Monday, June 28, 2010

Tambah 1,000 PASTI










KEPALA BATAS, 28 Jun: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani mahu Pasti dikembangkan menjadi 1,000 buah lagi pada masa depan berbanding hari ini yang mencecah 1,000 buah di seluruh negara termasuk Sabah.

Justeru itu, beliau berharap semua jentera Pasti negeri serta guru-guru supaya memastikan pusat asuhan itu terus matang dan cemerlang pada tahun-tahun akan datang.

Beliau juga berkata, Sukan Pasti Malaysia yang diadakan setiap tahun mulai tahun 2005 berjaya membuka mata masyarakat.

Ini, katanya kerana melalui sukan itu masyarakat tahu bahawa Pasti bukan sahaja mengajar Al-Quran dan pembelajaran awalan Islam lain tetapi mengambil berat soal kemahiran permainan sukan seperti bola sepak dan bola jaring sejak kecil lagi.

Kehadiran Pasti, tambahnya, di tengah masyarakat kini kian menyerlah bukan kepada masyarakat Islam sahaja bahkan di kalangan masyarakat bukan Islam.

"Inilah nilai Pasti sejak ditubuhkan 20 tahun lalu di mana kemunculannya di tengah masyarakat berjaya mengubah senario politik dan anggapan Pasti semata-mata mengajar Islam dengan membelakangkan sebarang bentuk kesukanan terutamanya bola sepak yang menjadi sukan kegemaran rakyat negara ini," jelasnya ketika merasmikan Majlis Penutup Pesta Sukan Pasti Malaysia 2010 di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini petang semalam.

Hadir sama menyaksikan pesta sukan kali keenam itu ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Pengarah Pasti negeri, Mohd Asri Harun, Ketua Majlis Guru Pasti Malaysia, Puan Saadiah Abu Bakar serta kepimpinan Pasti yang turut memberikan sokongan padu kepada pasukan yang bertanding.

Terengganu bakal menjadi tuan rumah pesta sukan itu pada tahun depan.

Sementara itu, pasukan bola sepak Selangor sekali lagi menunjukkan taring apabila berjaya mengekalkan kejuaraan apabilan mengalahkan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir.

Pasukan merah kuning itu nyata gah di padang kerana sekaligus memenangi ketogari penjaring terbanyak, Adik Lokman Hakim dan pemain terbaik, Mohd Fakrulrazi Ahmad Shamsuri.

Piala kemenangan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Azrin Abdul Majid kepada semua pemain, juru latih dan ketua kontinjen Selangor.

Pasukan Perak menduduki tempat ketiga mengalahkan Terengganu dengan lambungan syiling apabila kedua-dua pasukan berkesudahan seri 7-7.

Dalam acara bola jaring pula, pasukan Terengganu menang besar mengalahkan Kedah dengan jaringan 10-1 bagi memastikan pasukan mereka paling hebat berbanding kontinjen lain.

Tempat ketiga Selangor yang mengalahkan pasukan tuan rumah juga dengan jaringan besar 12-1.

Bagi ketogari bola jaring, Adik Siti Ainun Majah Zulkifli berjaya menjadi penjaring terbanyak dengan 25 gol manakala Adik Adlin Aqilah Kamarulhisyam mendapat anugerah pemain terbaik.

Sebanyak 13 buah negeri mengambil bahagian iaitu Melaka, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah.hrkh

No comments: