Monday, June 21, 2010

Kelantan lantik 13 Timbalan Exco


KOTA BHARU, 21 Jun : Kerajaan Negeri Kelantan melantik 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai timbalan Exco dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Kota Darul Naim, di sini, semalam.

Mereka yang dilantik ialah Hanifa Ahmad sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah, Azami Mohd Nor dan Abdul Fatah Harun (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan);

Muhamad Mustafa dan Muhamad Awang (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah) dan Zulkifli Mamat (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat).

Sementara itu Abdullah Ya’kub dan Drs Zainuddin Awang Hamat sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Wan Yusuff Wan Mustafa (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaya, Utiliti dan Alam Sekitar) dan Abdul Latif Abdul Rahman (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan).

Turut dilantik ialah Rohani Ibrahim (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kesihatan); Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi).

Dalam Majlis itu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyampaikan sijil pelantikan berserta dengan elaun tunggakan tugas yang bermula dari 1 Januari 2010.

Dalam pada itu, ketika ditemui Nik Aziz berkata, pelantikan yang dibuat dapat meringankan tugas Exco yang diketahui mempunyai beban yang besar selain melancarkan lagi kerja-kerja kebajikan untuk rakyat.

Selain itu katanya, pelantikan itu secara tidak langsung dapat melatih pemimpin-pemimpin untuk melaksanakan tugas di peringkat bawah.

“Sebagai contoh saya sendiri. Sebelum ini saya dilantik sebagai Pesuruhjaya dan Menteri Besar tanpa mempunyai jawatan ketua cawangan atau ketua kawasan. Pelantikan saya dibuat tanpa persiapan. Tetapi mungkin kerana keikhlasan saya boleh melakukan dan dapat diterima oleh rakyat,” katanya.

No comments: