Monday, May 17, 2010

Hargai guru

Image027-2.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 17 Mei : Yang Dipertua PAS Parit Buntar Harun Hashim berharap semua lapisan masyarakat menghargai jasa guru sama ada guru tadika atau PASTI, guru KAFA dan guru sekolah yang mendidik anak bangsa.

“ Saya mewakili PAS Parit Buntar, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru terutama yang mengajar di Parit Buntar.

“ Jasa guru harus dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh pelajar tetapi juga oleh semua ibu bapa kerana jika bukan kerana guru, tidak akan ada kejayaan anak-anak mereka” katanya

Harun berkata, guru adalah insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.

“ Jasa guru amat besar, begitu juga pengaruh mereka mendidik serta membimbing pelajar mencapai kecemerlangan hidup.

“ Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada guru. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah” katanya

Tambah beliau, khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta redha Allah.

“ Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun bukan mudah serta memerlukan kesabaran tinggi.

“ Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru, sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah” katanya

No comments: