Wednesday, March 3, 2010

Masyarakat perlu ambil tahu jiran tetangga


PARIT BUNTAR, 3 Mac : Kes penderaan ke atas adik Syafia Humairah Sahari mendapat liputan meluas di seluruh media dalam negara ini. Bagi Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar menganggap sikap segelintir masyarakat yang kurang mengambil tahu perihal jiran tetangga menyebabkan banyak kes social seperti penderaan berlaku.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Parit Buntar, Ustazah Zabariah Mat Amin, sikap tidak ambil tahu terhadap masalah yang dihadapi jiran tetangga menyebabkan banyak masalah social berlaku. Ambil tahu hal kejiranan bukanlah bermaksud hingga ke masalah peribadi seperti kewangan, masalah kerja sebagainya, akan tetapi kes-kes social seperti penderaan, bersekedudukan, kecurian dan banyak lagi perlu diambil serius.

Janganlah apabila sudah berlaku kes kematian seperti yang berlaku ke atas adik Syafia ini barulah kita hendak menangisi permergiannya, sedangkan penderaan ke atas kanak-kanak ini sudah lama berlaku ke atasnya.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Parit Buntar pula, Ustazah Azizah Awang, beliau berkata inilah kesannya apabila didikan agama tidak diterapkan dalam kehidupan kita. Masalah social yang begitu berleluasa berlaku apabila manusia lalai dan menolak pada hukum yang Allah beri kepada kita. Apa guna kita sambut Maulidur Rasul sekiranya amalan serta sunnah Nabi tidak kita laksanakan.

Ustazah Azizah menyeru supaya ibu bapa, para pendidik serta pemimpin masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha membanteras gejala social yang semakin buruk ketika ini. Isu hidup bersekedudukan hingga melahirkan anak luar nikah kini semakin berleluasa, malah semakin bertambah dan akibatnya anak yang tidak berdosa ini menjadi mangsa.

Di dalam hal yang sama, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Parit Buntar, Norijan Omar menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar menyusun program kesedaran pentingnya hidup beragama untuk wanita dan keluarga khususnya di luar bandar. Amalan hidup yang berteraskan kepada agama cukup penting bagi mengelakkan gejala social dari terus berlaku.

Gejala bersekedudukan, penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak kini bukan sahaja berlaku di kawasan bandar sahaja malah di luar bandar jumlah yang berlaku juga semakin meningkat. Ini berlaku apabila ada dikalangan suami atau bapa yang terlibat dengan gejala dadah menjadikan isteri dan anak-anak sebagai mainan belasahan apabila mereka ketagih dadah.

Terdapat juga kes apabila si suami dipenjarakan kerana masalah dadah, manakala si isteri terpaksa menanggung anak yang ramai malah tidak diberi perhatian oleh masyarakat dan badan berwajib maka mereka bersekedudukan untuk mencari perlindungan serta menyara hidup mereka. Oleh itu satu tindakan segera perlu difikirkan dan diambil bersama agar gejala ini tidak terus membarah.

No comments: