Wednesday, July 28, 2010

Perpaduan atas dasar Islam, bukan bangsa


KANGAR , 28 Julai : Kerjasama antara UMNO dan PAS harus dilaksanakan atas dasar untuk menyatukan umat Islam, bukan memfokuskan kepada penyatuan bangsa.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin berkata, sekiranya inisiatif perpaduan antara dua parti politik utama kaum Melayu itu dibuat berlandaskan kepentingan agama dan bukan penyatuan kaum, beliau yakin kaum lain turut mendapat manfaat dan tidak berasa tertindas.

Menurutnya, Islam tidak pernah mengajar umatnya mengamalkan kehidupan asabiyah atau berpuak-puak dan sirah Rasulullah SAW jelas membuktikan perpaduan dalam kalangan umat Islam adalah lebih kukuh dan kuat berbanding perpaduan kalangan kaum.

“Sekiranya kerjasama perpaduan hanya berlandaskan faktor memperkukuhkan bangsa, saya bimbang keadaan akan menjadi kacau-bilau di mana kaum lain di negara ini akan mula berasa dipinggirkan dan tertindas.

“Sekiranya perjuangan UMNO kembali berpaksikan al-Quran dan Hadis, saya percaya perpaduan yang cuba diperjuangkan oleh beberapa pemimpin Melayu di negara ini akan dapat dicapai secara automatik,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak cadangan menjalinkan perpaduan antara UMNO dan PAS dan menegaskan ia tidak akan tercapai sekiranya UMNO masih enggan kembali ‘ke pangkal jalan’.

“Dalam PAS, semua pemimpin parti sudah jelas memihak kepada Tuan Guru (Nik Abdul Aziz) memandangkan kenyataan dikemukakan beliau adalah munasabah dan berlandaskan agama.

“Tiada yang mustahil untuk mewujudkan perpaduan memandangkan ia merupakan tuntutan agama. Bagaimanapun, UMNO sendiri perlu mengubah hala tuju perjuangan parti terlebih dahulu sekiranya ingin berbincang lanjut dengan PAS,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menegaskan inisiatif mewujudkan kerjasama perpaduan antara PAS dan UMNO perlu dilihat dari sudut positif kerana ia melibatkan perpaduan kaum Melayu ke arah kebaikan.

Menurutnya, kerjasama sebegini juga bakal menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menuntut rakyat Malaysia bersatu padu, selaras dengan kempen 1Malaysia yang dilancarkannya.

“Demi keharmonian negara, usaha penyatupaduan dua parti politik orang Melayu terbesar perlu dilihat dari sudut positif dalam memperkukuhkan kembali kekuatan orang Melayu dan agama Islam,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi negatif beberapa pemimpin tertinggi PAS yang menolak idea kerjasama perpaduan di antara PAS dan UMNO, Dr Isa menegaskan hanya segelintir pemimpin PAS yang menolak cadangan itu dan ia tidak mewakili suara parti itu sendiri.

“Sekiranya kedua-dua pihak melihat cadangan ini ke arah memperkasakan keharmonian negara, saya fikir tidak mustahil iaa kan terlaksana.

“Bukan semua ahli PAS tidak setuju dan saya fikir perbincangan secara terperinci antara dua pihak mungkin jalan penyelesaian terbaik,” katanya.SH

No comments: