Monday, July 26, 2010

Dedahkan penyelewengan Umno



SHAH ALAM, 26 Julai : Pelbagai maklumat mengenai penyelewengan yang dilakukan pemimpin UMNO semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor akan didedahkan sekiranya parti itu terus memesongkan fikiran rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, beliau bersedia dan tidak teragak-agak untuk mendedahkan pelbagai salah laku UMNO yang selama tidak diketahui oleh rakyat itu.


Menurutnya, semua dokumen tentang penyelewengan pemimpin UMNO itu terdapat dalam simpanan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Apa salahnya jika dalam ceramah yang diadakan, cuba jelaskan kepada rakyat kenapa hanya satu syarikat sahaja yang diberikan hak untuk menguruskan sungai dan pasir di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kempen UMNO menawan Selangor melalui Program Jelajah Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu berkata, beliau meminta UMNO menjelaskan isu tanah yang tidak diberikan kepada rakyat di kawasan Sungai Panjang ketika Mohamad Khir menjadi Menteri Besar selama lapan tahun.

Sementara itu, ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, tindakan UMNO memburukkan Pakatan Rakyat tidak ubah seperti ‘Mengata dulang paku serpih’ kerana parti itu sentiasa mencari kesalahan Kerajaan Negeri sekarang.

Beliau berkata, semakin banyak pendedahan yang dibuat oleh UMNO, semakin bertambahlah pendedahan sebenar tentang penyelewengan dan kelemahan pemerintah terdahulu.

“Usah politikkan isu pasir kerana ia akan menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat yang sudah sedia maklum tentang perkara itu.

“UMNO boleh mengadakan beribu ceramah kepada rakyat kerana pada persepsi umum, rakyat sedia maklum tentang penyelewengan pasir yang didahului UMNO pada zaman pemerintahan mereka,” katanya.SH

No comments: