Saturday, July 31, 2010

Umno sekat kebebasan guru


KOTA BHARU, 31 Julai : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik saranan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri mereka di dalam bidang politik.

Nik Abdul Aziz berkata, golongan tersebut sepatutnya awal-awal lagi diberikan kebenaran untuk terlibat di dalam politik bukannya baru sekarang.

“Sepatutnya awal-awal lagi (mereka ini) terbabit dalam politik kerana guru ini orang betul. Mana boleh tidak dibenarkan tidak babit dalam politik.

“Ini kerja salah UMNO. Kenapa disekat guru atau tok guru (yang ingin berpolitik)....takut orang tahu keburukan dia (UMNO). Sepatutnya awal-awal lagi akta ini tidak ada dalam dunia kerana politik ini menyentuh segalanya, menyentuh ibadat, ekonomi, rumah tangga.

“Tidak kira pegawai kanan atau kiri, sepatutnya awal lagi diberi peluang kepada manusia berpolitik. Politik ni boleh pahala, nabi ahli politik paling terkemuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.

Keputusan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

Berikutan pengumuman itu, kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik dan bagi tujuan itu.

Mohd. Sidek berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sehubungan itu, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Mengulas mengenai keputusan itu yang dilihat mungkin akan mengganggu sistem pembelajaran Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia terpulang kepada guru berkenaan.

“Itu atas dia (mengganggu atau tidak). Saya sejak balik tahun 1962, terus mengajar sehingga hari ini. Mana boleh seorang guru yang mempunyai ilmu kita tidak benar mereka untuk berpolitik,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Aziz menyarankan nama dan konsep bazar Ramadan ditukar kepada Bazar Iftar (berbuka puasa) bagi mencerminkan penghayatan terhadap ibadah berpuasa itu.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan dan media boleh memainkan peranan untuk menukar nama dan konsep bazar Ramadan itu yang sentiasa mendapat sambutan ramai setiap kali bulan puasa.

“Saya baca dalam akhbar, rasa kagum betapa ramai peniaga terdiri daripada umat Islam sampai berebut-rebut untuk mendapat borang berniaga di bazar Ramadan.

“Apa salahnya kalau nama dan konsep bazar Ramadan itu ditukar kepada bazar Iftar bagi memberi penghayatan kepada umat Islam bahawa ada dua ketika nikmat bagi orang berpuasa iaitu ketika berbuka dan menyambut Aidilfitri,” katanya.SH

No comments: