Friday, July 16, 2010

Penduduk Gopeng bantah perpindahan stesen bas


GOPENG, 16 Julai : Kira-kira 400 penduduk Gopeng membantah tapak cadangan pembinaan Bangunan Stesen Bas dan Perhentian Teksi yang akan dilaksanakan tidak lama lagi berhampiran kawasan Pasar Awam dan Pasar Pagi kerana dikatakan boleh mengganggu operasi perniagaan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung isu perpindahan Stesen Bas Gopeng ke satu tempat yang tidak jauh dari lokasi asal kerana boleh mengganggu pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.


Menurutnya, pembinaan itu menyebabkan peniaga terpaksa dipindahkan ke lokasi baru menyebabkan ada di antara mereka tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

“Saya kecewa dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana seolah-olah telah membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan penduduk,” katanya ketika bangkit membalas respons PBT berhubung isu tersebut dalam Majlis Penerangan Awam Cadangan Pembinaan Stesen Bas Gopeng, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Kamaruzzaman Hamzah, pegawai dan kakitangan, bekas Ahli Majlis, ketua kampung serta penduduk setempat.

Lih Kang berkata, sepatutnya PBT mendengar rintihan daripada penduduk sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tetapi, apa yang jelas, cadangan ini telah pun dipersetujui dan akan dilaksanakan tidak lama lagi serta dijangka siap pada Jun 2011,” katanya.

Katanya, beliau tidak menafikan, Stesen Bas Gopeng sedia ada perlukan perubahan dan penambahbaikan tetapi satu lokasi baru perlu dicari bagi menggantikan tapak cadangan yang telah dipersetujui.

“Saya bersetuju jika kemudahan itu diberi nafas baru, namun lokasinya tidak sesuai memandangkan boleh menjejaskan pendapatan peniaga apabila terpaksa beralih ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan Bas Kinta yang akan melalui Stesen Bas Gopeng hanya menjalankan perkhidmatan domestik, sebaliknya, kebanyakan penduduk Gopeng yang ingin ke pasar sudah biasa menggunakan motosikal dan basikal.

Selain itu, kedudukan perhentian bas baru yang berdekatan dengan sebuah sekolah rendah juga punca penduduk membantah pemindahan itu.

“Ramai ibu bapa mengadu bahawa mereka bimbang tentang keselamatan anak-anak kerana perpindahan stesen bas ini akan menambahkan kesibukan lalu lintas dan secara tidak langsung meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyerahkan Memorandum Bantahan yang ditandatangani kira-kira 400 penduduk Gopeng yang tidak berpuas hati dengan cadangan itu kepada Ahmad Kamaruzzaman.

“Kami berharap PBT lebih peka kepada masalah rakyat, dan bukannya membuat keputusan dengan mengetepikan suara rakyat," katanya.

No comments: