleh kumpulan upahan berkuda dan unta oleh regim zalim Mubarak.

Read more ...

Tak boleh turunkan harga minyak, turunkan BN untuk turunkan harga barang

Turun Harga Minyak Untuk Kawal Barang Naik


SHAH ALAM 3 Feb.: Kerajaan perlu bertindak tegas untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan kenaikan harga barangan secara berterusan.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli, kerajaan sepatutnya boleh mengawal keadaan ini sekiranya tidak berlaku kenaikan harga minyak sejak bulan lalu.

“Kenaikan harga minyak sudah semestinya disertai dengan kenaikan harga barangan yang lain,” katanya.

Hilangnya keyakinan dikalangan peniaga terhadap kerajaan dalam usaha mengawal harga barangan memberikan ruang kepada mereka untuk menaikan harga barang.

Sekiranya situasi ini terus berlaku, ia akan membebankan rakyat.

“Penurunan semula harga minyak akan mengembalikan keyakinan kepada rakyat,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia atau FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman mendesak supaya kerajaan mencari alternatif lain terutama perkara yang berkaitan dengan makanan bagi mengelakan situasi ini terus membebani rakyat.

“Kita minta kerajaan melakukan sesuatu dari segi memastikan barang-barang keperluan makanan kita ini mencukupi untuk keluaran kita sendiri misalnya memastikan kita mampu mengeluarkan beras seratus peratus begitu juga mencari makanan alternatif lain yang kita boleh hasilkan sendiri daripada kita bergantung kepada makanan yang kita import dari luar,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa kadar inflasi yang dilaporkan oleh Bank Negara dan kerajaan bahawa kadarnya adalah rendah hanya sekadar mahu mengaburi mata rakyat tatkala realitinya harga barangan dan perkhidmatan terus naik mendadak.

Rakyat terus dibebani dengan kenaikan harga barang keperluan harian dalam masa beberapa bulan sahaja jelas menunjukkan kerajaan mengambil tidak prihatin dengan bebanan yang ditanggung rakyat.

Pada 1 Februari lepas, Petrol Ron 97 Naik RM0.10 lagi menjadikan harganya meningkat menjadi RM2.50 peningkatan kali keempat dalam tempoh 3 bulan.

Read more ...

Siapa Bapak Munafiq di Malaysia ?

IPOH, 3 Feb. : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyebut bahawa kenyataan Dr Mahathir (Bekas Presiden UMNO) baru-baru ini bahawa Islam Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Mursyidul AM PAS) lebih teruk daripada Islam nasionalis, merupakan bukti jelas perjalanan yang ditempuh PAS sama seperti perjalanan Rasulullah SAW.

Tindakbalas yang diterima Tuan Guru Nik Abdul Aziz oleh seorang yang membenci dakwah beliau merupakan suatu perkara biasa dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW.

Beliau menegaskan ayat :

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin" (Surah Al-An'am: 112)

Sebelum ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata bahawa "Orang Melayu di sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Lee Kuan Yew cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan". Kata-kata Tuan Guru ini kemudian membuatkan Dr Mahathir terasa bagaikan cacing kepanasan, jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Memetik kata-kata Pesuruhjaya PAS Perak itu, “Dr Mahathir mempersoalkan kenapa Tuan Guru menyerang orang di dalam Malaysia dan bukannya Lee Kuan Yew. Padahal benarlah kata Tuan Guru itu kerana ancaman dari dalam negara sendiri adalah jauh lebih berbahaya daripada ancaman luaran”.


“Adakah Dr Mahathir lupa bahawa sirah Rasulullah SAW membuktikan ancaman daripada puak munafiq lebih berbahaya berbanding ancaman daripada puak kafir? Hinggalah Allah SWT menyebut bahawa orang yang berpura-pura islam lebih teruk azabnya berbanding orang yang terus terang menolak islam” soal beliau.


Ustaz Abu Bakar juga menasihatkan agar pemimpin UMNO dan Dr Mahathir khususnya melihat kembali ayat Al Quran berkenaan orang munafik dalam surah an-nisa’ ayat 145:


"sesungguhnya orang munafiq itu, di tempat yang paling bawah sekali di dalam neraka" (surah an-nisa': 145)

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyanggah kata-katanya, Dr Mahathir apabila mantan presiden umno itu mengatakan bahawa islam telah banyak berkembang di bawah pemerintahan nasionalis.Kononnya kemajuan islam dikaitkan dengan kehebatan semangat kebangsaan Barisan Nasional.

“Mahathir lupa yang bukan jasa UMNO islam semakin berkembang di Malaysia tetapi jasa orang yang menentang UMNO seperti Dr Burhanuddin Helmi, Prof Zulkifli Muhammad dan Ustaz Fadzil Noor. Mereka inilah yang menjadi pengimbang, "check and balance" kepada kerajaan sehingga kerajaan BN terpaksa mengamalkan islam” tegas beliau.


Menurut beliau, inilah kewajipan yang mereka lakukan walaupun nyawa mereka diancam. Kalau hendak diikutkan nafsu BN, sudah lama islam dianggap kuno, tidak sesuai dan merugikan Negara.


Menurut Ustaz Abu Bakar Hussain lagi, Allah SWT telah menetapkan bahawa sejak dahulu lagi dunia ini menjadi medan pertempuran di antara yang hak dan yang batil. Pertempuran antara iman dan kufur. Rasulullah SAW. dahulu dituduh oleh puak Quraisy sebagai pemisah suami dan isteri, saudara mara dan bangsa qurasiy sendiri, hanya kerana baginda mengajak orang kaumnya untuk beriman kepada Allah SWT dan menyelamatkan mereka daripada azab api neraka.


Hari ini orang menganggap PAS sebegitu pula. Padahal kita menyeru supaya bumi ini diperintah dengan adil utk kesalamatan dunia dan akhirat. Menjadi keyakinan kami bahawa jika rakyat Malaysia beriman dan bertaqwa, Allah SWT akan membantu kita

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menegaskan bahawa kini terbukti kebenaran perjuangan PAS adalah perjuangan Islam yang sebenar bukannya seperti umno yang bertopengkan Islam.


Sebelum ini ada pemimpin PAS yang telah dipenjara, ada yang dihalau, ada yang dipanggil gila, ada yang dipanggil pemecah-belah masyarakat. Padalah semua ini adalah ujian sama yang dilalui Rasulullah SAW.

Dari sini wujudlah rasa perjalanan yang gerakan islam PAS tempuhi, sama dengan perjalanan Rasulullah SAW.

Read more ...

Demi Ro$mah cepat , demi rakyat lambat

Lambat Bertindak Bawa Pulang Rakyat, Bermewah Untuk Lawatan Rosmah


SHAH ALAM 3 Feb.: Ketua Sri Kandi PKR menyindir Datuk Najib Razak dan kerajaan Malaysia yang cepat mengatur perjalanan ke luar negara Datin Sri Rosmah Mansor yang menelan belanja ratusan ribu ringgit dengan begitu mudah, namun apabila melibatkan rakyat ia seolah-olah diketepikan.

Namun setelah didesak dan dikritik lantang beberapa pihak kerana lambat membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir barulah ada tindakan daripada kerajaan.

Perkara ini jelas Siti Aisyah Shaik Ismail menunjukkan kerajaan tidak prihatin dan mengambil berat dengan keadaan para pelajar dan rakyat Malaysia di sana.

"Perjalanan Rosmah Mansor ke luar negara itu lebih tersusun dan lebih disegerakan tetapi bila bercakap soal rakyat yang kononnya menggunakan slogan rakyat didahulukan tapi kita tak lihat dalam konteks ini, rakyat kita di Mesir diutamakan terlebih dahulu," katanya lagi.

Beliau menambah Perdana Menteri harus peka dan juga menjawab isu ini kerana bukan isu yang melibatkan pelajar-pelajar sahaja tapi melibatkan nyawa dan masa depan mereka di sana.

"Kerajaan Malaysia pada peringkat awal tidak mengeluarkan kenyataan permulaan, kemudian pada peringkat setelah didesak dan dikritik baru mengeluarkan kenyataan bahawa belum lagi berada dalam keadaan genting dan selepas Selangor mengumumkan untuk memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar di Mesir, kerajaan baru mengeluarkan kenyataan akan membawa pulang pelajar di Mesir tapi hanya menggunakan kapal tentera laut dan bukan pengangkutan yang lebih cepat dan efektif," katanya kepada Tv Selangor.

Aisyah juga mempertikaikan tugas duta kerajaan Malaysia di sana yang langsung tidak menunjukkan kredibiliti sebagai wakil kerajaan sedangkan Malaysia sepatutnya mengambil langkah proaktif dalam proses memindahkan mereka dengan kadar segera.

"Kita mempersoalkan Kerajaan Malaysia mengambil tegas isu ini kerana kita tahu bahawa sesebuah kerajaan itu dia mempunyai duta yang dihantar ke sesebuah negara dan kerana itu kita merasakan bahawa kerajaan itu mempunyai kabel yang kuat untuk melakukan transaksi pelajar-pelajar dari Mesir ke tanah air begitu cepat dengan mengikut prosedur lebih baik," katanya.

Sebelum ini, pelbagai negara mengambil tindakan membawa pulang rakyat mereka dari Mesir dengan menyewa atau menjadualkan pesawat ketika penunjuk perasaan semakin rancak mengadakan demonstrasi mendesak peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak.

Dua syarikat penerbangan China, Air China dan Hainan Air awal-awal lagi menjadualkan penerbangan membawa keluar rakyatnya dari Mesir.

Jepun pula, menyewa pesawat yang yang membawa 500 rakyatnya yang terkandas dari Kaherah ke Rom.

Amerika Syarikat (AS) dan Turki turut menawarkan untuk membawa pulang rakyat mereka dan syarikat penerbangan utama termasuk Lufthansa dan Air India berikrar menghantar lebih banyak pesawat ke Kaherah dan Iskandariah.

Read more ...