Tuesday, August 10, 2010

ADUN Teja dedah penyelewengan tanah


KAMPAR , 10 Ogos : Kelulusan tanah seluas 40 hektar di kawasan penternakan ikan hiasan Kampung Sungai Itek kepada dua syarikat pemaju untuk tujuan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dikatakan wujud penyelewengan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang berkata, beliau mempunyai bukti kukuh berhubung kenyataan itu dan menggesa penjelasan diberikan kerana yakin ada penyelewengan di sebalik pemberian tanah itu kepada pemaju.


Menurutnya, tanah berkenaan telah digunakan pengusaha ikan hiasan sejak sekian lama dan pemberian kepada dua syarikat pemaju untuk dibangunkan memberi kesan kepada sektor penternakan.

“Tanah yang diberi kepada pemaju itu telah menjejaskan kehidupan lebih daripada 20 petani dan penternak ikan hiasan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Gopeng di sini.

Lih Kang berkata, jawapan bertulis yang diterima ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang menunjukkan kerajaan negeri memberi kelulusan dengan tujuan untuk membantu menyelesaikan masalah setinggan di daerah Kampar.

“Melalui jawapan bertulis itu dikatakan tujuan projek adalah untuk kurangkan masalah setinggan dan adalah menjadi polisi kerajaan negeri untuk tidak terikat meluluskan tanah-tanah kerajaan yang telah diusahakan secara haram. Aktiviti tersebut menyalahi undang-undang tanah negara,” katanya.

Menurutnya, lebih rasional jika tanah berkenaan diberikan kepada petani dan penternak ikan yang ternyata membawa pulangan lumayan kepada pendapatan negara.

“Mereka bagaimanapun telah banyak kali membuat permohonan namun sering kali ditolak walaupun telah menjalankan kegiatan itu berpuluh-puluh tahun dan mengeksport ikan ke luar negara sejak dulu lagi,” katanya.

Beliau berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan mereka dengan memberi hak milik kepada pengusaha dan penternak yang ternyata membawa pulangan yang tinggi memandangkan tanah dan bekas lombong di Gopeng dan Lawan Kuda cukup sesuai untuk kegiatan itu dan bukannya mengusir mereka dengan mematikan industri yang dijalankan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong itu pernah berjanji membantu petani menyelesaikan masalah berkenaan.SH

No comments: