Wednesday, April 7, 2010

RM 1 juta untuk pelajar cemerlang


KOTA BHARU , 7 April : Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM800,000 hingga RM1 juta bagi memberi sumbangan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, inisiatif berkenaan akan diusahakan oleh pihak Kerajaan Negeri terutama bagi pelajar cemerlang bagi memberikan suntikan semangat kepada mereka.

“Ia sebagai hadiah daripada Kerajaan Negeri ini kepada anak-anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik terutama mendapat 9A ke atas dalam SPM, 4 Prinsipal A ke atas dalam STPM dan sembilan markah tertinggi (mumtaz) ke atas bagi STAM.

“Agihan sumbangan ini berdasarkan kepada peruntukan dalam mesyuarat exco apabila nama mereka yang terpilih terutama rakyat Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Maahad Muhammadi (Lelaki) Gemilang dan Anuge-rah Kecemerlangan Pelajar 2010, di sekolah itu, di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, 52 pelajar terbaik SPM dengan pencapaian paling tinggi 15A pada tahun lalu, 23 memperoleh pangkat mumtaz STAM, 35 pelajar menerima anugerah pelajar cemerlang (10A) dalam Penilaian Menengah Rendah Ugama (PMRU), 24 pelajar terbaik PMR, lapan pelajar terbaik (10A) SMU.

Ahmad berkata, mengikut mesyuarat Exco, peluang menerima anugerah atau hadiah berkenaan turut diberikan kepada rakyat Kelantan di luar negeri yang belajar di sana.

Menurutnya, penganugerahan berkenaan diadakan setiap tahun dan tahun ini merupakan tahun keempat diberikan kepada pelajar cemerlang berkenaan.

“Penganugerahan hadiah ini akan disampaikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila beliau pulang mengerjakan umrah di Makkah nanti,” katanya.

Katanya, penyampaian hadiah tersebut diharap memberi semangat kepada pelajar yang berjaya dan memberi perangsang kepada calon peperiksaan akan datang khu-susnya di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).SH

No comments: