Tuesday, July 13, 2010

Khidmat kesihatan percuma kepada masyarakat

CIMG4083.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 14 Julai : Kesibukan tugas di klinik dan hospital tidak menghalang para doktor melaksanakan kerja-kerja sukarela memberikan khidmat kesihatan secara percuma kepada masyarakat.

Penyelaras Khidmat Kesihatan PAS Parit Buntar Dr. Azamuddin Ibrahim berkata, pasukan doktor sukarela menawarkan kaunseling kesihatan, pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan kandungan gula dalam darah dan ujian berat badan seimbang.

Dr. Azamuddin berkata demikian semasa mengetuai pasukan doktor sukarela memberikan khidmat kesihatan percuma kepada penduduk Kuala Bagan Tiang di sini.

“ Program hari ini sungguh meriah dan tidak menang tangan dengan kehadiran penduduk terdiri daripada golongan muda, tua dan kanak-kanak .

“ Masing-masing sangat teruja untuk mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan oleh pihak kami “ katanya

Menurutnya, program hari ini adalah aktiviti berterusan yang ditawarkan kepada penduduk di Parit Buntar.

“ Sebelum ini sudah banyak kali khidmat kesihatan percuma kepada masyarakat diadakan oleh PAS Parit Buntar. Kami baru sahaja mengadakan dua program di Kampung Perak dan Tanjung Piandang.

“ PAS Parit Buntar bukan sahaja mengadakan program ini kepada orang Melayu malah melibatkan kaum lain di komuniti mereka” katanya

Dr. Azamudin berkata, kehadiran PAS di hati masyarakat dan keterbukaannya dalam bekerjasama dengan institusi-institusi masyarakat dan perubatan jelas membuktikan keseriusan PAS untuk memberikan yang terbaik dari sudut keperluan dan kebajikan masyarakat.

“ Kami juga mengadakan lawatan ke rumah penduduk yang sakit dan tidak mampu ke tempat program.

“ Rata-rata penduduk sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan dan berharap dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang” katanya

No comments: