Monday, March 8, 2010

Umno terus bangkitkan isu perkauman


SHAH ALAM, 8 Mac : UNMO tidak pernah berhenti membangkitkan isu perkauman dan agama untuk mengalih perhatian rakyat, terutamanya orang Melayu daripada terus menyokong Pakatan Rakyat (PR), demikian kenyataan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga pemimpin DAP Selangor, Teresa Kok dalam ucapannya pada Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Menurut beliau, apabila mereka (UMNO/Barisan Nasional) gagal memujuk rakyat dengan dasar dan program yang adil, mereka mula menimbulkan fitnah untuk memecah belahkan rakyat.

“Bagi pemimpin UMNO dan BN, kehilangan tampuk pemerintahan bermaksud kehilangan peluang ekonomi untuk mereka dan kroni mereka.

“Mereka memang takut dengan skandal kewangan dan tanah yang kita bongkarkan dan mereka bimbang dengan dasar serta program mesra rakyat yang dilaksanakan kerajaan PR,” katanya.

Teresa berkata, inilah yang menyebabkan peluang UMNO untuk merampas Selangor adalah tipis.

Dalam tempoh dua tahun ini, PR yang dianggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP telah menghadapi bermacam cabaran, dugaan dan kesulitan yang tidak pernah dialami sebelum ini oleh kerajaan terdahulu di negeri ini, katanya.

“Hampir setiap Exco PR di Selangor diserang oleh parti musuh dan media yang dikawal mereka. PR diganggu pihak polis dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Katanya, walaupun usaha pihak berkuasa itu dihargai tetapi mereka tidak boleh berpihak kepada satu pihak sahaja.

Beliau berkata, walaupun banyak usaha untuk menjatuhkan PR seperti khabar angin yang tersebar, namun PR Selangor masih kukuh dan mantap malah segala usaha jahat pihak musuh telah digagalkan.

Teresa dalam ucapannya juga berkata, PR berjaya memerintah dengan selamat dan sempurna dan mampu melaksanakan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Menurut beliau, hubungan yang mesra di antara PKR, PAS dan DAP adalah asas ikatan PR di Selangor.SH

No comments: