Monday, May 31, 2010

Dua aktivis bukan Islam PAS Parit Buntar terima anugerah

CIMG39851.jpg picture by paspb 











PARIT BUNTAR, 31 Mei :  Kesetiaan dalam usaha menjadikan PAS sebagai satu perjuangan bersama masyarakat bukan Islam mendapat perhatian daripada Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat untuk menganugerahkan dua orang aktivis bukan Islam PAS sebagai penerima Anugerah Jasamu Dikenang sempena majlis perasmian Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang diadakan di Klang baru-baru ini.
 
Yang Dipertua PAS Parit Buntar Haji Harun Hashim berkata, PAS Parit Buntar berasa bangga di atas penganugerahan kepada dua orang aktivis bukan Islam yang begitu setia bersama PAS.

“ Mereka adalah Ong Choi Ee dan Ang Teik Hock dari kawasan Kuala Kurau. Apa yang membanggakan adalah mereka merupakan dua daripada empat penerima anugerah ini di peringkat kebangsaan.
 
“ Kriteria dipilih berdasarkan komitmen serta kesetiaan tanpa berbelah bagi gerak kerja pilihanraya serta menambahkan sokongan bukan Islam khususnya masyarakat Cina kepada PAS. Lebih membanggakan anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang” katanya
 
Beliau bersyukur di atas penganugerahan PAS Pusat kepada aktivis bukan Islam PAS Parit Buntar. Kedua-dua aktivis PAS ini sudah lebih 10 tahun bersama-sama melalui kesusahan, perit jerih bersama PAS dari zaman pilihanraya umum ke-10, ketika itu Dato' Dr Hasan Ali sebagai wakil rakyat hinggalah kini.
 
“ Walaupun kita tewas dalam Pilihanraya Umum pada 2004, namun mereka tetap setia malah sanggup berkorban tenaga dan wang ringgit demi memenangkan PAS dalam Pilihanraya Umum, Mac 2008 yang lalu.
 
"Mereka sanggup bersusah payah bersama kita dan saya berasakan memang wajar dan selayaknya saudara Ong Choi Ee dan Ang Teik Hock diberikan penghargaan sedemikian. 

"Kerana mereka jugalah orang-orang Cina mula berminat dengan PAS dan penyokong bukan Islam bertambah untuk bersama-sama dengan PAS." katanya 

Bagi Ong Choi Ee, 60, beliau tidak menyangka PAS boleh memberikannya anugerah yang begitu berprestij ini. Beliau berterima kasih di atas penganugerahan tersebut. 

 Baginya anugerah tersebut sebagai satu pengiktirafan kepada bukan Islam yang memberikan komitmen kepada PAS.

 "Saya tidak pernah bercita-cita untuk mendapat apa-apa anugerah dari PAS, kerana bagi saya perjuangan menjadikan Pakatan Rakyat untuk memerintah negara lebih penting dan saya akan terus berusaha agar ia menjadi kenyataan." katanya.

No comments: