Sunday, January 30, 2011

Terus berusaha tembusi felda dan kampung tradisi

Jangan anggap Felda, kampung tradisi kubu BN

http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-snc4/hs443.snc4/50257_16324287933_4386583_n.jpgTEMERLOH, 31 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru seluruh jentera parti PAS untuk menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu Barisan Nasional.

“Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ianya termasuk kawasan Felda,” katanya yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di pilihan raya kecil Dun Tenang.

Di Tenang, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakalah Azahar memperolehi 6,699 undi.

Apa yang penting, kata Tuan Ibrahim ialah ahli-ahli PAS mesti berperanan dan bergerak secara aktif dalam seluruh aktiviti masyarakat di dalam Felda di samping mempertingkatkan kekuatan cawangan-cawangan PAS di Felda.

“Bahkan keahlian baru di kalangan anak-anak ahli PAS mesti diusahakan. Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga mengesyorkan bahawa aktiviti pengajian agama di masjid dan markaz di sekitar kawasan Felda perlu digerakkan agar semangat yang ada selari dengan ilmu pengetahuan.

“Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi dalam satu kenyataan di Twitter berkata bahawa PAS akan meneruskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat di Johor biarpun kalah di Tenang.

“Pakatan Rakyat akan memperbaiki kelemahan, memperbetulkan kesilapan dan mempertingkatkan gerak kerja untuk bangkit menghadapi pilihanraya umum kelak,” ujarnya.

Read more ...

PAS tetap bersemangat walaupun kalah

Jangan patah semangat kerana sudah dijangka

http://abushahid.files.wordpress.com/2011/01/cikgu-mala.jpg?w=400&h=266TEMERLOH, 31 Jan: Kekalahan PAS pada pilihan raya kecil Dun Tenang tidak seharusnya melemahkan semangat petugas-petugas Pakatan Rakyat kerana ia berlaku sebagaimana yang telah dijangka.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily lewat petang semalam dalam mengulas keputusan muktahir PRK Dun Tenang.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi menewaskan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang memperolehi 2,992 undi dengan majoriti 3,707 undi.

Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Namun apa yang perlu diambil perhatian ialah perlunya diperkukuhkan kekuatan parti di semua lokaliti. PAS dan seluruh parti komponen seharusnya mempunyai kekuatan asas yang kukuh di setiap peti undi.

“Kegagalan kita membina kekuatan asas akan menyukarkan kita menghadapi sebarang bentuk pilihanraya. Di Dun Tenang, kita harus akui kelemahan PAS sama ada di peringkat cawangan atau keahlian,” nasihat Tuan Ibrahim.

Namun, katanya, kemenangan BN yang hanya beberapa bulan ini sebelum pilihanraya umum ke 13 akan juga menjadi kayu ukuran bagi pengundi di Tenang sejauh manakah calon yang menang akan turun membantu.

“Nasib malang bagi calon menang kerana ia akan terus diuji oleh para pengundi yang kini berhadapan dengan banjir di Labis dan Tenang. Kalau sewaktu kempen, calon turun setiap rumah, dokong orang yang nak pindah, sekarang rakyat boleh tengoklah 'wajah' sebenar calon BN tu,” kata Tuan Ibrahim.

Kepada Cikgu Mala, Tuan Ibrahim menyeru beliau untuk meneruskan usaha dan perjuangan, kerana rakyat juga akan menilai dan membandingkan sejauh mana beliau akan terus membantu masyarakat, sama ada sewaktu kita menang atau sebaliknya.

“PRU akan menanti anda, dan yakin Islam akan pasti menang,” tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sementara itu, Cikgu Mala mengucapkan terima kasih kepada kepada semua petugas-petugas, Adun-adun, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan penyokong yang membantunya dalam kempen pilihanraya kecil di Tenang.

“Jangan kita berputus asa dalam berusaha sebelum kita mendapat kejayaan dan jika kita berjaya jangan dilupa pengorbanan mereka di belakang yang banyak memberikan sokongan tidak kira waktu, hari dan perjalanan hidup ini.

Kejayaan bukan milik individu sebaliknya milik jamaah yang mantap. Teruskan berjuang untuk Pilihan Raya Kecil di DUN Merlimau N.27 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” kata beliau.

Dalam menyuntik semangat kepada Cikgu Mala, Adun Teja, Chang Lih Kang berkata meskipun kalah tetapi beliau sudah berjaya menawan hati ramai rakyat Malaysia.

“Dalam pilihanraya yang akan datang, Tenang akan kita tawan, seperti di Ijok dulu!” kata Chang.

Read more ...

Mesyuarat akan tentukan parti wakili PR di Merlimau

Perbincangan Kolektif Tentukan Calon Merlimau


SHAH ALAM 30 Jan: Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan sama ada meletakkan calon PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan pada pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS.

"Insya Allah akan adakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat.

"Kita bincang di peringkat Pakatan Rakyat kerana kita bergerak secara kolektif dan bukan bersendiri," jelas Hadi kepada pemberita.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Read more ...

Keputusan Rasmi Tenang : BN gagal capai target




LABIS 30 Jan.: BN mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti 3,707, sekaligus tidak berjaya mencapai target yang disasarkan.

Azhar Ibrahim memperoleh 6,699 undi mengalahkan calon PAS, Normala Sudirman yang mendapat 2,992 undi.

Sementara itu undi pos juga memihak kepada BN dengan majoriti 112 undi dan 1 undi rosak.

Sebanyak 71.8 peratus atau 10,579 orang daripada sejumlah 14,753 pengundi berdaftar bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang keluar mengundi sehingga proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang tadi.

Difahamkan, jumlah peratusan ini lebih rendah daripada pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.

Ia mungkin didorong oleh faktor banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar Labis.

Beberapa jalan yang menghubungkan pusat pengundian tidak dapat dilalui kerana ditenggelami air.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN menewaskan PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Sementara itu, wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat melalui Twitter masing-masing memberikan respon terhadap kemenangan BN di kuat parti itu.

" Walaupun membelanjakan berjuta-juta duit rakyat tetapi tidak mencapai majoriti yang mereka inginkan! PRU mereka tidak boleh buat macam sekarang, PRU target
kita," tulis Khalid Samad di laman Twitternya.

Manakala ADUN Bukit Lanjan, Elizaberth Wong pula berkata, peratusan undi pengundi Cina semakin meningkat kepada Pakatan Rakyat.

" Kalah di Felda tetapi peratusan meningkat di kawasan majoriti Cina sehingga 70 peratus. Harus meningkatkan strategi di kawasan yang kalah," tulis Eli.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Read more ...

PRK Pelabuhan Klang kemungkinan besar berlaku

“Mungkin ada PRK”

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgjE72Y5YZ8Eyv01D48FkTyfa6WfuJYeyMWnG8grug1EtebAkdcZAlBPUUto3Bg6bVFGNi9L8ghcLJiA_QDTTwn4Pe5t_JCg0RwkpOgjpW_hNi3gC7fnynIKmXx4OZxQqhy4CL8bdkZCkQo/s320/badrulsial.jpgSHAH ALAM, 30 Jan. : Penganalisis politik meramalkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang tetap diadakan berdasarkan faktor pengosongan kerusi itu dibuat menerusi peraturan tetap DUN Selangor.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Zainal Kling berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menerima keputusan tersebut dalam menetapkan tarikh pilihan raya kerana pengosongan tersebut dibuat mengikut peraturan yang sah.

Bagaimanapun katanya, SPR terlebih dahulu akan meneliti beberapa fakta sebelum berbuat sedemikian.

”Berkemungkinan SPR terpaksa menerima kekosongan tersebut dan menetapkan tarikh berdasarkan apa yang dicadangkan oleh speaker menepati peraturan tetap DUN negeri.

”SPR perlu menetapkan tarikh, tetapi pastinya suruhanjaya itu akan menyiasat terlebih dahulu pengosongan terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebarangkalian SPR akan mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Pelabuhan Klang setelah menetapkan tarikh bagi DUN Melimau sebelum ini.

Kerusi DUN Pelabuhan Klang diisytiharkan kosong oleh speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim pada 19 Januari lalu, berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri.

Chang Khim berkata, ia ekoran penyandang kerusi tersebut, Badrul Hisham, tidak menghadiri sidang dewan tanpa cuti selama lebih enam bulan.

Kelmarin, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 6 Mac depan, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Februari.

Badrul pula dilaporkan gagal mendapatkan perintah interim dari mahkamah untuk menghalang SPR daripada mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Pelabuhan Klang.

Read more ...

Pengundi Cina ramai tidak keluar mengundi kerana pilih kasih jentera kerajaan

Polis, Tentara, JPA, Diskriminasi Pengundi Cina


LABIS 30 Jan. : DAP mendakwa terdapat diskriminasi dilakukan dalam pemberian bantuan pengundi untuk keluar mengundi di kawasan banjir dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tenang.

Hal ini berikutan bantuan yang dihantar pasukan Polis, Tentera dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dihantar ke kawasan kampung dan FELDA.

Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau menganggap hal ini sebagai diskriminasi kerana kawasan Pekan Labis Tengah dan Labis Timur merupakan kawasan majoriti Cina yang dianggap penyokong kuat Pakatan Rakyat.

"Kita ada terima aduan pada tengah hari sebab mereka tak dapat keluar lepas itu kita sendiri hantar kereta untuk angkut pengundi ke pusat pembuangan undi. Tapi masalahnya banjir di beberapa pusat pembuangan undi di Labis Tengah dan Labis Timur tapi kita tak nampak ada kenderaan dari polis, bomba atau JPA tapi kita terima berita bahawa kenderaan kerajaan dihantar ke kawasan Felda dan kampung" ujar Boo.

Pilihan Raya Kecil Tenang berlangsung hari ini dalam keadaan sukar berikutan hujan lebat berterusan sejak seminggu mengakibatkan banjir di beberapa tempat di sini.

Dr Boo kesal dengan keadaan ini kerana kawasan ini mempunyai kira-kira 5 ribu pengundi dan hanya setengah dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

Justeru Dr Boo yang juga ADUN Skudai meminta agar Suruhan Jaya Pilihan Raya melakukan sesuatu bagi membaiki keadaan ini.

"Kata nak 1 Malaysia tapi nampaknya ada diskriminasi di kawasan bandar sebab banjir di kawasan ini lagi teruk dari kawasan lain. Kami harap masa mengundi boleh ditangguh. Ini juga cadangan dari pihak PAS.

"Ini memang tak adil sebab cuma 50 peratus yang boleh mengundi di kawasan bandar, jadi untuk demokrasi dilakukan, satu pembetulan perlu dibuat," katanya kepada Tv Selangor.

Read more ...

Ambil iktibar kebangkitan rakyat Mesir, Tunisia



SHAH ALAM 30 Jan.: Kemelut di Mesir dan Tunisia harus dijadikan iktibar sambil melahirkan rasa sedihnya terhadap despotisme(kuasa mutlak) yang diamalkan oleh para pemimpin negara-negara Islam.

Dalam ucapannya di seminar 'Critical Islam with Ziauddin Sardar(ZS)' di Kelana Jaya semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Indonesia dan Turki yang kini berjaya mengadaptasikan konsep demokrasi, negara-negara Arab lain jelas tidak mempedulikan hak asasi manusia yang sepatutnya dirasai oleh rakyatnya.

"Kenapa anda tidak mempunyai, tidak mengiktiraf kebebasan, hak asasi manusia, keadilan, kesetaraan jantina di dunia Islam? Terutamanya di dunia negara-negara Arab, kecuali Indonesia, yang berjaya mengubah dirinya mengamalkan demokrasi dengan penuh semangat, dan Turki. Di dalam dunia Arab, penafian hak-hak asas ini merupakan satu kewajipan mutlak," kata beliau dalam ucapannya.

Jelas beliau, kebanyakan cendekiawan Timur Tengah menganggapnya sebagai satu budaya kerana pemerintahan bercirikan despotisme atau satu kuasa mutlak merupakan perkara terpenting dalam sejarah tamadun Mesir di mana rakyat Mesir tidak lekang memuja para Firaun walaupun sedar kezaliman mereka.

Anwar berpandangan, warga Mesir kini seolah-olah cuba menyampaikan mesej bahawa Mesir memerlukan seorang Firaun moden bagi mengawal dan menangani rakyat Mesir.

"Ini merupakan satu hujah yang langsung tidak berasas kerana apa yang berlaku di Mesir sekarang, seperti yang berlaku di negara-negara Arab lain, ialah kerana para pemimpinnya yang memandang rendah warga negaranya. Mereka ini dinafikan hak asas yang mana dengan jelas diperuntukkan di dalam mana-mana perlembagaan," kata beliau lagi.

Sambil berseloroh beliau berkata beliau tidak langsung mengaitkan hujahnya dengan Malaysia kerana khuatir akan disiasat lagi oleh kerajaan Umno-BN dengan alasan kononnya berhubungan dengan pengganas antrabangsa.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

PAS juga meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

Read more ...

BN menang di Tenang tapi Chua Soi Lek kalah




LAPORAN TERKINI PRK DUN TENANG

08:15PM: Keputusan tak rasmi: BN 6,698, PAS 2,963, majoriti 3,735, rosak 35 undi .

Cikgu Mala: "Secara peribadinya saya berbangga dengan perjuangan dan petugas yang komited bersama UBAH SEKARANG..terima kasih kepada semua yang membantu saya".

07:25PM :TIDAK RASMI SETAKAT INI - Keseluruhan :BN : 6698 (69.1%) PAS : 2963 (30.6%) Majoriti : 3735 Rosak : 35 Turn out : 71%

PETI UNDI Bandar Labis Timur BN: 671 PAS: 144

PETI UNDI Labis BN: 269 PAS : 219

PETI UNDI Sawah Baru BN: 212 PAS: 55

PETI UNDI Cemplak BN : 985 PAS: 135

PETI UNDI Cemplak Barat BN : 838 PAS: 142

PETI UNDI Bandar Labis Tengah BN : 365 PAS : 801

PETI UNDI Kampung Redong BN: 462 PAS: 105

PETI UNDI Tenang Station BN: 746 PAS: 352

PETI UNDI Pekan Air Panas BN: 220 PAS: 48

PETI UNDI Ladang Labis Utara BN : 152 PAS: 40

PETI UNDI Felda Tenang BN: 950 PAS: 160

PETI UNDI Ladang Bukit Dato. BN : 352 PAS : 99

Undi Pos : BN : 115 PAS : 3

07:20PM : PRK DUN Tenang : Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon BN Azahar Ibrahim menang dengan majoriti 3,735 undi

07:10PM: PRK DUN Tenang : SETAKAT JAM 6.57 PTG :- Keseluruhan : BN : 6698 (69.1%) PAS : 2963 (30.6%) Majoriti : 3735 Rosak : 35 Turn out : 71% (Tak Rasmi)

07:00PM : PRK DUN Tenang : BN - 4,712 : PAS - 2090 ( Tak rasmi)

06:50PM: PRK DUN Tenang : Pengiraan untuk 6483 (43.94%) kertas undi ialah PAS-2033 manakala BN-4420 undi manakala Undi Rosak-30 majoriti BN-2387 (Tak Rasmi)

06:30PM: SETAKAT JAM 6.29 PTG :- Keseluruhan Tak Rasmi : BN : 3147 - PAS : 1092

PETI UNDI Tenang Station BN: 746 PAS: 352

PETI UNDI Pekan Air Panas BN: 220 PAS: 48

PETI UNDI Ladang Labis Utara BN : 152 PAS: 40

PETI UNDI Felda Tenang BN: 950 PAS: 160

PETI UNDI Bukit Dato. BN : 352 PAS : 99

06:00PM : KEPUTUSAN RASMI UNDI POS

PAS - 3
BN - 115
Undi rosak - 1
Jumlah keseluruhan - 119

05:30PM: SPR melaporkan peratusan mengundi ketika pusat pengundian ditutup jam 5 petang tadi ialah 71.71 peratus atau 10,579 pengundi. Pengiraan kertas undi sedang berjalan.

Read more ...

Pemimpin PR turun padang, bakar semangat petugas

"Penyokong Pakatan yang telah dididik untuk sanggup bekorban dalam apa jua keadaan," ujar Naib Muslimat PAS, Siti Zailah.

Menurut Zailah, pimpinan Pakatan Rakyat turut melawat ke setiap pusat mengundi untuk memberi rangsangan dan kata-kata semangat kepada setiap petugas agar bertahan dalam keadaan yang mencabar ini.

Kesanggupan pimpinan turun dan melawat ke setiap UPU memberi gambaran yang jelas bahawa pimpinan Pakatan berjiwa rakyat dan sanggup sama merasa kepayahan yang dirasai petugas parti itu.

Sehingga 2 petang, peratus keluar mengundi sebanyak 61.17 peratus atau 9,025 orang.

Read more ...

PRK DUN Tenang: Paras air terus meningkat




LABIS 30 Jan. : Hujan lebat yang mencurah-curah sejak lima hari lalu memberi implikasi kepada hari pengundian DUN Tenang hari ini.

Jalan ke Kg Tenang, Air Panas, Ulu Juaseh. Sawah Baru, Felda Tenang, Kg Redong dari pekan Labis, Segamat telahpun terputus kerana dinaiki air yang semakin meningkat.

Sementara itu seramai 846 mangsa banjir Tenang sudah dipindahkan setakat berita ini ditulis.

Paling teruk, Kampung Sawah Baru teruk ditenggelami air sehingga anggota tentera dan bomba kini menyediakan bot bagi memindah penduduk yang terperangkap di situ.

Selain itu Jalan Labis- Segamat turut ditenggelami air dan menyebabkan kesukaran bagi kenderaan dan pengundi untuk ke pusat pengundian di Ladang Bukit Dato dan SMK Kamarul Ariffin yang diberitakan turut dinaiki air.

Jalan ke Kg Lembah Bakti dan Kg SeKijang turut dinaiki air namun masih tidak serius.

Di Labis pula, Pusat Pengundian di Labis Timur dan Labis Tengah ditutup kerana dimasuki air.

Kenyataan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan 65.19 peratus atau 9618 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 3 petang ini.

Kerajaan Johor dilaporkan telah pun bersedia membuka pusat pemindahan banjir di daerah Segamat, Ayer Hitam dan Yong Peng akibat Sungai Labis, Sungai Bekok, Sungai Gatom dan Sungai Juaseh di Daerah ini melimpah kerana hujan tidak berhenti sejak seminggu lalu.

Read more ...

Saturday, January 29, 2011

Cek bertarikh 27 Januari itu, ditulis "MCA cawangan Tenang" ditemui

DAP : Berlaku Beli Undi Di Tenang Station



LABIS 30 Jan. : DAP mendakwa berlaku pembelian undi di SJK (C) Ai Chun yang terletak dalam daerah pengundian Tenang Station.

Menurut Teo Chin Liang iaitu bapa kepada ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching, dia dan agen undi DAP, Liew Choan Chee, pergi ke dewan sekolah tersebut apabila mendapati pintunya terbuka luas, yang menurut mereka tidak biasa berlaku pada hujung minggu.

Setibanya di situ, kata Teo, dia nampak beberapa orang lelaki Cina sedang duduk di sebuah kaunter. Dia kemudiannya didatangi tiga orang, yang bertanyakan mengapa dia berada di situ,lapor Malaysiakini.

Teo menjawab dia hanya mahu melihat yang apa yang sedang berlaku di situ. Mengesyaki sesuatu, dia kemudiannya memanggil Liew yang berada di dalam kereta dan Liew datang serta mengambil gambar tiga orang berkenaan.

Melihatkan foto mereka diambil, ketiga-tiga mereka menjadi marah.

Menurut Teo, seorang daripada mereka yang berbaju putih, mengejar Liew hingga ke keretanya dan mengarahkannya menyerah kameranya, dan mengancam akan menggunakan kekerasan jika Liew enggan berbuat demikian.

Liew, bagaimanapun, memberi amaran kepada penyokong ketiga-tiganya bahawa penyokong PAS akan sampai beberapa minit lagi.

Mereka kemudiannya jadi takut lalu beredar dari tempat tersebut.

Bagaimanapun, setelah mereka pergi, kelihatan beberapa orang masih datang ke dewan sekolah berkenaan.

Teo kemudiannya menemui mereka dan diberitahu, mereka datang setelah diminta oleh seorang yang dipanggil 'Ah Teck' untuk mengundi di situ, walaupun sekolah berkenaan bukanlah pusat mengundi.

Tertinggal di situ ialah cek RM3,000 yang telah dikoyak, dengan tandatangan ketua kampung yang juga pengerusi MCA Kampung Sawah Padi, Kok Yun Keong.

Cek bertarikh 27 Januari itu, ditulis "MCA cawangan Tenang" di atasnya, namun tiada nama penerima.

Read more ...

PRK DUN Tenang: Banjir,ramai dipindahkan




LABIS, 30 Jan. : Proses pengundian pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang tetap berjalan walaupun beberapa kawasan rendah dilanda banjir dan bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan terus meningkat.

Jurucakap polis bagi pilihan raya itu, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata sehingga pukul 2 petang ini, seramai 846 mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Mangsa yang dipindahkan ke Balai Raya Kg Paya Dalam ialah seramai 53 orang;Balai Raya Kg Batu Badak (94); Sekolah Agama Pekan Air Panas (58); Balai Raya Kg Usaha Jaya (70); Balai Raya Kg Lembah Bakti (272); Balai Tadika Kg Orang Asli (130); Balai Raya Kg Sekijang (10); Balai Raya Kg Melayu Raya (12); Balai Air Bah Pagoh 2 (53); Sekolah Arab Kg Gubah (13); dan Balai Raya Kg Genuang India(81).

Walaupun hujan lebat masih berterusan, proses pengundian di beberapa pusat pengundian yang tidak terjejas dengan banjir berjalan lancar, katanya.

Read more ...

Hujan bawa rahmat, penyokong PR terus bertahan

Hujan Lebat Tidak Patahkan Semangat Penyokong


LABIS 30 Jan.: Walaupun hujan lebat di sekitar pekan Labis namun ia tidak mematahkan semangat penyokong parti untuk terus berhimpun memberi galakan kepada pengundi-pengundi di UPU Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

Tinjauan krew Tv Selangor mendapati rata-rata majoriti pengundi Cina keluar mengundi seawal jam 9 pagi di kawasan tersebut.

Dalam pada itu Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang ditemui pagi tadi berkata, sekiranya PAS berjaya mengurangkan majoriti maka usaha untuk mengagalkan sasaran Umno-Barisan Nasional memperoleh undi majoriti 5000.

"Dalam keadaan cukup undi lama, kurangkan majoriti dan gagalkan sasaran undi BN. Jika salah satu daripada sasaran ini kena maka sudah cukup memberi tamparan kepada BN tentang kebangkitan rakyat," tegas Mahfuz.

Tambahnya, situasi tersebut akan memberi laluan kepada PAS memandangkan pengundi-pengundi Cina memperlihat sokongan kepada parti itu.

"Kita harap pengundi Cina mesti keluar sebab undi mereka banyak memihak kepada kita. Kalau mereka kurang keluar akan beri masalah kepada calon PAS," jelas beliau ketika ditemui di jalan Segamat-Labis.

Dalam pada itu Mahfuz berkata Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat mendapat sambutan baik daripada pengundi kaum Melayu.

Jelasnya hujan tidak menjadi penghalang warga Felda keluar mengundi berikutan petugas-petugas PAS dan Umno-BN bertali arus membawa pengundi ke UPU menggunakan pacuan empat roda.

Mahfuz turut menolak pengurangan besar 50 peratus undi seperti yang didakwa.

"Pengurangan pasti berlaku cuma kadarnya saya tidak jangka kurang daripada 50 peratus.

"Setakat ini tiada kes pengundi meragukan," tambah beliau lagi.

Sehingga jam 12 tengahari SPR mencatatkan jumlah 48.93 peratus atau 7,219 pengundi sudahpun keluar menunaikan tanggungjawab.

Read more ...

Setakat 12.00 tengah hari : PR 40.5% BN 59.5% - Zentrum

NONE

12.58pm: Hujan menjadi sumber rezeki di Tenang hari ini di mana seorang peniaga menjaja payung di sepanjang rumah kedai di Jalan Segamat, pada harga RM12 tiap satu.

12.52pm Setakat jam 12.00 tengah hari, menurut pemantauan terhadap kepercayaan politik oleh NGO Zentrum Future Studies, BN kini mendapat 59.5 peratus manakala Pakatan 40.5 peratus.

12.40pm: Menurut SPR, peratusan pengundian sehingga jam 12 tengahari meningkatkan kepada 48.93% atau 7,219 pengundi. Tinggal lima jam lagi sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini.



12.09pm Timbalan Menteri Pelajaran Wee Ka Siong berkata hujan lebat di Tenang mengingatkannya kepada peristiwa banjir besar di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.

"Harap ia tidak berlaku lagi," tulisnya di laman Twitter.

12.08pm: Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata peratus pengundi Cina yang keluar amat rendah di Labis.

"Tolong desak anggota keluarga atau kawan-kawan keluar mengundi!" tulisnya di laman Twitter.

11.40am: Banjir yang melanda Jalan Segamat, laluan utama menghubungkan Labis dan Tenang Station, bertambah teruk. Jika hujan berterusan, laluan itu mungkin terputus hubungan tidak lama lagi.

Di Jalan masuk ke Ladang North Labis juga ditenggelami air kira-kira sekali dalamnya.

11.36am: Menurut twitter Loges Mohan - isteri ketua pemuda MIC T Mohan - Jabatan Pertahanan Awam dikerah ke Kampung Tenang untuk memindahkan 62 keluarga yang terperangkap kerana banjir.
Manakala twitter ketua Pemuda MCA yang juga timbalan menteri pelajaran, Datuk Seri Wee Ka Siang pula menyiarkan foto banjir sepanjang Jalan Segamat-Labis.

Read more ...

Hosni Mubarak sekat pengunaan internet, Najib juga akan guna akta sekat penggunaan internet

Sekatan media terburuk

KAHERAH , 30 Jan. : Sekatan penuh kerajaan Mesir terhadap internet dan telefon bimbit adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah komunikasi dunia, menurut pakar.

Aktivis hak asasi manusia di seluruh dunia mengutuk keras tindakan pemerintah kuku besi Hosni Mubarak menyekat penggunaan internet dan telefon bimbit bagi menghalang rakyat Mesir daripada menganjur protes dan berhubung dengan dunia luar.

"Ini adalah insiden pertama dalam sejarah teknologi internet," menurut Rik Ferguson, seorang pakar dari Trend Microm, iaitu syarikat keselamatan komputer ketiga terbesar di dunia.

Menurut syarikat pemantau aliran internet di Perancis, hampir 97 peratus aliran internet dua hala Mesir terputus dalam tempoh 24 jam sejurus tunjuk perasaan mula mendapat momentum, Khamis lalu.

Empat syarikat pengendali utama perkhidmatan internet di Mesir di arah oleh kerajaan supaya menghentikan semua sambungan internet antarabangsa secara serentak.

Kira-kira 23 juta rakyat Mesir yang menggunakan internet di negara itu terputus hubungan dengan dunia luar akibat sekatan luar biasa itu.

Rangkaian telefon bimbit juga terjejas teruk di seluruh negara sehingga kelmarin dengan tiada isyarat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dapat digunakan.

Syarikat telekomunikasi Vodafone yang beroperasi di Mesir mengesahkan menerima arahan daripada kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan di semua kawasan bergolak, kelmarin.

Penutupan perkhidmatan internet dan telefon di Mesir itu adalah sekatan kerajaan paling menyeluruh dalam sejarah komunkasi elekronik dunia.SH

Najib sekat hak asasi dan kebebasan politik rakyat

PARIT BUNTAR : Cadangan Kerajaan Barisan Nasional(BN) untuk melebarkan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984(PPPA) melibatkan media Internet membuktikan membuktikan kerajaan BN masih lagi terperangkap di dalam politik lama untuk mengawal dan menekan rakyat.

Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, pengumuman terbaru ini membuktikan bahawa Pentadbiran Najib Razak tidak putus asa dalam usaha mereka untuk menyekat hak asasi dan kebebasan politik di Malaysia

“Kerajaan BN sudah beberapa kali menggambarkan hasrat untuk menyekat Internet, terutamanya selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008.

“ Mereka tidak mempunyai komitmen serius terhadap perubahan dan hak asasi manusia” katanya

Adnan berkata, ruang Internet adalah lebih terbuka berbanding media arus perdana memandangkan komitmen Kerajaan terhadap Jaminan (Bill of Guarantees) Koridor Raya Multimedia (MSC).

“ Kerajaan menghantar mesej yang salah kepada pelabur-pelabur luar, yang sebelum ini tertarik dengan jaminan MSC.

“Keyakinan terhadap Malaysia, yang sudahpun berada pada tahap yang paling rendah, tidak akan pulih jika kerajaan terus menerus menyekat dan menghukum sesiapa yang memberikan kritikan yang jujur, tepat dan membina” katanya

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak kecewa dengan sikap kerajaan BN yang gagal membuka ruang media lebih luas bagi memastikan demokrasi yang segar dan kemakmuran negara.

“ Sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan bertentangan dengan mencadangkan untuk melebarkan akta tersebut kepada Internet.

“Tanpa ketelusan yang wujud menerusi Internet dan media yang bebas, semua rancangan perubahan yang diuar-uarkan kerajaan selama ini - akan menjadi sia-sia” katanya

Beliau menggesa kerajaan BN membatalkan rancangan ini dan sebaliknya meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi membuktikan kerajaan benar-benar mahukan perubahan.

“ Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga telah memberikan komitmen untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, memperkenalkan Akta Kebebasan Media dan memelihara kebebasan Internet sekiranya dipilih menjadi Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya akan datang.

“ Pakatan Rakyat tidak akan menyekat akses rakyat Malaysia kepada Twitter, Facebook dan blog sebagaimana yang akan dilakukan kerajaan BN melalui pelebaran akta ini” katanya

Read more ...