Monday, August 16, 2010

11 Pemuda Umno tetap letak jawatan


ALOR SETAR , 17 Ogos : Sebelas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar yang meletak jawatan pada 7 Ogos lalu sebulat suara tidak mahu bersemuka dengan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menyelesaikan kemelut itu.

Mereka juga memutuskan untuk tidak akan berbincang lagi dengan Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kedah,


Bekas Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Azreen Azizan berkata, mereka telahpun menghantar surat peletakan jawatan kepada UMNO Malaysia pada 10 Ogos lalu, melalui faksimili dan salinan turut diserahkan kepada UMNO Negeri dan Bahagian melalui Setiausaha masing-masing.

“Ingin saya ulangi pendirian kami meletak jawatan kerana berasakan dipinggirkan daripada pergerakan itu selepas pilihan raya umum 2008 selain hilang kepercayaan pada pucuk pimpinan Bahagian dan pelbagai masalah tidak puas hati yang berbangkit,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, tindakan mereka bukan mahu mengkhianati parti, sebaliknya berasakan tidak lagi dapat melaksanakan tanggungjawab yang sewajarnya.

“Kami meletak jawatan bagi membolehkan AJK baru dilantik, bukan disebabkan ada unsur-unsur hasutan daripada mana-mana pihak. Malah peletakan jawatan beramai-ramai ini tidak dirancang, ia berlaku spontan setelah masing-masing berdepan masalah yang hampir sama,” katanya.

Mohd Azreen berkata, mereka telah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Ahmad Bashah sebelum ini, tetapi perkara yang dibangkitkan tidak pernah selesai.

“Kami rela lepaskan jawatan agar AJK baru lebih aktif bergerak tmenjelang pilihan raya akan datang. Kami akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Mohd Azreen turut menafikan kenyataan Ahmad Bashah, yang mendakwa tidak tahu punca mereka letak jawatan.

“Kepimpinan parti tidak membantu menjalankan program rakyat, malah kami terpaksa keluar belanja sendiri anjur program parti,” katanya.

AJK terbabit ialah Noor Baidurzaman Abu Bakar, Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Elias Haron, Mohamad Roshidi Marzuki, Wira Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Zahir Abu Bakar, Ros Mahadi Hashim, Che Nat Said dan Mohd Shaharudin Manaf.SH

No comments: