Wednesday, June 16, 2010

Pebicaraan kes 'Bini Puaka'



KUALA LUMPUR, 16 Jun : Perbicaraan kes lima pelajar Universiti Malaya yang didakwa cuba melakukan vandalisme dan menconteng dinding Dewan Utama Akademi Pengajian Melayu dengan perkataan berunsurkan politik bermulakan semalam di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Mahkamah Kuala Lumpur dengan pendengaran bukti daripada wakil Jabatan Kimia Malaysia.

Kelima mahasiswa terbabit adalah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa menceroboh, cuba membakar Dewan Utama dan menconteng dinding dewan dengan perkataan 'Altantuya', 'C4', dan 'Bini Puaka' di merata tempat di dalam dewan.

Ketiga-tiga pertuduhan ini membawa hukuman minima enam bulan ke 10 tahun penjara dan boleh didenda sehingga maksima RM3,000. Mereka diwakili oleh satu panel peguam yang terdiri daripada empat peguambela, Mohd Radzlan Jalaludin, Zulhazmi Shariff, Surya Putra Taulan dan Arfizi Ramli.

Peguambela bagi Shazni, Mohd Radzlan telah menyerahkan alibi baru pada 10 Jun lalu dengan menyenaraikan empat saksi baru, dan meminta penangguhan kes bagi memberikan masa untuk pihak pendakwaraya meneliti dan merekodkan keterangan saksi tetapi ditolak oleh hakim, Rozana Ali Yusuff kerana pihak pendakwaraya berkeras untuk meneruskan perbicaraan atas alasan keterangan boleh diambil kemudian jika didapati relevan.

Pihak pendakwaraya yang diwakili Timbalan Pandakwaraya Anselm Fernandis dan Aidatul Azura Zainal Abidin telah mengemukakan 19 bahan bukti dan 17 saksi bagi membantu pendakwaan hari ini.

Keterangan daripada saksi pertama, ahli kimia di Jabatan Kimia Negara, Muhammad Fauzi Ghazali mengesahkan kepada mahkamah bahawa tiada bahan hidrokarbon meruap dijumpai pada mana-mana 19 bahan bukti yang diambil dari Dewan Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada 24 Jun, 2009.

Ini bermaksud tiada petrol atau bahan mudah terbakar dijumpai pada mana-mana bahan bukti tersebut.

Beliau juga mengesahkan kepada mahkamah bahawa kesan hitam yang terdapat pada T-shirt kuning kepunyaan salah satu pelajar bukan kesan cat atau serbuk hitam yang dijumpai di tempat kejadian.

Soal balas oleh peguambela pula telah mengesahkan keterangan saksi pertama pendakwaraya bahawa tiada hidrokarbon meruap atau secara spesifik, petrol, dijumpai pada mana-mana bekas atau kapas bukti, jelas membuktikan bahan bukti tidak mencukupi bagi membuktikan wujudnya petrol dalam pertuduhan cubaan membakar dewan.

Sesi soal jawab berterusan ke saksi ke tujuh hari ini dengan sesi mahkamah di'hibur'kan oleh jawapan tidak berasas daripada saksi tetapi masih cuba dipertahankan oleh pihak pendakwaraya.

Saksi kedua, Lans Korporal Syed Mastri Syed Ishak, 40 tahun yang bertugas di Ibupejabat Daerah Brickfields terketar-ketar menjawab soalan Aidatul Azura apabila ditanyakan di mana tempat kejadian, yang mana beliau menjawab, 'Universiti Islam Malaysia' menyebabkan para peguam sendiri tergelak.

Syed Mastri membuat kesilapan lagi apabila beliau memberikan dua jawapan bercanggah mengenai permaidani yang dibawa sebagai bukti, di mana beliau mengaku mendapat permaidani dalam keadaan tergulung tetapi mendakwa melihat garis kesan simbahan petrol di atasnya.

Perbicaraan ditangguhkan selepas mendengar kenyataan saksi ke tujuh, Mohd Zubir Abdullah, anggota polis Bahagian D4, Balai polis Brickfields berkenaan butiran semasa beliau menahan Aizat di cafetaria API, UM.

Mohd Radzlan yang ditemui diluar mahkamah memberitahu Shazni tidak perlu menghadirkan diri untuk perbicaraan ini kerana Shazni didakwa atas kes lain dan bukan yang dibicarakan hari ini.

"Saya sendiri tidak faham mengapa mahkamah mahukan kelima mereka berada di kandang pesalah sedangkan Shazni tiada kaitan langsung dengan perbicaraan hari ini, tetapi saya berharap kita dapat melihat apa kaitannya dalam perbicaraan esok selepas pendakwaraya memberikan hujah mereka," kata beliau sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah.

No comments: