Tuesday, June 22, 2010

Zambry bakal diganti


















IPOH, 22 Jun :
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat dengan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno yang telah merasmikan Persidangan Mesyuarat Agung Umno Bahagian Bagan Datoh dan juga mengadakan lawatan kerja sehari di Kawasan Parlimen Bagan Datoh pada hari Ahad (20 Jun 2010) yang lalu sebagai signal kepada kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang di lihat telah gagal di dalam memulihkan politik Negeri Perak.

Pelbagai perkara yang telah disentuh oleh Datuk Seri Najib di dalam ucapannya yang amat sinis terhadap kepimpinan Datuk Seri Zambry yang bukan pilihannya sebagai Menteri Besar Negeri Perak selepas rampasan kuasa dahulu.

Ianya adalah pilihan daripada Tun Abdullah Badawi yang ketika itu sebagai Perdana Menteri yang juga Presiden Umno. Yang jelasnya, dengan lawatan kerjanya di Bagan Datoh memberikan gambaran bahawa ‘orang pentingnya’ menjadi pilihan untuk di lawati.

Mengapa Datuk Seri Najib tidak membuat lawatan kerjanya di Perak melalui Umno Negeri Perak atau Kerajaan Negeri Perak?

Sudah tentu Datuk Seri Najib tidak selesa atau kurang senang dengan Datuk Seri Zambry yang tidak membantu perkembangan politik Umno di Perak yang mendatangkan perasaan tidak puas hati ‘orang lama’ di dalam Umno itu sendiri.

Kehadiran Datuk Seri Najib menjelaskan apa yang akan berlaku di Perak yang memungkinkan perubahan besar menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

Read more ...

Saman Red Carpet



KOTA BHARU, 22 Jun : Kerajaan negeri sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Red Carpet Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat itu yang menjejaskan nama baik kerajaan negeri dalam isu Kelantan Fiesta 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Red Carpet di dalam media yang didapati telah menjejaskan imej kerajaan negeri kerana memboikot acara Kelantan Fiesta itu.

"Hakikatnya menurut perjanjian yang dimeterai antara Red Cerpet dan kerajaan negeri pada 24 Ogos 2009 di Kuala Lumpur menetapkan agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebagai penganjur manakala Red Carpet sebagai pengurus acara Fiesta Kelantan 2010," katanya semasa mengulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri penggal ketiga, di sini hari ini.

Beliau berkata disebabkan perasmian acara besar yang akan dirasmikan Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, maka kerajaan negeri membuat keputusan untuk mengambil alih acara itu daripada PMBK.

Beliau berkata pihak Red Carpet telah menolak permintaan kerajaan negeri supaya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ucapan pada majlis perasmian acara itu dan tindakan itu bertentangan dengan perjanjian awal yang dimeterai kerana kerajaan negeri sebagai penganjur dan juga hos kepada acara itu.

Takiyuddin berkata semasa acara perasmian itu diteruskan pada 16 Jun, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, bekalan elektrik terputus di stadium menyebabkan acara itu tidak dapat dilangsungkan secara sempurna.

"Bagaimanapun setelah beberapa hari, pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan media bahawa kerajaan negeri telah sabotaj acara itu hasil daripada post-mortem mereka," katanya.

Beliau menjelaskan, laporan Jabatan Kerja Raya mendapati peralatan yang digunakan pada acara itu melebihi bekalan kuasa yang mampu ditanggung oleh stadium.

Katanya beliau turut menjelaskan kerajaan negeri tidak merampas kain rentang acara itu yang diletakkan di sekitar bandar Kota Baharu sebaliknya ia dikutip oleh majlis perbandaran Kota Baharu kerana ia terjatuh di atas tanah akibat ribut dan hujan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bio-Teknologi Negeri Che Abdullah Mat Nawi berkata Kelantan kini berhasrat untuk membangunkan sebuah makmal bagi penyelidikan bio-teknologi untuk pertanian bernilai RM300,000.

Katanya kerajaan negeri telah menjalankan kajian dengan sebuah universiti tempatan bagi menggunakan sisa buangan ladang dan menjadikan bahan buangan seperti hampas padi dan kelapa sawit sebagai baja organik.

"Baja organik ini merupakan elemen yang bersih daripada elemen kimia dan boleh dimajukan kepada tahap yang lebih untuk memberi manfaat kepada pendapatan kerajaan negeri dan sektor pertanian," katanya. Bernama

Read more ...

Amalan kronisme BN khianat amanah kerajaan



SHAH ALAM, 22 Jun : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas kelompok syarikat swasta yang gagal memberikan pulangan sewajarnya meskipun menerima pelbagai bantuan dari kerajaaan.

Khalid memberi amaran amalan kronisma pemerintah Barisan Nasional merencatkan potensi sektor ini yang gagal menjadi pemacu ekonomi sebenar, sebaliknya menjadi parasit yang membebankan.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Rakyat hari ini.

Tokoh korporat ini berkata agenda penswastaan besar-besaran yang diberi nafas baru oleh Perdana Menteri Najib Abdul Razak hanya akan mewujudkan monopoli korporat yang tidak mampu berdiri diatas kaki sendiri tanpa disuap geran dan suntikan wang rakyat.

"Malaysia mempunyai rekod yang sangat buruk dalam agenda penswastaan sebelum ini, dengan terdapatnya kepincangan pengalihan dana awam dan tanggungjawab kepada kroni dalam sektor korporat yang tidak mampu memberikan pulangan yang cekap dalam tugas mereka,"

Dalam pada itu, Tan Sri Khalid mengingatkan kerajaan untuk tidak tunduk kepada tekanan pemodal untuk menswastakan industri yang memberi kesan langsung kepada kebajikan rakyat jelata.

Menteri Besar Pakatan Rakyat ini menegaskan penswastaan harus bersifat tertuju dengan fokus untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Industri-industri pro-rakyat seperti kesihatan dan air harus kekal milik nasional bagi memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

"Tidak semua industri perlu diswastakan; ada perkhidmatan dalam barangan terpilih perlu terus kekal menjadi milik kerajaan. Misalnya bidang yang melibatkan keprihatinan sosial seperti perkhidmatan kesihatan tidak perlu diswastakan kerana ia memberikan khidmat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa. Ini tidak sama dengan perkhidmatan perubatan yang boleh diswastakan,"

"Saya juga prihatin dengan penswastaan pengurusan sisa pepejal. Sisa pepejal dipusatkan dengan kerajaan Persekutuan mengambil-alih semua pengurusan sisa pepejal dari kerajaan tempatan, termasuk pembersihan longkang dan menswastakan kepada satu syarikat,"

"Ia bermaksud semua autoriti hendak dirampas dari kerajaan tempatan. Putrajaya kini akan menentukan pengurusan sampah di kampung kecil di Kuala Kubu Bharu,"

Tan Sri Khalid menggesa kerajaan untuk menerima sistem tender terbuka sebagai piawai urusan kontrak kerajaan. Beliau turut melahirkan dukacita diatas ideologi penswastaan mundur yang ditunjukkan kerajaan.

"Penyelesaiannya adalah jangan menswastakan kos dan hanya swastakan hasil. Kos yang terlibat dalam mana-mana projek pembangunan khusus boleh dijalankan kerajaan sebagai asas perbelanjaan. Kerajaan sepatutnya menswastakan seksyen projek yang idea, kreativiti, model perniagaan yang unik boleh diketengahkan untuk menjana keuntungan lebih baik,"

Menteri Besar Pakatan Rakyat ini menegaskan pengagihan tender dan kewangan haruslah menghormati autoriti kerajaan-kerajaan bersekutu. Birokasi dan kos operasi Kerajaan Pusat dapat dirampingkan sekiranya autonomi kerajaan-kerajaan negeri tidak diganggu-gugat politik kepartian.

"Adalah lebih ideal menggunakan konsep Suruhanjaya Bebas Pemberian Persekutuan sebagaimana yang dipraktikkan di negara lain seperti Kanada dan Australia, yang melakukan pengagihan kewangan bukan berdasarkan afiliasi politik, tetapi keperluan pembangunan,"

"Kerajaan Persekutuan kelihatan lebih gemar mempolitikkan tadbir urus ekonomi dengan mengabaikan peranan negeri Selangor. Selangor sejak sekian lama menyumbang 20 peratus KDNK negara, namun sumbangan itu seolah dipinggirkan dalam RMK10,"

Read more ...

Felda bakal bankrap akibat campurtangan Umno



KUALA LUMPUR, 22 Jun : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menghadapi kemerosotan rizab tunai yang menjunam hampir RM3 bilion dikhuatiri akan bangkrap dalam masa terdekat akibat salah urus, kerugian pelaburan dan pembaziran projek yang berterusan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan Datuk Zaid Ibrahim dan Pengerusi Biro Felda dan orang Asal Keadilan Pahang, Suhaimi Said mencapai rumusan itu berdasarkan hakikat :RM1.35 bilion pada 2009.

- Tindakan membelanjakan RM622 juta untuk bangunan Felda di kawasan segi tiga hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu dan bukan atas keperluan Felda sendiri

- Sejak 5 tahun lalu sebanyak tiga anak syarikat Felda telah ditutup iaitu Getah Felda, Sutera Jaya dan Felda Herba kerana urusniaga mencurigai.

- Pemborosan berterusan termasuk membelanjakan hingga RM5juta untuk pertandingan futsal dan kelab bolasepak.

- Keputusan Lembaga Pengarah Felda ditolak oleh “pihak atasan” semata-mata untuk memberi keuntungan kepada individu tertentu.

Justeru Persatuan Generasi Anak Peneroka Felda (ANAK) bersama Keadilan Pahang akan membuat laporan di Balai Polis Temerloh pada 23 Jun ini terhadap Perdana Menteri Najib Razak kerana tindakan-tindakannya yang dilihat sebagai membangkrapkan Felda.

Datuk Zaid berkata Najib mepergunakan Felda sebagaimana mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad memperalatkan syarikat-syarikat kaitan kerajaan GLC sepanjang pemerintahannya.

"Kita tidak terkejut kerana inilah stail Mahathir yang diikuti oleh Najib, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) buat sahaja apa yang diarahkan Perdana Menteri. Kalau budaya ini berterusan dan macam inilah perkara itu tidak mustahil (Felda akan bangkrap),"ujarnya.

Beliau turut mengulas pendedahan Ahli Majlis tertinggi Keadilan, Dr Tan Kwee Kwong mengenai keputusan Felda membeli tanah di kawasan segi tiga emas yang mempunyai nilai hartanah tinggi yang hanya melibatkan individu tertentu tanpa keputusan lembaga pengarah.

"Kita nak tahu apa sebab bangunan Felda hendak dibina di situ. Kita minta Najib jawab perkara ini. RM622 juta adalah jumlah yang sangat besar sedangkan ada banyak lagi tanah yang berselerak di Kuala Lumpur. Bangunan Felda yang lama juga boleh dibaiki lagi,

kenapa nak beli tanah tersebut. Ini menunjukkan ada orang tertentu yang ada kepentingan, jadi kita minta apakah rasional menyebabkan keputusan dibuat dan alasannya apa,"tegas beliau.

"Felda diarah Najib untuk buat kerja ini, guna duit rakyat untuk projek yang tak menguntungkan peneroka. Banyak projek pembaziran seperti ini yang boleh kita dapati di zaman Dr Mahathir yang suka dengan projek-projek besar yang membazir,"ujarnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, Zaid mempersoalkan pembinaan ibu pejabat baru Felda yang bernilai RM622 juta dan bayaran pendahuluan sebanyak 40 peratus yang diberikan kepada Naza TTDI yang lebih tinggi dari nilai pasaran yang pada kebiasannya hanya pada kadar 10 peratus.

Sementara itu, Pengerusi Biro Felda dan orang Asal Keadilan Pahang, Suhaimi Said berkata sekiranya pengaliran keluar dana Felda berterusan, Felda akan mengalami nasib yang sama seperti Perwaja Steel.

"Tidak mustahil Felda akan menjadi satu syarikat seperti Perwaja. Ini kerana kerugian yang ditanggung Felda bukan jumlah yang kecil tetapi melibatkan ratusan juta ringgit,"ujarnya.

Menurutnya, keputusan ahli lembaga pengarah Felda mengenai pembelian tanah untuk pembinaan bangunan baru felda di Jalan Semarak bernilai RM220 juta telah diketepikan akibat penglibatan Najib.

"Keputusan( untuk membeli tapak sekarang) dibuat oleh Najib, Presiden Felda Global Venture Hoding, Mohd Bakke Salleh dan Pengerusi Naza TTDI Allyahrham SM Nasimuddin yang membelakangkan ahli lembaga Pengarah Felda. Ini adalah satu kesalahan dan kita minta SPRM supaya menyiasat perkara ini,"ujarnya.

Read more ...

Lambaian Ambang IPT

Image017-6.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 22 Jun : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar telah mengadakan majlis Lambaian Ambang IPT yang mengumpulkan pelajar yang akan menjejak kaki ke menara gading.

Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata, majlis berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang corak kehidupan di pusat pengajian tinggi.

“ Kami berharap majlis ini memberi motivasi dan semangat yang tinggi untuk mereka meneruskan kecemerlangan dalam bidang pengajian yang diambil di universiti.

“ Majlis ini juga bertujuan mewujudkan jaringan ukhuwwah pelajar dari Parit Buntar yang berjaya ke pusat pengajian tinggi” katanya

Khairulzami berkata, majlis ini diisi dengan ceramah dan diskusi yang mencakupi pendedahan awal pembelajaran dan corak kehidupan di universiti.

“ Suasana yang memberikan kebebasan di universiti apabila jauh dari keluarga memerlukan pelajar membuat keputusan dan tindakan yang bijak .

“ pengisian dalam majlis ini diharap dapat membantu pelajar membuat keputusan yang bijak sehingga berjaya membawa balik segulung ijazah dan memenuhi harapan keluarga” katanya

Read more ...

Bebaskan Ust. Zulkifli












LENGGONG, 22 Jun :
PAS kawasan mendesak kerajaan Malaysia melalui Menteri Luarnya menangani isu penahanan seorang rakyat negara ini, Ustaz Muhamad Zulkifli Zakaria, 41, oleh pihak berkuasa Mesir, secara serius kerana mangsa pergi ke negara itu untuk urusan pelajaran.

Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, berkata Ustaz Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim tidak mempunyai rekod yang beliau terbabit dengan sebarang kegiatan bertentangan dengan undang-undang negara dan tidak menyertai mana-mana jamaah yang diharamkan di negara ini.

Katanya, pemergian Ustaz Zulkifli hanya atas urusan untuk menyambung belajar di Universiti al-Azhar bagi peringkat Master, bagaimanapun ketika proses penerbangan balik pada 13 Jun lalu beliau ditahan pihak berkuasa Mesir.

"Semasa proses check out di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, sewaktu beliau berurusan dengan pihak imigresen, beliau ditahan sedangkan isteri dan dua anaknya tidak tahu apa-apa.

"Akhirnya apabila kapalterbang berlepas, beliau tidak bersama dengan isteri dan dua anaknya yang baru berusia dua dan tiga tahun," katanya sehari selepas pulang dari menemui Ahli Parlimen Pokok Sena, Yang Berhormat Datuk Mahfudz Omar dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen 21 Jun lalu.

Haji Razman berkata, penahanan oleh pihak berkuasa Mesir langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga beliau di Malaysia, malah kerajaan sendiri tidak memaklumkan kepada pihak keluarganya.

Katanya, berikutan itu, 20 Jun lalu beliau ditemui bapa Ustaz Zulkifli, iaitu Haji Muhammad Zakaria Abdullah, 62, mengadu hal anaknya, membawa kepada pertemuan dengan Datuk Mahfudz dan Menteri Luar.

Selepas pertemuan itu, katanya Menteri Luar membuat kenyataan akhbar dan berita mengenai penahanan Ustaz Zulkifli yang juga bekas Calon Parlimen PAS Kawasan Lenggong itu disiarkan akhbar arus perdana hari ini (22 Jun).

"Saya mewakili PAS Lenggong, mendesak kerajaan Malaysia menangai masalah Ustaz Zulkifli dengan serius sehingga beliau dibebaskan oleh pihak berkuasa Mesir kerana Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak itu tidak bersalah.

"Saya juga berharap supaya keluarga Ustaz Zulkifli bersabar atas ujian yang dihadapi dan berdoalah supaya Ustaz Zulkifli dapat pulang segera ke pangkuan keluarga," katanya.

Read more ...

MB Negeri Sembilan dilindungi


KUALA LUMPUR, 22 Jun : Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook kesal jawapan Menteri Kewangan seolah-olah melindungi kepentingan politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung dakwaan penyeludupan wang RM10 juta ke United Kingdom pada Mac 2008.

Sebalik dalam jawapan kepada soalan lisan Anthony Loke, Kementerian Kewangan hanya memberitahu bahawa Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram serta membatalkan lesen pengurup terbabit.

"Saya menerima jawapan bertulis terhadap pertanyaan tersebut yang mengatakan Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan menyerbu dan memulakan siasatan terhadap pengurup-pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram.

"Hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati bahawa terdapat kegiatan pengiriman wang ke luar negara secara haram oleh pengurup-pengurup wang yang menyalahi peruntukan undang-undang di bawah seksyen 30(1) Akta Pengurup Wang 1998. Selain itu juga jawapan tersebut menjelaskan lesen pengurup terbabit telah dibatalkan oleh Bank Negara.

"Jawapan tersebut juga memberitahu tindakan undang-undang juga boleh di ambil oleh Bank Negara terhadap mana-mana pengirim dana yang membuat penghantaran dana ke luar negara secara haram," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Anthony Loke kesal dengan jawapan yang diberikan kerana tidak dijelaskan apakah bentuk tindakan yang telah dikenakan ke atas Mohamad.

"Apa yang saya kesalkan tidak ada jawapan terhadap tindakan yang telah dikenakan ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan yang telah melakukan kegiatan tersebut, kenapa perkara tersebut disembunyikan tanpa diambil tindakan.

"Kenapa jika kes yang terlibat dengan mereka daripada golongan atasan dilihat mempunyai kepentingan dan tidak dikenakan apa-apa tindakan malah kes tersebut hanya senyap begitu sahaja.

"Persoalannya kenapa hanya pengurup wang sahaja dikenakan tindakan jika didapati bersalah, mana tindakan diambil ke atas Menteri Besar tersebut yang jelas beliau yang melakukan pengiriman wang.

"Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan terhadap persoalan tersebut, jangan membiarkan perkara itu tanpa sebarang jawapan. Kita mahu tahu status sebenar. Jika benar Mohamad Hassan tidak bersalah beritahu atau sebaliknya perlu dijelaskan, jangan biarkan kes tersebut terus menjadi tanda tanya.

"Melihat kepada jawapan tersebut timbul beribu persoalan kenapa kerajaan senyap tanpa tindakan, adakah kerana jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik tindakan dinafikan, sedangkan semua tahu penglibatan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam jenayah menyeludup wang keluar negara dalam jumlah yang besar," jelasnya lagi.

Sebelum itu, Anthony Loke pernah membangkitkan isu mengenai kaitan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd sebuah syarikat yang dibatalkan lesen oleh Bank Negara kerana terlibat dalam pemindahan wang ke luar negara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada sumber dalaman, Bank Negara Malaysia mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Menteri Besar itu dalam pemindahan wang tersebut.

Semasa ucapan penggulungan dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad terkedu dan hanya mengatakan beliau tidak berminat untuk menjawab soalan pembangkang mengenai dakwaan penglibatan beliau dalam penyeludupan wang ke luar negara.

Beliau bagaimanapun mengakui kini sedang di siasatan oleh pihak berkuasa tanpa memberi butiran lanjut mengenainya.

Read more ...

Kes Nizar mahkamah berkuasa..Kes Siva mahkamah tiada kuasa


PUTRAJAYA,22 Jun : Panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan tindakan mengheret Speaker Perak yang digulingkan, V Sivakumar, dari kerusi dan dikurung selama dua jam ketika tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian daripada prosiding Dewan Undangan Negeri.

Justeru, undang-undang Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengadili keganasan berkenaan - demikian keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengugurkan rayuan V Sivakumar.

Panel tiga hakim - Datuk Abdul Malik Ishak, Datuk KN Segara dan Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menguatkuasakan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam menolak rayuan saman Sivakumar terhadap speaker lantikan BN, R Ganesan.

Keputusan berkenaan disepakati sebelum kedua-dua pasukan peguam selesai membuat penghujahan masing-masing.

Panel tiga hakim juga memerintahkan Sivakumar supaya membayar RM20,000 sebagai kos perbicaraan.

Panel hakim itu bagaimanapun tidak memberikan alasan mereka membatalkan saman ADUN Tronoh itu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman Sivakumar menuntut pampasan dan ganti-rugi daripada Ganesan kerana mengarahkan serangan dan penahanan tidak sah terhadap dirinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahar Mohamed memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Azahar dalam mengugurkan saman tersebut berkata hal-ehwal perlantikan dan perlucutan Speaker harus dikaji, dibahas dan diselesaikan dalam dewan legislatif dan bukan di mahkamah.

Dalam perbicaraan hari ini, peguam Sivakumar, Chan Kok Keong, berkata perkara yang dikemukakan dalam saman itu boleh dibicarakan bagi menentukan sama ada peristiwa yang didakwa Sivakumar sebagai serangan dan salah penahanan beraku semasa persidangan DUN adalah arahan bagi Ganesan untuk dilindungi imuniti.

Beliau berkata pemilihan Ganesan dan tindakan untuk menyingkirkan Sivakumar dilakukan di luar persidangan dewan kerana ia dilaksanakan sebelum Raja Muda Perak menyampaikan titah ucapan perasmian.

Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, peguam Ganesan, berkata anak guamnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Speaker yang sah mengikut kuasa diberikan kepadanya mengikut Perlembagaan Perak, Peraturan Mesyuarat dan amalan persidangan.

Katanya pada hari ini, DUN telah menyelesaikan isu penyingkiran Sivakumar dengan sokongan majoriti 31 wakil rayat dan kemudiannya melantik Ganesan sebagai Speaker.

Firoz berkata selepas Ganesan dilantik sebagai Speaker baru, beliau mengarahkan Sivakumar supaya kembali di tempat duduknya tetapi Sivakumar enggan menyebabkan Ganesan mengambil tindakan bagi memindahkan Sivakumar daripada tempat duduk Speaker.Bernama

Read more ...