Wednesday, August 4, 2010

Beri kuasa pendakwaan kepada SPRM

4c79491dfb3315ebee55b77b1163d8fd



























PETALING JAYA, 4 Ogos :
Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendesak menteri mengisytiharkan harta tidak membawa perubahan yang besar dalam agenda memerangi rasuah jika kuasa pendakwaan hanya terbatas kepada Peguam Negara.

Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi Malaysia (Gerak) Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, ini kerana SPRM terpaksa menunggu kebenaran atau penurunan kuasa oleh Peguam Negara sebelum mana-mana kes rasuah didakwa.

"Namun yang ingin kita bahaskan adalah apakah kekebasan pendakwaan itu ada pada SPRM? Ini kerana menurut Akta SPRM 2009, Seksyen 58 jelas menunjukkan bahawa kuasa pendakwaan terletak di bawah tanggungjawab Peguam Negara dan bukannya dibawah bidang kuasa SPRM.

"Saya mengesyorkan supaya kerajaan melalui Parlimen meminda Seksyen 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Peguam Negara sahaja yang boleh mengemukakan sebarang prosiding jenayah dalam mahkamah.

"Saya cukup optimis untuk melihat ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang boleh bersetuju untuk meminda Perlembagaan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kasim Mohamed baru-baru ini yang menyarankan agar menteri mengisytiharkan harta masing-masing.

Pinda Perlembagaan


Justeru itu, kata Mohd Nazree, untuk sidang Parlimen yang akan datang, usul perlu dikemukakan untuk meminda Perlembagaan dengan memberikan kuasa kepada SPRM bagi mendakwa pesalah jenayah rasuah.

Menurutnya, mekanisme pengisytiharan harta juga perlu melibatkan ahli keluarga menteri supaya langkah pengisytiharan harta dilihat lebih menyeluruh.

"SPRM perlu mendakwa mana-mana menteri yang terlibat rasuah walaupun sedang memegang jawatan. Tumpuan juga harus diberikan terhadap siasatan kes berprofil tinggi dan seterusnya didakwa di mahkamah.

"Mungkin selepas ini juga, ahli-ahli politik berjawatan tinggi dan berkuasa dalam kerajaan pusat/negeri juga wajar mengisytiharkan harta mereka. Ini mungkin langkah seterusnya yang wajar disemak oleh SPRM.

"Tanpa pendakwaan yang serius terhadap kes-kes berprofil tinggi, maka kredibiliti SPRM agak sukar untuk dipulihkan," katanya.

No comments: