Wednesday, September 29, 2010

Buang masa layan PERKASA

























SHAH ALAM, 30 Sept. : Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menganggap cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) untuk mengadakan rundingan meja bulat antara orang Melayu di dalam KEADILAN, PAS dan Umno sebagai satu pelawaan biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata pada ketika ini, KEADILAN dan PAS mempunyai agenda yang lebih penting dan lebih utama daripada itu.


"Saya berpendapat adalah lebih baik KEADILAN dan PAS memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting daripada menerima pelawaan Perkasa untuk mengadakan perbincangan meja bulat berhubung isu orang Melayu.


"Kita menganjurkan supaya Perkasa meneruskan sahaja kerja buat mereka dalam lapangan yang mereka percaya.

"KEADILAN pula dalam konteks tersebut akan memfokuskan isu-isu utama seperti persiapan parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang serta memperkukuhkan organisasi," ujar beliau.

Pada masa yang sama, KEADILAN kata Ahli Parlimen Machang itu akan memperhebatkan lagi siri penerangan kepada rakyat terbanyak.

"Dalam kata lain, saya berpendapat pelawaan Perkasa itu sebagai pelawaan biasa dan tidak perlu diberikan tumpuan dan perhatian," ujar beliau.

Ahad lalu, Wira Perkasa Kedah mencadangkan supaya diadakan Rundingan Meja Bulat melibatkan Pemuda Umno, Pemuda PAS dan Angkatan Muda KEADILAN bagi membincangkan beberapa isu yang disifatkan menjadi penyebab perpecahan Melayu.

Ketuanya Shaharol Niza Omar berkata tujuan rundingan itu diadakan bagi merungkai permasalahan dan pertelingkahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini antara Perkasa dan parti-parti politik itu.

No comments: