Saturday, July 10, 2010

PAS akan anjur himpunan BERSIH




















PETALING JAYA:
PAS akan mengadakan himpunan kedua Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) secara besar-besarnya sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengendahkan cadangan supaya suruhanjaya itu mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara telus dan adil.

Timbalan Pemuda PAS, Ahmad Shapawi Rani berkata sekiranya SPR masih berdegil, PAS akan mengerahkan jentera mereka daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang dengan ahli seramai 1 juta orang sebaik sahaja kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU13 berlangsung.

“Kami mahu SPR mengkaji semula serta menerima cadangan yang dikemukakan dalam memorandum yang telah dihantar oleh Bersih kepada mereka,” katanya kepada mStar Online di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin di beberapa blog yang mendakwa Bersih akan mengadakan demonstrasi dalam tempoh terdekat.

Pertubahan bukan kerajaan itu telah beberapa kali menghantar memorandum mendesak suruhanjaya berkenaan menghapuskan undi pos, sistem pendaftaran automatik serta penggunaan dakwat kuku bagi menggantikan sistem sedia ada.

Mengulas lanjut, Shapawi yang juga Setiausaha Kerja Bersih berkata pihaknya amat berharap agar SPR mengambil serius cadangan yang telah dikemukakan oleh Bersih demi menjamin sistem pilihan raya yang lebih telus dan adil kepada rakyat di negara ini.

“Seperti yang kita tahu pengunaan dakwat kuku bagi menggantikan sistem mengundi secara manual sangat berkesan kerana ia dapat menjamin satu proses pilihan raya yang lebih telus dan adil.

“Proses seperti ini adalah untuk kebaikan bersama tidak kira sama ada mana-mana parti politik mahupun rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.

No comments: